Diterbitkan pada 29 Julai 2025, 10:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ismail Hashim melihat sisi positif dalam polemik Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 baru-baru ini.

HSPM ialah suatu simbol yang berprestij. Pemilihan pemenang mengikut kategori yang rencam dan apa-apa pun mutu karya yang diangkat memenuhi cita rasa sarwajagat.

Saranan daripada Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan sempena Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2013 perlu direnungi semula supaya tidaklah timbul rasa prejudis terhadap penganugerahan HSPM yang berprestij itu baru-baru ini.

Awang Sariyan menekankan bahawa penilaian untuk HSPM bukanlah kepada tokoh atau karyawan, tetapi yang diberikan keutamaan ialah mutu karya itu sendiri (Dewan Sastera Bil. 2 2015).

Perkara yang penting dan diberikan keutamaan ialah kehalusan nilai dan mutu karyanya perlulah sentiasa ditingkatkan supaya karya sastera kita berada di persada yang tinggi dan bernilai sarwajagat.

Setelah kita sendiri menyedari akan garis panduan yang diberikan, maka kita akurlah dengan kriteria yang ditekankan terhadap karya, selain menjawab persoalan mengapa karya tertentu diangkat sebagai pemenang. Hal ini akan membantu dalam menurunkan rasa prejudis itu sendiri terhadap penganugeraan pada karya penulis tertentu, sekali gus mengayuhkan kudrat yang sedia ada agar lebih kuat menghasilkan karya yang lebih bermutu pada masa yang akan datang.

Editor Dewan Sastera Fadli al-Akiti dalam ruangan Daripada Editornya dalam tahun yang sama sedia maklum bahawa polemik yang berlaku setelah majlis penganugerahan usai ibarat “rumah siap pahat berbunyi”.

Saya juga pernah mengalami perkara yang sama di dunia pekerjaan satu ketika dahulu apabila timbulnya penawaran tender suatu projek mega. Yang menang tawaran boleh berbelanja besar kerana meraikan kejayaannya, manakala yang kalah akan menongkatkan lutut serta dagunya dan merenung ke lantai nasibnya.

Fadli pula melihat dari sudut positifnya, polemik seperti ini mampu mewujudkan kerancakan perbincangan yang menyemarakkan apresiasi pada wadah atau alam kesusasteraan itu sendiri. Baginya, polemik yang berlaku tidak pelik kerana di persada antarabangsa sekalipun, kemenangan Patrick Modiano bagi Hadiah Nobel Kesusasteraan pun dipertikaikan orang, terutamanya dalam kalangan penulis antarabangsa sendiri.

Oleh itu, kita mengharapkan agar karya-karya yang dinobatkan sebagai pemenang dapat membentuk peribadi dan pemikiran pembacanya. Hal yang perlu kita ingat ialah karya yang unggul itu teruji oleh zaman tersebut.

HSPM ialah suatu simbol yang berprestij. Pemilihan pemenang mengikut kategori yang rencam dan apa-apa pun mutu karya yang diangkat memenuhi cita rasa sarwajagat.

Saya melihat usaha penganjur mempelopori HSPM sudah membentuk suatu acuan penulis ke satu persada yang lebih tingg, malah mampu setanding dengan karya-karya Sasterawan Negara yang mampu membentuk pemikiran bangsa.

Saya juga ingin memetik tulisan editor Zaharahanum Kamarudin dalam Dewan Sastera (Bil.8 2019) yang menyebut bahawa setiap karya yang dihasilkan itu tidak sekadar bermenung di muka tangga sahaja atau membalik-balik sehelai dua halaman akhbar semata-mata. Menurutnya, setiap karya itu merupakan himpunan pengalaman, taakulan dan olahan rasa yang mantap dan bermakna, digaul pula dengan secukup masa dan dipersembahkan untuk dinikmati bagi tatapan pembacanya.

Oleh itu juga, tiba masanya untuk kita sama-sama menghargai setiap karya yang dihasilkan oleh pemenang HSPM kali ini. Sememangnya, bergantung juga kepada penulis yang menilai jika karya yang menang kali ini berada pada persada tinggi atau rendah. Tepuk dada tanya selera. Hal ini terpulang dan bebeas untuk dibicarakan.

Namun begitu, untuk saya yang masih menganggap diri ini sebagai penulis yang kerdil, menelaah karya-karya yang dihasilkan oleh para penulis mapan dan besar, sudah menjadi contoh karya yang baik. Dengan kemenangan HSPM ini, saya jejaki langkah mereka agar dapat menjadi penulis yang lebih berjaya pada masa yang akan datang.

______________________________

Ismail Hashim ialah penulis bebas dari Negeri Sembilan. Beliau menulis novel, cerpen, puisi, dan drama radio.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi