Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangM. Emir memberikan reaksi terhadap polemik yang ditimbulkan oleh Irfan Fikri dan beberapa penulis tentang penjurian karya dan persoalan sistem pencalonan dalam anugerah.
Kita haruslah menerima kritikan. Jika penulis tidak mengambil hal ini dari sudut positif, maka negatiflah dia sebenarnya.
Setahun yang lepas, Irfan Fikri telah muncul di dinding maya Facebook saya seolah-olah dia ialah seorang selebriti. Malam tadi, ketika mata melelap, dia menari-nari seolah-olah Anak Itik Tok Wi dalam mimpi. Setelah bangun daripada beradu, saya ke singki untuk membasuh muka, dan yang terbit di cermin ialah Irfan Fikri—bukanlah diri saya. Saya menjerit—dunia ini telah menjadi milik Irfan Fikrikah? Atau setidak-tidaknya, sastera ini ialah dunia Irfan Fikri?
Lembaga Irfan Fikri ini muncul disebabkan oleh tidak puas hatinya terhadap penjurian dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022 merangkap anugerah sastera paling tinggi dalam negara. Bagi kaca matanya, pemenang tidak layak untuk menggondol hadiah tersebut. Lebih taufan lagi, apabila angin menderu-deru ganas dan mencederakan seluruh karya pemenang.
Dalam riuh taufan, Ramzah Dambul mengamuk dan mengambil senapang esei, menembak hujah demi hujah Irfan Fikri. Namun ternyata, tembakan itu amatlah rambang dan hujah lembaga itu tidak tercalar walaupun sedikit. Sebaliknya, Ramzah menghampakan saya dengan das-das peluru dangkal yang hanya mengharapkan bunyi untuk menakut-nakutkan. Apa buktinya?
Buktinya, Ramzah Dambul, dalam tembakan pertamanya, (mungkin tembakan paling kuat) menyentuh soal “Irfan Fikri penulis pengecut” kerana tidak mendedahkan identiti sebenarnya. Namun malang seribu kali malang, kalau dia penulis hantu atau penulis langsuir sekalipun, hal ini takkan sama sekali menjejaskan hujah agung Irfan Fikri.
Isu pokok dalam polemik ini ialah—adakah penjurian HSPM tahun itu bijaksana, arif lagi padu dalam memilih pemenang. Kalau nak sentuh soal peribadi Irfan Fikri, baik masuk gelanggang tinju!
Perkara kedua yang saya geleng kepala apabila mendengar “bang bang bang” senapang Ramzah ialah penjurian dijalankan dengan melihat dari semua aspek. Namun kekoknya dalam hujah ini, tidak disertakan pula dengan bukti-bukti. Kita boleh lihat senarai pemenang dan sajak-sajak mereka. Maka, dengan cara itu, kita boleh buat margin antara karya konvensional sosiobudaya dengan karya avant-garde peruntuh dinding kuno klasikal. Aduhai! Mana letaknya unsur adil dalam hal ini?
Ketiga, saya faham bahawa Ramzah Dambul seorang yang pencinta angan-angan. Baguslah angan-angan untuk menggunakan lesen puitika itu. Akan tetapi, dalam banyak hal, lesen puitika wajar ada rasional mengapa perlu digunakan. Analoginya, ada lesen kereta, selamba badak je langgar lampu merah! Haih! Bagi saya, lesen puitika juga perlu ada logiknya. Janganlah guna semberono apa-apa perkataan dengan alasan mempunyai lesen puitika.
Setelah Ramzah menembak hujah Irfan Fikri, hadir pula susuk penulis mapan bernama Ramlee Wahab dengan bazuka. Dengan harapan dapat menghapuskan kekebalan iron dome Irfan Fikri, beliau pun menembak.
Akan tetapi, hampa. Tembakan itu sekali lagi seolah-olah tanpa peluru. Ramlee Wahab menyatakan bahawa Irfan Fikri ialah elitis intelektual. Namun begitu, kalau benar dakwaan meraban ini sekalipun, adakah hal itu akan menggugat kebenaran hujah Irfan Fikri? Kita tak perlu bazuka iron dome berdasarkan emosi, tetapi strategi. Setelah saya membaca lima kali esei Irfan Fikri, sebenarnya yang beliau kritik (ialah dan tetap) penjurian HSPM kerana karya pemenang tumpul falsafah, kurang keindahan bahasa, lemah dari aspek struktur dan pengecut dari segi intelek.
Bagi saya, kalau mahu tembak betul-betul Irfan Fikri, tembak empat perkara itu dahulu. Malangnya, saya tak jumpa dalam esei karangan Ramlee Wahab yang menyentuh soal itu. Sebaliknya, beliau mungkin marah waktu menulis eseinya dengan menyentuh soal adab mengkritik. Katanya, pengkritik perlu mengkritik untuk membina. Akan tetapi, saya nak soal perkataan ‘membina’ tersebut. Apakah maksud membina? Adakah dengan mendiamkan realiti kita dapat “membina”? Bagi saya, jalan Irfan Fikri itu tepat, iaitu mendedahkan kelemahan supaya ada proses pembinaan.
Namun, tetap ada penulis yang melenting. Setelah kejadian ini, ada yang mengamuk-amuk seolah-olah budak kecil apabila menyatakan Irfan Fikri tidak adil kerana memberitahu kelemahan semata-mata. Bagi saya, Irfan Fikri tidak salah kerana dia sebenarnya sedang mengancam penjurian. Kalau nak beri kelebihan sekali, boleh—sekiranya Irfan Fikri mahu menggugat penulis.
Namun apa-apa pun, penulis sepatutnya tak boleh kuat merajuk seolah-olah bayi yang tak dapat susu pujian. Kita haruslah menerima kritikan. Jika penulis tidak mengambil hal ini dari sudut positif, maka negatiflah dia sebenarnya.
Seterusnya, sebagai penggiat seni, kita perlu rasional. Janganlah syok sendiri apabila dikritik, terus menjerit-jerit macam unta disebat di tengah gurun sahara.
Ramlee Wahab juga marah-marah apabila Irfan Fikri memetik teori-teori Barat dalam eseinya. Bagi saya, beliau perlu bertenang kerana alangkah baiknya kalau ada teori tempatan yang lompong, dia jahitlah dengan menggunakan jarum teori luar sebagai inspirasi.
Namun begitu, jangan sangka pula Irfan Fikri selamat daripada bom atom saya.
Baiklah, jika Irfan Fikri menyalahkan juri atas rasional memilih karya-karya yang usang dan tidak memecah dinding genre, saya mahu bertanya kepadanya, adakah sistem HSPM itu sendiri molek?
Irfan Fikri, janganlah kamu mengamuk dan meracau awal, nanti cepat tua. Irfan Firki wajarlah melihat secara lebih mendalam tentang isu ini. Mungkin juga sistem automatik perlu diperkenalkan dalam HSPM. Contohilah Hadiah Sastera Selangor dalam hal ini.
Mungkin hal ini pun bukan dosa juri seratus peratus. Mungkin penyertaan yang sampai ke tangan urus setia pun tidak menggalakkan. Irfan Fikri perlu lebih berani membongkar mengapa senarai penyertaan (setidak-tidaknya yang masuk pencalonan senarai akhir) tidak didedahkan, khususnya Kategori A: Kumpulan Puisi (sedangkan Kategori A bagi beberapa genre lain mempunyai senarai pendeknya). Kita kan pengkritik? Kita perlu kritik dengan berani dalam semua sudut.
Jika didedahkan, mungkin pengkritik boleh tahu, adakah karya jenis pemecah tembok avant-garde itu ada sebenarnya? Jika tidak ada, macam mana nak jatuhkan hukum kepada juri? Kasihanilah mereka.
Irfan Fikri, hujah kamu memang hebat, namun serangan kamu setempat sahaja. Mari, kita senyum seringai pada semua yang terlibat, ketawa dan jangan sesekali minta maaf atas kebenaran yang kita sudah nyatakan.
Walau saya tidak tahu kamu siapa, kamu perlu tahu, saya sokong kehantuan kamu untuk menelanjangkan sikap sebenar penulis, juri dan hal-hal lain dalam dunia sastera kita.
_________________________
M. Emir merupakan penulis yang berasal dari Kuantan, Pahang. Beliau telah menghasilkan beberapa buah puisi eceran yang tersiar dalam Tukang Puisi dan Selangorkini.