Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam dunia puisi yang penuh belantara dan cabangnya, Jack Malik menyampaikan pendiriannya serta merenungi “apakah itu puisi?”.
Saya masih percaya bahawa seni dan sastera bukan medannya untuk pandangan binari dan dikotomi sempit untuk berakar dan terus menjalar …
Buku antologi puisi Titian Zaman (DBP, 1979) merupakan antara antologi puisi terbaik yang pernah saya baca untuk menelusuri serta menjambatani ranah puisi moden Melayu tanah air. Walau bagaimanapun, kandungannya cuma menyentuh sampai ke lewat era 1970-an sahaja. Pembacaan tahun-tahun mendatang memerlukan antologi lain untuk melihat perkembangan puisi tanah air terkini.
Titian Zaman bagi saya sebuah buku yang bagus kerana penyelenggaranya, Sasterawan Negara Usman Awang dan Ismail Ahmad, turut menitipkan ulasan ringkas mengenai perubahan setiap dekad yang berlabuh di pesisir sastera Malaysia. Semangat bertukar. Gaya dan isi, seperti anak sungai, turut berubah. Malah, para pembaca turut bertambah sofistikated, sejajar dengan penulisan yang semakin berani meneroka laut persuratan dan menolak batas pengertian asas “apa itu puisi” ke wilayah yang lebih lanjut.
Dalam usaha menjejak dekad pertama sebagai seorang penyajak, jelas garam yang dicicip masih belum saya kenal asinnya. Jagung kepenyajakan saya baru setahun usianya. Puitika rebung diri baru mulai menjadi buluh, tetapi berkat daripada kolektif artis (Projek Rabak) yang saya sertai, saya mendapat pendedahan awal dan melihat belantara puisi mengikut pandangan sarwa seorang outsider. Saya tidak sempat menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR) atau sebarang program anjuran sastera arus perdana. Langkah pertama saya (menjejak kaki ke dalam dunia penulisan) merupakan langkah alternatif. Selain Mohd Jayzuan, guru puisi terawal saya ialah Fazleena Hishamuddin dan Wani Ardy melalui Pondok Puisi.
Barang siapa mengenali Jack Malik, sudah pasti tahu cerita berikut: Suatu malam di Station 18, Ipoh. Tahun 2015. Itulah kali pertama Jack mengenali pengasas Projek Rabak (PR), Mohd Jayzuan. Kami bertemu di McDonalds, zaman praboikot. Saya membawa buku Conference of the Birds oleh Attar. Buku itu berat (kononnya). Patah hati punya pasal, saya ingin mencari fana melalui puisi kesufian. Jayzuan menyuruh saya lucut dan londehkan topeng sastera poyo yang sering digayakan oleh anak muda seusia saya malam itu. Kami berborak dan apa yang menyusul menjadi sejarah.
Berkat didikan dan persahabatan dengan Jayzuan, maka dunia puisi saya tidak terbatas pada satu tatap terowong sahaja. Melalui PR, saya didedahkan dengan persembahan seni laku, gerakan Dada dan Beat Generation. Melalui Beat Generation pula, saya meneroka tentang New York School of Poets dan Black Mountain College Poets. Saya kira, Projek Rabak juga mencetus minat saya terhadap puisi konkrit dan beberapa lagi pemuisi “aneh”. E.E. Cummings. Abdul Ghafar Ibrahim. Sutardji Calzoum Bachri. Aram Saroyan. Maaf, bukan niat untuk name dropping, sekadar bercerita mengenai susuk manakah yang tinggal dalam kepala saya tanpa perlu bayar sewa.
Berbalik pada Titian Zaman. Salah satu sebab lagi mengapa saya percaya naskhah itu antara naskhah terbaik yang pernah muncul dalam ranah puisi tanah air adalah kerana judulnya. Titian: seolah-olah para pembaca meniti gelora zaman dan menemui permata gemilang pada setiap dasawarsa yang terbit. Hatta, kita dipersembahkan dengan gaya dan suara bagaimanakah yang menangkap minat dan perhatian; kandungan manakah yang menyentuh sanubari sehingga tanpa dipinta, menjadi hafazan. “Waktu senja burung terbang” ialah kalimat yang wajar bagi setiap pemuisi Melayu (sekurang-kurangnya) tahu. “Tuhan lebih pintar dari ikhtiar manusia” saya simpan elok-elok dalam kocek seluar, seolah-olah menjadikannya persiapan untuk hari pasti itu. Begitulah seorang anak yang mempunyai orang tua yang usia mereka melebihi usia Baginda Nabi SAW.
Titian Zaman membuka mata penyajak—terutamanya penyajak muda seperti saya—pada kekayaan kepenyajakan tanah air yang hampir mencecah seabad (walaupun lompong sebanyak 50 hingga 60 tahun). Rugilah kita kalau tidak menelaah kitab kecil ini. Namun jangan salah faham, kitab ini bukan kitab risalah. Kalau mahu cari soal kemanusiaan dan kehidupan, simpan sebentar kitab-kitab (selain al-Furqan serta Sahih al-Jami) dan sentuhlah rumput sambil berkaki ayam.
Baiklah. Pandangan sarwa. Seluas manakah pandangan itu? Seluas padang luas saujana padang simpang empat bercabang tiga? Entahlah, Labu—suara ghaib membisik. Akan tetapi bagi saya, keluasannya wajar melangkaui pemetikan canggih dan mempesonakan.
Sebagai penjelasan, saya tidak bermaksud yang saya mempunyai sejenis alergi terhadap penggunaan teori kritikan untuk menaksir sesuatu karya. Saya hanya sedikit curiga tentang kesenian yang dipandang dalam dikotomi tegar dan penggunaan teori kritikan yang membentuk binari gagal-berjaya. Hal ini juga bukan bermaksud saya menolak penilaian objektif, tetapi curiga dengan inti hujah yang menjadikan nilai kesenian tertakluk pada hal-hal teknikal dan mekanikal. Jika teori kritikan dan inti hujah itu meletakkan sesebuah karya itu pada tempatnya—sama ada dengan mengetengahkan kekuatan atau menyorot kelemahan secara jujur dan telus—saya berlepas daripada sebarang kecurigaan yang membelenggu diri. Namun begitu, saya masih percaya bahawa seni dan sastera bukan medannya untuk pandangan binari dan dikotomi sempit untuk berakar dan terus menjalar.
Saya ingin menekankan hal keluasan pembacaan …
Kebenaran tidak terpengap dalam halaman berasid yang kian menguning. Nilai pula tidak digali setempat sahaja, walaupun tempat yang digali itulah kawasan khusus yang melahirkan kesenian sebegitu. Puisi seni menggali? Puisi juga boleh jadi seni menimbus lubang kebungkaman. Puisi bagi saya—antaranya—merupakan seni yang membina istana pasir. Boleh jadi seronok. Boleh jadi sekadar menunjuk-nunjuk kemahiran dengan membancuh air dan pasir. Kelak, runtuh jua dek kucupan ombak dan “desir taufan” yang datang menyerang bertalu-talu. Saya kira ramai antara kita yang pernah bermain pasir.
Saya kira juga, puisi itu seni untuk semua.
Bercakap fasal semua, maka sukar untuk saya hukum sebuah puisi itu gagal atau berjaya (patut pun saya tidak menjadi juri untuk apa-apa acara sastera kebangsaan) atas sepanjang dekad awal ini, saya telah membaca bermacam jenis puisi, sehingga saya tidak terkejut kalau saya sudah terkelirukan bentuk dengan isi; gaya dengan makna. Oh, bother—bak kata Winnie-the-Pooh.
Selain “darat” dalam medan penjurian, saya juga bukan pakar dalam jagat akademik. Beberapa teori seperti interteks oleh Julia Kristeva dan ostranenie atau defamiliarisasi oleh Viktor Shklovsky, saya berasa dekat dan dapat tangkap sedikit, tetapi tidaklah orang darat seperti saya memiliki ilmu menara gading di celahan jari untuk digunakan sebagai dalil sastera. Saya cuma ada pembacaan (terbatas) dan pemahaman (terhad) tentang sastera.
Berkat zaman awal—masih lagi, sebenarnya—dengan PR, keterbukaan saya boleh tahan membuta tuli. Sekadar bergurau, tidak ada lalat masuk dalam mulut saya dan saya tidak juga menelan semua perkara bulat-bulat. Apa yang enak, rezeki. Apa yang jelik, pengajaran. Apa yang pelik, rasa ingin tahu timbul.
Pada tahun 1965 (nota selingan: wahai pembaca budiman sekalian, saya sedang menahan diri begitu kuat daripada membuat lawak seperti Pak Abu dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah [2010]), seorang pemuisi dari Amerika Syarikat (AS) bernama Aram Saroyan (bukan Awang Sariyan) menaip tujuh huruf yang bakal mencetus polemik yang beliau sendiri tidak sangka-sangka akan berlaku.
Aram Saroyan dibayar sebanyak $750 (anggaran kasar bernilai $7,653.93 pada tahun 2025, bersamaan RM32,402.90 nilai duit kita) oleh Yayasan Kesenian Nasional (NEA)—sebuah agensi mandiri kerajaan AS yang mendanai projek kesenian—untuk sebuah puisi yang bakal menjadi perbualan ranah kesusasteraan Amerika Syarikat selama empat dasawarsa menyusul:
……….lighght
Bayangkan kalau puisi (seperti) ini yang menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM). Entah siapa yang akan disuruh turun dan letak jawatan—barangkali bersepanduk bagai berarak dari bangunan Sogo ke Menara Dewan Bahasa dan Pustaka. Boleh jadi hal itu dibawa sampai ke Parlimen (sebenarnya, kes Saroyan ini memang pernah dibawa ke Kongres AS). Dalam nada yang lebih serius, puisi di atas ini juga menetap dalam kepala saya tanpa membayar apa-apa sewa atau deposit. Puisi “ralat” lighght ini dan satu lagi puisi daripada Saroyan, puisi huruf “m” berkaki empat, merupakan “penduduk” tetap dalam fikiran saya:

Gerak hati saya kata, tidak perlu pemetikan gaya ALA, APA atau Chicago sebagai dalil untuk membuktikan “ini bukan puisi” bagi kedua-dua karya di atas. Ialah, bukankah—menurut cerdik pandai dan pendeta sastera—puisi itu memperlihatkan “takar yang ditempa molek”; medan temu antara kesedaran pengarang dengan pembaca; sebuah teks pembaca yang mengarah cara membaca; suatu pencarian eksistensial; bukan hanya memetik permukaan; tidak boleh bertentangan dengan roh masyarakat; harus membimbing dan mengembalikan kerangka adil-beradab; perlu memiliki ketajaman falsafah, keindahan bahasa, kekuatan struktur, dan keberanian intelek. Namun begitu, sebagai pengkarya, saya tertarik dengan penerangan Ian Daly tentang puisi kontroversi Saroyan itu:
‘Lighght’ merupakan sesuatu yang kita lihat, bukan baca. Melihat ‘lighght’ sebagai puisi, barangkali anda tidak mengerti. Melihatnya sebagai sejenis fotograf, barangkali lebih kena. ‘Perbezaan antara “lighght” dan puisi lain yang mempunyai lebih banyak patah perkataan ialah [“lighght”] tidak mempunyai proses pembacaan,’ jelas Saroyan …. ‘Bahkan, puisi lima patah perkataan ada bahagian mula, tengah dan akhir. Puisi satu patah perkataan bukan seperti itu. Anda boleh melihatnya sekali gus. Hal itu segera.’
Adakah puisi “lighght” Saroyan ini boleh dianggap sebagai puisi yang gagal? Terang lagi bersuluh puisi ini gagal jika mengikut ukuran yang saya senaraikan di atas. Tetapi perhatikan apa yang Daly dan Saroyan cuba sorotkan. Adakah penglihatan juga boleh dipanjangkan maksudnya kepada sejenis pembacaan?
“Lighght” tidak ada proses pembacaan (dalam erti kata lazim), tetapi penglihatan yang menjurus ke arah penghayatan (dalam erti kata sejagat). Maksudnya, puisi ini lebih dekat dengan disiplin seni tampak daripada seni bahasa (dalam hal ini, sastera). Pada masa yang sama, puisi ini memilih (siapa lagi kalau bukan penciptanya yang pilih?) untuk berada dalam semesta sastera. Maka, saya kira, keberanian intelek Saroyan terserlah dengan menjadikan “lighght” dan “m [berkaki empat]” sebagai hasil perkahwinan antara disiplin seni tampak dengan seni bahasa, lantas mencabar batas nilai dan makna kedua-dua disiplin tersebut.
Seterusnya, saya tidak pasti setajam manakah falsafah di sebalik pemikiran Saroyan dalam penciptaan puisi ini. Namun begitu, puisi ini sudah mencetuskan wacana mengenai “apakah itu puisi” dan bagaimana satu patah perkataan mampu menggerakkan perbincangan berbanding dengan puisi lain yang mempunyai lebih banyak patah perkataan. Saya tidak bermaksud yang hal ini merupakan suatu pencapaian mahupun ingin menyentuh perbahasan sama ada puisi Saroyan itu gagal atau berjaya. Hal ini sekadar renungan sekitar wacana seni yang lahir daripada sebuah karya khusus yang menjentik daya akal insan.
Seni yang menjemput perbincangan dan wacana tidak semestinya merupakan tanda bahawa seni itu bagus, namun sebarang perbincangan dan wacana itu bagus bagi hayat, keberadaan dan ekosistem seni, seniman dan kesenian.
Keindahan bahasa dan kekuatan struktur puisi Saroyan itu pula bagi saya mudah dan sederhana. Hatta, adakah bahasanya cacat? Perlu perjelaskan terlebih dahulu apa yang dimaksudkan sebagai cacat. Adakah cacat dari segi lebihan “gh” yang dianggap sebagai ralat; lebihan “kaki” pada huruf “m” yang nampak seperti contengan rambang? Atau cacat dari segi makna dan nilai menurut piawaian teori tertentu? Jika menurut hal pertama, bagaimana kalau kecacatan tersebut sebenarnya disengajakan—seperti konsep kintsugi?
Dalam hal ini, “kecacatan” bukannya cawan yang sengaja dipecahkan kemudian dibaiki semula dengan logam mulia (misalnya emas kuning, emas putih, perak, atau gangsa) tetapi teks minimal yang ditambah lagi huruf dan bentuk kemudian mencipta sesuatu makna baharu. Jika kita anggap kintsugi itu indah oleh sebab corak rawak timbul daripada besi berharga yang menzahirkan tempat retak dan pecahnya sebuah cawan, bagaimana pula dengan puisi Saroyan? Sukar untuk membayangkan puisi “light” (tanpa ‘gh’ lebih) dan “m” (tanpa satu lagi “kaki”) mampu mencabar sebarang status quo sastera.
Keindahan puisi Saroyan bagi saya lebih bersifat polos (innocent), seolah-olah perkataan “cahaya” itu retak. Maka, terbiaslah pancarannya. Walaupun bilah-bilah sinarnya masih jelas kelihatan, tetapi kali ini apa yang kita nampak ialah pantulan “cahahaya”, “cahayaya” atau “cahayahaya” berserakan. Kemudian, puisi “m” berkaki empat pula seolah-olah ada huruf ‘n’ bersembunyi berhampiran huruf ‘m’ dan salah satu “kaki” kedua-dua huruf itu saling bertindihan, lalu menampakkan huruf “baharu” yang seakan-akan kelihatan seperti sejenis makhluk kecil. Hanya dengan cela halus, kedua-dua puisi itu mampu menggerakkan roda dan gerigi daya khayal (imagination). Sampai hari ini, Ian Daly memberitahu, [puisi “lighght”] itu masih mampu membuat orang ramai berfikir—malah, Saroyan sendiri. Kadangkala dalam seni, ada keindahan dalam kesengajaan dan ketidaksempurnaan.
Ketika polemik HSPM 2021/2022 menghangat, tiada susuk seperti Aram Saroyan muncul dalam kalangan para pemenang. Namun begitu, bukan hal ini yang saya ingin bangkitkan. Saya faham bahawa penganugerahan unggul—seperti HSPM atau mana-mana hadiah sastera liga kebangsaan-antarabangsa—memerlukan kebertanggungjawaban, ketelitian dan kebolehan untuk menentukan mutu serta nilai sesebuah genre sastera mengikut pendidikan, latihan dan keluasan pembacaan jemaah juri. Maka, apa saya cuba tekankan dalam rencana ini ialah hal terakhir itu: keluasan pembacaan.
Dalam gua sastera, memang mudah untuk terkeliru antara bayang dengan cahaya.
Belantara puisi merupakan lapangan yang teramat luas. Titian Zaman telah menunjukkan secebis keluasan tersebut melalui kepelbagaian isi, bentuk, gaya, dan makna yang pernah hadir suatu ketika dahulu dan memberikan gambaran—sama ada terang atau kusam—tentang keluasan yang belum lagi diterokai. Jika kita ada keberanian, keikhlasan dan kerendahan hati untuk keluar mengembara, kita pasti akan menemui—meminjam baris puisi Salleh Ben Joned—seribu kemungkinan kecil dan besar setia menanti kita.
Untuk orang lain, saya tidak ada jawapan bagi penentuan puisi. Akan tetapi, bagi saya, jika saya percaya bahawa karya Aram Saroyan itu ialah puisi, maka siapalah saya untuk menghukum karya lain sebagai bukan apa yang karya itu tuntut daripada saya sebagai pembaca. Alam seni bahasa—sastera dan puisi—sangat luas.
Walaupun saya (kononnya juga) membuta tuli menerima sebarang puisi pada nilai mukanya (face value), antara perkara yang saya yakin dalam wadah puisi ialah tuntutan penulisannya. Dalam eseinya, “Is Nothing Sacred?”(1990), Salleh menjelaskan bahawa “[k]erja menulis puisi hanya menuntut tiga perkara—kejujuran, kemahiran dan kejernihan akal-kalbu.” Jangan tanya saya sama ada perkara ini hadir atau tidak dalam karya yang memenangi sebarang hadiah atau sayembara sastera—tanyalah kepada tangan yang mengangkatnya. Hanya, sebagai pengkarya, saya percaya tiga tuntutan itu wajar dimiliki oleh setiap penulis tanpa mengira genre.
Sebagai pembaca pula, ketiga-tiga perkara itu dapat kita baca—jikalau kita tidak menjadi kaki bakar (arsonist)—pada dinding gua sastera, seterusnya menyaksikan tarian antara dongeng bayang dengan cahaya makna ciptaan sang pengarang. Walau bagaimanapun, dalam gua sastera, memang mudah untuk terkeliru antara bayang dengan cahaya. Siapa sahaja tidak meraba-raba dalam ruang yang membataskan salah satu panca deria? Maka, keluarlah dari gua sastera. Saksikanlah sendiri kolam, tasik, sungai, dan laut sastera; awan dan langit sastera; gunung, bukit, dan padang luas saujana padang sastera; belukar dan rimba sastera; desa dan bandar sastera—yang lebih daripada sekadar ruang sempit-lembap.
Temuilah sastera yang ada di mana-mana. Pada masa yang sama, hayatilah hakikat bahawa sastera bukan segala-galanya.
Saya percaya belantara puisi juga begitu.
_________________________
Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.