Diterbitkan pada 22 Jun 2026, 10:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Mantan Ketua Satu, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid meninggal dunia malam tadi.

Berita pemergiannya itu turut dikongsi oleh Mantan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan dan Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad di media sosial.

Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar, yang berasal dari Batu Pahat Johor, memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di Universiti Malaya (UM).

Sepanjang tempoh kerjayanya, Almarhum juga menjadi tulang belakang penubuhan Program Penulisan Kreatif dan Deskriptif di Fakulti Sastera dan Sains Sosial universiti berkenaan, yang kemudiannya dinaik taraf dan dikenali sebagai Jabatan Pengajian Media.

Beliau turut dikenali sebagai pejuang bahasa, malah antara pemikir yang membawa kepada penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970, selain aktif mempromosikan usaha-usaha penterjemahan karya sastera Melayu kepada bahasa Jepun.

Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor UM dari tahun 1987 hingga tahun 1989.

Sepanjang usianya, Almarhum sudah menghasilkan pelbagai tulisan, antaranya termasuklah naskhah kritikan sastera, “Arah Perkembangan Kesusasteraan Melayu” (1974), Diskusi Sastera (DBP, 1974), Peristiwa-peristiwa dari Hikayat Hang Tuah (DBP, 1979) selain terlibat dalam kerja penyelenggaraan kumpulan esei kritikan sastera serta penyuntingan dan kajian teks sastera klasik dan moden yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti Hikayat Si Miskin dan Iakah Salmah?

Abu Bakar turut menyelenggarakan teks klasik Hikayat Hang Tuah yang dipermudah untuk bacaan pelajar dan remaja terbitan Yayasan Karyawan.

Menurut Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari, Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid seorang pejuang bahasa, tokoh akademik dan seorang pemikir yang menitikberatkan persuratan Melayu. Jelas beliau:

Usaha yang dilaksanakan oleh Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid dalam bidang persuratan negara harus dipuji. Pengembangan ilmu akademik menerusi persuratan yang diteliti dalam bentuk pengkajian, yang diterjemah menerusi penerbitan buku, dan yang disampaikan melalui pewacanaan merupakan usaha yang diharus yang diteruskan oleh pemikir yang akan datang. Sebagai penulis yang pernah menyumbangkan ilmu menerusi sastera dan penerbitan, pihak DBP amat menyanjungi dan berterima kasih kepada Allahyarham. Saya bagi pihak Dewan Bahasa dan Pustaka mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman yang dikasihi-Nya. Al-fatihah.

Almarhum pernah terlibat dalam penulisan dan penyuntingan beberapa naskhah biografi, termasuklah UMNO Johor 50 Tahun Memartabatkan Bangsa Melayu (1996) terbitan Berita Publishing, dan dua naskhah terbitan Penerbit Universiti Malaya, iaitu Royal Professor Ungku A. Aziz: The Renaissance Man (2010) dan Arshad Ayub: Menanam Pokok Tempat Berteduh (2018).

Kredit Foto: Yatt Hasan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi