Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLabirin dalam Helaian kali ini menampilkan Ihsan Noorzali. Beliau merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil. 01/2026. Cari dan telaah buku pilihannya dan selami pengalaman bacaannya.
Genre buku yang digemari | Membaca karya kesusasteraan sudah tentunya memberikan semacam suatu kenikmatan dan kebahagiaan yang sukar digambarkan. Dalam pembacaan karya-karya sastera, kita menikmati pengalaman estetik yang ditampilkan oleh pengarangnya. Bukan sahaja keindahan, malahan kita akan menemui kebijaksanaan dan kecerdasan intelektual lewat karya yang dibaca dan dihayati. Antara kesemua genre sastera, saya tidak dapat menolak bahawa genre sajak atau puisi moden menjadi hambatan dari saat permulaan berkarya. Bisikan hati dan genre sajak masih melekat dalam sanubari.

Buku yang digemari sepanjang zaman | Selain buku kesusasteraan yang cenderung pada pengkaryaan kreatif (seperti sajak), juga buku proses kreatif, falsafah, pemikiran, dan teori sastera, saya juga menggemari buku-buku motivasi. Sejak zaman muda, saya membina keinginan untuk bangkit mengubah kehidupan, daripada kesusahan kepada sedikit keselesaan. Saya bergelumang dengan buku Sentuhan Kejayaan karya Frank Tibolt terjemahan Azlin Ashaari yang dibeli pada penghujung 1990-an. Sampai sekarang saya membacanya. Kesan pembacaan buku ini, ada sedikit perubahan dalam hidup saya, meski seadanya sahaja, malah terasa bersemangat dalam dunia kesusasteraan kerana motivasi yang dicetuskan oleh Tibolt.
Penulis kegemaran sepanjang zaman | Saya tetap berpegang pada para penulis yang menghasilkan karya beraliran realisme. Karya begitu komunikatif dengan pembaca selain cepat meresap ke dalam jiwa. Melekat di hati. Hamka dan Shahnon Ahmad, dua pengarang yang sering kali menjadi sebutan saya dalam kuliah bersama-sama mahasiswa.
Saya menyukai Tenggelamnya Kapal van der Wijck Hamka, Ranjau Sepanjang Jalan Shahnon Ahmad dan Seorang Tua di Kaki Gunung Azizi Haji Abdullah. Semasa tingkatan enam (1982/1983), saya terpesona dengan Pramoedya Ananta Toer apabila membaca Keluarga Gerilya. Jika genre sajak pula, saya menyukai penyair Baha Zain, T. Alias Taib dan Hilmi Rindu. Anyaman bahasa mereka bersahaja, seperti air yang mengalir. Tidak berlebih-lebihan diksinya, tetapi terasa di hati keindahannya.

Buku yang menjadikan saya sebagai penulis | Buku Bagaimana Menjadi Seorang Penulis? (1983) karya Ahmad Boestamam terbitan Penerbitan Pena Sdn. Bhd. Saya beli buku ini di sebuah kedai buku kecil di Alor Setar pada tahun 1984. Buku ini membuka minda saya pada peringkat awal untuk memahami dunia penulisan kreatif dan deskriptif.
Buku bacaan sewaktu kanak-kanak dan remaja | Saya gemar menikmati siri penyiasatan garapan Alfred Hithcock dan Enid Blyton yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Naluri kanak-kanak dan remaja yang hidup di kampung meneroka sungai dan semak samun, mempengaruhi karakter zaman sekolah rendah dan menengah rendah saya. Semangat ingin tahu dan mencari jawapan kepada watak-watak dalam karya berbentuk misteri oleh kedua-dua penulis itu memancing saya untuk rajin memasuki perpustakaan sekolah dan menghabiskan membaca dan membelek ilustrasi. Bila ke sekolah, saya tidak lupa untuk menjengah perpustakaan untuk mencari buku yang menyaksikan dunia kanak-kanak/remaja yang gemar memasuki hutan, gua dan belukar atau bertindak sebagai penyiasat kecil. Saya gemar membayangkan saya seperti mereka dalam cerita itu.

Kumpulan puisi kegemaran | Saya menyukai kumpulan puisi Gitanjali tulisan penyair tersohor India, Rabindranath Tagore. Gitanjali digarap penuh puitis dan lembut sehingga saya mendapat ketenangan apabila membacanya. Kumpulan ini menghamparkan sentuhan jiwa dan perasaan kecintaan dan kerinduan. Gitanjali diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Latiff Mohidin terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1986).

Buku yang harus dibaca oleh penulis | Dalam pemerhatian saya, buku yang menampilkan proses kreatif dan kreativiti pengarang sangat menarik untuk dibaca. Bagi pemula dalam bidang penulisan, buku sebegini menjadi panduan untuk mengetahui, menemui dan mendalami kreativiti pengarang dalam penciptaan karya mereka, seperti novel, cerpen, skrip drama, atau sajak. Sebagai contoh, buku Kreativiti 3 Genre: Kepengarangan 12 Penulis yang diselenggarakan oleh Mawar Safei cukup memikat untuk ditelaah oleh para penulis pemula.
Rancangan bacaan seterusnya | Saya sedang berusaha mencari buku-buku proses kreatif pelbagai negara. Hal ini kerana, setiap pengarang sama ada dalam atau luar negara, proses kreatif mereka berbeza-beza. Saya dapat menyelidik selok-belok penciptaan, seperti bagaimana idea dikembangkan untuk sesebuah karya yang hebat.
Beli buku tulisan sendiri? | Saya akan membeli buku saya sendiri, malah dalam kuantiti yang tinggi. Stok itu untuk diulang baca, menjadi simpanan dan hadiah kepada kawan-kawan yang ditemui. Kadang-kadang, buku yang ditulis sendiri itu dihadiahkan kepada mahasiswa apabila mereka berjaya menjawab soalan yang berkaitan kesusasteraan.
Suasana ideal membaca | Apabila menaiki bas untuk tempoh yang lama, saya suka mengisi waktu dengan membaca. Ketika zaman sekolah, saya suka membaca buku bersama-sama kawan-kawan di bawah pokok. Apabila sudah bekerja, saya suka membawa buku bersama dan membacanya bila ada waktu.

Rak buku atau pustaka? | Pada zaman persekolahan menengah, rumah kampung saya tidak ada sudut yang sesuai untuk saya meletakkan buku. Saya membaca buku di meja makan pada waktu malam. Bapa membuat sebuah gobok kecil di ruang dapur. Di dalam gobok kecil itu, saya meletakkan buku-buku saya. Gobok itu terletak bersebelahan dengan meja makan dan hal ini memudahkan saya membaca. Kadang-kadang, saya meletakkan buku di atas bumbung almari. Apabila sudah bekerja dan sedikit berkemampuan, saya membeli sebuah meja yang siap-siap mempunyai rak bercermin. Dari situ, saya mula membeli rak buku apabila buku semakin banyak dibeli. Susunan rak-rak buku saya kini seperti sebuah perpustakaan kecil di rumah. Apalagi kegemaran saya ialah menjilid majalah, seperti Dewan Sastera dan Mastika.
Pilih seorang penulis untuk menjadi Sasterawan Negara | Menilai calon pilihan menjadi Sasterawan Negara sering kali mengundang perbezaan pandangan, walaupun ada nilai kewibawaan. Namun, inilah pengiktirafan terbesar untuk pengarang kreatif bagi mengenang sumbangannya dalam berkarya selain konsistensi. Antara nama yang perlu diberikan perhatian sekarang ialah Siti Zaleha M. Hashim.
_________________________
Kenali Ihsan Noorzali atau Dr. Ghazali Din dengan lebih mendalam melalui Dewan Sastera Bil. 01/2026.