Diterbitkan pada 7 Oktober 2025, 08:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Labirin dalam Helaian kali ini menampilkan Sahrunizam Abdul Talib. Beliau merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil. 10 2025. Cari dan telaah buku pilihannya dan selami pengalaman bacaannya.

Genre buku yang digemari | Sebagai seorang penulis yang bergiat dalam bidang kesusasteraan, sudah tentu saya menggemari buku kesusasteraan dalam pelbagai genre, baik novel, cerpen mahupun puisi. Di dalam kamar buku saya yang sempit, kebanyakan buku sastera memenuhi rak buku saya. Namun begitu, minat saya terhadap buku puisi tetap berada di tahap yang paling atas. Hal ini kerana saya hanya tahu menulis puisi dan tidak pernah mencuba dan berminat menulis genre kesusasteraan yang lain.

Saya turut menggemari buku-buku politik kerana sedari sekolah menengah lagi saya memang minat meneropong gelagat para aktor dan aktres yang berlakon di pentas siasah tanah air, walaupun saya tidak meminati mana-mana ahli politik atau menyertai mana-mana parti politik. Minat memerhati dengan minat menyertai merupakan dua perkara yang berbeza. Sikap tidak berminat dengan politik ibarat menyerahkan sekarung emas ke riba sekumpulan penyamun.

Saya juga meminati buku-buku sejarah, kerana secara kebetulan, saya mengajar mata pelajaran Sejarah. Manakala buku memoir dan biografi antara yang menjadi kegemaran saya kerana banyak perkara dapat dipelajari dan dicontohi berdasarkan pengalaman kehidupan orang-orang hebat ini. Saya juga mengumpul buku yang berkaitan dengan negeri Pahang, baik buku berkaitan sejarah, tokoh, budaya, serta apa-apa sahaja buku yang ditulis oleh anak Pahang.

Buku sastera pertama yang dibaca | Novel Keluarga Gerilya karya Pramoedya Ananta Toer. Sebenarnya novel ini merupakan teks bagi komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sewaktu saya belajar di tingkatan enam pada tahun 1988. Pada ketika itu, saya langsung tidak meminati karya-karya sastera. Bacaan Keluarga Gerilya ketika itu bolehlah dianggap sebagai proses pembacaan secara terpaksa bagi tujuan lulus peperiksaan. Walaupun terpaksa, namun benih-benih kecintaan dalam jiwa terhadap gaya bahasa sastera mulai tumbuh sebaik sahaja selesai membaca novel ini.

Buku awal sewaktu berjinak-jinak dalam dunia penulisan | Sewaktu mula-mula berjinak-jinak dalam dunia penulisan, saya terlebih dahulu mulai mendekati beberapa buah buku puisi. Antaranya termasuk kumpulan puisi Perempuan dan Bayang-bayang karya Sasterawan Negara (SN) Baha Zain dan kumpulan puisi remaja Negeri, Ini Anak karya Marsli N.O. Buku-buku ini saya beli di sebuah kedai, pengedar buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Temerloh. Bagi genre novel, Ranjau Sepanjang Jalan karya SN Shahnon Ahmad.

Pada mulanya, saya hanya membaca secara santai dan tanpa sebarang arah tujuan. Lama-kelamaan sedikit demi sedikit tumbuh keinginan untuk menulis. Barangkali pada peringkat awal, saya lebih banyak membeli dan membaca buku-buku puisi, maka puisi jugalah yang mula-mula menawan hati saya untuk terus menggulati dunia penulisan.

Buku yang dibaca sekarang | Sebuah buku memoir, iaitu Tiga Tahun di Singapura: Memoir Kewartawanan Pak Sako 1937–1940, sebuah kumpulan cerpen Daerah Orang-orang yang Telah Mati karya S.M. Zakir, kumpulan puisi Wook oleh Wikunila MS dan sebuah buku agama, Tanbihul Ghafilin: Peringatan bagi yang Lupa Jilid 1 & 2 tulisan Abu Laits as-Samarqandi.

Proses pembacaan saya biasanya dilakukan secara bergilir-gilir. Dalam satu-satu masa ada tiga hingga empat buah buku yang saya muatkan dalam tote bag dan usung ke mana-mana. Rasa puas dengan sebuah buku, saya akan beralih kepada buku yang lain.

Buku yang menjadikan saya penulis | Wajah: Biografi Seratus Penulis terbitan DBP. Apabila membaca biodata pengarang-pengarang terkenal tanah air dalam buku ini, entah mengapa dan entah dari mana timbul keinginan untuk saya menghasilkan karya-karya seperti mereka.

Pada peringkat awal pembabitan saya dalam dunia penulisan sekitar tahun 1997, saya tidak mengenali mana-mana penulis dan tidak pernah memasuki mana-mana bengkel atau kelas penulisan. Maka. buku inilah yang telah menjentik hati saya untuk menjadi seorang penulis.

Buku bacaan kanak-kanak | Buku-buku yang dipinjam dari perpustakaan sekolah rendah, antaranya buku karya Enid Blyton, juga Pulau Habib Mustaqim, Rahsia Habib Mustaqim dan Ke Pulau Habib Mustaqim, selain Dandan Setia karya Arman Sani. Setelah dewasa dan punya pekerjaan, saya mulai mengumpul semula secara beransur-ansur buku yang pernah saya baca ketika alam kanak-kanak. Setelah menulis baru saya sedari rupanya Arman Sani merupakan penulis yang berasal dari Temerloh, daerah jiran saya yang kebetulan juga daerah kelahiran tokoh-tokoh sastera seperti Pak Sako dan Abu Hassan Sham.

Kumpulan puisi yang disukai | Saya amat suka kumpulan puisi Jalan Desa ke Kota karya SN Baha Zain, Bukan Perindu karya Rafi Harumin dan Negeri Kunang-kunang karya Ridzuan Harun. Saya menggemari puisi yang saya rasakan pengucapannya lahir daripada sanubari, tidak menunjuk-nunjuk dan seperti mahu mengajar. Setelah usia memasuki satu gerbang usia yang saya tempuhi sekarang, saya lebih gemar membaca dalam keadaan santai-santai dan tidak menyakitkan kepala.

Buku tentang penulis yang perlu dibaca oleh penulis | Kuras-kuras Kreatif karya Azizi Haji Abdullah dan Dialog dengan Seniman, wawancara bersama-sama AGI. Buku tulisan Azizi banyak menceritakan cara proses kreatif yang dilalui oleh beliau. Sementara AGI pula telah mewawancara penulis-penulis hebat termasuk dari Indonesia dan negara luar, dan mereka bercerita tentang pengalaman kreatif masing-masing.

Rancangan bacaan seterusnya | Tiga buah karya terbaharu Marsli N.O terbitan DBP, iaitu kumpulan sajak Isyarat Setelah Hujan, kumpulan sajak Harapan: 1977–2019 dan Memoir Saya: Alam dan Sastera. Saya masih menyimpan hasrat untuk melihat nama Marsli N.O berada dalam senarai penerima SEA Write Award berdasarkan hayat kepengarangan, stamina dan konsistensi beliau dalam pengkaryaan. Sebuah lagi, novel Hari-hari Terakhir di Jesselton karya Ruhaini Matdarin yang baru-baru ini terjemahan oleh Pauline Fan telah memenangi Pen Presents X International Booker Prize 2025.

Penulis kegemaran | Setiap kali saya membaca buku yang bagus dan memenuhi cita rasa, maka itulah penulis kegemaran saya. Saya menyukai permainan lenggok, rima dan irama dalam puisi SN A. Samad Said, kekuatan pengucapan dan pemikiran dalam puisi-puisi Baha Zain, dan gaya bercerita yang tersendiri dalam novel-novel Shahnon Ahmad.

Beli buku tulisan sendiri? | Sudah tentu. Jika bukan saya, siapa lagi? Saya membeli buku untuk simpanan sendiri dan untuk kawan-kawan yang memesan.

Rak buku atau Pustaka? | Rak buku di dalam sebuah kamar sempit. Saya selalu berangan-angan untuk memiliki sebuah rumah kecil seperti rumah kebun untuk menempatkan buku-buku saya dan orang ramai boleh mengunjunginya.

Suasana ideal untuk membaca | Di dalam kereta jika saya menjadi penumpang dan di dalam kenderaan awam seperti bas, LRT dan MRT sewaktu orang lain tidur dan melayan telefon bimbit.

Pilih seorang penulis untuk menjadi Sasterawan Negara | Ada beberapa nama yang disebut-sebut memang selayaknya untuk itu. Namun begitu, penilaian seharusnya berdasarkan kekuatan karya dan bukan faktor lain.

_________________________

Kenali Sahrunizam Abdul Talib dengan lebih mendalam melalui Dewan Sastera Bil. 10 2025.

Kredit Foto: Yatt Hasan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi