Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNur Muhamad Mat Zain mengenang pemergian tokoh besar dalam teori sastera dan kritikan sastera, Mana Sikana.
Walaupun beliau diperakui dan dibuktikan mampu menguasai pengkaryaan untuk kelima-lima genre sastera, namun yang kekal menjadi perhatian penulis ialah kewibawaannya dalam ilmu bidang sastera, terutamanya tentang teori sastera tempatan yang mandiri …
Mana Sikana, persoalan awal tentang nama penanya, yang pada pandangan penulis, merupakan suatu frasa yang diambil melalui Surah al-Baqarah ayat 128, iaitu manasikh ana yang bermaksud “cara saya”. Sesuai dengan nama pilihannya, sebagai seorang penteori yang mengasaskan dan memperkenalkan teori sastera berunsur Islam, iaitu Taabudiyyah, selain teori Teksdealisme.
Taabudiyyah merupakan sebuah teori sastera yang menitikberatkan konsep perhambaan dan ketaatan kepada Tuhan melalui penciptaan hasil karya sastera. Beberapa asas penting yang mendasari teori ciptaannya ini. Hal ini termasuklah asas tauhid, akhlak, pengabdian, pendekatan (manhaj), serta kesempurnaan (takmilah).
Mana Sikana atau nama sebenarnya Abdul Rahman Napiah (Hanapiah) merupakan nama yang tidak asing dan begitu dikenali dalam dunia sastera sebagai pengarang, penulis dan sasterawan. Mengenali beliau melalui bacaan karyanya, yang juga merentas pelbagai genre sastera, termasuklah puisi, cerpen, novel, skrip pementasan teater, dan esei kritikan. Namun begitu, penulis lebih menjadikan esei kritikan dan buku ilmiah hasil karangan tokoh ini sebagai cara atau kaedah untuk mengenali siapakah susuk pengarang yang menggelarkan dirinya sebagai Mana Sikana.
Walaupun beliau diperakui dan dibuktikan mampu menguasai pengkaryaan untuk kelima-lima genre sastera, namun yang kekal menjadi perhatian penulis ialah kewibawaannya dalam ilmu bidang sastera, terutamanya tentang teori sastera tempatan yang mandiri, termasuklah menghuraikan dan menganalisis setiap teori sastera yang muncul di Malaysia, serta membuat perbandingan teori sastera tempatan dengan teori yang diperkenalkan oleh sarjana Barat.
Antara buku beliau yang menjadi rujukan hingga kini kepada para pengkaji sastera Melayu termasuklah Teras Sastera Melayu Moden (1982); Aliran dalam Sastera Melayu (1983); Pemikiran Islam dalam Sastera Melayu (1983); Sastera Islam di Malaysia (1983); Kritikan Sastera: Pendekatan dan Kaedah (1986); Asas Menganalisa Sastera (1988); Sastera Melayu Moden: Perubahan dan Tamadun (1990); Kritikan Sastera Moden: Teori dan Pendekatan (1998); Sastera Melayu Pascamodenisme (2004); Teori dan Kritikan Sastera Malaysia dan Singapura (2005); Kritikan Sastera Melayu Moden (2006); Teori dan Kritikan Sastera Malaysia (2008); Berdiri di Akar Diri: Kritikan Sastera Melayu Pascamoden (2013); Koleksi Teori Sastera: Klasik, Tradisional, Moden Pascamoden dan Tempatan (2013); Dari Barat ke Timur: Teori dan Kritikan Sastera (2013); Teori Sastera Taabudiyyah: Sastera untuk Pengabdian (2013); dan pada tahun 2023 ialah Teori Sastera Paling Berpengaruh dalam Sastera Melayu.

Sepanjang penulis bersama-sama Mana Sikana, sama ada dari sudut perbincangan rasmi, ataupun hubungan peribadi (guru dan pelajar), beliau sering menekankan soal kekayaan ilmu pengetahuan dalam sastera Melayu, ingatan tentang keutamaan memperbanyak membaca bahan bacaan yang bermanfaat, dan perlunya mengembangkan idea dan daya fikir melalui penghasilan tulisan (karya).
Pesannya, “Mustahil seorang penulis dapat hasilkan tulisan yang berkualiti jika malas untuk membaca dan menelaah buku-buku dan tulisan daripada pengarang lain.”
Melalui bacaan penulis pula dalam Jambak 3 yang diterbitkan pada tahun 1995, pada halaman 196, sebut beliau bahawa, “Menulis bukanlah suatu kerja yang boleh dilakukan secara sambil lewa. Lazimnya apa yang ditulis terbit daripada keyakinan.”’
Perspektif sastera pada pandangannya barangkali mempunyai persamaan dan perbezaan seperti mana tafsiran oleh penggiat sastera yang lain. Sastera daripada neraca penilaiannya merupakan alat untuk menyebarkan dakwah, tarbiah (pendidikan) dan peringatan dengan tidak menghilangkan seni dan keindahan bahasanya.
“Tidak ada sastera semata-mata untuk pemuasan perasaan dan kehendak lahiriah. Ia lebih menekankan aspek dalaman, fikiran dan intelektualisme, sesuai dengan sifat al-aql yang menjadi teras pemanusiaan.” (Mana Sikana, 2024:268).
Sumbangan akhirnya dalam memperkatakan karya dan teori sastera ialah ucap utama beliau dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara (SN) Rahman Shaari pada 7 Mei 2025, bertempat di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP.

