Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLabirin dalam Helaian kali ini menampilkan Mohd Hafezin Khadiri. Beliau merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil. 12/2025. Cari dan telaah buku pilihannya dan selami pengalaman bacaannya.

Damai Bayu, Rencam Isi dan Debur Ombak | Buku bagi saya bagai laut. Luas yang menenangkan. Debur ombak yang damai. Misteri dasar dan isinya. Magis, serentak indah mempesona!
Tidak malu saya katakan buku awal zaman anak-anak ialah siri Hikayat Seribu Satu Malam. Kisahnya rencam dan menarik. Plotnya bertukar daripada satu kisah kepada kisah yang lain. Ada pula unsur magis di luar kotak fikiran alami. Selain itu, buku-buku Enid Blyton bermula dengan siri Noddy dan Kisah Lima Sekawan sangat santai dan sederhana, masing-masing seperti silang kata dengan misteri untuk diselesaikan (Pesan: Ada kisah yang tidak perlu antagonis dengan klimaks, cukuplah sekadar babak yang menarik). Ada pula novel terjemahan Alexandre Dumas atau Charles Dickens yang membawa sisi yang lebih berat.
Baru menginjak remaja, tiba-tiba pula genre puisi menjadi hidangan yang lazat. Di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Azlan Shah, ada sebuah buku puisi tebal berwarna merah jambu yang “dicuri” dari kakak, iaitu Puisi Sepanjang Zaman selenggaraan Kamaruzzaman A. Kadir atau Dharmawijaya. Buku itu ialah himpunan puisi terbaik penyair Malaysia yang tersohor, dengan pelbagai bentuk dan tema. Saya masih ingat membaca puisi Sasterawan Negara (SN) Allahyarham Usman Awang “Salam Benua” dalam buku itu, yang kekal berbekas di hati sampai sekarang.
Saya membaca semua puisi dalam buku itu berkali-kali seperti menghafal. Ketika lampu asrama dipadamkan untuk tidur, saya akan menarik buku dari bawah bantal, membaca melalui lampu koridor yang menyala sepanjang malam, sehingga saya ditelan kantuk.
Di samping kitab kuning dan buku agama tinggalan Allahyarham ayahanda, di rumah ada banyak buku yang tebal dan asing untuk seorang remaja. Dalam ingatan, ada buku Hang Tuah versi kulit hijau, beberapa novel Indonesia dan buku terjemahan. Saya fikir ada sebuah novel Salina karya SN A. Samad Said, yang menjadi bacaan pilihan juga.

Hakikatnya, satu buku yang saya sungguh nikmati ialah karya Pak Pram atau Pramoedya Annata Toer, iaitu Bumi Manusia. Novel ini merupakan novel pertama tertralogi Pulau Buru yang terkenal itu. Dengan genre roman sejarah, novel ini berkisarkan kisah cinta hero Minke dengan Annelies anak gadis Belanda yang dihalang oleh kasta sosial serta aturan penjajah yang kejam. Cinta selalu akrab dengan sastera, tetapi latar kolonialisme membuatkan kisah ini menjadi sangat menarik.
Bagi saya, Bumi Manusia ialah kisah cinta yang meruntun jiwa, sedang nilai azam-melawan sungguh kental dalam buku tersebut. Sehinggakan, saya tertanya, adakah sifat rebellious diri ini terbina melalui novel tersebut? Kita dikenalkan bukan saja antagonis birokrat Belanda, seiring si Robert kakanda heroin yang jahat dan rakus muncul bersekali – menjadikan watak-watak lain kelihatan hilang upaya dan kerdil. Episod tradisi kelas bangsawan Jawa menjadikan kisah ini lebih menarik, kerana setiap watak dilihat perlu melaksanakan peranan dan menghormati tatabudaya. Dalam episod di mahkamah pula, kita dipertontonkan dengan watak Nyai – wanita yang sungguh berani mendepani hukum. Babak novel berakhir dengan Annelies dibawa pulang ke Belanda, memisahkan dua insan di benua jauh, menjadi batu nisan kukuh kepada novel itu.

Tinta atau Layar? | Walaupun lama bertugas di Moscow, saya tidak pernah menikmati karya Tolstoy. Jadi Anna Karenina dan War and Peace bukanlah buku pilihan meskipun musim salju berlarutan panjang. Saya hanya mengikuti Tolstoy kerana tertanya, mengapa beliau begitu menyanjungi Nabi Muhammad SAW, dengan teori mungkin Count Tolstoy pernah menganut Islam, diinspirasikan pengalamannya bertemu soldadu Chechen-Dagestani ketika Perang Caucasian yang membuahkan novela Hadji Murat.
Sebagai pembaca, kerana gagal fasih dalam bahasa Rusia, karya Pushkin dan karya Rusia yang lain saya nikmati melalui terjemahan Inggeris sahaja. Sebagai cerpenis pula, saya lebih senang dengan cerpen Anton Checkov, atau menonton teater dan filem untuk menikmati sastera.
Tidak semua bersetuju bahawa setiap buku yang diadaptasi kepada filem pastinya daripada buku yang bagus, tetapi saya dapat merasakan bahawa novel terpilih pasti punya ramuan asas yang cukup; watak dan plot yang boleh dijelmakan, dialog yang baik, serta latar yang masuk akal!
Satu kebetulan, kebanyakan filem adaptasi akan saya tonton terlebih dahulu sebelum mencari naskhah, atau tinggal angan-angan membaca. Filem Jogho (1997) arahan U-Wei Haji Saari nukilan SN Allahyarham S. Othman Kelantan (dengan judul asal Juara) dengan lima anugerah Festival Filem Malaysia, saya nikmati melalui filem sahaja, jadi saya kurang tahu bagaimana watak Mamat dan Sani di atas kertas, seyakinnya tentu coretan mereka lebih indah di tangan Sasterawan Negara itu.
Karya The Shawshank Redemption (arahan Frank Darabont, 1994) juga, daripada novela Stephen King, begitu berbekas di layar perak, mungkin kerana saya sukakan duo handalan Tim Robbins dan Morgan Freeman. Episod demi episod penindasan banduan dan salah guna kuasa di penjara menjadi lebih realistik pada filem, dengan plot twist yang terpaling umpph.

Walau bagaimanapun, ada satu novel yang membuat diri kalut mencari novelnya selepas ke panggung, iaitu novel The Da Vinci Code karangan Dan Brown. Walaupun penuh sisi ritual dan menjadi polemik mazhab Katolik, saya sangat menikmati kedua-dua filem dan novel tersebut sebagai pembaca/penonton juga penulis. Apa yang menariknya ialah episod itu dihidangkan seperti babak-babak pendek yang sarat debar dan membuat kita ternanti-nanti babak seterusnya. Ringkasnya, filemnya seperti novel yang berkali-kali “klimaks”, kalaulah itu kesimpulan paling sopan. Dengan membawa sisi teka-teki dan “legenda mitos”, The Da Vinci Code bermain dengan sisi ingin tahu pembaca/penonton, di samping babak tempo penceritaannya hanya berlaku dalam beberapa minggu sahaja. Pantas!
Saya mahu berkongsi gaya novel ini dengan rakan penulis, kerana novel ini memberikan nafas berbeza dalam penulisan saya. Teknik laju-gempar ini saya cuba gunakan dalam cerpen “Keruh Langit Arakan”, sebuah kisah NGO di kem pelarian Muslim Rohingya yang berjaya mendapat tempat kedua dalam Pertandingan Cerpen YADIM pada tahun 2019.
Sekali lagi, dalam cerpen “Goyim Kota London” (Dewan Sastera Bil. 11/2024) saya cuba mengolah cerita dalam teknik yang sama. Hasilnya, penceritaan cerpen itu lebih dramatik dan nampak lebih rancak. Sekalipun cerpennya menjadi agak panjang untuk ditulis dan dibaca, pembaca akan berpuas hati kerana menikmati setiap babak dengan ilmu bantu atau maklumat yang baharu. Yang pasti, penulis perlu memasukkan pelbagai isu, isi dan fakta ke dalam kisah tersebut, jika tidak akan hilang tarikannya. Cubalah!

Fiksyen Menyegarkan namun Bukan Fiksyen Menyedarkan | Minat rencam membuatkan buku bukan fiksyen juga saya tekuni, sama seperti buku sastera. Ada satu buku yang paling terkesan di hati, nukilan Allahyarham Dr. Muhd Kamil Ibrahim berjudul Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman (PTS, 2007). Entah mengapa, buku itu sangat menarik bukan kerana genre travelog, tetapi kerana buku ini merupakan buku paling jujur yang pernah saya baca. Bahasanya ringkas dan mudah difahami tanpa bunga-bunga, tapi sulaman ayat-ayatnya sangat menyentuh hati (Pesan: Semua perkara yang ditulis daripada hati penulis akan sampai ke hati pembaca).
“Buku ini dituju khusus kepada mereka yang senasib, manusia yang jahil tetapi mahu mencari keredaan-Nya,” kata penulisnya. Buku dengan lebih 100,000 cetakan ini pastinya bukan kaleng-kaleng. Dr. Kamil berkongsi bagaimana proses haji yang nampak biasa bagi sesetengah orang, menjadi luar biasa bagi diri dan keluarga. Hal ini disampaikan dengan nada sederhana, bukan membangga atau mengajar. Membaca buku ini hati saya terbuka seluas-luasnya (Pesan: Buku yang paling baik ialah buku yang dapat menterjemahkan kehidupan dan mengubah sisi pandang pembaca).
Saya bertuah kerana dapat membaca buku ini sebelum berpeluang melaksanakan ibadah haji, jadi sebagai orang jahil, saya terkesan dan merasai makna dalam peristiwa ibadah itu, serta cabaran selepas membawa gelar “Haji”, walau sesekali tersadung di jalan lurus. Lantaran, buku ini menjadi antara buku yang paling banyak dihadiahkan kepada teman-teman yang mahu menyarung ihram. Saya seyakinnya menyatakan sesiapa yang belum memiliki, wajar mencari buku “ajaib” ini.

Bahasa Bertaut, Kata Berjejak, Makna Berbekas | Satu ketika antologi Menara dan antologi Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat (HSSBR) menjadi “makanan ruji” saya, tetapi kini saya buntu. Alhamdulillah, dalam kembara ke toko-toko buku Jogjakarta, saya bertemu dengan lautan baharu, iaitu siri Kelas Cerpen KOMPAS yang membuka pintu penulisan sejak tahun 2012, tapi hanya dijadikan buku pada tahun 2016 setelah empat angkatan. Judul Cerita Para Perambah: Kelas Cerpen KOMPAS 2016 contohnya diasuh oleh cerpenis Putu Fajar Arcana, Agus Noor dan Linda Christanty. Hasilnya ialah kumpulan cerpen Indonesia yang sungguh mantap untuk dihadam sebagai penulis. Segar dan mempesona!
Ya, banyak lagi buku yang berbekas di hati, dibaca berkali-kali, atau ada juga sepi tersusun kemas di rak, diselimuti habuk. Buku bagai laut luas yang wajar diredah. Kita sebagai penulis atau pembaca jangan berhenti mendayung. Tekunlah mudik di laut yang ditadah daripada titis-titis ilmu yang mendewasa dan mengajar.
Saban hari saya memandang susunan buku seperti memandang riak ombak pantai yang meniup bayu ilmu, menghembus badai nyaman jiwa, di samping diri menyedari betapa kerdil si pengkarya jika dibandingkan dengan karya Tuhan Yang Maha Esa.
_________________________
Kenali Mohd Hafezin Khadiri dengan lebih mendalam melalui Dewan Sastera Bil. 12/2025.