Diterbitkan pada 26 Mei 2025, 13:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sasterawan Negeri Perak kedua, Dr. Abdul Rahman Napiah atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana, meninggal dunia jam 10.30 pagi tadi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Berita pemergiannya dikongsikan oleh pelbagai pihak, antaranya termasuk Presiden Persatuan Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan mantan rakan sejawatnya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Profesor Madya Dr. Ariff Mohamad.

Mana Sikana sepatutnya menghadiri wacana Narasi Intektual: Menyoroti Pemikiran Mana Sikana dalam Multigenre yang dijadualkan berlangsung di UPSI jam 8.30 pagi tadi.

Walau bagaimanapun, beliau dilaporkan mendapat rawatan di HCTM sebelum disahkan meninggal dunia.

Mana Sikana yang berasal dari Bagan Serai, Perak pernah berkhidmat di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI.

Sebelum itu, Mana Sikana bertugas di Jabatan Persuratan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia, selain pernah berkhidmat di Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.

Mana Sikana yang menulis dalam pelbagai genre turut dikenali sebagai kritikus sastera tempatan yang terkemuka. Beliau tampil dengan beberapa teori sastera yang hingga kini kekal mendapat perhatian sarjana, termasuklah Teori Taabudiyyah dan Teksdealisme.

Sementara itu. Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Hazami Jahari menyifatkan Mana Sikana sebagai antara tokoh pencetus teori sastera Melayu yang memperkaya ruang pemikiran sastera Melayu.

“Pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang besar buat negara,” tambah beliau.

Kredit Foto: Nur Muhamad Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi