Diterbitkan pada 29 April 2026, 08:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ramlee Wahab memberikan reaksi terhadap kenyataan Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA), YBrs. Sdr. Zainal Abidin Muhamad tentang kewajaran pengarang yang sudah meninggal dunia dinobatkan sebagai Sasterawan Negara.

Jika benar Mana Sikana telah dipilih semasa hayatnya, tetapi pengumuman tertangguh atas sebab birokrasi, maka pindaan tersebut bukan manipulasi, sebaliknya pemulihan hak moral kepada tokoh yang telah lama menunggu pengiktirafan.

Pengiktirafan terhadap tokoh ilmu dan budaya dalam sejarah tamadun bangsa sedunia sentiasa menjadi cermin kepada kematangan sesebuah masyarakat. Bangsa yang besar bukan sekadar membina bangunan tinggi atau lebuh raya panjang, tetapi bangsa yang tahu mengenang budinya para pemikir, pengarang dan seniman.  Dalam konteks Malaysia, Anugerah Sastera Negara (ASN) ialah puncak penghormatan tertinggi negara kepada insan yang mengabdikan hidup sepenuhnya kepada bahasa, persuratan dan pemikiran kebangsaan.

Sasterawan Negara Mana Sikana

Maka apabila Allahyarham Dr. Abdul Rahman Napiah, atau lebih masyhur dengan nama pena Mana Sikana, diumumkan sebagai Sasterawan Negara ke-16, timbul pelbagai reaksi. Ada yang menyambut penuh syukur, ada yang mempersoalkan tatacara, dan ada pula yang menimbulkan perdebatan tentang kewajaran penganugerahan selepas meninggal dunia. Namun dalam menilai isu ini, kita wajar bersandar pada akal budi, fakta sejarah dan adab kesusasteraan, bukan semata-mata bersandarkan emosi liar dan kesasar.

Hakikat pertama yang harus difahami ialah anugerah seperti ASN tidak semata-mata diberikan kepada tubuh jasad, tetapi kepada jasa intelektual yang ditinggalkan. Karya besar tidak mati bersama-sama pengarangnya. Sebaliknya, karya yang bernilai akan terus hidup merentas zaman.

Seperti kata T.S. Eliot dalam Tradition and the Individual Talent (1919), seorang pengarang besar sentiasa berdialog dengan masa lampau dan masa hadapan. Ertinya, nilai sastera tidak terikat pada usia biologi pengarang, tetapi pada ketahanan pemikiran dan estetika karya tersebut.

Dalam tradisi Islam pula, sabda Nabi Muhammad SAW “tentang ilmu yang bermanfaat sebagai amal jariah” memberikan makna bahawa sumbangan intelektual terus mengalir pahalanya, walaupun seseorang itu telah meninggal dunia. Maka, apakah karya, teori, pemikiran, dan buku Mana Sikana tidak lagi bernilai hanya kerana beliau telah kembali ke rahmatullah? Sudah tentu tidak.

Menurut kenyataan rasmi, tatacara pemilihan ASN dipinda melalui keputusan Jemaah Menteri pada Januari lalu bagi membolehkan seseorang calon yang telah diputuskan layak, namun meninggal dunia dalam proses penilaian atau pengumuman, tetap boleh menerima pengiktirafan.

Pindaan ini bukanlah perkara ganjil. Dalam ilmu pentadbiran, undang-undang dan prosedur sentiasa boleh disemak bagi menutup kelompongan yang menafikan keadilan. Ahli falsafah politik John Rawls dalam A Theory of Justice (1971) menegaskan bahawa institusi yang baik mestilah mampu membetulkan ketidaksempurnaan prosedur agar keadilan substantif tercapai.

Jika benar Mana Sikana telah dipilih semasa hayatnya, tetapi pengumuman tertangguh atas sebab birokrasi, maka pindaan tersebut bukan manipulasi, sebaliknya pemulihan hak moral kepada tokoh yang telah lama menunggu pengiktirafan.

Mereka yang mempertikaikan anugerah selepas kematian seolah-olah lupa bahawa dunia moden sejak dahulu mengamalkan tradisi anumerta (posthumous award). Dalam sejarah Malaysia sendiri, pelbagai tokoh telah menerima penghormatan sedemikian.

Antaranya termasuklah:

  1. Tan Sri P. Ramlee menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) pada tahun 1990, walaupun beliau meninggal dunia pada tahun 1973.
  2. Seniwati legenda Saloma telah dianugerahi gelaran Puan Sri selepas beliau meninggal dunia. Gelaran Puan Sri (berikutan suaminya, Allahyarham P. Ramlee menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri).
  3. Wira negara dalam tragedi Lahad Datu turut menerima pingat keberanian secara anumerta.

Pelbagai tokoh negeri dan negarawan lain menerima darjah kebesaran selepas wafat sebagai mengenang jasa.

Pada peringkat antarabangsa, hal yang sama berlaku. Alan Turing, tokoh matematik dan perintis sains komputer Britain, menerima pengampunan diraja dan pengiktirafan besar selepas kematiannya. Begitu juga ramai tokoh seni, saintis dan pejuang kemanusiaan di seluruh dunia.

Maka, mengapa dalam bidang sastera kita terlalu sempit menilai jasa hanya kerana jasad telah tiada?

Mana Sikana dan Ketokohan Intelektual

Karya beliau bukan sekadar banyak, tetapi membentuk wacana …

Mana Sikana bukan nama kecil dalam dunia persuratan Melayu. Beliau ialah sarjana, pengkritik, novelis, dramatis, dan pemikir sastera yang produktif. Karya beliau bukan sekadar banyak, tetapi membentuk wacana. Antara sumbangan penting beliau termasuklah:

  • Pengembangan Teori Taabudiyah dalam sastera Islam.
  • Perbincangan tentang intertekstualisme dalam konteks Melayu.
  • Gagasan Sastera Junjungan.
  • Penulisan kritikan sastera yang konsisten.
  • Penghasilan novel, cerpen dan drama.

Banyak karya kreatif hebat termasuk buku ilmiah Mana Sikana terhasil sewaktu beliau masih hidup. Hal ini jelas menunjukkan keprolifikan dan keluasan daya cipta beliau. Dalam dunia akademik, bukan sedikit tesis, seminar dan kajian yang menjadikan pemikirannya sebagai rujukan. Beliau telah menghasilkan lebih 100 buah buku. Antaranya termasuklah enam kumpulan cerpen berjudul Santau (1982), Jejak yang Hilang (1984), Abzyx (1986), Nusia (2001), Fakurdabakia (2005), Daun-daun Keramat (2016); kumpulan drama Apa-Apa (1981), Tok Awang (1984) Hikmah (1998); novel Ronjang (1984), Klimak (1989) dan Syajar (1995); dan kumpulan anekdot Di Benua Buta (2007).

Dalam hal buku kajian sastera, Mana Sikana sememangnya jaguh, menghasilkan buku yang penting termasuklah Teras Sastera Melayu Moden (1982), Esei-esei Kesusasteraan (1983), Kritikan Sastera: Kaedah dan Aplikasi (1986), Di Sekitar Pemikiran Drama Moden (1989), Teori Sastera Moden (1990), Drama Melayu Moden (1996), Teori dan Kritikan Sastera Pascamodenisme (1998), Sastera Melayu Pascamodenisme (2004), Teori dan Kritikan Sastera (2002), Berdiri di Akar Diri: Kritikan Sastera Melayu Pascamoden (2013), dan Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan (2015).

Mana Sikana menulis dalam banyak genre sastera kreatif serta kertas penyelidikan tentang kesusasteraan Melayu moden. Selaku pengarang dan pengkaji, Mana Sikana seorang pengkarya yang prolifik serta tepu dengan falsafah dan pemikiran kontemporari. Prof. Madya Dr. Ariff Mohamad menyifatkan beliau sebagai “sarjana intelektual bangsa”. Pandangan ini bukan pujian kosong, tetapi lahir daripada pengamatan terhadap disiplin kepengarangan beliau selama puluhan tahun.

Ada suara berhujah bahawa seorang Sasterawan Negara seharusnya terus menghasilkan karya baharu selepas dinobatkan. Jika sudah meninggal dunia, maka sumbangan berterusan tidak lagi berlaku.

Pandangan ini wajar dihormati, namun tidak semestinya mutlak. Pertama, ukuran ASN bukan semata-mata potensi masa depan, tetapi keseluruhan legasi lampau dan semasa. Kedua, ramai tokoh dunia diiktiraf bukan kerana hal yang bakal ditulis, tetapi kerana hal yang telah pun diwariskan.

Shakespeare tidak lagi menulis drama baharu, tetapi dunia terus memuliakannya. Pramoedya Ananta Toer tidak lagi menghasilkan karya baharu, namun pengaruhnya terus hidup. Begitu juga Usman Awang, Keris Mas, Arena Wati, Shahnon Ahmad, dan tokoh besar sastera lain – nilai mereka tidak terhenti pada jumlah karya terkini, tetapi pada jejak pemikiran yang ditinggalkan.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ialah institusi bahasa dan sastera utama negara yang ditubuhkan sejak 1956. Sudah tentu institusi sebesar ini tidak terlepas daripada kritikan. Namun kritikan mesti adil dan beradab.

Jika ada kelewatan pengumuman atau kelemahan komunikasi, hal itu boleh dijadikan pengajaran untuk penambahbaikan. Namun jangan kerana kelemahan prosedur, kita menafikan kelayakan tokoh yang telah dipilih.

Dalam budaya ilmu, institusi mesti diperbaiki tanpa dihina, dan keputusan boleh dibahas tanpa menjatuhkan maruah sesiapa. Seperti kata Confucius, “The superior man is modest in speech, but exceeds in action.”

Kontroversi yang berpanjangan hanya akan mengalihkan fokus daripada perkara lebih utama, iaitu usaha menghidupkan kembali minat membaca, memperkasakan kritikan sastera, menerbitkan karya bermutu, dan memperluas apresiasi generasi muda terhadap persuratan Melayu.

Negara hari ini berdepan dengan cabaran baharu;  budaya bacaan yang menurun, dominasi kandungan ringkas media sosial, pasaran buku yang mengecil, kurangnya ruang kritikan ilmiah, dan generasi muda yang semakin jauh daripada teks sastera serius.

Dalam keadaan begini, kita seharusnya menjadikan pengiktirafan terhadap Mana Sikana sebagai pemangkin untuk menilai semula ekosistem sastera negara.

Akhirnya, persoalan utama bukan sekadar siapa menerima gelaran, tetapi bagaimana bangsa ini menghargai khazanah ilmunya. Jika Mana Sikana telah terbukti memberikan sumbangan besar, maka penganugerahan tersebut wajar diterima dengan berlapang dada.

Perdebatan boleh berlangsung, namun biarlah dalam batas adab dan hujah. Jangan kerana berbeza pandangan, kita lupa jasa seorang pengarang yang seumur hidupnya menabur bakti kepada dunia persuratan. Berikanlah penghargaan, walau sekelumit mana pun – meski disampaikan kepada ahli keluarga. Itulah tanda guru pernah menjadi penyebar ilmu, pengetahuan dijabarluaskan dan telah membijaksanakan ramai anak bangsa, wajarlah dikenang jasa-jasa gurunya.

Seperti peribahasa Melayu, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Mana Sikana telah pergi, tetapi namanya kini terpahat dalam sejarah kesusasteraan negara.

Dan sesungguhnya, bangsa yang tahu menghormati para pengarangnya, yang masih hidup dan juga sudah tiada, ialah bangsa yang kukuh jati dirinya dan sedang membina keabadian tamadunnya.

_________________________

Ramlee Wahab berasal dari Segamat dan kini menetap di Batu Pahat, Johor. Beliau pernah memenangi Hadiah Utama bagi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (Rencana Sastera) dan Hadiah Sastera Darul Ta’zim (Puisi Eceran). Beliau merupakan Mantan Timbalan Pengerusi dan Pemeriksa Kira-kira Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi