Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIrfan Fikri, yang rupa-rupanya turut terselit dalam kalangan hadirin Festival Mini Sastera OPERA, tidak melepaskan peluang melontarkan beberapa pemerhatian dan pengamatan tentang inti mauduk festival yang membawa kepada persoalan tentang Anugerah Sastera Negara.
Di sinilah terletak premis yang paling mendalam, yakni sastera hanya akan terus bernyawa apabila yang diraikan ialah isi, bukan susuk; makna, bukan figura …
Kus semangat! Andai bukan kerana saranan ringkas Fahd Razy, barangkali saya tidak akan berpeluang ke Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Sabtu, 23 Ogos 2025. Ajakan kecilnya telah membuka pintu besar yang memungkinkan saya kini berhasil melihat bagaimana sebuah festival kecil mampu memberi denyut baharu kepada sastera tanah air.
Festival Mini Sastera OPERA oleh organisasi OPERA yang dikepalai oleh Lutfi Ishak dan Hafizah Iszahanid ternyata bukan sekadar pesta nama atau himpunan upacara kosong, tetapi sebuah ikhtiar untuk menyedarkan khalayak bahawa sastera yang hidup tidak pernah dibina atas soal siapa yang ditinggikan, sebaliknya atas perihal apa yang benar-benar ditulis, direnung sembari diwariskan sebagai legasi untuk dirujuk zaman. Di sinilah terletak premis yang paling mendalam, yakni sastera hanya akan terus bernyawa apabila yang diraikan ialah isi, bukan susuk; makna, bukan figura; “apa” yang abadi, bukan “siapa” yang sementara.
Zaen Kasturi diraikan pada malam itu. Namun yang bersinar bukanlah susuk tubuhnya, atau mitos peribadinya meskipun malam itu telah terbongkar maksud Kasturi pada nama penanya, melainkan termustahak ialah ingatan terhadap karya-karya yang ditinggalkannya di hadapan kita. Zainal Rashid Ahmad menegaskan bahawa Zaen tidak pernah mahu mendahului puisi-puisi dan cerpen-cerpennya. Biarlah karya-karya itu mara terlebih dahulu di hadapan, menyala sebagai obor di jalan, sedang diri Zaen mengekori dari belakang.
Maka, tidak hairanlah Wan Nor Azriq ketika sesi siang menyatakan dengan tegas bahawa karya yang masih memerlukan pembelaan pengarangnya ialah karya yang telah gagal. Prinsip ini, tanpa perlu menyelongkar Barthes dengan “Death of the Author”, Hirsch dengan Validity in Interpretation, Eco dengan Intentio Operis, bahkan Foucault dengan What is an Author? pun, adalah terlalu asas bagi pengarang yang faham akan fungsi karya.
Jika teks itu masih perlu dibela oleh penciptanya, untuk apa teks itu dicipta? Karya sejati tidak memerlukan mulut tuannya untuk bernafas; ia hidup dengan kekuatan sendiri, sebagaimana pohon yang tumbuh daripada benih, lalu buah dan bunganya dinikmati penziarah, tanpa akarnya perlu tertonjol keluar semata-mata untuk membuktikannya cukup rendang dan besar.
Azriq menolak nama samaran dan menuntut pengarang berdepan dengan wajah sendiri. Namun dalam masyarakat sastera kita yang masih gemar membongkar biografi lebih daripada menimbang hujah, samaran boleh sahaja menjadi tabir yang mengalih pandangan daripada susuk kepada teks, daripada reputasi kepada isi. Sama ada dengan nama sendiri atau nama pinjaman, yang utama ialah karya berdiri dengan sendirinya, tidak bergantung pada wajah penulis untuk menegakkannya.
Justeru, jika bukan pengarang, siapakah yang akan memikul tanggungjawab mengangkat karya ke tengah khalayak dunia? Festival ini memberi jawapan melalui kurator Rasydan Fitri yang begitu teliti mengangkat peran penterjemah dan pembaca.
Penterjemah ialah mereka yang memindahkan bahasa asal ke bahasa sasaran. Sebaliknya, pembaca pula terdiri daripada massa yang terdiri daripada mereka yang membaca, baik sekadar nikmat mengunyah seperti ditelah Saat Omar, sehinggalah kelompok pengamat serius yang berupaya untuk menentukan merit sesuatu teks. Kelompok kedua ini mengecap nikmat membedah karya hasil daripada pengalaman menelusuri kebesaran ruang pembacaan, meminjam ungkapan oleh Fadli al-Akiti.
Pauline Fan dan Florence Kuek dalam sesi dari kamar penterjemah berpendirian bahawa penguasaan bahasa semata-mata tidak mencukupi. Penterjemahan bukan kerja mekanikal seperti mesin terjemahan, tetapi sejenis seni yang memerlukan cinta. Penterjemah harus terlebih dahulu jatuh cinta dengan teks sebelum memindahkannya, kerana yang dipindahkan bukan sahaja kata, tetapi juga roh makna dan rasa. Tanpa cinta, terjemahan hanyalah jasad kosong. Sebaliknya, dengan cinta, seni penterjemahan itu membawa karya kepada kelahiran semula, khususnya kepada kelompok sasaran baharu.
Pada sisi lain, Za’im Yusoff mengingatkan kredo Mamat Khalid bahawa kritikan bukan memuji atau mengeji, bahkan menilai. Penilaian itulah yang membicarakan hal bagus, hal teruk, malah hal neutral dengan adil. Karim Mohd menguatkan lagi pandangan ini dengan memetik kerja-kerja kritikan seperti yang dicontohkan oleh Sasterawan Negara (SN) Muhammad Haji Salleh dan SN Baha Zain adalah amat mustahak kerana merekalah yang menyambung nyawa karya selepas para pengarang menulisnya.
Ruhaini Matdarin usai merumuskan hal ini dengan metafora indah: betapa pengkritik ialah penjaga nafas penulis. Setelah khalayak menikmatinya, pengkritik memastikan nafas itu terus dihela zaman. Tanpa pengkritik, betapa mudah karya besar ditelan lalai dan lupa.
Buktinya, sekiranya Ariff Mohamad tidak membentangkan senarai korpus novel dalam festival ini, barangkali kita tidak sedar pun akan kewujudan karya-karya prosa penting yang menandakan zaman persuratan nasional. Inilah peri pentingnya ekosistem sastera yang saling berfungsi bila mana pengarang menulis, penterjemah memindahkan, pembaca menghidupkan, dan pengkritik memperkatakan untuk terus mengekalkan karya di sisi zaman.
Arkian, janganlah kita terus menobatkan nama tanpa arah, mahkota tanpa kiblat, singgahsana tanpa pewaris yang benar-benar punya legasi …
Dalam konteks Malaysia, mercu beban zaman ini dipikul melalui penganugerahan Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran Sasterawan Negara apabila para pengarang menerima pengiktirafan tertinggi yang bertitik tolak daripada sumbangannya yang cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan yang bermutu tinggi.
Namun begitu, dengan segala keistimewaan yang ditengkolokkan di jemala Sasterawan Negara, bahkan kelebihan-kelebihannya yang datang daripada dana kerajaan yang asal muasalnya adalah daripada saku rakyat, maka wajar ditanyakan, apakah kriteria kelayakan sebenar untuk karya dan pengarang dijulang sehingga ke tahap itu?
Paling tidak ada dua. Pertama, karya mesti meninggalkan jejak kepengarangan yang membekas. Sama ada mengukuhkan atau membina genre yang ditukangi sehingga mampu menjadi representasi zaman. Ridzuan Harun menegaskan hal ini tatkala mengapresiasi Zaen. Jika pengarang lain yang lebih dahulu meneruskan puisi eksperimental dan absurd, Zaen mungkin tidak kelihatan ulung. Tetapi kekonsistenan beliau menjadikan dirinya sebuah kota puisi yang wajib diziarahi oleh sesiapa sahaja yang ingin menjejak peta kepenyairan Malaysia.
Jika ada yang mengeluh karya Zaen sukar difahami, Haniff Zikri telah pun mengingatkan betapa bukan makna yang tiada, tetapi pengalaman kitalah yang belum cukup matang untuk bertemu dengan makna itu.
Kedua, korpus karyanya mestilah memberi kesan mendalam pada ekosistem sastera, termasuklah para pengarang lain, para penterjemah, bahkan seluruh tradisi. Ruhaini Matdarin dan Shield Sahran mengaku mereka memasuki kepengarangan melalui lorong-lorong yang dibuka oleh SN Shahnon Ahmad.

S.M. Zakir pula menegaskan, karya Shahnon Ahmad penting kerana menyalakan wacana politik dalam kesusasteraan, cocok dengan pengaruh politik yang begitu sentral dalam tatanan masyarakat tempatan. Jika Shahnon melegasikan hal itu pada prosa, Zaen pula mewariskan kedalaman yang sama dalam dunia puisi dengan menolak keselesaan bahasa, menggugat bentuk lama dan menyalakan suluh bentuk dan teduh tafsir kepenyairan baharu.
Jika ada yang masih menganggap yang Zaen “terlalu muda” untuk mahkota ini, bukankah umurnya sudah 61 tahun pada 2025? Seperti yang dikongsi oleh Zaen pada malam itu, pernah berlaku sekelompok generasi muda menjemputnya ke sebuah acara, mereka berkata sesi itu adalah untuk memperkenalkan Zaen kepada khalayak. Dengan penuh hikmah beliau berkongsi jawapannya, “Tidakkah karya-karya saya sudah cukup melakukan hal itu?”
Inilah Zaen. Tidak tunduk kepada protokol nama, hanya menyerahkan dirinya kepada roh karya. Beliau bukan sekadar penyair, tetapi revolusioner. Puisinya mengangkat absurditi menjadi tafsir, menjadikan imejan dan realiti sebagai paradoks dan mengalihkan puisi Melayu daripada retorik terik luaran kepada renungan getir dalaman.
Katarsis (1993), Iga (2005), 77 Tuju (2015), bahkan Fajar Lingkung Lembayung (2020) membuktikan bahawa Zaen tidak menulis untuk hari ini, tetapi untuk zaman. Jika Shafiq Said dalam sesinya menyatakan bahawa penyair yang dicarinya dalam puisi ialah susuk manusia rasa, tanpa syak lagi, Zaen Kasturi ialah tokoh manusia rasa berkenaan. Contohnya, rasa patriotisme yang begitu rinci telah berjaya digerakkan oleh puisi “Ke Ruang Katarsis” sebagaimana yang dideklamasikan oleh Salman Sulaiman pada malam itu. Demikian, boleh dikatakan karya ini ialah karya bernuansakan nasionalisme yang penting dalam genre puisi yang layak dimuktamadkan sebagai khazanah negara.
Justeru, jika benar gelaran Sasterawan Negara dimaksudkan untuk mengangkat para pengarang yang membina arah baharu, maka Zaen Kasturi ialah calon yang tidak wajar diragukan lagi. Beliau bukan sahaja konsisten menulis, bahkan konsisten juga dalam revolusi pengkaryaan yang beliau tekal percaya.
Oleh itu, bukanlah Zaen yang rugi jika tidak dinobatkan sebagai Sasterawan Negara, tetapi prestij penganugerahan itu sendiri dikhuatiri akan terus tercalar, apatah lagi kedua-dua kriteria yang dihuraikan di atas dilihat semakin kabur dalam realiti dan kesan kepengkaryaan susuk-susuk yang dianugerahkan dalam dekad terkini ini.
Malah, DBP juga tidak rugi kerana telah pun memilih Zaen selaku penerima SEA Write Award 2010. OPERA juga tidak rugi kerana festival mini ini telah jelas menjadi saksi apresiasi khalayak kepada kepengarangan Zaen. Khalayak juga tidak rugi kerana karya Zaen tetap hidup, terus dicari-cari untuk dibaca dan diikuti, bahkan terus diperdebatkan.

Yang rugi hanyalah tangan-tangan yang telah diberikan amanah untuk menunaikan tanggungjawab kepada sastera tanah air, tetapi memilih untuk culas dan cuai. Jika hal itu terjadi, pasti kegagalan itu akan dihukum oleh zaman, bahkan bakal dipersoal oleh Tuhan.
Arkian, janganlah kita terus menobatkan nama tanpa arah, mahkota tanpa kiblat, singgahsana tanpa pewaris yang benar-benar punya legasi. Sastera kita hanya akan hidup jika kita mengutamakan untuk mengangkat “apa” ketimbang “siapa”.
Dan dalam “apa” itulah Zaen Kasturi telah lama berdiri atas kaki kepengarangannya sendiri, teguh sebagai sebuah kota puisi nan kukuh yang tanpa kehadiran papan tanda arah pun, akan tetap dikunjungi oleh para pencinta sastera Malaysia dan dunia.
_________________________
Irfan Fikri, susuk generasi baharu yang belum mencecah empat dekad usia, membesar bersama-sama helaian Dewan Sastera dan Tunas Cipta, dua bacaan utama yang menumbuhkan minat hingga menggerakkannya berkongsi pemerhatian tentang denyut nadi kesusasteraan tanah air.