Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJack Malik mempertahankan beberapa pandangan sebelumnya dan menghujahkan beberapa hal penting dalam penghayatan dan apresiasi kesusasteraan.
Adakah rujukan ilmiah dan teori akademik satu-satunya alat kritikan dalam sastera? Wajarkah penulis menelan bulat-bulat apa yang ditentukan sebagai ‘gagal’?
Kemenangan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) “sepatutnya” mewakili karya crème de la crème pada tahun khusus tersebut. Walau bagaimanapun, setiap penulisan tidak ada imuniti setelah dibawa keluar ke khalayak umum. Hal ini kita saksikan dalam tempoh terdekat puisi eceran yang memenangi HSPM 2021/2022, yang semua dinampakkan ketempangan di bawah suluh lampu akademik dan ilmu mantik.
Polemik yang saya lihat mula merebak ini sedikit sebanyak (penafian: bukan punca utama) berakar daripada kelewatan pengendali HSPM untuk menyediakan senarai panjang dan laporan penuh. Kritikan demi kritikan terus membedil HSPM, para juri dan pemenang. Tembakan itu bukan tembakan amaran. Tembakan itu tembakan berisi. Tembakan yang berniat untuk membangkitkan orang sastera arus perdana keluar dari “zon selamat” masing-masing.
Esei sebelum ini sudah diterangkan kedudukan saya mengenai sajak kemenangan Sasterawan Negara Zurinah Hassan. Didikan, latihan dan keluasan pembacaan antara saya dengan barisan juri pula saya akui antara yang belum tahu asin garam dengan yang sudah makan garam. Sajak Zurinah itu bukanlah karya beliau yang paling kuat bagi saya, namun tetap dipilih oleh juri untuk meraih anugerah HSPM 2021/2022.
Saya bersetuju untuk penjurian yang mewajibkan penilaian objektif, keutuhan bentuk-isi, serta nilai falsafah yang menyumbang pada tamadun. Namun apa yang Saudara Irfan gagal membaca ialah, saya tidak menyarankan cita rasa untuk dijadikan sebagai tiang seri penjurian, malah hal itu bukan hujah utama saya. Soal yang saya bangkitkan bukan bermaksud bahawa cita rasa wajib diambil kira dalam proses penjurian, tetapi sejauh manakah hal itu berpengaruh atau tidak berpengaruh. Malahan, hal ini Saudara Irfan sendiri turut ikut menuduh dalam eseinya, “Puisi HSPM: Hadiah untuk Sajak yang Lemah?”, seolah-olah terdapat unsur “selera” dalam kalangan juri. Betul—penjurian bukan medan nostalgia. Walau bagaimanapun, manusia ialah makhluk yang miring ke arah kebiasaan. Premis ini telah pun dibangkitkan oleh Nik Mohd Hafiz Abdullah.
Apa yang subjektif boleh diobjektifkan. Ambil contoh masakan: apakah nasi dagang Kelantan lebih unggul daripada nasi dagang Terengganu? Cita rasa antara dua variasi itu subjektifnya. Apa yang objektif pula ialah penentuan elemen dalam kedua-dua hidangan tersebut. Lihat pada pernyataan “lazat” dan “sedap”—kedua-duanya datang daripada zahir rasa masin dan manis; “selera” dibangkitkan oleh masam dan pahit; pedas bukan perisa tetapi sensasi pada lidah yang juga dapat membuatkan kita kecur liur; semua ini disempurnakan oleh umami atau rasa “gurih” yang melengkapkan sesuatu hidangan.
Bagaimana pula dengan seni dan sastera? Apakah “garam” dan “gula” dalam puisi? Adakah masam “limau” atau “cuka” lebih sesuai dalam sebuah cerpen? Mengapa “rasa daging” yakni umami yang melengkapkan esei panjang itu tidak ada?
Seperti dalam dunia kulinari, keenakan atau kejelikan sebuah karya “dihidangkan” dapat ditentukan melalui elemen apakah yang hadir atau tidak hadir dalam pengkaryaan itu. Wajar jika pengendali HSPM memberikan penerangan lanjut berserta contoh mapan yang menampakkan piawaian apakah yang harus para penulis cuba capai (atau membawa kayu ukurnya kepada tahap lebih tinggi).
Hal berikut sudah pun dibangkitkan oleh beberapa susuk lain—antaranya, Ibnu Din Assingkiri—mengenai rubrik penjurian dan format yang lebih telus. Mungkin dengan adanya piawaian (lebih) konkrit, hal itu dapat menentukan sama ada juri sehaluan dengan kita atau layak diganyang kerana sanggup memenangkan karya yang gagal (menurut piawaian sendirian berhad dengan dalil hasan lagi sahih).
Maka, saya turut bersetuju bahawa cita rasa peribadi—malah, tafahus peribadi juga—tidak patut dianggap sebagai kebenaran mutlak. Seni bukan agama. Absolutisme saya kira virus yang lebih berbahaya daripada relativisme dalam sastera. Adakah rujukan ilmiah dan teori akademik satu-satunya alat kritikan dalam sastera? Wajarkah penulis menelan bulat-bulat apa yang ditentukan sebagai “gagal”? Saya kira ada baiknya membaca kredo Abdul Ghafar Ibrahim (AGI): “Sajak Ingin Berberber dan Beryangyang” (1979) yang memberitahu bagaimana A.D. Hope, pemuisi gergasi Australia, menyatakan “ada kalanya kita tidak seharusnya menurut telunjuk pengkritik setiap masa.” Hope melawan balik bukan kerana tidak mempercayai kerja pengkritik, sebaliknya percaya “bahawa teori ready-made tidak selalunya boleh dibiarkan memperkotak-katikkan sesebuah karya yang dikritik.” Di sini, bukan maksud Hope—bersama-sama AGI—bahawa benang basah halal untuk kita (cuba) tegakkan. Tidak. Selain menyemaikan lagi wacana sihat dan melanjutkan polemik dunia sastera, peluang bagi penulis mempertahankan karya mereka ialah peluang memastikan bukan satu naratif sahaja yang memonopolikan wadah perdebatan. Hujah rasional dan bermerit akan mendapat tempatnya. Hujah emosional dan gopoh-gapah hanya menjadi bahan jenaka jelata.
Benar, sajak Zurinah bukan sajak yang diam. Malah, hantu Wittgenstein rupa-rupanya boleh bangkit dari alam Barzakh untuk memaki—menurut Saudara Irfan—ungkapan yang tidak layak terungkap itu. Akan tetapi, bukan soal keterungkapan-ketidakterungkapan yang ingin saya sorotkan. Sebaliknya, apa ingin saya ketengahkan ialah kiblat penilaian yang manakah kita pilih ketika mentafahuskan sesuatu karya. Perbincangan sekitar avant-garde antara penulis setahun jagung dengan penulis yang sudah menyelam laut dalam bukan gelanggangnya dalam esei saya itu. Sebaliknya, perbincangan yang saya cuba bawakan ialah tafsiran “apa itu sastera” mengikut kaca mata berbeza: di suatu sudut, pihak yang menentukan sastera itu penulisan semata; di suatu sudut lain pula, pihak yang menganggap sastera melangkaui tinta dan kertas. Antara kedua-dua itu, susuk mana yang lebih adil dalam penjuriannya?
Kadangkala, interpretasi alternatif yang bertentangan dengan roh masyarakat bukan bermakna hal berikut ingin berlaku songsang. Boleh jadi interpretasi itu cuma mengingatkan ada sisi dalam masyarakat yang belum dibangkitkan.
Sekali lagi, saya bersetuju bahawa penceritaan semula perlu bijak(sana). Memang kisah arnab dan kura-kura bukan kisah remeh. Jika Saudara Irfan menganggap yang medium dan mutu penceritaan semula Marwilis Haji Yusof lebih baik berbanding penceritaan semula Zurinah, hal itu hanya satu sudut pandang yang saudara sandarkan berdasarkan pembacaan saudara yang luas. Mari kita lihat apa Matthew Zapruder nukilkan dalam bukunya, Why Poetry, tentang kelebihan setiap genre sastera:
Cerpen dan novel menciptakan watak dan situasi, serta menyampaikan cerita; kewartawanan menghubungkan maklumat; rencana menyentuh usaha untuk meneroka buah fikiran tertentu yang sukar dikategorikan, bahkan tidak teratur; lidah pengarang dan khutbah memberitahu kita apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, apa yang boleh kita percaya dan sebagainya.
Demikian, tidak hairanlah jika kisah arnab dan kura-kura versi Marwilis lebih dramatik. Bahkan, hal ini menguatkan lagi hujah saudara. Setiap genre ada kekuatan tersendiri. Ini tidak bermaksud versi Zurinah gagal secara total hanya kerana dihentam dengan beberapa teori dan syarahan. Nah, dalam kita berpolemik, baris “[m]ereka terus berbincang/[s]emakin arif tentang erti lalai dan leka/[d]an padah sebuah kesombongan [pengkritik/pembaca/penulis/juri/masyarakat/institusi?]” seolah-olah menjadi prophetic. Akan tetapi, sudah pasti frasa lemah atau teks gagal tidak boleh dimanfaatkan, bukan?
Sastera menekankan nilai kemanusiaan dan akal budi semata dan mengangkat hukum-hakam bahasa serta seni yang difatwakan oleh para pendeta menara gading, betul?
