Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dunia sastera tanah air kehilangan seorang lagi tokoh apabila cerpenis prolifik, Ahmad J. Husein atau nama sebenarnya Ahmad Husin, kembali ke rahmatullah pada pukul 4.00 pagi semalam.
Allahyarham yang dilahirkan pada 5 Jun 1953 di Kampung Surau Bakai, Kuala Ketil, Kedah, dikenali sebagai antara penulis senior Kedah yang banyak menyumbang kepada perkembangan cerpen moden Malaysia sejak era 1970-an.
Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada dunia kesusasteraan negara.
Menurut makluman keluarga, jenazah Allahyarham telah diuruskan di Masjid Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam sebelum dikebumikan.
Ahmad J. Husein memulakan langkah dalam dunia penulisan kreatif dengan cerpen pertamanya bertajuk “Itulah Takdirnya” yang tersiar dalam akhbar Berita Minggu pada 6 Mei 1978.
Sejak itu, beliau terus aktif berkarya selama lebih tiga dekad, menghasilkan cerpen, puisi, rencana, esei serta turut melibatkan diri dalam bidang lukisan kartun.
Sepanjang pelibatannya dalam dunia sastera, Allahyarham telah menghasilkan sekitar 100 buah cerpen dan lebih 150 puisi.
Karya beliau sering menghiasi penerbitan utama seperti Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, Dewan Masyarakat dan Dewan Sastera, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara penulis yang konsisten dan berpengaruh.
Antara kumpulan cerpen yang pernah diterbitkan termasuklah Terbalik (1991), Perjalanan Terakhir (1991), Tiada Rahsia Lagi (2014), Ketika Hujan Renyai-renyai (2015), dan Noktah Sebuah Perjalanan (2016). Selain itu, beliau turut menghasilkan kumpulan puisi Ogosku yang Pilu pada tahun 2010.
Karya beliau bukan sahaja diterbitkan secara perseorangan, malah turut dimuatkan dalam pelbagai antologi bersama-sama penulis lain seperti Kehadiran yang Dilupakan, Sesudah Senja, Lambaian Nusa, dan Gema Membelah Gema. Sumbangan berterusan ini memperlihatkan dedikasi tinggi beliau dalam memperkaya khazanah sastera negara.
Sepanjang kerjayanya, Allahyarham turut menerima pelbagai pengiktirafan termasuklah Hadiah Cerpen Esso-GAPENA II pada tahun 1981 dan tahun 1986. Kejayaan ini membuktikan kekuatan karya beliau yang sarat dengan nilai kemanusiaan, keinsanan dan realiti masyarakat.
Dalam kalangan rakan penulis, Allahyarham dikenali sebagai seorang yang tekun, rendah diri dan komited terhadap dunia penulisan.
Karyanya sering menampilkan tema kehidupan masyarakat, pergolakan emosi serta nilai kemanusiaan yang dekat dengan pembaca.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari, dalam satu kenyataan merakamkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham.
“Pemergian Allahyarham Ahmad J. Husein merupakan satu kehilangan yang amat dirasai oleh keluarga besar sastera negara. Beliau ialah penulis yang tekal berkarya dan telah menyumbang secara signifikan dalam memperkaya khazanah cerpen Melayu,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa karya Allahyarham akan terus hidup dan menjadi rujukan serta inspirasi kepada generasi penulis baharu.
“Sesungguhnya jasa dan sumbangan beliau dalam dunia kesusasteraan akan terus dikenang.
“DBP merakamkan setinggi-tinggi takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” tambahnya.
Pemergian Ahmad J. Husein meninggalkan legasi besar dalam dunia penulisan kreatif negara. Karyanya yang sarat dengan nilai kemanusiaan dan kepekaan sosial akan terus menjadi warisan berharga kepada generasi akan datang.