Menariknya, melalui ucapannya, “Tidaklah layak untuk sesuatu teori itu dikatakan teori jika tiada pendefinisian dan konsep tentang teori secara mendalam, apatah lagi tidak dibicarakan dan dihuraikan ke dalam naskhah yang terbitkan, iaitu bentuk buku.” Pandangan ini merujuk teori sastera Anjakan Makna yang diperkenalkan oleh SN Rahman Shaari yang menjadi inti pati utama dalam huraian kajiannya.
Dapat penulis katakan bahawa pandangan ini diberikan secara jujur dan telus oleh pengkaji berpengalaman seperti beliau, sehingga membuka mata ramai sarjana, penuntut institusi pengajian tinggi dan khalayak pembaca. Namun begitu, secara tidak langsung, Mana Sikana menyatakan hasrat besar bahawa keperluan bahan rujukan ke dalam bentuk buku, terutamanya tentang teori Anjakan Makna Rahman Shaari perlu disegerakan terbitannya, agar menjadi rujukan kepada masyarakat dan penggiat sastera tanah air. Kedua-dua tokoh ini, Mana Sikana dan Rahman Shaari merupakan sahabat yang baik dalam dunia akademik dan tokoh sastera, selain kedua-duanya prolifik menghasilkan karya.
Sememangnya, Mana Sikana pernah bersama-sama dengan pengkritik sastera tanah air, seperti SN Kemala, SN Baha Zain, Hamzah Hamdani, dan Jaafar Abdul Rahim, terutamanya dalam dekad 1960-an dan 1970-an …
Keterbukaan menerima kritikan dan pandangan seperti inilah yang menjadi amalan, kebiasaan atau pembawaan oleh pengarang yang merentas dekad dan zaman. Bagi penulis, penerimaan secara berlapang dada dan berjiwa besar memberikan kesan langsung untuk kemajuan sastera dan mengangkat harkat sastera kebangsaan. Hal inilah yang harus diwarisi oleh generasi kini.
Sepanjang tempoh tahun 2023 hingga 2025, ada beberapa hal menjadi perkara yang disebut-sebut olehnya, berulang kali diingati, dan mungkin sebagai pesanan seorang guru kepada pelajarnya. Umpamanya, soal perkembangan kritikan sastera sama ada dalam bentuk acara, program atau penulisan, yang pada pandangannya sudah sedikit lesu, terutamanya kritikan yang dibincangkan melalui kaedah kolokium dan seminar. Barangkali, kerinduannya pada dekad sebelum ini, yang menurutnya begitu aktif diadakan pada peringkat kebangsaan.
Keduanya, berkaitan peranan Persatuan Pengkritik Sastera Malaysia, yang dahulunya merupakan sebuah persatuan yang bergiat aktif menyemarakkan program bersifat wacana, begitulah penghasilan kritikan kritis terhadap karya para penulis. Malah, persatuan tersebut menjadi alat penyatuan antara penulis dan juga organisasi yang berautoriti dalam soal memartabatkan bahasa kebangsaan dan sastera Malaysia. Ingatan itulah yang dicetuskan oleh beliau, dan sememangnya Mana Sikana pernah bersama-sama dengan pengkritik sastera tanah air seperti SN Kemala, SN Baha Zain, Hamzah Hamdani, dan Jaafar Abdul Rahim (sekadar menyebut beberapa nama), terutamanya dalam dekad 1960-an dan 1970-an.

“Tidak perlu dibanggakan dengan kehadiran karya yang melimpah dan sekadar memenangi beberapa anugerah. Namun, amat mendukacitakan jika karya yang muncul dan menang tidak pula diperkatakan ramai pembaca dan tinggalnya sebagai rekod sahaja. Inilah pentingnya, peranan pengkritik sastera dalam melihat sisi yang berbeza, kekuatan dan kelemahan sesebuah karya. Keberhasilan karya yang dikritik secara lunak dan berkesan mampu menjadikan karya itu ‘hidup’ dalam ingatan dan jiwa masyarakat. Kesan kepada pengarang karya pula adalah sedar dan tahu kekurangan karya, dan memperbaiki karyanya ke arah yang lebih matang!”
Begitulah ketegasannya.
Mana Sikana yang juga Sasterawan Negeri Perak yang kedua, meninggal dunia pada 26 Mei 2025. Anak jati Bagan Serai, Perak ini telah cukup berjasa pada perkembangan kesusasteraan Melayu. Semoga beliau dicucuri rahmat dan bakti beliau yang begitu besar dalam dunia sastera kebangsaan tidak dilupai dan terus diwarisi.
Al-Fatihah.
Buku Esei/Kritikan Mana Sikana, Kepengarangan Sastera Melayu Pascamoden tahun ini memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022. Beli buku ini di sini.
_________________________
Nor Muhamad Mat Zain atau Nur Muhamad Fansuri seorang pendaki gunung yang tegar dan amat intim dengan alam kehijauan fauna. Hasil makalah beliau pernah disiarkan dalam majalah Dewan Budaya dan Portal Gerbang Borneo. Beliau pernah menjadi editor di Bahagian Buku Sastera, Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan kini merupakan seorang pegawai di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.