Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Tatacara penganugerahan Anugerah Sastera Negara (ASN) yang membawa gelaran Sasterawan Negara (SN) yang dilaksanakan sejak tahun 1981 dipinda bagi memastikan hak dan kemuliaan bakal penerima terus terpelihara.
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan berkata, pindaan yang diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Januari lalu menetapkan bahawa seseorang pengarang yang dicalonkan sebagai SN tetapi meninggal dunia dalam proses penilaian, namun terpilih untuk menerima anugerah berkenaan, tetap layak dinamakan sebagai SN.
Beliau berkata, keputusan itu mencerminkan pengiktirafan terhadap sumbangan dan kedudukan sasterawan, selain menjamin hak mereka terus dihormati.
“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri dipersetujui bahawa sasterawan yang telah terpilih kekal diangkat sebagai penerima.
“Ini satu hikmah kerana ia menjamin hak dan kemuliaan sasterawan, memandangkan purata usia penerima Sasterawan Negara ialah 62 tahun tujuh bulan, dan pada usia itu, terdedah kepada pelbagai isu kesihatan,” katanya menerusi Ucap Cendekia di laman Facebook rasmi DBP.
Anwar berkata, perubahan itu juga akan turut memastikan karya pengarang yang terpilih terus dicetak dan disebarkan oleh DBP untuk bacaan khalayak umum supaya amanat dan inspirasi mereka akan terus dihayati.
ASN diperkenalkan pada era 1980-an, dengan penerima pertama ialah Keris Mas pada tahun 1981. Sehingga kini, seramai 15 pengarang telah dianugerahi gelaran berkenaan, dengan yang terbaharu ialah Dato’ Rahman Shaari pada tahun 2022.