Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHidayyah AT Mizi percaya bahawa sastera Malaysia boleh diperkasakan melalui jalan terjemahan dan kritikan. Ikuti pandangannya.
Tentu saja, meskipun gerakan ini masih kecil dan bersifat organik, kita harus mengakui bahawa gelombang ini telah mula menyemarak dalam media sosial dan memberi impak kepada ekosistem sastera tempatan.
……….Berjagung-jagung dahulu, sementara padi masak.
……………………………………………….~ Peribahasa Melayu
Saya sependapat dengan pandangan yang diutarakan oleh Zaen Kasturi dalam artikel yang ditulis oleh Zuharman Mohammad Nor bahawa “Sastera Melayu Tidak Kurang Karya Besar dan Hebat”. Oleh itu, saya ingin meneruskan perbincangan ini dengan mengemukakan langkah-langkah yang dianggap sesuai dan wajar untuk merealisasikannya.
Dalam tulisan saya sebelum ini, “Membaca dan Sastera: Inisiatif Pembangunan Diri”, saya telah membincangkan potensi sastera dari sudut transisi peribadi. Walaupun pendekatan ini boleh diterapkan dan dijadikan cara hidup masyarakat, adalah penting untuk melaksanakan beberapa inisiatif lain secara serentak kerana kerja memasyarakatkan khalayak yang mencintai aktiviti membaca dan sastera khususnya, amatlah sulit.
Apabila usaha inisiatif pembangunan diri melalui membaca dan sastera ini mencapai kematangannya, diharapkan penterjemahan dan kritikan yang akan dibincangkan dalam tulisan ini juga dapat berkembang pada waktu yang sama. Dengan cara ini, kita dapat memperkenalkan sastera Malaysia dengan lebih berkesan.
Apa yang perlu kita tonjolkan kepada dunia ialah pandangan baharu mengenai sastera Malaysia. Hal ini merupakan elemen utama kerana selama ini, sastera Malaysia bukan sahaja dipandang rendah oleh orang luar, tetapi juga oleh sebahagian besar masyarakat yang belum mengenali sastera. Lebih memburukkan keadaan, kerisauan yang membawa persepsi negatif tentang sastera ini juga ditunjukkan oleh segelintir penggiat sastera sendiri. Seolah-olah, sastera di negara ini sudah berada di hujung tanduk, menghampiri ambang kehampaan dan menunggu saat kematian.
Walaupun kerisauan ini menunjukkan keprihatinan, membicarakan sastera dengan nada merendahkan tidak akan membawa sastera kita ke mana-mana. Tindakan ini seolah-olah seperti anjing menyalak bukit. Sedangkan, dari tahun ke tahun, perkembangan sastera dalam negara semakin baik.
Data kehadiran pengunjung ke Pesta Buku Antarabangsa dan program seumpamanya juga menunjukkan peningkatan. Jumlah penerbit mandiri dan kumpulan penulis swaterbit semakin bertambah dan aktif. Jualan buku juga dilaporkan semakin meningkat. Perbincangan mengenai buku oleh kolektif serta perkumpulan pembaca dan penulis semakin aktif secara organik, dengan aktiviti-aktiviti seumpama yang berkaitan dengan sastera juga semakin diraikan dalam kelompok kecil, namun tetap meriah.
Keberkesanan aktiviti secara organik ini telah menunjukkan hasil yang positif. Dalam kalangan penulis muda kini, kita dapat melihat fenomena sosial yang semakin berkembang apabila “penulis mendorong penulis lain untuk menulis dan menyiapkan manuskrip sebuah buku” serta “pembaca pula mengajak pembaca lain untuk berbicara tentang buku yang mereka suka”.
Tentu saja, meskipun gerakan ini masih kecil dan bersifat organik, kita harus mengakui bahawa gelombang ini telah mula menyemarak dalam media sosial dan memberi impak kepada ekosistem sastera tempatan. Saya melihat gerakan ini sebagai usaha untuk mengangkat taraf sastera di mata masyarakat dengan naratif sastera yang baharu. Sastera yang bagaimana? Sastera sebagai entiti kebersamaan. Sastera yang mengutamakan kekitaan. Sastera yang lebih terbuka untuk memberi dan menerima, selain merintis jalan bagi sastera yang mendunia.
Namun begitu, jika sastera Malaysia masih terfokus kepada khalayak dalam negara sahaja, pasaran yang ada belum cukup besar. Sastera Malaysia perlu melangkah keluar. Sastera kita perlu dipasarkan di peringkat antarabangsa. Karya-karya yang besar dan berpotensi tinggi perlu dibawa ke luar.
Persoalannya, bagaimanakah sastera Malaysia dapat berkembang melampaui sempadan negara dan membina identiti di arena antarabangsa?
Keluar dari Kepompong Domestik
Pertama, karya yang hebat dan berpotensi perlu keluar dari kepompong domestik dan menembusi pasaran antarabangsa. Banyak negara telah menunjukkan bahawa sastera mereka dapat berkembang melalui usaha terjemahan yang berterusan, seperti sastera Jepun, Korea dan Indonesia.
Terjemahan bukan sekadar proses teknikal untuk memindahkan teks dari satu bahasa ke bahasa lain. Hal ini melibatkan adaptasi budaya, pemahaman konteks dan kesedaran terhadap audiens sasaran. Oleh itu, kita memerlukan penterjemah yang bukan sahaja mahir dalam kedua-dua bahasa tetapi juga memahami nuansa sastera dan budaya Malaysia, agar semangat asal karya tetap terjaga.
Dengan mengikuti format yang sama, saya yakin usaha ini akan mendapat sambutan yang baik dalam membentuk tubuh sastera kita di mata dunia. Perlu ditekankan; karya terjemahan bukan hanya bermaksud membawa karya besar dari luar ke Malaysia, tetapi juga mengangkat usaha untuk memperbanyak jumlah karya sastera Malaysia yang diterjemahkan.
Malah, dengan kejayaan dua karya baharu siri terjemahan Fatimah Busu dan Ismail Zain baru-baru ini, diharap menjadi pembuka jalan untuk lebih banyak karya dari Malaysia diterjemahkan dan mendunia.
Fokus usaha ini bukan sekadar untuk meningkatkan jumlah pembaca, khususnya dalam kalangan pembaca luar, tetapi juga untuk dibincangkan dalam wacana global.
Membudayakan Kritikan dan Perbincangan Karya
Setiap tahun, ribuan buku diterbitkan di dalam negara, dan jika hanya 10 peratus daripada buku-buku ini diterjemahkan serta dibincangkan di peringkat antarabangsa, selain turut diperkatakan di platform-platform rasmi negara, sastera Malaysia berpotensi untuk mengukuhkan kedudukannya di persada dunia.
Setelah sastera ini berkembang, kita perlu membawa kembali hasil karya tersebut untuk dibincangkan dengan lebih mendalam dan holistik di dalam negara. Inilah pendekatan dua hala, yang dapat memberikan keyakinan dan persepsi bahawa sastera Malaysia sedang melebarkan sayapnya.
Sebagai contoh, sejumlah novel oleh Pramoedya Ananta Toer telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dan menjadi subjek kajian akademik di luar Indonesia. Hal ini menunjukkan bahawa dengan usaha yang berterusan, sastera dari Nusantara mampu mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Jika Indonesia boleh melakukannya, mengapa tidak Malaysia?
Hakikatnya, kita kini menghadapi kekurangan pengkritik, dan kritikan sangat diperlukan. Proses untuk membentuk dan menunggu kematangan pengkritik muda memerlukan masa yang lama. Mengharapkan pengkritik yang lebih berpengalaman juga tidak ideal, kerana mereka sudah berusia. Walaupun pemikiran mereka masih tajam, tenaga dan kemampuan mereka semakin berkurang. Tidak rasional untuk bergantung sepenuhnya kepada mereka untuk aktif, ketika mereka lebih tertumpu pada kebajikan diri dan keluarga.
Tentunya kita masih memiliki pengkritik yang gigih di lapangan. Sekadar menyebut beberapa nama yang masih bergiat secara aktif termasuklah Dr. Abd. Rahman Napiah (Mana Sikana), Salman Sulaiman, Dr. Arbak Othman, Dr. Mohamad Shahidan, Dato’ Rahman Shaari, Za’im Yusoff, Hafiz Hamzah, Ainunl Muaiyanah, Zaen Kasturi, Dr. Shamsudin Othman, dan Prof. Madya Dr. Ariff Mohamad.
Namun begitu, dengan ribuan buku yang dicetak setiap tahun, tugas untuk mengkritik dan membahas karya tidak dapat dipikul oleh segelintir orang saja. Untuk membangun persepsi, diskusi dan kritik tentang buku perlu diangkat dalam skala yang lebih besar; dianalogikan seperti barisan tentera menuju perang.
Hanya dengan cara itu kita dapat membangunkan gerakan. Ya, dengan cara itulah kita dapat membentuk tubuh sastera negara. Setelah bentuknya dapat dicerap, barulah orang luar dan kita sendiri akan menghormati tubuh sastera dengan persepsi dan gagasan baharu ini.
Jika tidak, usaha untuk menciptakan persepsi baharu tentang sastera kita akan tampak kurang efektif. Oleh sebab itu, kita memerlukan mekanisme yang tepat untuk memastikan kritik sastera di negara ini dapat berkembang seiring dengan kemajuan karya.
E.B. Feldman dalam Practical Art Criticism (1993) mengemukakan empat langkah untuk mentafsir maksud dan konteks yang terdapat dalam sesebuah karya. Walaupun perbincangannya merujuk naskhah seni, namun pentafsiran tersebut juga boleh diguna pakai dalam karya sastera bertulis. Empat langkah tersebut ialah:
Salah Faham tentang Kritikan Sastera
Secara amnya, terdapat segelintir penggiat sastera yang kurang menerima kritikan sastera sebagai satu bentuk karya yang perlu dihargai.
……….Mengapakah nektar tak ditemui lalat
……….bukankah matanya juga setajam lebah?
………………..(Lutfi Ishak, “40 Pengakuan: Kesempurnaan”)
Kritikan sastera ialah elemen penting dalam dunia kesusasteraan kerana kritikan berperanan untuk menilai, menganalisis dan memperkaya pemahaman terhadap karya. Namun begitu, terdapat pelbagai salah faham yang sering muncul dalam kalangan penulis, pembaca dan masyarakat umum mengenai kritikan sastera.
Salah faham ini bukan sahaja mengaburi maksud sebenar kritikan tetapi juga boleh menjejaskan perkembangan sastera secara keseluruhan. Oleh itu, adalah penting untuk memahami dan menghapuskan tanggapan yang keliru tentang kritikan sastera.
Terdapat tujuh salah faham tentang kritikan sastera, termasuk:
Disebabkan salah tanggapan berkaitan kritikan sastera ini, ada yang berpendapat bahawa seni kritikan ini tidak diterima sebagai salah satu karya sastera.
Adakah pendapat ini benar?
Secara amnya, terdapat segelintir penggiat sastera yang kurang menerima kritikan sastera sebagai suatu bentuk karya yang perlu dihargai. Hal ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk kurangnya pemahaman tentang peranan kritikan dalam dunia sastera dan juga pandangan bahawa kritikan sastera hanya relevan untuk golongan intelektual atau akademik.
Bagi sesetengah individu, sastera dilihat hanya sebagai karya kreatif, manakala kritikan terhadap karya tersebut dianggap sebagai pendapat peribadi yang mungkin tidak mempunyai nilai seni yang setara dengan karya sastera itu sendiri.
Kebanyakan khalayak sastera di Malaysia mungkin masih belum menyedari bahawa kritikan sastera bukan sekadar untuk menilai atau menegur, tetapi juga untuk memperkaya dan mendalami karya sastera dengan lebih mendalam.
Namun dalam kalangan penulis muda, tanggapan tentang kritikan sastera sebenarnya lebih positif dan disambut baik.
Mereka mula menghargai dan menerima kritikan sastera sebagai satu aspek penting dalam perkembangan seni dan budaya dengan belajar untuk saling menerima pendapat tentang karya dan usaha perkembangan penulisan masing-masing, dalam satu gelembung kecil.
Golongan ini memahami bahawa kritikan sastera bukan hanya untuk mencari kelemahan karya, tetapi juga untuk memberikan pengiktirafan terhadap kekuatan dan keistimewaan karya tersebut. Kritikan dilihat sebagai satu proses pembelajaran dan perkembangan yang dapat memperkukuh kedudukan sastera dalam masyarakat.
Kritikan sastera ialah satu proses intelektual yang penting dalam memperbaiki dan meningkatkan mutu karya sastera, selain memberikan perspektif yang lebih luas terhadap karya tersebut.

Benarkah Penulis Malaysia Tidak Suka Dikritik?
Ada satu dakwaan yang sering diulang tanpa bukti yang jelas, bahawa “Penulis Malaysia khususnya penulis muda, tidak suka dikritik.” Dari manakah datangnya kesimpulan ini?
Realitinya, tanpa budaya kritikan yang aktif, kita sukar untuk menentukan sama ada benar atau tidak bahawa penulis Malaysia menolak kritikan. Jika tidak ada pengkritik, bagaimana kita boleh tahu sama ada kritikan tersebut diterima atau ditolak?
Oleh itu, sebelum menyebarkan naratif bahawa penulis Malaysia tidak suka dikritik, kita perlu memastikan bahawa budaya kritikan itu sendiri wujud dengan sihat dan berfungsi dengan baik dalam masyarakat sastera kita.
Membina Ketahanan dan Daya Saing Sastera
Meskipun begitu, pemerkasaan sastera Malaysia memerlukan usaha kolektif, daripada kalangan penulis, penterjemah, pengkritik, pembaca, penerbit, dan institusi budaya. Semua pihak harus memainkan peranan untuk memastikan sastera Malaysia berkembang dan mendapat tempat yang sewajarnya di peringkat antarabangsa.
Dengan memperkukuh budaya terjemahan dan kritikan sastera, kita bukan sahaja dapat mengangkat karya tempatan ke persada dunia tetapi juga membina satu identiti sastera Malaysia yang kukuh dan dihormati.
Sebagai kesimpulan, pemerkasaan sastera Malaysia tidak boleh bergantung pada satu usaha sahaja, sebaliknya perlu digerakkan secara menyeluruh dan bersepadu. Terjemahan dan kritikan sastera merupakan dua aspek penting dalam usaha membina ketahanan dan daya saing sastera kita di peringkat global.
Tanpa terjemahan, karya kita akan terus terperangkap dalam lingkungan domestik, dan tanpa kritikan yang membina, sastera kita akan kehilangan daya intelektual yang diperlukan untuk berkembang.
Maka, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak – penulis, pengkritik, penterjemah, penerbit, pembaca, serta institusi sastera – untuk memperkukuh ekosistem ini agar sastera Malaysia tidak hanya dikenali di dalam negara tetapi juga mendapat tempat di persada antarabangsa.
Dengan langkah yang strategik dan konsisten, semoga kita dapat membina persepsi baharu yang lebih baik terhadap sastera Malaysia. Seterusnya menjadikannya satu warisan yang dapat dipegang oleh generasi akan datang.
_________________________
Hidayyah AT Mizi ialah penulis dari Perak. Beliau banyak menyumbangkan puisinya di beberapa media massa. Kata-kata yang Muncul di Cermin (Kata-Pilar, 2021) merupakan kumpulan puisi sulungnya.