Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini mengadakan kunjungan hormat ke kediaman Allahyarham Mana Sikana atau nama sebenarnya, Dr. Abdul Rahman Napiah, di Bangi bagi menyerahkan surat pemakluman rasmi penganugerahan Anugerah Sastera Negara (ASN) ke-16 kepada ahli keluarga Allahyarham.
Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Puan Roziah Md Yunus yang mewakili Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.
Dalam sesi tersebut, Puan Roziah menyerahkan surat pemakluman rasmi kepada ahli keluarga Allahyarham, iaitu isterinya, Puan Salmah Ali selain memaklumkan bahawa anak bongsu Allahyarham bernama Ismi Azhan Abdul Rahman telah dilantik sebagai pentadbir bagi urusan berkaitan dengan royalti dan penerbitan karya Allahyarham.
“Walaupun terdapat sedikit polemik sebelum ini, keputusan ini telah diperakukan mengikut tatacara yang diluluskan oleh Jemaah Menteri. Kami merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak waris atas pengiktirafan ini,” ujar Puan Roziah.
Menurut Puan Roziah, pihak keluarga Allahyarham akan menerima tiga komponen utama anugerah, iaitu Warkah Penghormatan Negara, wang tunai sebanyak RM60,000, serta penerbitan karya sehingga 50,000 naskhah atau maksimum bernilai RM500,000, dengan royalti disalurkan kepada waris.
“Kelazimannya anugerah ini akan dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong, dengan jangkaan majlis berlangsung sekitar bulan Julai atau Ogos depan.
“Pihak DBP juga ingin meminta izin waris untuk menerbitkan semula karya-karya Allahyarham yang bersesuaian sebagai Edisi Khas Sasterawan Negara menjelang majlis penganugerahan,” jelas Puan Roziah.
Apabila ditanya tentang reaksi pascapengumuman ASN ke-16 kepada Puan Salmah Ali, beliau mengatakan bahawa dirinya tidak menjangkakan keputusan ini kerana Mana Sikana sudah meninggal dunia.
“Menantu saya yang maklumkan kepada saya sejurus pengumuman dibuat tetapi saya tidak percaya sehinggalah dia menunjukkan kepada saya siaran sidang media oleh YB Fadhlina ketika itu,” jelasnya.
Anak kedua Allahyarham, iaitu Iqbal Fitri Abdul Rahman, turut menyatakan pandangannya bahawa sekiranya Mana Sikana masih hidup, beliau pasti ayahnya tidak mengharapkan sebarang pengiktirafan.
“Ayah menulis kerana minatnya dalam sastera dan untuk kepuasan dirinya. Ayah jenis yang merendah diri dan sudah beberapa kali menolak anugerah yang ingin diberikan kepadanya,” jelasnya.
Dalam pertemuan tersebut, ahli keluarga Allahyarham turut berkongsi kenangan tentang Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang tokoh yang merendah diri dan amat mencintai dunia sastera sejak kecil.
Terdahulu, keputusan ASN ke-16 telah diumumkan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, pada 28 April lalu setelah melalui proses penilaian yang teliti.