Diterbitkan pada 24 Julai 2025, 06:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ibnu Din Assingkiri menzahirkan beberapa cadangan dalam penjurian anugerah sastera.

Jika Jack Malik beranalogi dengan kuetiau dan tauge, saya katakan puisi bukan serawan jala, tetapi sebuah pukat pompang di alur kecil.

Usah risau, tulisan ini tidak berat. Tidak ada kritikan puisi sepedas sambal hijau. Tidak ada cuplikan kata-kata Immanuel Kant dan filsuf agung lain atau para kanon sastera Barat yang telah menjadi baja pada pokok yew (Taxus baccata). Bak seni kata lagu dangdut, “yang sedang-sedang saja …” Hanya beberapa saranan daripada seorang pemerhati sastera yang kecil di pinggir kota.

Dalam dunia sastera, khususnya dalam gelanggang pertandingan puisi, juri sering dilihat sebagai penjaga gerbang atau gatekeeper nilai. Mereka menimbang, menyaring dan mengangkat yang terbaik. Namun begitu, adakah benar yang terbaik itu bersifat mutlak, atau adakah “terbaik” itu terlalu rapat dengan rasa peribadi mereka sendiri; dengan kecondongan emosi, nostalgia dan kecenderungan aliran yang tak semestinya universal?

Jika Jack Malik beranalogi dengan kuetiau dan tauge, saya katakan puisi bukan serawan jala, tetapi sebuah pukat pompang di alur kecil. Puisi membawa suara, getir dan gerak hati penyair yang lahir daripada pelbagai latar, pelbagai pendekatan. Apabila juri hanya meminati bentuk puisi yang tertentu, dan menolak yang lain sebagai “tidak cukup puitis”, maka kerugian besar sedang berlaku. Dia menyaring bukan kerana mutu, tetapi kerana selera.

Maka timbul keperluan, bagaimanakah kita dapat menjadikan penjurian puisi dan karya sastera lebih adil dan objektif, tanpa membunuh rasa seni yang memang bersifat subjektif?

Memahami Subjektiviti: Antara Rasa dengan Penilaian Berstruktur

Kita tidak menafikan, puisi dan sastera amnya berakar daripada rasa. Hal ini bukan matematik yang boleh dikira pakai oleh kalkulator. Namun hal itu tidak bermakna penjurian tidak boleh dinilai dengan lebih berstruktur.

Seorang juri yang jujur harus tahu, dia sedang membawa lebih daripada sekadar lidah sendiri. Dia membawa tanggungjawab terhadap suara penyair, terhadap khalayak pembaca, terhadap tugu sejarah sastera yang sedang dipahat.

Salah satu cara untuk memperkasa objektiviti adalah dengan memperkenalkan rubrik penjurian yang jelas berbentuk skema terbuka, yang memperincikan aspek yang dinilai, keaslian tema, kekuatan citra bahasa, koheren struktur, kedalaman makna, dan keberkesanan komunikasi emosi.

Dengan struktur ini, juri bukan sahaja menilai “aku rasa indah”, tetapi “puisi ini kuat dari segi struktur, segar dari segi pendekatan dan berkesan menyentuh emosi.” Hal ini menjadikan setiap keputusan lebih telus, dan membuka ruang untuk juri berbincang secara intelektual—bukan semata-mata perasaan dan perasan.

Objektiviti bukan menolak keindahan, tetapi memperhalus jalan untuk keindahan itu dikenali, diiktiraf dan dihargai dalam kepelbagaian bentuknya dan kerencaman aliran atau mazhabnya.

Melatih Juri: Bukan Sekadar Personaliti atau Tokoh Ternama

Lumayan banyak juga pertandingan yang melantik juri atas dasar nama kerana dia pernah menang anugerah itu dan ini. Menjadi tokoh ternama tidak semestinya menjadikan seseorang itu penilai yang adil. Maka, satu langkah terpenting adalah dengan melatih juri agar menjuri dengan profesional.

Seperti dalam dunia debat atau sukan, juri dilatih untuk mengenal sistem, membaca kriteria dan bersetuju pada kerangka bersama. Mengapa tidak kita lakukan hal yang sama untuk juri penulisan sastera?

Program latihan juri boleh dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Program latihan ini boleh merangkumi sesi membaca dan membandingkan teks, membincangkan pendekatan penjurian lintas genre, dan belajar menyedari bias diri. Juri juga boleh didedahkan kepada pelbagai aliran puisi: tradisional, moden, eksperimental, pascamoden—agar wawasannya tidak sempit pada satu cita rasa sahaja. Hanya individu bertauliah DBP yang layak dipilih sebagai panel juri.

Kepelbagaian Latar Panel Juri: Menjauhkan Monopoli Cita Rasa

Selain rubrik dan latihan, satu perkara yang sering terlepas pandang ialah kepelbagaian latar belakang juri. Bayangkan pertandingan puisi yang disertai oleh penulis remaja dan muda-mudi, dinilai oleh panel yang semuanya seusia Pak Maon dalam filem Nasib Do Re Mi. Bukan salah usia, tetapi salah perspektif!

Panel yang pelbagai dari segi usia, gender, aliran pemikiran, latar akademik, dan juga praktis mazhab penulisan akan memberikan keseimbangan dalam penilaian. Jika seorang juri cenderung pada puisi berstruktur ketat, mungkin seorang lagi lebih terbuka terhadap puisi bebas dan eksperimental. Maka diskusi berlaku, dan keputusan lahir daripada timbang tara, bukan sekadar rasa syok sendiri.

Penilai Jemputan: Pendapat Pembaca Awam

Sastera memang hidup dengan rasa, tetapi rasa yang jujur ialah rasa yang diuji dengan ilmu …

Langkah inovatif yang boleh dipertimbangkan adalah dengan menjemput “pembaca awam” sebagai juri jemputan. Bukan untuk menentukan pemenang mutlak, tetapi sebagai suara pihak ketiga. Mereka ini mahasiswa, guru bahasa dan pencinta puisi yang bukan penyair profesional tetapi boleh memberi maklum balas berdasarkan impak sebenar puisi terhadap pembaca awam.

Praktik ini konsepnya seperti “pembaca beta” yang memberi maklum balas tentang karya prapenerbitan. Langkah membawa penilai jemputan ini memberi kesedaran bahawa puisi bukan hanya untuk golongan sasterawan, tetapi untuk khalayak yang membaca, merasai, memanfaatkan, serta memaklum balas.

Ulasan Terbuka: Mendidik Penulis dan Pembaca

Kebanyakan pertandingan puisi berakhir dengan pengumuman pemenang. Mereka naik pentas, hadiah diberikan, dan tirai ditutup. Bagaimana peserta lain mahu belajar jika tiada maklum balas?

Maka, saranan penting adalah untuk menyediakan ulasan terbuka oleh panel juri tentang kekuatan dan kelemahan karya terpilih, bukan sahaja yang menang, malah yang layak ke peringkat akhir. Hal ini bukan untuk memperlekehkan, tetapi untuk mendidik supaya yang menulis tahu apa yang telah dicapai, dan apa yang boleh diperbaiki.

Membuka Dialog: Pertandingan Bukan Perhentian Terakhir Karya

Akhirnya, kita harus sedar bahawa pertandingan bukan tujuan akhir. Pertandingan hanyalah satu stesen dalam perjalanan panjang seorang penulis. Maka, penjurian harus membuka ruang dialog, bukan menutup pintu (dan menunggu pahat polemik berbunyi).

Kita boleh adakan sesi pascapertandingan, misalnya juri bertemu dengan peserta. Bukan untuk menjawab “kenapa si mapan menang; si muda tak menang?” tetapi untuk berbicara tentang puisi itu sendiri, tentang arah tuju, cabaran bahasa dan dinamika perasaan yang ingin disampaikan.

Dari sini lahirnya budaya sastera yang sihat, bukan budaya memuja kemenangan dan pemenang, tetapi budaya memperkasa karya dan penulis.

Setiap pohon puisi ada harum yang tersendiri. Juri ialah penjaga taman, bukan untuk memilih pokok bunga mana yang paling wangi menurut hidung sendiri, tetapi untuk memastikan setiap bunga mendapat cahaya dan disiram dengan saksama.

Dengan rubrik yang jelas, latihan juri yang mantap, panel yang pelbagai dan ruang dialog yang subur, maka pertandingan puisi boleh menjadi dewan perjamuan objektif, bukan warung rasa yang sempit.

Rasa Peribadi Bukan Raja Mutlak

Dalam dunia yang makin terbuka ini, kita tidak boleh terus menjadikan “aku rasa begini” sebagai dasar utama penilaian. Sastera memang hidup dengan rasa, tetapi rasa yang jujur ialah rasa yang diuji dengan ilmu, ditimbang dengan akal, dan ditulis kembali di borang rubrik dengan tanggungjawab.

Juri yang baik bukan yang paling banyak dipuji (atau diampu), tetapi yang paling banyak kejujuran dalam menilai. Objektiviti bukan musuh rasa. Objektiviti sekadar menjemput rasa untuk duduk dengan tertib, supaya puisi dinilai bukan sekadar dengan mata yang angau, tetapi juga dengan mata yang menghormati keindahan di mata orang lain.

_________________________

Ibnu Din Assingkiri berasal dari Singkir Laut, Kedah. Beliau telah menghasilkan dua kumpulan cerpen, empat kumpulan puisi serta berpuluh antologi pelbagai genre terbitan di Malaysia dan Indonesia. Turut terlibat sebagai editor, penyelenggara serta pembimbing bengkel penulisan kreatif. Karya eceran puisi, cerpen dan eseinya terbit di pelbagai media tempatan dan antarabangsa.

Kredit Foto: Europena/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi