Diterbitkan pada 25 Februari 2026, 16:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari memberikan pandangannya terhadap polemik hadiah sastera dan sayembara.

Apabila timbul polemik berkaitan ketiadaan pemenang utama, hal ini biasa. Puncanya ialah perasaan tidak enak dalam kalangan sejumlah peminat sastera.

Akhir-akhir ini, terdapat polemik tentang hadiah sastera.  Seperti yang difahami umum, polemik memuatkan pandangan yang berbeza-beza, dan tujuannya adalah untuk membahaskan sesuatu peristiwa yang dirasai tidak memuaskan hati satu-satu pihak. Polemik menjadi “sengit” apabila ada pihak yang memberikan pandangan yang benar-benar berbeza daripada pendapat yang muncul sebelumnya, dan pandangan yang sebelumnya itu dianggap salah sama sekali.

Pandangan awal sesuatu polemik bergantung kepada pemulanya. Jika pemula polemik itu menyuarakan pandangan yang ilmiah, maka pihak yang mahu menjawabnya perlu bersikap ilmiah juga. Sebagai contoh, jika pemula polemik menganggap bahawa sebuah karya prosa lemah kerana tersilap zaman, iaitu kemunculan watak Abdullah Munshi dalam tahun 1957, maka pihak yang membela karya itu perlu tahu tentang konsep anakronisme.

Unsur anakronisme diizinkan dalam karya sastera. Jika karya yang memuatkan anakronisme memenangi hadiah sastera, mungkin timbul anggapan bahawa panel penilai terlepas pandang tentang fakta sejarah. Pihak yang membela keputusan panel akan menyatakan bahawa untuk maksud tertentu, bukan sahaja Abdullah Munshi (1796 – 1854) dan Stamford Raffles (1781 – 1826) boleh dihadirkan dalam tahun 1957, malah Hang Jebat pun boleh dihadirkan di Kuala Lumpur dalam tahun 2026.

Ertinya, oleh sebab sastera ialah bidang kreatif dan subjektif, pelbagai pandangan boleh dikemukakan. Contoh yang di atas hanyalah menyentuh satu aspek, iaitu pertentangan zaman. Dalam bicara ini, saya akan membawa pembaca memikirkan soal penilaian rasmi hadiah sastera. Maksud penilaian rasmi ialah penilaian yang dibuat oleh anggota panel yang dilantik oleh penganjur.

Kewujudan hadiah sastera (yang besar disebut sebagai anugerah sastera) berfungsi untuk merancakkan pertumbuhan sastera dan menggalakkan para sasterawan menghasilkan karya yang benar-benar bermutu.

Hadiah sastera secara umumnya ada dua jenis. Jenis yang pertama, karya-karya yang dinilai itu terdiri daripada bahan-bahan yang telah terbit dalam pelbagai media. Dalam tahun 1973, misalnya, karya-karya yang terbit dalam Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Berita Minggu, Utusan Zaman, dan beberapa media lain, telah memenangi hadiah sastera (masa itu, disebut sebagai Hadiah Karya Sastera). Panel penilai dapat membaca nama penulis yang tercatat di karya masing-masing. Karya-karya yang menang telah dibukukan dengan judul Pemenang (DBP, 1974).

Sebenarnya, panel penilai tidak tertarik pada nama penulis karya. Dalam ulasan Hadiah Karya Sastera 1973, selain bicara tentang isi, bentuk, teknik, dan gaya karya-karya yang menang, terdapat juga sentuhan tentang karya-karya yang berupaya menang atau hampir-hampir menang, tetapi menemui kegagalan kerana bahagian tertentu tidak berkesan. Ertinya, dalam penilaian itu disebutkan kelebihan, kemudian dinyatakan alasan kenapa karya itu tidak mencapai tahap untuk menang (sila baca ulasan berkenaan dalam Pemenang, halaman 34).

Jenis yang kedua ialah hadiah sayembara. Hadiah jenis ini diberikan kepada penulis yang menyertai satu-satu sayembara. Karya-karya yang mahu dipertandingkan perlu diserahkan kepada pihak jawatankuasa penganjur. Seterusnya, karya-karya yang tiba ke tangan panel penilai tidak disertakan dengan nama penulis. Jadi, penilai sayembara membaca karya-karya tanpa maklumat tentang pengkarya.

Pihak yang diberi tugas menilai karya tentulah dipercayai layak, dan mereka juga dipercayai akan menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab. Apabila timbul polemik berkaitan ketiadaan pemenang utama, hal ini biasa. Puncanya ialah perasaan tidak enak dalam kalangan sejumlah peminat sastera. Perasaan tidak puas hati dicurahkan walaupun karya-karya yang diletakkan di tempat kedua, ketiga dan sagu hati itu belum tiba ke tangan pembaca umum. Penulis menganggap bahawa hal ini biasa, dan bersifat sementara.

Tulisan ini bertujuan memuatkan tanggapan yang difahami oleh penulis. Penulis tidak bertujuan memaksa pembaca menerima pandangan ini. Penulis bersetuju dengan pendapat Fudzail Mohd Nor (2026) dalam Mingguan Malaysia bahawa keputusan tanpa pemenang utama bukan tanda kematian kreativiti. Bahkan penulis juga telah mengikuti peristiwa yang berkaitan dengan sayembara. Baik di Malaysia mahupun di luar, memang kedapatan karya yang mencapai kedudukan sagu hati, tetapi kemudiannya diterima baik oleh masyarakat pembaca. Hal ini dapat ditanggapi melalui Teori Penerimaan (Reception Theory).

Dalam sayembara terbaharu, hadiah tempat utama ialah satu angka yang besar. Setiap peserta sayembara mengingini kemenangan, di samping itu, dalam fikiran masing-masing ada pengakuan bahawa menang atau kalah adalah biasa, kerana itu ialah adat bertanding. Ertinya semua tahu, bahawa menang dan kalah ialah perkara biasa. Setiap panel juri pula ingin menentukan ada kemenangan tempat utama, dan mereka berbangga jika dapat mengumumkan peserta yang berjaya ialah peserta yang menghasilkan karya yang betul-betul hebat. Sebagai contoh, alangkah bagusnya jika karya yang mempelopori aliran baharu mendapat tempat pertama dalam sayembara.

Sesiapa yang menyangka panel penilai berasa bangga mengumumkan ketiadaan pemenang tempat pertama pasti silap. Memang ada anggapan dan cadangan, jika karya-karya tidak mencapai tahap yang diharapkan, maka letakkanlah mana-mana karya yang lebih baik daripada yang lain di tempat pertama, walaupun mutunya sederhana. Bahkan ada pandangan, bahawa pertandingan antara karya-karya yang lemah pun ada yang boleh mendapat tempat pertama, iaitu yang terbaik antara yang lemah. Dengan anggapan demikian, asalkan karya itu agak baik, tidak cemerlang, layak mendapat tempat pertama. Keputusan demikian pasti tidak menyenangkan pembaca yang kritis. Pembaca akan mengatakan bahawa sayembara berkenaan gagal memunculkan karya yang gemilang.

Pihak penganjur, sefaham penulis, telah dan akan memilih anggota panel penilai yang memahami dan mendalami bidang masing-masing, serta bersikap amanah dan tekun dalam melaksanakan tugas.

Keputusan ketiadaan pemenang utama ialah cabaran yang sementara. Jika sayembara ini diadakan lagi pada tahun yang berikutnya, dijangka sejumlah sasterawan berbakat besar akan mengemukakan karya yang lebih kukuh. Dalam fikiran penulis, itu ialah impian penganjur dan juga impian setiap panel penilai.

Pihak penganjur, sefaham penulis, telah dan akan memilih anggota panel penilai yang memahami dan mendalami bidang masing-masing, serta bersikap amanah dan tekun dalam melaksanakan tugas. Tentang ketidakpuasan hati pembaca kerana ketiadaan tempat pertama, penulis berpandangan yang mereka berasa demikian, terutamanya kerana belum membaca karya-karya yang dipertandingkan. Dari segi panel, mungkin ada hasrat sesetengahnya untuk memberikan kemenangan kepada mana-mana karya yang markahnya lebih tinggi daripada yang lain, pertimbangan yang berterusan menyimpulkan bahawa karya yang dianggap sesuai berada di tempat kedua, jangan terus sahaja berada di tempat pertama.

Pandangan penulis ialah pandangan peribadi untuk dipertimbangkan oleh para pembaca. Penulis yakin, setiap karyawan dan peminat sastera mengharapkan penganjur akan meneruskan pemberian hadiah sastera, sama ada melalui sayembara mahupun pemilihan karya-karya yang tersiar di pelbagai media. Pandangan positif atau negatif tentang satu-satu keputusan berada di pihak khalayak. Keadaan yang sangat diharapkan ialah kesungguhan dalam penulisan untuk menghasilkan karya yang baik, dan kesungguhan penelitian untuk mendapatkan yang karya yang benar-benar berkualiti.

Sebagai penutup bicara, penulis ingin menegaskan sesuatu yang diketahui umum, iaitu panel penilai tidak beroleh apa-apa dengan memutuskan ketiadaan tempat pertama. Segala ini bertolak daripada rasa tanggungjawab meletakkan sastera di tempatnya yang wajar, berdasarkan amanat yang diberikan. Jika penghakiman terkeluar daripada prinsip keadilan, padahnya berat.

_________________________

Rahman Shaari (Dato’) ialah Sasterawan Negara yang ke-15. Selain banyak menyelenggarakan buku antologi sastera, beliau melahirkan beberapa buku kritikan sastera dan kumpulan puisi, termasuk Anjung Persinggahan. Beliau juga berpengalaman sebagai panel hakim dalam pelbagai sayembara, hadiah dan anugerah sastera.

Kredit Foto: Hans Leuzinger/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi