Diterbitkan pada 27 Januari 2026, 14:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

F.A. Haisar memberikan reaksi balas terhadap tulisan Naim al-Kalantani dalam Tunas Cipta dalam talian, “Puisi: Genre Tertinggi atau Jalan Pintas?”.

Menulis esei mungkin memperkaya fikiran, memperluas ufuk analisis dan menajamkan disiplin berfikir, namun bidang itu bukanlah prasyarat untuk menjadi penyair.

Setelah membaca artikel Puisi: Genre Tertinggi atau Jalan Pintas? membuat saya berhenti sejenak, seakan-akan mahu menyemak kembali musafir diri sebagai marhaen di ranah sastera. Sayap kecil yang tersulam daripada pelepah puisi seperti selalu mengajak saya terbang tanpa peduli, terbang memilih makna sendiri. Akan tetapi, kali ini saya memilih untuk jeda, cakna dan berkongsi kata. Jeda ini bukan kerana ingin membetak hujah sesiapa, tetapi kerana ada tanggapan yang pada hemat saya terlalu berbahaya untuk dibiarkan berlalu tanpa balas.

Artikel itu menyatakan bahawa seseorang penulis tidak wajar menjadikan puisi sebagai jalan pintas, dan mestilah terlebih dahulu menguasai esei sebelum sah menjadi penyair. Sekilas, pandangan ini tampak meyakinkan, tetapi pada saya kenyataannya hadir dengan risiko yang besar. Kenyataan dalam artikel itu boleh menutup pintu penulis muda dan penyair pemula yang sering kali menemukan suara mereka buat kali pertama melalui puisi. Jika mereka dipaksa mendaki anak tangga esei terlebih dahulu, nyala awal itu mungkin padam sebelum sempat menyala terang. Maka, balasan ini saya tulis sebagai satu peringatan, bahawa puisi berhak berdiri dengan wibawanya sendiri. Menulis puisi tidak pernah menjadi jalan pintas.

Falasi Prasyarat: Puisi Tidak Bercambah daripada Benih Esei

Khilaf terbesar dalam penghujahan artikel tersebut ialah penetapan esei sebagai batu asas kepenyairan. Pandangan ini rapuh sejak awal kerana mengandaikan bahawa pohon puisi boleh dicambahkan daripada benih aksara esei. Hakikatnya, walaupun puisi dan esei sama-sama tumbuh dari tanah kebun aksara, kedua-duanya berasal daripada benih yang berbeza dan berakar daripada roh yang berlainan. Pohon puisi bercambah daripada benih rasa, intuisi, metafora, irama, dan paradoks; sedang esei tumbuh daripada benih logik, data dan struktur yang linear. Maka, menguasai satu bentuk tidak menjamin penguasaan yang lain, kerana benih-benih aksara itu pelbagai sifatnya, boleh sahaja menumbuhkan pepohon kata yang berbeza bentuknya.

Jika kita selak dedaun sejarah, falasi prasyarat esei segera runtuh secara total. Jalaluddin Rumi menulis ribuan bait dalam Mathnawi tanpa satu pun esei akademik, namun puisinya memahat peradaban. Emily Dickinson hampir tidak menulis prosa panjang. Beliau hanya meninggalkan serpihan nota dan surat-surat pendek, tetapi bait puisinya seakan-akan halilintar di langit New England: menjadi tonggak sastera dunia. Pablo Neruda pula memulakan karier dengan Veinte Poemas de Amor, kumpulan puisi cinta yang menggetar rasa dan membakar jiwa, dan akhirnya dianugerahi Hadiah Nobel bukan kerana esei, tetapi kerana puisi.

Rantau Nusantara juga tidak sunyi menjadi saksi. Hamzah Fansuri dengan Syair Perahu mengajar kita erti perjalanan rohani. Syamsuddin as-Sumatrani menyalakan tasawuf dalam bahasa. Raja Ali Haji pula memahat hikmah dalam Gurindam Dua Belas, sebuah teks puisi yang menjadi kitab moral bangsa. Mereka dikenang kerana syair, pantun dan gurindam: bukan rencana, bukan makalah, bukan esei.

Lebih mendalam lagi, sejarah sendiri menjadi saksi bahawa puisi lahir jauh lebih awal daripada esei. Sejak manusia belum mengenal kertas dan tinta, mereka sudah mengikat makna dalam irama dan rima. Epos Gilgamesh, Rig Veda, Iliad, dan Odyssey, semuanya puisi yang mendahului esei ribuan tahun. Di Alam Melayu, pantun, gurindam, syair, dan seloka berakar dalam tradisi lisan masyarakat, sementara esei moden hanya berkembang pada abad ke-20.

Maka jelaslah: puisi ialah benih purba yang sudah beribu tahun berakar di kebun aksara, sementara esei hanyalah tunas muda yang baru muncul di tepi batas. Bagaimana mungkin tunas itu dijadikan prasyarat bagi benih yang telah lama menghidupkan seluruh kebun?

Falasi Hierarki: Genre Tidak Berlapis Kasta

Dengan menetapkan tangga yang perlu dirukah menuju fatamorgana menara puisi, kita seolah-olah mengiakan bahawa wujud kasta dalam kalangan genre. Pandangan ini bukan sahaja keliru, malah berbahaya. Pandangan berbahaya itu meletakkan puisi dan esei dalam kedudukan bertingkat, sedangkan kedua-duanya tumbuh dari tanah kebun aksara yang sama, tetapi menjadi pepohon yang berbeza. Membandingkan esei dengan puisi dalam satu hierarki ibarat menilai pohon kelapa dengan pohon rambutan hanya kerana kedua-duanya sama-sama tumbuh di laman. Kelapa tegak lampai menjulang dan airnya menyegarkan; rambutan rendang merimbun menghidangkan buah penuh kemanisan. Masing-masing ada hikmah dan guna, tetapi tidak pernah diukur dengan kayu ukur yang sama.

Seolah-olah kita berkata bahawa esei kritikan sastera Mana Sikana tarafnya mesti lebih rendah daripada puisi-puisi yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Itu jelas falasi. Kedua-duanya sahih dalam domainnya sendiri: esei kritikan meluaskan ufuk pembacaan, sedang puisi yang menang anugerah menajamkan estetika bahasa. Tidak wajar satu dijadikan batu asas kepada yang lain, kerana setiap genre memiliki nilai dan maqam yang hanya boleh diukur setara dengan dirinya sendiri.

Di sinilah teori membantu menjernihkan kabus ilusi itu. Formalisme Rusia, khususnya Roman Jakobson dan Viktor Shklovsky, menegaskan bahawa fungsi utama puisi ialah ostranenie yakni defamiliarization: menjadikan yang biasa kelihatan asing, agar kita menatapnya kembali dengan mata baharu. Bahasa puisi sengaja berliku, mengabur dan memadatkan supaya makna menjadi lebih tajam. Sebaliknya, esei berfungsi menjernihkan, menyusun dan meluruskan hujah agar dapat difahami dengan tertib.

Dua fungsi ini berdiri atas asas yang berbeza. Jika esei ibarat mata air jernih yang memujuk dahaga akal dengan kejernihan, puisi ialah embun di kelopak daun yang menipu pandangan: ia tampak kecil, samar, tetapi menggetar sukma, bahkan menyentak jiwa apabila disentuh oleh cahaya. Bagaimana mungkin kejernihan dijadikan syarat kepada keasingan estetik, sedangkan kedua-duanya saling melengkapi dalam cara yang berbeza?

Pandangan ini turut disokong oleh Mana Sikana, yang melihat puisi dan kritikan sebagai medan yang setara. Kritik berperanan menyalin dan mentafsir makna, sementara puisi menghidupkan dan mencipta makna. Kedua-duanya sama penting, tetapi tidak pernah bertingkat. Maka meletakkan esei sebagai anak tangga menuju puisi bukan sahaja menyalahi logik, malah menyalahi tradisi pemikiran sastera kita sendiri.

Marabahaya Pandangan Sempit: Meracun Kebun Penyair Muda

Mengabaikan hal ini seolah-olah menebang pohon tua yang selama ini menjadi teduhan, lalu menggantikannya dengan tiang konkrit yang dingin dan kaku.

Ada tiga marabahaya yang boleh memudaratkan dalam artikel yang kita bincangkan. Pertama; pandangannya menyekat kreativiti penulis muda. Mereka yang baru berjinak-jinak dengan pena mungkin segera berasa tidak layak untuk menulis puisi hanya kerana belum mahir menulis esei. Padahal, ramai penyair besar lahir daripada nyala bahasa yang jujur, daripada percubaan awal yang rapuh tetapi tulus. Di kebun aksara, benih puisi sering tumbuh dahulu, meski tidak rapi, meski belum sempurna, namun tetap hidup.

Bahaya kedua ialah pandangan artikel merendah-rendahkan martabat puisi dengan mentafsirkannya sebagai sekadar jalan pintas, bukan destinasi. Anggapan ini menghapuskan wibawa puisi yang sejak awal tamadun telah menampung doa, mitos, sejarah, dan perasaan manusia. Jika esei ibarat pagar yang menyusun batas, maka puisi ialah tanah subur yang percaya pada keunikan tersendiri semua tunas, tanpa prasyarat khas.

Bahaya ketiga ialah pandangan artikel itu menolak tradisi Nusantara sendiri. Pantun, gurindam, syair, dan seloka, semuanya bertunas daripada lidah dan irama, bukan daripada pena esei. Pantun khususnya, yang kini diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Budaya Dunia, membuktikan bahawa puisi rakyat berdiri megah tanpa perlu legitimasi esei. Mengabaikan hal ini seolah-olah menebang pohon tua yang selama ini menjadi teduhan, lalu menggantikannya dengan tiang konkrit yang dingin dan kaku.

Namun bahaya itu tidak terhenti pada sejarah atau tradisi. Dunia hari ini menyaksikan puisi kembali bernafas di ruang digital. Media sosial menjadi kebun baharu tempat benih aksara ditabur melalui medium baharu seperti Instapoetry dan slam poetry. Di sini, anak muda memilih puisi bukan kerana bidang itu jalan pintas, tetapi kerana bidang itulah yang paling dekat dengan jiwa. Mereka menulis untuk menyuarakan keresahan, menzahirkan cinta, atau melawan ketidakadilan. Ada yang mentah, ada yang matang, tetapi kesemuanya sah sebagai percubaan kreatif. Justeru, percubaan itulah yang harus diraikan, bukan diracun dengan syarat palsu.

Menulis esei mungkin memperkaya fikiran, memperluas ufuk analisis dan menajamkan disiplin berfikir, namun bidang itu bukanlah prasyarat untuk menjadi penyair. Sejarah dunia, teori sastera, tradisi Nusantara, dan denyut kontemporari semuanya membantah hujah bahawa esei ialah batu asas pada puisi. Pandangan sebegitu hanyalah fatamorgana; menara khayal yang tidak pernah berdiri, namun seakan mahu diyakinkan kepada mereka yang masih meraba dalam cahaya.

Maka, biarlah esei dipelajari sebagai jalan tersendiri, dengan segala kepentingannya yang sah. Akan tetapi, jangan sekali-kali menafikan ruang puisi dengan piagam syarat palsu. Kerana puisi bukan jalan pintas, bukan kemuncak anak tangga kecil, dan bukan bayangan fatamorgana. Puisi ialah kebun aksara yang subur, dan sesiapa yang berani menabur benih di dalamnya berhak melihat makna menumbuh.

Hal ini kerana, penyair besar tidak pernah diukur pada bilangan esei yang ditulisnya; tetapi pada bilangan minda yang terhentak atau sukma yang tersentak, ketika puisinya dibaca.

_________________________

F.A. Haisar atau Muhammad Faisal Abdullah dilahirkan di Ipoh, Perak. Kini beliau menetap di Shah Alam, Selangor. Beliau seorang guru mata pelajaran Bahasa Inggeris yang meminati penulisan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Beliau merupakan penulis pemula yang baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang penulisan dan setakat ini karya beliau telah terbit dalam akhbar Berita Harian.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi