Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHaniff Zikri menyampaikan enam perkara sebagai tanda ingatan dan penghargaan kepada Zaen Kasturi dan sumbangannya dalam dunia kepenyairan Malaysia. Nota ini diubah suai daripada ucapan pada majlis Ingatan kepada Zaen Kasturi sempena Festival Mini Sastera OPERA pada 23 Ogos 2025.
Saya berhasrat untuk membicarakan enam perkara tentang Zaen Kasturi.
Zaen Kasturi, peribadinya misteri. Kita sukar menjawab, siapa sebenarnya beliau. Mungkin saya boleh katakan, antara juzuk seorang Zaen Kasturi, beliau seorang pemain bola sepak yang handal. Beliau terpilih mewakili negeri Melaka ketika tingkatan lima untuk pertandingan peringkat kebangsaan.
Cuma saya tertanya, adakah beliau seorang pemain pertahanan, penyerang atau penjaga gol? Kalau melihat puisinya, saya membayangkan beliau seorang pemain tengah, perancang permainan yang sangat taktikal. Juga gigih, banyak ulang-alik ke seluruh padang untuk bertahan dan menyerang. Kita dibawa melihat permainan uniknya, menggelecek dan menghantar bola idea ke mana-mana. Di hujung puisi, beliau membuat umpanan tak terjangka, meminta kita sendiri menjaringkan gol.
Ada satu tulisan menarik beliau dalam Dewan Sastera tahun lepas. Zaen membayangkan bahawa bermain bola lebih seronok berbanding menonton perlawanan bola. Berlari, menggelecek, mengah-mengah dan berpeluh-peluh adalah lebih baik daripada sekadar duduk di tepi padang. Walau ada risiko cedera, kita terasa lebih hidup.
Begitu juga pekerjaan berfikir. Kita harus berani menikmati dan menjalani proses berfikir, berbanding hanya melihat orang berfikir dan menjadi pengikut buta. Hal ini melekat dalam ingatan saya.
Siapakah “kawan” dalam siri puisi 77 Tuju: Ingatan kepada Kawan?
Kadang saya membayangkan sebenarnya Zaen Kasturi banyak menulis kepada M. Said Muharam, dan M. Said Muharam menulis kepada Zaen Kasturi. Mungkin mereka memahami tulisan sesama sendiri.
Saya mengagak begitu kerana mereka bersahabat baik dalam Grup Setanggi di Universiti Malaya dulu. Mungkin kerana mereka seolah-olah mendekati makna dengan cara yang sama.
Kata-kata puisi mereka seolah-olah berlegar antara jaringan realiti, asumsi dengan falasi. Falasi di sini merujuk penyimpangan daripada makna yang asal.
Sekali lagi saya tanyakan, siapakah kawan dalam puisi beliau?
Zaen sendiri memberi jawapan: semuanya adalah kawan, dikenali atau tidak. Anda juga adalah kawan dalam puisi Zaen Kasturi. Kata ‘kawan’ digunakan untuk membuat watak terasa dekat. Zaen nampaknya ingin berkawan dengan semua. Beliau tidak mahu berlawan dengan sesiapa.
Dalam baris-baris puisi Zaen, kita boleh menjadi siapa sahaja dan apa sahaja. Pilihlah nama lain untuk dirimu: sama ada menjadi “bunga rumput”, “duri pada mawar”, “cermin kaca”, “nyanyian hujan di kuburan”, atau “kunarpa mahing”. Tentu saya juga pertama kali menemui “kunarpa mahing” apabila membaca puisi beliau. Penjelasannya, ‘kunarpa’ berasal daripada perkataan Sanskrit, bermaksud mayat yang dah tak serupa mayat, yang bergelimpangan selepas perang. ‘Mahing’ merujuk bau yang amat busuk.
Terpulanglah mahu jadi fajar pagi atau lembayung senja. Tapi ingat, semua imej ini bukan kosong. Dalam puisi Zaen Kasturi, imej-imej ini mewakili kisah, mewakili manusia; sikap dan warna hidupnya.
Apa yang kita pelajari daripada Zaen Kasturi? Sedangkan Zaen tidak kelihatan ingin mengajar apa-apa, tidak ingin mengajar sesiapa. Zaen enggan menjadi propagandis atau moralis. Kata beliau:
“Menulis adalah menyampaikan rasa.”
“Seni bukan satu ajakan, tapi bujukan.”
“Kerja seni harus spontan dan murni.”
Sekali lagi saya tanyakan, apa yang kita pelajari daripada Zaen Kasturi?
Bagi saya, sekurangnya ada satu perkara: kepekaan pada rasa.
Saya belajar bahawa selain menjadi manusia makna, dan manusia takdir, kita juga adalah manusia rasa. Kita manusia, diberi deria hebat oleh Tuhan untuk mengecap setiap yang tumbuh lebat di alam raya ini. Juga deria untuk mengecap kesunyian setelah lama tenggelam dalam hidup yang riuh.
Dalam sunyi, akan ada pertemuan-pertemuan dengan dasar diri.
Setiap pertemuan menghadirkan rasa yang baharu. Saya bayangkan banyak puisi Zaen Kasturi lahir dalam suasana ini, terutama dalam kumpulan puisinya Iga.
Zaen berjalan ke hujung-hujung sunyi alam sambil menanam benih-benih kenangan. Benih-benih itu tumbuh menjadi pohon puisi. Di situ perjuangannya.
Saya tentu tak mampu berpura-pura memahami semua puisi Zaen Kasturi. Ada yang belum sampai pada pengetahuan saya. Atau belum sampai pada pengalaman saya untuk memahaminya.
Untuk itu, hari ini saya memilih untuk membaca puisi yang agak ringkas, mungkin sekilas tidak membawa lenggok khas Zaen Kasturi, tapi sangat saya suka.
………Ingatan kepada Kawan “xxxiii”
………..jika kita tak berdaya menjadi pohon beringin
………..yang tegak di puncak bukit
………..kita akan menjadi belukar
………..tetapi belukar merimbun hijau
………..yang tumbuhnya di tepi danau
………..jika kita tak sanggup menjadi belukar
………..kita akan menjadi rumput
………..tetapi rumput yang memperkukuh
………..batas pinggiran jalan
………..dan jika kita tak mampu menjadi jalan
………..kita akan menjadi lorong
………..tetapi lorong yang lurus biarpun kecil
………..yang membawa orang ke arah mata air
Demikianlah. Bagi saya, puisi ini membicarakan hal kemampuan dan keinginan yang kadang tak sepadan. Tetapi puisi ini tidak meratap dan berputus asa. Puisi ini seolah-olah bercerita bahawa menginginkan sesuatu yang benar adalah satu kemampuan yang besar.
Zaen ada menyebutkan: “Biar karya saya yang berjalan di hadapan. Saya ingin duduk di belakangnya”.
Lalu mengapa ada majlis meraikan seperti ini? Adakah Zaen selesa dengannya? Atau beliau hanya setuju setelah dipujuk berkali-kali? Oleh Lutfi Ishak, contohnya.
Apa pun jawapannya, saya anggap meraikan beliau adalah tanggungjawab kita, khalayak sastera. Beliau suka atau tidak, beliau peduli atau tidak, kita mesti menghargai Zaen Kasturi.
Kata ‘Zaen’ (زين) itu sendiri dalam Bahasa Arab antaranya bermaksud perhiasan, keelokan dan keindahan. Kalau bintang-bintang adalah unsur yang menghiasi langit dunia, saya berani katakan:
Zaen Kasturi juga adalah bintang yang menghiasi langit sastera Malaysia.
Saya ada satu soalan akhir untuk Zaen Kasturi. Saya mohon beliau sudi berkongsi jawapannya dengan kita semua malam ini.
Soalannya berbunyi begini: Siapakah atau apakah Kasturi dalam nama Zaen itu?
Adakah A: Hang Kasturi dalam Sulalatus Salatin?
B: haruman paling wangi daripada musang jebat?
Adakah C: Haruman daripada sejenis bunga?
D: Haruman wangi daripada kelenjar kijang putih jantan?
Atau E: kasturi adalah gelar atau nama lain bagi ayahanda beliau?
Sama-sama kita nantikan jawapannya selepas ini.

(Nota yang cuma enam ini, akhirnya menjadi tujuh dengan jawapan Zaen Kasturi pada soalan terakhir itu. Rupanya nama ‘kasturi’ dipilih kerana Zaen terinspirasi pada watak Hang Kasturi dalam Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah yang berbeza. Seorang melawan kezaliman dengan caranya, seorang lagi memilih berdiam menjauhkan diri daripada konflik. Setiap konflik mungkin menuntut jawapan yang berbeza daripada kita.)
_________________________
Haniff Zikri, penulis buku Dar Baraka dan Nama Pertama untuk Duka. Beliau meminati badminton dan puisi. Ini percubaan pertamanya menulis esei.