Diterbitkan pada 28 April 2026, 14:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Mana Sikana atau Allahyarham Dr. Abdul Rahman Napiah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara selepas setahun pemergiannya ke alam abadi, meninggalkan khazanah yang sarat dengan pemikiran dalam memartabatkan kesusasteraan Melayu.

Beberapa penulis, penyair, pengkritik, dan aktivis sastera menyifatkan penganugerahan tersebut adalah wajar, meskipun beliau sudah tiada berikutan sumbangan dan jasanya terhadap perkembangan bahasa dan pemikiran.

Rosli K. Matari

Sasterawan Negeri Kelantan, Rosli K. Matari berkata, sungguhpun Allahyarham telah meninggal dunia, namun hal ini tetap boleh diterima kerana pemilihan tersebut pastinya telah dinilai lebih awal oleh panel pemilih Anugerah Sastera Negara (ASN) sebelum pemergian Allahyarham.

Menurut beliau, Allahyarham merupakan antara tokoh penting dan besar dalam sumbangan kebaktian, pemikiran dan keunggulan bidang sastera di tanah air.

“Kewibawaan penting beliau lebih tepat dihormati dan dikagumi dari sisi perkembangan kesedaran eksperimental, pemikir teori, kritikus, dan pengarang yang membawa kecenderungan absurd, sureal, metafizik, dan pascamoden secara intelektual dan konseptual,” jelasnya semasa dihubungi hari ini.

Katanya lagi, selain menulis karya kreatif yang cemerlang dalam semua genre, Allahyarham begitu tegar membina kerangka teori, serta utuh dalam kritikan dan hal ini menunjukkan kewibawaan besar dan cemerlang Allahyarham.

Mohd. Dahri Zakaria

Tambah beliau, Allahyarham merupakan antara pemikir sastera yang unggul dalam membina pemikiran sastera Melayu dan kebangsaan yang tidak terlalu ingin bergantung pada teori sastera Barat.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek hari ini mengumumkan penerima ASN ke-16, iaitu Allahyarham Mana Sikana.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi Panel anugerah tersebut memaklumkan, keputusan panel telah dibuat pada 14 April 2025, bagaimanapun Allahyarham meninggal dunia pada Mei tahun yang sama dalam usia 80 tahun.

Pengerusi Liga Penulis Kelantan, Mohd. Dahri Zakaria, berpendapat, pengiktirafan tersebut merupakan suatu penghormatan terhadap legasi intelektual yang terus hidup dan bermakna dalam perkembangan sastera.

“Walaupun beliau sudah tiada, tetapi jasa dan tinggalan khazanahnya sangat bermakna dalam dunia sastera tanah air, bahkan sentiasa hidup seiring dengan arus perkembangan sastera kebangsaan.

“Allahyarham mungkin lebih dikenali dalam dunia kritikan sastera, tetapi kemampuannya menulis dalam pelbagai genre menjadi indikator yang melayakkan beliau menerima anugerah ini,” katanya yang juga aktivis sastera dan perbukuan di Kelantan.

Menurutnya, meskipun terkenal dalam bidang kritikan, namun kebijaksanaannya memperkenalkan dua teori, iaitu Teksdealisme dan Taabudiyyah mencerminkan keunggulan Allahyarham dalam dunia kesusasteraan Melayu.

Salman Sulaiman

Sementara itu, pengkritik dan penyair Salman Sulaiman menyifatkan Allahyarham Mana Sikana sebagai seorang penulis prolifik dan konsisten yang kekal aktif berkarya hingga ke akhir hayatnya.

“Allahyarham merupakan seorang sarjana sastera yang berpengalaman dan berwibawa dalam usaha menghidupkan dunia kritikan.

“Buku atau karya-karyanya begitu banyak turut menjadi rujukan penting, khususnya dalam sumbangan perkembangan dunia sastera tanah air,” katanya.

Tambah Salman, sumbangan Allahyarham pastinya menjadi inspirasi kepada generasi penulis dan pengkaji sastera dalam memperkasakan tradisi keilmuan sastera tanah air pada masa hadapan.

Nimoiz T.Y

Sementara itu, penulis dan penyair Nimoiz T.Y pula berkata, Allahyarham Mana Sikana tidak dapat dipisahkan daripada wacana kesusasteraan Melayu yang bersifat teoritis dan kritis, membentuk pemikiran dalam kalangan penulis tanah air.

Malah, tambah beliau, Allahyarham bukan sekadar susuk yang muncul sebagai pengarang kreatif, sebaliknya pemikir sastera yang berusaha membina kerangka kefahaman sastera dalam konteks budaya Melayu.

Jelasnya, melalui gagasan kerangka keilmuan, beliau memperlihatkan usaha serius untuk mengangkat sastera Melayu ke tahap yang lebih sistematik, setanding dengan tradisi kritikan sastera Barat, tetapi tetap berakar pada nilai tempatan dan keislaman yang tulen.

“Antara peranannya sebagai teoritis, kritikus dan kreatif sekali gus membezakan beliau dengan sasterawan lain yang kebanyakannya lebih tertumpu pada karya kreatif semata-mata, tetapi kewibawaan Allahyarham menggabungkan tiga elemen penting itu dalam dunia kesusasteraan.

“Jadi, secara peribadi, pilihan untuk menobatkan beliau sebagai Sasterawan Negara adalah rasional, bahkan wajar sebagai satu pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau dalam memartabatkan dunia kesusasteraan tanah air,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi