Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanpa niat mencari sengketa, sebaliknya mahu mengajak kita semua membuka minda, Raja Yusoff Ariffin walau bagaimanapun memohon maaf terlebih dahulu jikalau artikel tulisannya ini mengguris hati mana-mana pihak.
Banyak yang berpendapat bahawa kehebatan deklamasi sajak dan deklamator juga penting dan perlu. Saya bersetuju dan sependapat kerana sentiasa percaya bahawa antara cara mendekati atau memasyarakatkan sajak dengan orang ramai ialah pendeklamasian …
Mungkin ada yang mengatakan saya mereka-reka, malah mengada-ngada apabila membangkitkan perkara ini. Barangkali ada yang bertanya kehairanan mengapa perkara ini saya timbulkan. Perkara kecil dan remeh.
Jawapannya mudah. Tidak mungkin kita sentiasa hanya perlu memikir dan mengetengahkan perkara besar sahaja. Hal besar dan kecil ada manfaat masing-masing yang relatif.
Kadang-kadang turut terfikir, adakah mauduk ini sihat atau menjejaskan dunia kesusasteraan tanah air jika berlarutan. Hal ini bukan hanya anggapan/andaian, tetapi berdasarkan pemerhatian saya sekian lama. Namun demikian, saya tidak kisah jika dibalas balik.
Begitu pun, saya sentiasa teringat kata-kata seorang sasterawan dan budayawan tanah air (terlupa pula namanya) bahawa yang akan tetap disebut atau diingati, dan lebih penting/bermakna ialah karya – dalam hal ini sajak (puisi moden), dan bukannya cara persembahan atau pendeklamasian sajak itu di pentas atau media visual.
Benar dan sepatutnya begitu. Walau bagaimanapun, banyak yang berpendapat bahawa kehebatan deklamasi sajak dan deklamator juga penting dan perlu. Saya bersetuju dan sependapat kerana sentiasa percaya bahawa antara cara mendekati atau memasyarakatkan sajak dengan orang ramai ialah pendeklamasian – dalam konteks ini, menerusi gaya, intonasi dan nada yang memikat. Jika seperti membaca dengan gaya kaku, siapa yang mahu/berminat menonton, apatah lagi menghayatinya?
Menghayati yang bermula daripada tontonan akan membawa kepada pemahaman – antara faktor mendekati dan menerima sajak. Sia-sia sahaja jika sajak terbiar kejung, meskipun sudah disampaikan di pentas/media visual.
Sepanjang pemerhatian saya – tolak acara persembahan terbuka, didapati penyair/deklamator jemputan yang diberikan imbuhan wang tunai (bayaran) ialah ahli persatuan penulis yang juga salah sebuah pihak penganjur. Sudah menjadi kebiasaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, acara persembahan sajak/puisi yang berskala besar dianjurkan oleh lebih daripada sebuah pihak – sama ada kolaborasi persatuan, badan, agensi, atau kementerian.
Adakah keadaan dan kaedah yang telah menjadi amalan bertahun-tahun ini dapat diubah?
Sebenarnya, agak sukar jika tidak menyebut nama pihak-pihak terbabit secara spesifik. Kalau disebut, mungkin timbul pula masalah lain. Namun begitu, saya pasti para pembaca artikel ini yang prihatin dan tekun mengikuti perkembangan deklamasi sajak/puisi berskala besar anjuran persatuan penulis tertentu dapat memahaminya.
Persatuan penulis terbabit akan menampilkan ahlinya ke pentas, apatah lagi jika memang penyair atau deklamator terkenal. Dengan keupayaan dana penganjuran, beberapa orang ahli lain yang tidak, atau kurang ternama turut disenaraikan.
Justeru, penyair-deklamator yang bukan ahlinya/ahli persatuan lain tidak diundang ke pentas, walaupun mereka penyair dan deklamator yang mantap-bagus.
Mahu tidak mahu, perlu juga menyebut diri sendiri. Saya yang bukan ahli persatuan terbabit tidak muncul di mana-mana persembahan sajak/puisi yang membayar deklamator sejak bertahun-tahun lamanya. Saya ahli sebuah persatuan penulis di ibu kota sejak tiga dekad lalu, yang sudah lama tidak mengadakan apa-apa kegiatan.
Saya fikir tidak salah jika penyair/deklamator terkenal dan hebat yang bukan ahli persatuan penulis penganjur turut diundang menjayakan persembahan berbayar.
Memang banyak acara persembahan sajak/puisi. Walau bagaimanapun, oleh sebab bentuknya terbuka dan “membuka mikrofon” kepada sesiapa yang berani/berminat, terutamanya penyair/deklamator, secara sukarela, tiada bayaran diberikan.
Berbanding semasa awal-awal pembabitan hampir empat dekad lalu, kini keghairahan saya untuk menyertai persembahan bebas tanpa bayaran kian pudar.
Dalam isu pemilihan Tokoh Puisi Kebangsaan yang tahun ini masuk kali keempat, saya lihat calon untuk peringkat negeri juga daripada kalangan ahli persatuan penulis. Ertinya, kalau bergerak sendirian, tiada peluanglah dicalonkan. Maknanya juga, mereka langsung tidak berpeluang diangkat, walaupun sejak kebelakangan ini salah satu syarat, iaitu mesti memiliki lima buah kumpulan puisi telah dilonggarkan. Kini dengan hanya sebuah sajak sahaja sudah layak tercalon.
Pada fikiran saya, sejak mula lagi hal ini diadakan, adalah lebih wajar untuk penganjur mencari sendiri calon yang layak dipilih sebagai tokoh puisi. Namun demikian, yang berlaku ialah para penyair mencalonkan diri sendiri, atau menghantar penyertaan setelah berasa layak berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.
Keahlian persatuan penulis tertentu, dan pencapaian calon diketahui dalam borang penyertaan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun, setahu saya, persatuan penulis mencalonkan ahli mereka yang aktif bersajak/berpuisi untuk dipilih oleh panel pemilih. Penyair “bergerak sendiri” tanpa persatuan penulis memanglah tersisih, dan ternafi peluang.
Adakah keadaan dan kaedah yang telah menjadi amalan bertahun-tahun ini dapat diubah?
Tidak tampil di pentas bukan bermakna tidak bagus atau cemerlang. Tidak menjadi Tokoh Puisi Kebangsaan bukan tandanya tidak layak gemilang. Namun demikian, ramai yang tetap tersisih dan ternafi hanya kerana bukan ahli persatuan penulis!
______________________________
Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016).