Diterbitkan pada 9 Februari 2025, 19:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seremban – Karya besar dan hebat tidak semestinya terhasil daripada sebuah pemikiran mengenai hal atau isu berkaitan dunia semata-mata, sebagaimana yang dianggap oleh sesetengah pihak.

Penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2010, YBhg. Encik Zaen Kasturi berkata, khazanah yang berada pada ruang lingkup kehidupan manusia mampu menjadi sumber inspirasi kepada seseorang penulis untuk menghasilkan sesebuah karya yang besar dalam seni kesusasteraan Melayu.

“Selain harus berjiwa besar, dalam konteks melahirkan karya besar ini, kita juga hendaklah menghargai apa-apa yang ada di sekeliling kita. Kita harus melihat sesuatu yang ada di sekeliling itu dengan hati dan jiwa.

“Jika kita perhatikan pada karya-karya besar dunia, karya-karya tersebut bukan berdasarkan isu dunia semata-mata. Sebaliknya rakaman peristiwa atau perkara-perkara sekeliling, yang terdekat dengan penulis itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Industri 4.0 yang diadakan di Klana Resort, Seremban, sempena mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) kali ke-48/2025.

Forum tersebut merupakan sebahagian daripada Wacana Setengah Abad PEN yang membincangkan topik “Menjana Karya Besar”.

Zaen turut memaklumkan, sastera Melayu sebenarnya tidak kurang dengan karya-karya besar atau hebat yang sama taraf dengan karya besar daripada luar negara, dan hal ini pernah diakui oleh sarjana Barat.

Beliau membayangkan kelemahan perkembangan sastera tanah air adalah apabila ada pihak yang hanya lantang bercakap tentang kearifan dan kebijaksanaan tempatan, selain mempunyai banyak karya, tetapi tidak digali untuk dikaji.

“Sebenarnya, memang kita mempunyai banyak karya hebat tetapi tidak digali, tidak dilihat dengan secara yang lebih adil. Mungkin kita kekurangan sarjana, kerana itu peranan sarjana penting,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan sesetengah pihak berkenaan yang seolah-olah lebih berminat untuk menterjemahkan karya besar dari luar berbanding karya tempatan untuk diangkat dengan selayaknya.

“Saya tidak tahu apa yang dilihat di luar itu. Karya kita (tempatan) sebenarnya ada yang lebih hebat.

“Seolah-olah sekarang kita bukan hendak melahirkan karya yang besar tapi nak melahirkan buku-buku yang banyak,” katanya.

Kredit Foto: Arina Zata Sabila Musthafa Abrar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi