Diterbitkan pada 16 Mei 2026, 07:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sasterawan Negeri Terengganu 2015, S.M. Noor atau nama sebenarnya, Syed Mohammad Nor Tuan Long meninggal dunia jam 11.30 malam tadi.

Berita pemergiannya dikongsikan oleh pengarang yang juga pensyarah kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Kamariah Kamarudin.

S.M. Noor yang dilahirkan di Kuala Berang, Terengganu pada 16 Mei 1947, aktif dalam penulisan dan pembangunan sastera di Terengganu dan pernah menerajui Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA).

Allahyarham mula menulis sejak era 1960-an menerusi penghasilan skrip drama radio “Pengorbanan” yang ke udara di Radio Singapura pada tahun 1964, namun dalam tempoh yang sama, turut menghasilkan novel dengan karya sulungnya, Tertuduh yang terbit pada tahun 1967.

Novel lain tulisan Allahyarham termasuklah Tebaran Malam (1981), Angin Pijar (1994), Perang Makassar 1669 (2011) Infitar (2003), Pasir Lintang (2014), dan Hujan Dinihari (2017), manakala antara naskhah terbaharu beliau termasuklah Perempuan yang Berdiri dalam Pijar Mentari terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 2024.

Terdahulu, S.M. Noor pernah tampil dengan memoir Merandai Denai: Memoir Sasterawan Negeri Terengganu (2020).

Beliau pernah diangkat sebagai Karyawan Bulan Ini dalam Dewan Sastera keluaran Mac 1999.

Sepanjang terlibat dalam dunia penulisan, Allahyarham telah memenangi beberapa hadiah, termasuklah Tempat Pertama dalam Peraduan Cerpen DBP 1977, Sayembara Cerpen Esso-GAPENA (1979, 1983, 1985, dan 1994), Hadiah Novel Esso-GAPENA I (1994), Hadiah Drama TV Esso-GAPENA I (1995), dan Hadiah Drama TV Yayasan Pelajaran Islam-DBP (1997).

Selain diangkat sebagai Sasterawan Negeri Terengganu pada tahun 2015, Allahyarham pernah diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Terengganu dengan anugerah Tokoh Budaya Sezaman (Penulisan) pada tahun 1992.

Pemergian beliau disifatkan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Hazami Jahari sebagai kehilangan seorang tokoh yang banyak menyumbang kepada pekembangan sastera dan pemikiran bangsa.  Tambah beliau:

Senyaplah satu lagi suara yang menjadi nadi dalam pengkaryaan dan persuratan negara. Kehilangannya mengingatkan kita bahawa suara yang dibawa oleh Allahyarham menerusi karya beliau perlu terus dihidupkan. Walaupun jasadnya telah pergi, namun suaranya dalam karya yang dihasilkan tetap bersama-sama kita melatari dunia kesusasteraan negara. Semoga Allahyarham ditempatkan di dunia abadi yang dirahmati Ilahi. Salam takziah kepada keluarga Allahyarham.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi