Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAkmal Arsat memberikan pandangan tentang persoalan penyair perlu menderita untuk menghasilkan puisi yang baik serta penolakan terhadap “Esensialisme Romantik”.
Tanpa disiplin dan ketukangan, penderitaan hanyalah rintihan yang berterbangan; dengan disiplin, rintihan itu bertukar menjadi simfoni …
Kita sering disogok dengan satu imej klise tentang sastera bahawa seorang penyair hanya dianggap sebagai “tulen” jika dia hidup dalam penderitaan, keterasingan atau kekacauan jiwa. Wujud satu sempadan halimunan yang seolah-olah menetapkan bahawa karya yang hebat mustahil lahir daripada susuk yang hidupnya stabil dan teratur.
Namun, adakah benar kepenyairan itu memerlukan “sijil penderitaan” sebagai prasyarat? Atau adakah kita sebenarnya sedang terperangkap dalam kabus identiti yang mengelirukan antara rintihan emosi dengan ketukangan seni?
Kekeliruan ini berakar pada hal yang saya istilahkan sebagai “Esensialisme Romantik”. Konsep ini ialah satu kepercayaan sempit bahawa penderitaan ialah satu-satunya bahan mentah bagi puisi. Di ruang sastera alternatif, kita sering melihat falasi “No True Scotsman” dimainkan, dengan dakwaan bahawa “penyair sebenar” hanyalah mereka yang luka jiwanya.
Persoalannya, adakah nilai estetik sesebuah puisi akan luntur jika penulisnya seorang akauntan yang berjaya atau suri rumah yang bahagia? Sejarah sastera membuktikan sebaliknya. Kehebatan karya tidak diukur pada “berapa dalamnya” luka si penulis, tetapi pada betapa mahirnya dia melakukan alkimia estetik untuk mengolah emosi tersebut menjadi objek seni yang mampu menyentuh sesiapa sahaja.
Kita tidak menafikan bahawa tokoh besar seperti Sylvia Plath atau Anne Sexton menulis daripada trauma yang perit. Namun begitu, karya mereka kekal relevan bukan sekadar kerana mereka menderita, tetapi kerana mereka memiliki penguasaan teknik, metafora dan struktur yang luar biasa.
Tanpa disiplin dan ketukangan (craftsmanship), penderitaan hanyalah rintihan yang berterbangan; dengan disiplin, rintihan itu bertukar menjadi simfoni. Di sinilah letaknya perbezaan antara “luahan perasaan” semata-mata dengan sebuah “karya sastera”.
Sering kali, apabila kita menekankan soal teknik, ada yang membantah: “Adakah kita mahu melahirkan penyair atau jurutera bahasa?” Persoalan ini sebenarnya suatu dilema yang palsu. Teknik bukanlah penjara yang menyekat ilham, tetapi jambatan yang membolehkan rasa itu sampai kepada pembaca. Ibarat api dan bekas, emosi ialah api, manakala teknik ialah bekasnya. Tanpa bekas yang kukuh, api hanya akan membakar segala-galanya menjadi abu yang sia-sia.
Identiti seorang penyair juga tidak harus menjadi “benteng” untuk melindungi karya yang lemah. T.S. Eliot dalam esei klasiknya, “Tradition and the Individual Talent” (1919), menegaskan bahawa seni bukanlah pelepasan emosi, tetapi pelarian daripada emosi. Penyair yang matang harus mampu memisahkan antara “lelaki yang menderita” dengan “minda yang mencipta”.
Malah dalam tradisi kita, Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh melalui Puitika Sastera Melayu (2000) mengingatkan bahawa watak pujangga Melayu tidak pernah terasing daripada masyarakatnya. Keindahan sastera kita bukan hanya pada “luka”, tetapi pada kesantunan budi dan kebijaksanaan akal.
Lebih jauh lagi, apabila seseorang menjadikan penderitaan sebagai syarat mutlak kepenyairan, pandangan itu sendiri merupakan satu bentuk ketidakadilan sosial. Bagi penulis daripada kelas pekerja atau ibu yang memikul beban domestik, penderitaan bukanlah pilihan artistik yang romantis, tetapi sebuah kekangan hidup. Adakah kita ingin menafikan bakat mereka hanya kerana mereka tidak mempunyai “kemewahan” untuk menderita secara puitis di lorong-lorong gelap?
Menjadi penyair ialah soal amanah terhadap bahasa. Apabila “kejujuran” dijadikan alasan untuk menghalalkan kekacauan struktur, penulis sebenarnya sedang bersikap malas secara intelektual. Ketekunan mengasah teknik ialah bukti bahawa seorang penyair memandang serius terhadap penderitaannya, sehingga dia sanggup membina struktur bahasa yang cukup kuat untuk memikul beban emosi tersebut.
Kekeliruan identiti ini hanya akan berakhir jika kita berhenti melihat puisi sebagai gejala psikologi semata-mata. Kepenyairan yang matang ialah pertemuan harmoni antara kehangatan rasa dengan kedinginan akal. Di situlah puisi akan menjadi monumen makna yang kekal abadi, melampaui riwayat hidup penulisnya sendiri.
_________________________
Akmal Arsat penulis muda dari Gopeng, Perak dan meminati bidang kajian dan kritikan sastera.