Kadangkala, interpretasi alternatif yang bertentangan dengan roh masyarakat bukan bermakna hal berikut ingin berlaku songsang. Boleh jadi interpretasi itu cuma mengingatkan ada sisi dalam masyarakat yang belum dibangkitkan. Berapa ramaikah di luar sana merupakan jelmaan arnab versi Zurinah—sekurang-kurangnya, versi yang Irfan anggap tentang versi Zurinah—memiliki kompleks juruselamat atau kompleks tinggi diri? Hal yang Saudara Irfan ingin jelaskan bahawa “tindakan dianggap bermoral bukan kerana hasilnya tetapi ia dilakukan atas dasar kewajipan” dan tindakan si arnab dalam versi Zurinah “mencampuradukkan kelekaan dengan kebajikan” merupakan kritikan tepat. Namun begitu, Zurinah hanyalah hadir sebagai susuk yang menyampaikan utusan.
Kemudian, anggapan Saudara Irfan bahawa ruangan novel lebih kena berbanding puisi dan Zurinah sendiri juga pernah menulis novel tidak mengambil kira bahawa memang kata-kata akhir terletak di tangan para pengkritik dan pembaca (misalnya, Death of the Author), namun diingatkan bahawa kata-kata awal bermula daripada pengkarya. Pemain trompet dan komposer dari Amerika Syarikat, Wynton Marsalis, ketika ditanyakan untuk siapakah muzik Jaz? Lantas Marsalis menjawab, “Muzik [Jaz] untuk si pendengar. Namun, pendengar pertamanya ialah si pemain.” Sama seperti sastera: siapakah pembaca pertama kalau bukan penulisnya?
Sudah pasti akan ada yang menempelak idea penulis sebagai “pembaca pertama” dan meletakkan jangkaan tinggi terhadap mereka. Oleh sebab penulis ialah pembaca pertama diri sendiri, maka sepatutnya mereka bertanggungjawab menghasilkan karya yang menepati piawaian tertentu. Persoalannya—piawaian siapa? Juri institusi? Pengkritik bayangan? Tukang sorak di ruangan media? Pemetikan ala MLA, APA atau Chicago?
Kelemahan yang disengajakan pula juga tidak wajar dianggap sebagai kekuatan. Saya tidak ada sanggahan. Kesederhanaan tidak patut dijadikan alasan bagi mediocracy. Akan tetapi, saya percaya bahawa sastera, seperti manusia, tidak terperangkap dalam binari kuat-lemah, cantik-buruk, panjang-pendek, dan dalam-cetek semata. Pada penghujungnya, kita hanya akan tahu merit sesebuah karya itu selepas karya itu ditulis, disiarkan dan dipedulikan.
Seterusnya, sastera bagi Saudara Irfan merupakan “medan merumikan makna dalam batas nilai dan kebenaran.” Sekali lagi—Nilai dan Kebenaran siapa? Pembaca ultra teliti? Atau nama-nama tokoh besar yang muncul dalam tesis mahasiswa Pengajian Melayu pada tahun akhir? Nilai dan kebenaran antara golongan progresif dengan tradisionalis amat berbeza walaupun membincangkan perkara yang sama. Contohnya seperti kebebasan atau hak kemanusiaan. Jadi, makna siapakah yang layak ditempa dan diarcakan menjadi tugu sastera?
Bagi saya, ketololan garda depan yang lebih besar ialah obsesi terhadap teori semata-mata menjadi kayu pengukur mutu serta pengagungan ideologi diangkat sebagai tanggungjawab sastera. Puisi semakin merosot, Zapruder menasihatkan, apabila puisi semakin cenderung ke arah ingin mensyarah atau mengajar kita perkara-perkara yang lazimnya sudah kita ketahui. Puisi ada tanggungjawab dan tugas sosial dan politiknya yang tersendiri. Walau bagaimanapun, tanggapan bahawa puisi berguna dalam konteks sosial dan politik ialah tanggapan yang berbahaya, jelas Zapruder lagi, oleh sebab hal itu mengugut dan mendesak puisi untuk melakukan sesuatu yang prosa jauh lebih berkemampuan untuk laksanakan, lantas membuka perbahasan yang akan menjerumuskan puisi ke arah kepupusan.
Pengembirian sastera sebenar adalah dengan menanggapi moral atau etika digali daripada kitab-kitab falsafah Timur dan Barat merupakan satu-satunya piawaian par excellence bagi sastera.
Walau bagaimanapun, jangan salah faham. Saya tidak bermaksud sastera wajib menjadikan kredo permainan video Assassin’s Creed, “Nothing is True, Everything is Permitted”, sebagai doktrin sinis (bukan sekadar “pemerhatian” pada hakikat dunia yakni asas masyarakat itu rapuh dan kitalah penggembala ketamadunan masing-masing; kita jugalah jururancang segala tindak-tanduk serta sebab-akibat tragis atau gemilang yang bakal menyusul) yang Saudara Irfan sangat bimbang akan menjerumuskan masyarakat kita ke arah sejenis hedonisme sastera.
Adakah wajib menuntut setiap karya tersiar untuk menyelam sedalam Jurang Mariana sebelum diiktiraf bernilai?
Apa yang saya cuba sampaikan ialah seni bukan wahyu. Puisi dan sastera juga bukan guru bangsa yang kita bebankan untuk mendidik rakyat. Tugas puisi sebenar adalah untuk menjadi. Wujud. Gagal atau berjaya itu datang kemudian. Apa yang wajar ialah seni perlu dicipta dan puisi harus ditulis dahulu. “Apa jua puisi orang tulis, atau apa jua seni kita cipta, akan ada masa untuk lakukan kerja-kerja yang sepatutnya menjadikan masyarakat kita lebih elok,” Zapruder nyatakan. Dan saya kira kerja mengelokkan masyarakat ialah kerja yang melangkaui puisi, sastera dan seni. Kerja itu memanggil kita untuk keluar dan menunaikan tanggungjawab dan tugas kita sendiri—bukan tugas dan tanggungjawab sastera—sebagai insan sebelum apa-apa. Namun begitu, apa yang Irfan pamerkan melalui penulisannya, seolah-olah sastera perlu dahulu mengubah kita menjadi “insan kamil” dan sastera HSPM telah gagal dalam hal itu dari segenap penjuru.
Tuduhan strawman iaitu “renungan tanpa mata, neraca dan nilai” sama sekali gagal mendalami sajak Latiff Mohidin. Lihat rangkap “ada langit biru yang lain birunya/ada awan putih yang lain putihnya”—Latiff bukan mengajak untuk kita tengok tanpa berfikir, tetapi menyeru kepada pandangan lain yang barangkali tidak pernah terlintas dalam kepala kita. Setakat ini, Saudara Irfan berjaya dengan cemerlang menzahirkan pandangan orang ramai. Saudara menunjukkan simptom yang lain simptomnya serta penyakit yang dihidapi oleh ranah sastera tanah air selama ini. Saya lihat polemik ysng sedang berlanjutan ini ialah wake-up call untuk semua yang aktif dalam ekosistem sastera tempatan. Walau bagaimanapun, demi wacana dan polemik sihat, saya turut menantikan kritikan yang membuktikan mengapa karya-karya “tempang” itu menang.
Borang Google dan undian awam; hantu Wittgenstein; pengendali TikTok; karya klik umpan; makna cetek selayak menjadi status WhatsApp atau story di Instagram—semua ini hanyalah dilema palsu dan analogi pensensasian berlebihan. Tiada bukti kukuh bahawa sastera Malaysia sedang tergelincir ke wadah secetek itu, sama seperti tiada bukti para juri bebas daripada bias dan kecenderungan masing-masing. Di samping itu, adakah perlunya Big Brother yang menentukan penerokaan apa yang dibenarkan? Adakah wajib menuntut setiap karya tersiar untuk menyelam sedalam Jurang Mariana sebelum diiktiraf bernilai?
Puisi dan sastera lebih daripada tampalan label moral serta petikan hebat yang menjadikan hujah kita kelihatan tergolong dalam kelompok intelegensia.
Saudara Irfan dengan penuh bertenaga melibas semua yang terlibat dan cukup terang menjelaskan mengapa beliau begitu kecewa dan kekecewaannya itu difahami. Maka—saya tertanya-tanya—berapa ramaikah Irfan Fikri di luar sana yang lemas dalam “kesusasteraan” dan geram dengan “permainan” dan “para pemainnya”?
Hujah-hujah objektifnya banyak yang saya setuju. Namun begitu, nilai, moral, kebenaran, adab, dan makanan akal-kalbu bagi saya merupakan perkara yang kita bawa keluar daripada sastera untuk menerangi kehidupan kita, bukan membawanya masuk kemudian menganggap itulah cahaya dan hal-hal lain hanyalah bayang-bayang yang dibaca pada dinding gua.
Ada batas pada apa yang sastera boleh lakukan dan tidak boleh lakukan. Saya hairan mengapa kita sering menyuruh-nyuruh sastera mengandar bermacam-macam beban—seolah-olah sastera merupakan kitab samawi yang diturunkan untuk menyelamatkan umat manusia atau panduan paling penting (satu-satunya?) untuk membincangkan tentang ketamadunan.
Menyuruh juri membetulkan semula kompas mereka; mendesak penulis untuk tidak cuai dalam kraf masing-masing; mendidik pembaca untuk menjadi penilai teliti—semua hal ini wajar.
Akan tetapi, jika kebesaran pandangan sarwa, kesedaran darjat kemanusiaan dan tujuan hakiki kewujudan hanya dicari dalam sastera dan tidak di luarnya, padan pun ada yang masih terperangkap dalam gua yang sama.
_________________________
Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.