Diterbitkan pada 26 Ogos 2025, 10:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman menceritakan hubungan persahabatan yang dijalin bersama-sama dengan Zaen Kasturi.

Walaupun frasa-frasa yang ditulisnya selalunya terlalu peribadi, namun sajak-sajaknya tetap tidak jemu kita baca …

Apabila menyebut nama Zaen Kasturi, tentu saja akan mengingatkan kita pada karya-karyanya yang indah, halus dan unik itu. Saya baca sajak-sajak penyair besar ini sejak mula mencintai sastera di alam persekolahan seawal tahun 1998. Namun bagi saya sendiri, nama Abang Zaen Kasturi akan mengingatkan saya kepada banyak kenangan kami sepanjang berada di Indonesia pada bulan Julai 2012, semasa mengikuti Program Penulisan MASTERA: Puisi.

Kami bertuah sebenarnya; iaitu saya, Lutfi Ishak dan Syaidul Azam, kerana didampingi oleh Zaen Kasturi, sebagai satu-satunya pembimbing dari Malaysia pada tahun berkenaan.

Tahun itu, bengkel MASTERA tidak lagi diadakan di perbukitan Bogor, namun di pesisir Selat Sunda, iaitu di Pantai Anyer. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga membekalkan duit belanja kepada kami para peserta bengkel, selain menyediakan tempat tinggal selama di sana dan tiket pergi balik ke Jakarta juga ditanggung beres. Jadi, dengan duit itulah saya ghairah membeli buku, hingga kata Zaen, “Salman beli buku macam beli kuih,” apabila beliau melihat saya begitu teruja memilih dan membayar buku di kaunter.

Kami bertiga bersama-sama Abang Zaen semasa Bengkel MASTERA 2012 di Anyer, Banten, Indonesia. Dari kiri: Saya, Syaidul Azam, Zaen Kasturi, dan Lutfi Ishak.

Maklum saja, saya waktu itu baru pertama kali menjejakkan kaki ke luar negara. Dan saya pula memang “gila” memburu buku penulis Indonesia sejak tahun 2001 di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Maka, dapat datang sendiri ke Indonesia jadi lupa diri seketika. “Kelupaan” tersebut yang jadikan saya kemudiannya, apabila balik ke Malaysia, menjual sebahagian buku-buku yang dibeli di Jakarta sewaktu hadir di bengkel MASTERA itu.

Malam pertama sejurus tiba di Jakarta dan mendaftar masuk di Hotel The Acacia, kami sama-sama naik bajaj pergi makan malam. Peluang dapat naik bajaj dengan Zaen Kasturi itu barangkali jadi pengalaman sekali seumur hidup. Mana mungkin kami dapat mengulanginya lagi pada masa depan. Sebagai pembimbing, Zaen duduk di depan, seorang, di sebelah pemandu. Kami bertiga duduk berhimpit-himpit di belakang.

Bermula dari malam itulah kami kemudiannya banyak kali dapat duduk semeja dan makan bersama sepanjang lapan hari lapan malam di Indonesia. Saya ingat satu ketika di sebuah pasar raya besar di Jakarta, tatkala berkunjung ke sana selepas habis bengkel di Anyer, Abang Zaen belanja kami bertiga minum kopi mahal. Atrium Senin kalau tidak salah nama tempat itu.

Kami dapat mengenali dan merapatinya sedekat mungkin dalam masa seminggu berkembara sastera dalam program MASTERA itu. Saat kami sama-sama berjalan kaki dari rumah penginapan menuju ke bilik kuliah untuk berbengkel setiap hari semasa di Jayakarta Resort, masih menjadi antara babak yang sangat kuat melintas dalam ingatan saya hingga sekarang. Ada kalanya, saya cepat-cepat berlari ke depan untuk merakam foto Zaen yang sedang berjalan bersama-sama Lutfi dan Syaidul Azam. Dan pada ketika yang lain, Syaidul Azam pula yang jadi perakam foto dengan kamera miliknya. Namun saya sendiri cuma merakam gambar menggunakan kamera Blackberry.

Sewaktu di luar rumah penginapan di Jayakarta Resort. Lutfi sebagai jurugambar.

Sehingga ke hari ini, jika membaca sajak-sajak Zaen, akan menemukan kita dengan dirinya yang sepi, sendiri dan susah dimengerti. Walaupun frasa-frasa yang ditulisnya selalunya terlalu peribadi, namun sajak-sajaknya tetap tidak jemu kita baca. Pengucapannya kuat, kita yang membacanya mendapat nikmat.

Terbaharu, saya menemuinya semasa hadir sebagai peserta Hari Puisi Nasional ke-23 di Pantai Morib pada bulan Julai 2025 yang lalu. Abang Zaen datang sebagai salah seorang panel dalam program sastera anjuran GAPENA itu. Sewaktu di situlah saya membeli buku sajak terbaharunya, Fajar Lingkung Lembayung terbitan Nusa Centre, 2022. Seperti biasa, saya minta beliau tandatangan pada buku itu dengan sedikit kata-kata. Ketika ingin beredar ke dewan seminar semula, saya tepuk belakang Abang Zaen sambil berkata, “Insya-Allah abang akan jadi Sasterawan Negara. Saya doakan.”

Festival Mini Sastera OPERA yang kami adakan pada 23 Ogos 2025 ini ialah khusus menghargai karya dan kepengarangan Zaen Kasturi. Saya diberi peluang untuk sepentas dengannya semasa sesi akhir dan kemuncak festival pada sebelah malam, bergandingan pula dengan anak murid dan sahabat baiknya, Haji Zainal Rashid Ahmad. Saat itu merupakan satu detik yang amat bernilai buat diri saya sebagai seorang penulis kecil yang pernah bercita-cita ingin menjadi seniman dan penyair tanah air. Ada lagi cerita yang ingin saya kongsi tentang penyair besar kita Zaen Kasturi pada malam acara, tunggu saja nanti.

Dapat sepentas bersama-sama Abang Zaen Kasturi pada malam Festival Mini Sastera OPERA, menghargai karya dan kepengarangannya.

_________________________

Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Turut menghasilkan artikel politik serta budaya, rencana agama dan esei kritikan filem. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015, menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 dan kini merupakan Ketua Biro Aktiviti & Pembinaan Bakat Persatuan Penulis Kelantan (PPK) 2023/2025.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin dan Salman Sulaiman
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi