Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLabirin dalam Helaian kali ini menampilkan Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman. Beliau merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil. 9 2025. Cari dan telaah buku pilihannya dan selami pengalaman bacaannya.
Buku yang dibaca sekarang | Kumpulan cerpen Banu Mushtaq, Heart Lamp: Selected Stories yang memenangi Hadiah Antarabangsa Booker 2025 yang sebelum ini dikenali sebagai Man Booker International Prize. Banu Mushtaq seorang peguam, cerpenis, novelis, penyair, penulis esei, dan aktivis tersohor di India yang pernah menerima Karnataka State Sahitya Academy Award pada tahun 1999, anugerah Daana Chintamani Attimabbe dan English PEN Translation Award 2024 untuk koleksi cerpen Haseena and Other Stories, yang juga diterjemahkan oleh Deepa Bhasthi.
Cerpen-cerpennya ditulis dalam bahasa Kannada, bahasa yang dituturkan di Karnataka yang terletak di barat daya India. Heart Lamp diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Deepa Bhasthi yang juga seorang pengarang kreatif dan penterjemah terkenal yang menetap di Kodagu, India Selatan.
Ada sejumlah 12 buah cerpen dalam Heart Lamp dan setakat ini saya telah membaca empat buah cerpen. Cerpen-cerpen Banu Mushtaq sungguh menarik kerana memperjuang nasib wanita, mendedahkan dominasi patriarki, ketidakadilan gender, tekanan masyarakat, menampilkan daya ketahanan seorang wanita serta pengalaman peribadi beliau. Realiti kehidupan yang dipaparkan tanpa berselindung, melayakkannya untuk memenangi anugerah berprestij Booker. Heart Lamp, naskhah yang wajib dibaca untuk mengetahui masalah yang melingkari kehidupan manusia bernama wanita di negara India.
Buku yang digemari sepanjang zaman | Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu kekal sebagai buku kegemaran sepanjang zaman. Saya pertama kali membaca Sejarah Melayu untuk peperiksaan HSC atau Higher School Certificate yang kini sudah jadi STPM. Waktu itulah saya “jatuh cinta” dengan naskhah agung ini. Saya telah membaca naskhah ini berulang kali dan setiap kali saya membacanya, ada saja makna baharu yang diperoleh daripada karya historiografi tradisional ini. Buku Peraturan Segala Raja-Raja ini mengisahkan sejarah dan salasilah raja-raja Melayu, terutama sekali Raja-raja Melaka. Ceritera malar segar ini memaparkan tanggungjawab seorang pemimpin terhadap rakyat, tanggungjawab rakyat terhadap pemerintah, kaedah menjalin hubungan diplomatik, melestarikan keharmonian dengan pemerintah di dalam dan di luar negeri Melaka, cara menghindarkan peperangan, dan memupuk rasa insaniah dalam kalangan rakyat jelata.

Penulis kegemaran sepanjang zaman | Saya membesar dengan buku-buku fiksyen Inggeris kerana belajar di SRJK (Inggeris) Bagan Serai dan SMJK (Inggeris) Bagan Serai, Perak pada awal dekad 60-an dan 70-an. Tatkala itu, kami wajib mengkaji karya fiksyen dari Barat untuk subjek English dan English Literature. Puisi-puisi Robert Frost dan novel Charles Dickens diperkenalkan oleh guru bahasa Inggeris saya, Mr. Gomax. Sebaik sahaja mendalami buah fikiran mereka, saya terus menjadi peminat tegar dan dua pengarang ini kekal dan tekal sebagai pengarang kegemaran saya sepanjang usia.
Puisi Robert Frost “The Road Not Taken” meskipun menggunakan bahasa yang mudah namun mesej di sebalik puisi itu agak mendalam. Puisi didaktisisme ini mengajak manusia membuat pilihan yang tepat apabila berhadapan dengan situasi yang genting dalam setiap fasa kehidupan. Pilihan tetap dalam tangan kita dan usah terpengaruh oleh saranan orang lain ialah amanat yang tersirat dalam puisi ini.
Simbol jalan raya atau road melambangkan kehidupan. Ada kalanya jalan raya itu licin dan kadangkala berlubang. Apabila berada di simpang di mana jalan terbahagi dua, kita wajar membuat keputusan jalan yang mana yang menjadi pilihan kita. Mustahil kita boleh memilih kedua-dua jalan untuk sampai ke destinasi yang satu. Kebijaksanaan Robert Frost memilih jalan yang jarang-jarang menjadi pilihan orang lain antara sebab utama empat Hadiah Pulitzer menjadi milik penyair itu.
Puisi “Fire and Ice” Robert Frost juga meninggalkan kesan mendalam dalam sukma saya. Judul itu sendiri merupakan suatu paradoks. Api melambangkan hasrat membara manakala ais ialah lambang pada emosi dingin. Kedua-dua simbol ekstrem ini akan membawa kepada kehancuran jika menjadi amalan dalam kehidupan. Dunia akan musnah jika penghuni dunia memiliki keinginan yang kuat (intense desire) atau kebencian mendalam (deep hatred). Kedua-dua emosi keterlaluan ini akan membawa kepada kemusnahan pada tanggapan penyair. Pemilihan bahasa yang biasa dengan simbol unggul, suatu gaya dalam puisi Robert Frost mendapat tempat dalam kalbu saya.
Jika Robert Frost menjadi penyair kegemaran, Charles John Huffam Dickens yang lebih dikenali sebagai Charles Dickens menjadi novelis kegemaran saya. Novel-novel Dickens memaparkan kisah dan pengalaman hidupnya melalui watak Oliver dalam Oliver Twist, dan watak Pip (Philip Pirrip) dalam Great Expectations. Layanan Fagin yang kejam terhadap Oliver dalam Oliver Twist, keikhlasan Joe Gargery terhadap Pip dalam Great Expectations dan watak Wilkins Micawber ialah perwatakan ayahnya, John Dickens.
Pengalaman dan pemerhatian Dickens sendiri akan sistem perundangan yang tidak adil diangkat dalam novel Bleak House. The Tale of Two Cities pula membongkar alam rumah tangganya yang bersifat peribadi. Keberanian Dickens memperjuangkan nasib kanak-kanak miskin yang teraniaya, mengkritik sistem perundangan yang pincang serta ketidakadilan sosial yang berleluasa mendedahkan alam rumah tangganya yang bergolak tanpa berselindung, menyebabkan novel-novelnya laris di pasaran antarabangsa.
Di Malaysia, novel Sasterawan Negara A. Samad Said (Salina), Shahnon Ahmad (Ranjau Sepanjang Jalan), Abdullah Hussain (Imam, Konserto Terakhir) dan Anwar Ridhwan (Naratif Ogonshoto, Penyeberang Sempadan) menjadi pilihan saya kerana temanya cukup universal.

Watak dalam karya sastera yang digemari | Watak Saaman dalam novel Keluarga Gerilya karya Pramoedya Ananta Toer menjadi kegemaran kerana Saaman memiliki semangat patriotisme dan visi dalam hidupnya. Dia ingin membebaskan tanah airnya daripada cengkaman penjajah Belanda. Dia lebih mencintai pertiwinya daripada dirinya sendiri, justeru sanggup melepaskan pekerjaannya yang menawarkan ganjaran yang lumayan dan menjadi penarik beca untuk menyara keluarganya. Tanggungjawabnya terhadap keluarganya juga tidak terabai sehingga Saaman diberkas dan dipenjarakan oleh Belanda.
Saaman seorang pemuda yang mempunyai pendirian yang teguh. Dia sanggup mati di kayu sula daripada menjual maruah dirinya dan negaranya Indonesia kepada Belanda. Saaman tidak gentar menghadapi maut.

Selain Saaman dalam Keluarga Gerilya, watak Hilmi dalam Konserto Terakhir karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain juga watak kegemaran saya. Hilmi telah membuktikan bahawa pencapaian akademik tiada kaitan dengan kreativiti artistik yang dimilikinya. Meskipun Hilmi hanya belajar hingga Darjah 4, namun dia boleh mengenal kod piano hanya dengan mendengar Hayati memetik piano. Bakat terpendam yang dimiliki oleh Hilmi terserlah apabila Hilmi berguru dengan Encik Bakar.
Akhirnya Hilmi berjaya mencipta lagu-lagu yang indah dan mendapat penghormatan untuk membuat persembahan di hadapan orang kenamaan. Selain berbakat dalam seni muzik, sentuhan jari-jemari Hilmi telah menghidupkan kebun dan taman bunga Datuk Johari. Taman dan kebun sayur kembali segar dan mula berbunga dan berbuah lebat.
Hilmi mempunyai pegangan agama yang kuat. Tidak pernah meninggalkan solat dalam apa jua keadaan. Keimanan Hilmi telah mengubah tingkah laku Hayati dan dia mula menunaikan ibadah. Kegigihan, ketabahan dan keimanan Hilmi antara sebab saya gemar watak Hilmi dalam Konserto Terakhir. Secara peribadi, saya gemar watak yang memiliki visi dan misi dalam hidup mereka. Tanpa wawasan, kehidupan hanya sebuah pelayaran tanpa destinasi.
Genre penulisan yang seronok dibaca | Meskipun saya mencipta sajak, namun genre prosa menjadi pilihan kerana kisahnya panjang dan ilmu bantunya mewah. Banyak maklumat dapat diketahui hanya dengan membaca genre prosa tanpa kita perlu berkelana ke negara tersebut. Ketika berada di bangku sekolah, saya cuba sedaya upaya untuk membaca tujuh buah novel dalam tempoh seminggu agar boleh meminjam tujuh buah buku lagi untuk minggu berikut. Kini, menyudahkan bacaan novel menjadi suatu cabaran buat diri, terutama sekali apabila sudah bergelar “warga emas” kerana mata cepat letih. Oleh itu, saya membaca dua atau tiga bab dalam sebuah novel dan sesudah itu beralih kepada genre puisi. Keesokan hari, saya akan sambung semula dua atau tiga bab lain dalam novel yang sama, berhenti sejenak dan membaca buku puisi lain.

Buku yang diulang baca | Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu. Masih banyak iktibar yang diperoleh melalui kisah dan perwatakan yang ditonjolkan dalam setiap cetera jika kita baca dengan mata fikir dan mata batin berulang kali. Amanat yang tersirat dalam naskhah agung ini boleh dijadikan panduan mentadbir kerajaan atau menolak sesuatu tawaran tanpa menyinggung perasaan orang lain. Bagi saya, semua ceritera dalam buku ini ada mesejnya yang tersendiri yang boleh dijadikan teladan untuk mengharungi cabaran di dunia ini.
Saya juga pernah membaca novel Imam oleh Abdullah Hussain sebanyak dua kali. Kali pertama dibaca untuk menyiapkan kerja kursus Sarjana Sastera di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia pada awal dekad 1990-an. Kali kedua ketika menjadi ahli panel forum di FINAS. Novel Imam, suatu novel yang wajar dibaca oleh semua kaum atas nilai-nilai murni dalam novel ini merentas agama, bahasa dan negara. Bagi saya, Sejarah Melayu dan Imam merupakan dua buah buku yang boleh dianggap sebagai teks malar segar.

Cadangan buku untuk dibaca oleh seorang ahli politik | Buku Animal Farm oleh George Orwell disarankan sebagai bahan bacaan kepada ahli politik. Kali pertama saya mengkaji novel satira ini adalah untuk peperiksaan maktab perguruan pada tahun 1982. Novel ini membantu ahli politik mengenal pasti muslihat seteru secara terancang dan berwaspada dengan tingkah laku mereka. Animal Farm mendedahkan natijah buruk jika korupsi, manipulasi, propaganda, penipuan, kezaliman, dan kegelojohan berleluasa dalam kalangan pemimpin. Setiap haiwan dalam novel ini ialah simbol pada manusia yang memakai topeng aneka dalam situasi berbeza. Penelitian tajam akan tindak-tanduk haiwan dalam Animal Farm akan membongkar tingkah laku manusia. Jika ahli politik ingin berkuasa lebih lama, maka mereka wajar elakkan perbuatan negatif yang diamalkan oleh haiwan dalam novel Animal Farm.
The Prince oleh Niccolo Machiavelli juga buku yang sesuai untuk bacaan ahli politik atau sesiapa sahaja yang berhasrat untuk menjadi seorang pemimpin yang baik. Bahagian awal buku ini menerangkan pelbagai kerajaan yang wujud, penubuhannya, sistem monarki yang diamalkan secara turun-temurun, dan monarki campuran. The Prince juga mendedahkan sebab-musabab seseorang pemimpin itu gagal mewarisi takhta, cara mengenal pasti penipuan, pembohongan dan kezaliman dalam kalangan pemimpin. Pemimpin yang mendapat tempat dalam jiwa rakyat ialah pemimpin yang dikasihi dan bukan pemimpin yang ditakuti. Buku ini memberi informasi kepada sesiapa sahaja yang ingin menjadi seorang ahli politik yang disegani di negaranya.

Buku yang menjadikan saya penulis | Nyanyi Sunyi, buah tangan pujangga bernama Amir Hamzahlah yang menjadikan saya seorang penulis. Saya pernah membaca banyak buku tetapi hanya Nyanyi Sunyi yang meninggalkan kesan mendalam dalam nubari saya. Judul itu sendiri menjadi daya tarikan untuk menyelami isi buku itu. Sebagai anak tunggal kepada ibu bapa yang bergelar guru, kehidupan saya agak sepi. Sebaik sahaja menatap judul Nyanyi Sunyi, hati ingin mengakrabinya. Bahasa yang digunakan oleh Amir Hamzah memudahkan pemahaman. Saya dapat menyelami perasaannya kerana hanya orang yang pernah melalui “kesepian” boleh memahami makna sepi dalam erti kata yang sebenar. Hanya selepas membaca Nyanyi Sunyi, terdetik hasrat untuk berkongsi kesepian dalam madah indah. Sesudah itu, saya mula mengirim sajak saya untuk majalah sekolah. Sesungguhnya, Nyanyi Sunyi telah mengubah kehidupan saya daripada sepi kepada bait-bait seni.

Dunia bacaan ketika kanak-kanak | Ketika kanak-kanak, saya banyak membaca buku yang dibeli oleh mendiang ayah saya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, seperti cerita binatang, cerita jenaka dan cerita pengembaraan. Dekad 60-an di SRJK (Inggeris) Bagan Serai, Perak, kami didedahkan dengan Aesop’s Fables for Children untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris. Buku-buku tersebut menjadi bacaan wajib di sekolah rendah ketika itu. Manakala untuk subjek Bahasa Melayu, kami membaca Hikayat Maharaja Marakarma, Hikayat Bayan Budiman, Hikayat Seribu Satu Malam, Bawang Putih Bawang Merah edisi pelajar (sekadar beberapa contoh). Gambar gergasi dengan rona aneka menjadi daya tarikan untuk mendampingi buku-buku tersebut pada usia muda.
Ketika kanak-kanak, pada hujung minggu, mendiang ibu saya yang merupakan seorang guru akan membawa saya ke Taiping untuk meminjam buku-buku terpakai hanya dengan bayaran serendah RM1. Dengan bayaran RM1 (sekali sahaja), saya boleh pinjam tujuh naskhah. Pada minggu seterusnya, buku-buku yang dipinjam akan dikembalikan dan saya akan meminjam buku-buku baharu, juga berjumlah tujuh. Begitulah rutin saya saban minggu sehingga saya melangkah ke sekolah menengah. Buku cerita menjadi dunia bacaan pada dekad 60-an dan 70-an kerana ketika itu, tiada gajet atau permainan elektronik untuk mengisi waktu senggang.
Buku bukan fiksyen yang disukai | Saya gemar membaca buku yang berhubung dengan kesihatan kerana ketika menjadi pelajar jurusan sastera, saya mengambil subjek Human and Social Biology untuk MCE (Malaysian School Certificate, kini SPM) kerana ketika itu, tiada pakej yang ditetapkan seperti sekarang. Kami bebas memilih mana-mana subjek mengikut minat. Buku-buku kesihatan menjadi pilihan kerana sarat maklumat tambahan yang boleh digunakan untuk tujuan peperiksaan, sekali gus membantu penjagaan kesihatan diri. Amalan ini masih berterusan sehingga kini. Daripada membaca buku kesihatan, minat beralih kepada majalah perubatan sesudah bergelar “warga emas”.
Buku tentang penulis yang perlu dibaca oleh penulis | Buku autobiografi. Autobiografi mendedahkan banyak perkara tentang pengarang yang tidak diketahui oleh penulis lain. Autobiografi atau riwayat hidup penulis lazimnya memaparkan kisah hidupnya tanpa berselindung. Membaca autobiografi Charles Dickens ialah membaca kisah hidupnya yang dipaparkan melalui watak ciptaannya dalam novel-novelnya. Dengan membaca autobiografi seseorang pengarang, penulis akan mengetahui sebab-musabab tema dan watak tertentu menjadi pilihan dalam karya mereka.
Pembacaan autobiografi juga penting bagi penulis yang menggalas amanah sebagai penterjemah. Dengan mengetahui riwayat hidup penulis, penterjemahan karya daripada bahasa sumber kepada bahasa sasaran menjadi mudah kerana dapat dikenal pasti makna diksi dan simbol dalam karyanya. Memilih padanan diksi yang dekat dalam bahasa sasaran tidak lagi menjadi hambatan kepada penterjemah jika dia membaca karya penulis lain sebagai penulis atau penterjemah.
Buku yang biasa sahaja, tetapi tidak bagi orang lain | Secara peribadi saya tidak gemar membaca buku fiksyen romantik (dark romance) atau cinta erotik yang dianggap “spicy”, yang mendedahkan segala-galanya secara keterlaluan. Novel seumpama itu biasa sahaja bagi saya, dengan kisah asmara tiga segi yang sama, tetapi mungkin tidak bagi orang lain. Saya masih ingat lagi, rakan-rakan sekelas saya di sekolah menengah pada dekad 70-an berlumba-lumba untuk membaca buku-buku Mills and Boon dan novel D.H Lawrence. Cita rasa dan selera manusia tidak sama.

Buku-buku yang teringin dibaca tetapi masih belum sempat | Buku-buku yang diterima daripada penyair tempatan dan luar negara sebagai cenderamata ketika menghadiri acara sastera masih banyak yang belum dibaca. Usai semua tugas utama, saya akan cuba membaca buku-buku tersebut. Saya memahami kesukaran yang diharungi ketika menyiapkan senaskhah buku.
Ada sebuah buku yang diterima daripada cerpenis tersohor Odisha, Mrutyunjay Sarangi ketika menyertai Festival Puisi Antarabangsa Odisha 2025 pada bulan Februari lalu. Saya tertarik dengan judul buku itu, Anjie, Pat and India’s Poor kerana ‘poor’ ada dwimakna sama ada negara itu miskin atau pengarang bersimpati dengan nasib yang menimpa negaranya. Buku itu ialah buah tangan seorang mantan peguam yang pernah bertugas di Mahkamah Tribunal Pusat, Odisha. Buku ini pasti mendedahkan sistem keadilan dan perundangan di negeri kelahirannya. Saya akan ketahui usai membaca buku cerpen itu.
Rancangan bacaan yang seterusnya | Sesudah membaca semua buku yang diterima sebagai hadiah daripada penulis, saya bercadang untuk membaca buku tentang negeri Perak, negeri kelahiran saya. Buku Kesultanan Melayu Perak telah dibeli tetapi belum dibaca lagi.
Rak buku atau Pustaka? |Saya ada bilik bacaan di rumah saya. Di bilik bacaan ini, ada sebuah perpustakaan mini. Di sinilah saya membaca, menulis, menjalankan kerja-kerja penulisan, penterjemahan dan penyelidikan tanpa gangguan daripada sesiapa. Sebaik-baik sahaja saya melangkah ke bilik bacaan ini, telefon bimbit saya akan dimatikan atau diletakkan dalam mod senyap. Sejak kecil saya tidak gemar diganggu ketika membaca atau menulis. Ahli keluarga juga tidak mengganggu jika saya berada di bilik bacaan saya.
Pustaka mini ini memuatkan buku tulisan saya, buku kegemaran saya, buku yang dibeli, buku yang diterima sebagai hadiah daripada pengarang kreatif dan deskriptif, dan buku-buku milik ahli keluarga saya. Di pustaka ini, buku-buku disusun mengikut tajuk, tema dan bahasa. Genre kreatif (puisi) dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Tamil disusun di tempat yang sama agar memudahkan saya mencapai jika timbul keperluan. Begitu juga dengan Kamus Dewan Perdana, Kamus Dwibahasa dan Kamus Kesusasteraan disimpan di tempat yang sama. Buku teori sastera berada di ruang yang sama.
Latar belakang saya sebagai anak tunggal yang membesar dalam suasana sepi mungkin antara sebab utama saya tidak gemar diganggu ketika membaca atau menulis. Fokus saya akan terganggu jika persekitaran agak bising, Semasa saya belajar di universiti, saya akan ke perpustakaan untuk membaca dan menyiapkan tugasan saya. Oleh itu, bilik bacaan menjadi keutamaan dalam hidup saya.
Beli buku tulisan sendiri? | Ya, saya membeli buku sendiri daripada penerbit untuk menghadiahkan buku tersebut kepada sahabat penulis yang banyak membantu saya dan saya juga dapat bertukar-tukar buku dengan penulis lain semasa menyertai festival puisi di dalam atau di luar negara.

Selera pembacaan | Selera pembacaan saya sudah berubah seiring dengan peningkatan usia. Jika ketika muda, saya hanya gemar membaca buku fiksyen. Kini, saya mula membaca buku falsafah, buku motivasi, buku terjemahan, dan buku perubatan selain buku fiksyen. Saya juga membaca Kamus Dewan Perdana, kamus dwibahasa dan tesaurus untuk kerja-kerja penulisan dan penterjemahan. Tanpa Kamus Dewan Perdana dan kamus dwibahasa di sisi, penciptaan sajak dan penterjemahan sajak tidak dapat bermula.

Buku motivasi seperti buku Kuasa Sukses oleh Fadzli Yusof dan buku Attitude is Everything oleh Jeff Keller dibaca untuk memotivasikan diri agar minat tidak merudum dan kekal segar dalam semua kedudukan dan keadaan. Manakala karya perubatan, khususnya majalah perubatan, Doctor yang dilanggan oleh anak saya dibaca untuk maklumat tentang kesihatan diri. Simptom awal sesuatu penyakit yang diterangkan secara rinci dalam majalah perubatan itu sudah menjadi bahan bacaan wajib saya saban bulan.
Selaku penterjemah, buku terjemahan turut dibaca untuk meningkatkan ilmu terjemahan dan mendalami teknik penterjemahan puisi daripada bahasa sumber kepada bahasa sasaran. Buku falsafah, buku teori sastera dan buku berkaitan dengan sesuatu topik juga dibaca untuk menulis esei, artikel dan kertas kerja untuk seminar sastera.
Suasana ideal untuk membaca | Saya memilih suasana atau persekitaran yang sunyi kerana tidak gemar diganggu ketika membaca. Waktu dinihari atau malam menjadi pilihan. Tiada panggilan telefon atau gangguan SMS (khidmat pesanan ringkas) daripada sesiapa pada waktu itu. Selain itu, sudah menjadi tabiat saya sejak kecil untuk membuka hari baharu dan menutup hari itu dengan membaca senaskhah buku.
Pilih seorang penulis untuk menjadi Sasterawan Negara | Zaen Kasturi wajar diiktiraf atas sumbangannya yang agak mewah dalam mandala sastera kebangsaan. Setiap buku puisi nukilan Zaen Kasturi membawa “nafas baharu” yang segar dalam sastera kita.
_________________________
Kenali Raja Rajeswari Seetha Raman dengan lebih mendalam melalui Dewan Sastera Bil. 9 2025.