Diterbitkan pada 7 Ogos 2025, 07:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ramzah Dambul menjawab beberapa persoalan yang dibangkitkan oleh Irfan Fikri dalam polemik penjurian puisi yang layak menang.

Jika betul-betul yakin bahawa itulah tanda sukat sebenar kegemilangan sastera, kenapa mesti jadi pengecut yang berselindung di sebalik nama jadi-jadian?

Deria linguistik saya memang agak rambang. Saya suka semua gaya dan ragam penulisan, sama ada menggunakan bahasa tinggi, slanga kasual mahupun nada-nada rancu. Selagi nuansa keseluruhan penulisan itu sendiri serasi dengan jiwa, saya akan tetap teruja. Sebab dalam setiap pembacaan, saya cuma mahu mencari katarsis nurani, bukan terlalu mengidam pesona kata-kata.

Cita rasa sastera saya pula julatnya sangat lebar. Saya sudah dua kali dilantik menjadi juri Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM). Saya pernah memenangkan puisi-puisi menongkah arus (khasnya karya penulis muda), yang dianggap sebagai “derhaka” oleh sesetengah juri. Saya juga pernah mempertahankan puisi-puisi bernada konvensional, yang dikatakan terlalu “basahan” oleh rakan juri lain.

Saya selalu mengambil pendekatan yang mudah dan realistik, tatkala menilai puisi yang dianggap bagus. Jika emosi dan fikrah saya tersentuh pada bacaan pertama, maka puisi itu saya anggap efektif. Saya tidak ada prejudis dan diskriminasi mengikut bentuk, tema atau naratif khusus. Saya juga tidak kisah walau apa-apa pun citra puisi tersebut; intelek, berontak atau gedik. Yang penting, sentuhannya tajam dan tiada pelanggaran elemen-elemen Rukun Negara.

Saya juga sudah tiga kali meraih anugerah HSPM bagi genre puisi, merangkumi kedua-dua kategori, buku dan eceran. Ketika menang kali pertama, kebetulan bagi kategori utama (kumpulan puisi), saya dikritik hebat. Adakah saya baca semua komentar yang ditulis? Ya, sebab saya bukanlah jenis orang yang boleh hilang selera makan atau tidak tidur lena hanya kerana dikritik bertubi-tubi.

Adakah saya rasa sentap? Ya, ada juga sedikit. Adakah saya marah dan berkecil hati? Tidak. Saya tidak pernah terfikir seumur hidup boleh memenangi hadiah sastera peringkat kebangsaan. Jadi rasa teruja itu membenamkan segala rasa yang lain. Adakah saya menjawab kritikan-kritikan itu? Tidak, kerana semuanya ditulis dengan nama sebenar. Terpancar keikhlasan dan rasa tanggungjawab yang benar-benar tulen.

Sayang sekali, tidak semua kritikan ialah resensi ikhlas yang mendalam tentang perbahasan kualiti. Ada juga yang lahir daripada kekecewaan dan kecemburuan peribadi. Mungkin juga, didorong oleh keinginan mahu menjadi suara dominan dalam arena yang dia sendiri tidak mampu kuasai, sesudah bertahun-tahun mencuba.

Sebab itu saya kurang gemar “penulis hantu” diberi ruang dalam media arus perdana untuk mengkritik. Menulis karya sastera dan esei kritikan ialah dua disiplin berbeza. Hal yang kedua itu lebih menuntut ketelusan dan kebertanggungjawaban, kerana hal itu membuka ruang pertentangan wacana. Tiada manisnya polemik jika berdebat dengan halimunan, bukan? Menggunakan nama samaran yang tidak dikenali pemiliknya, ibarat baling batu sembunyi tangan. Mungkin juga seperti anjing menyalak dari celah-celah semak belukar yang tebal.

Ketika mengkritik puisi-puisi HSPM 2021/2022, Irfan Fikri menggariskan empat kriteria karya yang bermutu, iaitu “menghancurkan batasan bentuk, memecahkan dinding genre, menggugat wacana bahasa dan membina semula puisi sebagai renungan zaman”. Dia meletakkan tanda aras yang begitu tinggi. Malang sekali, beban pembuktian yang dia sendiri tawarkan dalam tulisannya sangat ringan dan longgar. Mangkuknya emas, tetapi isinya sup lebihan tiga malam lepas. Pendek kata, cakap tidak serupa bikin.

Irfan Fikri menggunakan kaedah mata lalat dalam kritikan tersebut. Dia berfokus sepenuhnya pada mencari kesalahan. Begitu terdesak sekali, sampai terjebak dengan hujah kecuaian semantik yang langsung tidak relevan. Seluruh diskusi itu dihalakan kepada bidang persuratan kreatif yang secara fitrah sudah pun ada lesen puitika. Akan tetapi, sungguh ironi kerana dia pula tiba-tiba membuat analisis semantik secara literal. Dia sekonyong-konyong menyamakan penulisan puisi dengan teks jurnal geografi!

Daripada nada penulisan, kita boleh rasakan Irfan Fikri begitu bersungguh menunjuk-nunjuk pendekatan yang dikunci oleh intelektual elitis. Terlalu banyak jargon dan kata-kata gadang (misalnya “ledakan makna”) yang dilontar bercempera. Padahal sastera yang benar-benar hidup ialah sastera yang membumi secara organik bersama-sama masyarakat. Tidak perlu kita paksakan hanya satu bentuk mutlak yang rigid, kerana ragam selera masih lagi begitu rencam dalam kalangan pembaca kebanyakan.

Bukan bermaksud kita mahu merendahkan markat sastera Malaysia ke tahap selera populis massa. Tidak! Akan tetapi, sekurang-kurangnya kita menghormati kepelbagaian cita rasa yang munasabah. Jangan terlalu obses mengagungkan selera peribadi sebagai petunjuk bagi seluruh ekosistem nasional. Lagipun, jika betul-betul yakin bahawa itulah tanda sukat sebenar kegemilangan sastera, kenapa mesti jadi pengecut yang berselindung di sebalik nama jadi-jadian?

Seperti seni gastronomi juga; jangan persoalkan penggunaan bahan yang sama berulang-ulang. Fokuskan pada olahan resipi, kerana kreativiti kulinari masih boleh memberikan rasa yang segar dan berbeza-beza pada masakan yang beraneka rupa. Biarpun semuanya menggunakan bahan yang serupa.

Pengkritik yang adil ialah seseorang yang dapat membezakan antara suara baharu yang membawa perubahan dengan suara klasik yang meneruskan kesinambungan tradisi. Kedua-dua suara ini mesti diraikan. Bukan semua yang tidak “mencabar” daripada ukuran paradigma personal, boleh terus dilabel sebagai lemah. Barangkali kegagalan pengkritik untuk mencari tafsiran yang bermakna bukan disebabkan oleh kedangkalan teks tersebut, tetapi mindanya sendiri terkurung oleh selera acah-acah kayangan, yang keras dan tidak cukup lentur.

Irfan membidas beberapa puisi sebagai lemah, atas alasan menggunakan unsur-unsur metafora klise, yang telah disajikan berulang kali. Inilah satu hujah yang terlalu kosmetik dan simplistik. Seolah-olah mahu menghukum: “Fesyen ciptaan kamu ini tidak layak dihakimi, sebab berasaskan kain sutera yang sudah diguna jutaan kali dalam industri tekstil sejak ratusan ribu tahun Sebelum Masihi.”

Dalam sastera, penggunaan simbol yang lazim tidak semestinya melemahkan karya. Hal ini bergantung pada cara sudut pandang diolah. Ada banyak puisi yang masih efektif dan begitu menikam emosi. Meskipun cuma dibina dengan simbol-simbol yang rutin, kemudian disusul dengan ungkapan yang biasa-biasa.

Seperti seni gastronomi juga; jangan persoalkan penggunaan bahan yang sama berulang-ulang. Fokuskan pada olahan resipi, kerana kreativiti kulinari masih boleh memberikan rasa yang segar dan berbeza-beza pada masakan yang beraneka rupa. Biarpun semuanya menggunakan bahan yang serupa.

Pengkritik juga menolak unsur lunak dan sentimental sebagai sesuatu yang remeh. Menurut Irfan, semua karya yang “selamat” dan “liris” tidak patut dimenangkan. Pendirian ini jelas mengabaikan dimensi emosi sebagai nadi utama puisi. Bukan semua puisi perlu bersifat garang, avant-garde atau eksperimental untuk menonjol. Puisi juga ada hak berdiri tenang dan bersahaja; bukan semestinya perlu mencabar dan menggugat sepanjang masa. Sentimen yang berakar daripada pengalaman peribadi, kerinduan terhadap tanah air, keretakan batin atau kekeliruan spiritual ialah lapisan manusiawi yang paling sejagat.

Meremehkan nada sentimental sedemikian secara langsung merendahkan tunjang puisi Melayu dan Nusantara, yang sarat dengan tradisi romantis dan kelunakan rasa. Ya, sebagaimana yang terungkap dalam warisan puisi lama seperti pantun, gurindam, syair, dan bidalan. Jadi, tiada salahnya sajak-sajak HSPM terus memberi platform pada roh sosiobudaya yang sebegitu agar terus bersinar dan relevan dalam sastera kontemporari.

Bahasa puitis dalam sajak, bukan sekadar alat untuk menayang-nayang kebitaraan akal. Puisi juga memberi ruang pertumbuhan deria nurani dan spiritual. Kritikan Irfan yang terlalu menekankan keperluan bentuk baharu dan kepentingan merobohkan kebiasaan—mengabaikan satu asas puisi yang paling genting: bahawa puisi bukan hanya untuk difikir dan direnung, tetapi sebenarnya yang lebih penting adalah untuk dirasai dan dinikmati.

Kritikan yang terlalu teknikal akhirnya boleh mematikan fungsi utama puisi—iaitu menyantuni manusia melalui sentuhan rasa, ikatan emosi dan kehalusan makna. Pengkritik seperti Irfan mungkin terperangkap dalam “penyakit epistemik”. Dia meletakkan terlalu banyak keperluan intelektual sehingga terlupa bahawa sastera juga mesti mencitrakan pengalaman harian orang-orang normal di jalanan.

Setiap penyair membawa suara, rasa dan dunia yang berlainan. Tidak semua penulis perlu menjadi Rendra, Latiff Mohidin atau Chairil Anwar untuk mencipta puisi yang bernilai tinggi. Keberagaman gaya—daripada yang liris, simbolik, eksistensial sehingga yang tradisional—ialah kekuatan ekosistem puisi yang saksama dalam melindungi kepelbagaian. Hal ini bukan satu kesumbelan. Apabila kita menolak puisi yang tidak sesuai dengan kerangka dogma tertentu, kita sebenarnya sedang menyempitkan ruang kreativiti.

Kalau semuanya perlu dibedah mengikut lunas-lunas teori Barthes atau Habermas, akhirnya yang tinggal cuma sekujur jasad yang mungkin dianggap sempurna secara lahiriah, tetapi roh Nusantaranya sudah dibunuh, bersemadi tanpa kubur. Puisi bukan semata-mata tentang ledakan bentuk atau intelek, tetapi juga tentang kepuasan memori, kekayaan rasa dan gratifikasi jiwa. Sastera yang agung bukan semestinya yang paling bising dan menggugat, tetapi yang paling lama boleh bertahan dalam ingatan.

_________________________

Ramzah Dambul (Prof. Madya Datuk Ts. Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Dalam dunia utopia, dia seekor murai sastera yang selalu berkicau di perbatasan sains. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013), Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017). 

Kredit Foto: Europena/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi