Diterbitkan pada 13 Mei 2025, 12:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Labirin dalam Helaian kali ini menampilkan Zanazanzaly. Beliau merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil. 4 2025. Cari dan telaah buku pilihannya dan selami pengalaman bacaannya.

Buku yang dibaca sekarang | Sejarah & Salasilah Syaikh Jumadil Kubra oleh Tim Naqobah Ansab Aulia Tis ah dan Tun Suzana Hj Othman kerana saya mahu hadiri Perhimpunan Besar Kekeluargaan Syaikh Jumadil Kubro pada 10 Mei 2025 di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

Buku yang digemari sepanjang zaman | Mukadimah kepada Metafizik Islam: Satu Kupasan mengenai Elemen Asas Tasawwur Islam oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas. Karya ini sebuah risalah akademik, bahkan merupakan pintu masuk kepada kefahaman yang jernih tentang asas-asas pandangan alam Islam.

Gaya bahasa al-Attas yang tinggi, berseni dan padat dengan hikmah menggamit saya sebagai penulis yang menghargai keindahan susunan makna dan kehalusan makrifat. Buku ini bukan bacaan yang ringan, tetapi memperkasa pemikiran dan menyusun keutamaan: antara makna ilmu, adab dengan tanggungjawab insan sebagai khalifah.

Buku ini banyak mempengaruhi kerangka pemikiran saya ketika mengolah karya-karya yang cuba saya jalinkan, yakni estetika dengan nilai spiritual dalam konteks Melayu-Islam. Buku ini juga bagaikan kompas yang mengingatkan saya bahawa penulisan bukan sekadar menyusun kata-kata, tetapi mengangkat erti agar dunia yang kita coretkan bukan kosong, tetapi terang dengan petunjuk.

Watak dalam karya sastera yang digemari | Dua paling mengesankan. Pertama, Hayy bin Yaqzan daripada karya klasik Hayy ibn Yaqzan oleh Ibn Tufayl. Hayy watak filsuf yang mencari makna Tuhan dan hakikat wujud melalui pemerhatian alam dan pencarian dalaman. Karya bersifat rohani ini menggambarkan kesedaran diri dan hubungan dengan Yang Maha Esa secara simbolik dan naratif.

Kedua, Said Mahran, protagonis novel Pencuri dan Anjing-anjing (The Thief and the Dogs) karya Naguib Mahfouz. Mahfouz begitu memukau, menampilkan kepekaan terhadap watak bersilang dimensi, bukan semata-mata hitam atau putih, dan itulah kekuatan Mahfouz, dengan sengaja membenam saya dalam dunia batin.

Said yang terumbang-ambing antara idealisme yang dikhianati dengan kehausan makna spiritual itu suatu ruang yang sangat saya hargai dalam penciptaan watak. Watak-watak di sekeliling Said seperti Rauf Ilwan (mentor yang menjadi pengkhianat idealisme), Nur (pelacur yang menunjukkan belas dan penyelamat sementara) serta Sheik al-Azhar (sebagai simbol suara hati dan pertentangan rohani), semuanya dibina bagaikan cermin pada pertarungan dalaman Said. Menulis watak yang saling memantulkan sisi-sisi moral yang rumit seperti itu, bagi saya, bukanlah untuk menjawab, tetapi untuk mengajak pembaca mentaakul.

Genre penulisan yang seronok dibaca | Saya membaca bukan hanya untuk mengetahui tetapi untuk menyelami. Maka, genre yang “seronok” bagi saya ialah genre yang menghidangkan makna di sebalik makna yang mendalam terhadap pemikiran, falsafah dan motivasi. Hal ini boleh saja ditemui dalam puisi tradisional.

Genre ini membuka ruang tafakur dan dialog batin, yang sangat serasi dengan kecenderungan saya terhadap wacana makna, tanggungjawab insan serta kesedaran ketuhanan. Genre ini membekalkan rangka nilai dan memberi ilham kepada naratif saya dalam menulis watak berlapis dan sarat makna.

Buku yang diulang baca | Revolusi Sang Matahari: Kelana Cinta Jalaluddin Rumi karya Nigel Watts. Karya ini menyatukan unsur yang sangat dekat di hati saya sebagai sasterawan dan pencari makna dari aspek gabungan puitik dan rohani yang seni, konflik dalaman yang autentik dan bersifat abadi, serta hubungan Rumi dan Shams dibina bukan secara sentimental, tetapi secara eksistensial, yakni hubungan guru-murid, cinta persaudaraan dan cermin diri.

Gaya penulisannya yang menghormati kesunyian dan renungan, dilengkapi bahasa yang lembut dan mistik, seolah-olah menari antara fakta dengan simbol. Inilah gaya penulisan yang saya gemari. Penceritaan bersifat batiniah dan tersirat, bukan terus terang atau bersifat dokumentari.

Buku yang menjadikan saya penulis | Sebelum buku, kata-kata “Jika kau bukan puteri raja, atau anak pembesar negara mahupun zuriat ulama, maka jadilah penulis.” – Imam al-Ghazali.

Kata-kata ini bagaikan azimat yang membuka tabir takdir saya. Rangsangan awal sebelum hadirnya mana-mana buku yang mengukuhkan tekad saya menjadi penulis.

Tiga buah karya telah membentuk horizon fikir dan rasa saya. Ironinya, saya menolak perwatakan dalam dua novel; pertama, Hikayat Umar Umaiyah selenggaraan Baharuddin Zainal (Baha Zain). Teks sastera tingkatan empat itu saya baca pada usia 16 tahun. Protagonisnya, Umar Umaiyah al-Damri, saya anggap nakal keterlaluan dan tidak senonoh. Keterkejutan moral ini menyedarkan saya bahawa penulisan harus punya akhlak. Maka, saya menulis untuk memulihkan adab naratif.

Kedua, No Harvest but a Thorn oleh Shahnon Ahmad, terjemahan Adibah Amin. Saya tidak mampu menerima kepasifan watak Lahuma dan Jeha. Miskin mereka bukan hanya pada harta, tetapi juga pada jiwa dan ikhtiar. Daripada kekontangan itu, saya sedar bahawa tulisan saya nanti harus membina izzah, bukan pasrah; membangkitkan jiwa, bukan menidurkannya.

Ketiga, Pujangga Melayu karya Mohd. Affandi Hassan. Karya ini bukan sekadar novel, tetapi medan intelektual. Tokoh utamanya saya minati. Dr. Awang, memilih menjadi pengarang, bukan sasterawan. “Pengarang” pilihan yang penuh makna sehingga saya jadikan logo kepala surat rasmi saya dengan kalimat “Dari Kamar Kepengarangan Zanazanzaly”.

Buku ini sarat dengan idea taklif dan amanah penulis terhadap masyarakat dan ummah. Bahasa indahnya menjadi cabaran manis untuk saya menamatkan bacaan. Rangkuman empat novelet di dalamnya terasa semakin berat, lalu, semakin tinggi nilainya pada pandangan saya yang dahagakan cabaran fikiran.

Buku bacaan ketika kanak-kanak | Majalah Dewan Pelajar, Kuntum, Bambino, komik Bujal, dan siri Ceritalah Lagi.

Buku bukan fiksyen yang disukai | Letters to a Young Muslim tulisan Omar Saif Ghobash (Macmillan, 2017) dan terjemahan bahasa Indonesianya, Surat Terbuka untuk Muslim Muda, terjemahan Satrio Purnomo dan Nurdin M. Noer (Penerbit Mizan, 2018).

Buku ini merupakan tulisan dalam bentuk surat-surat peribadi penulis kepada anak lelakinya, menjadi wadah wacana luas tentang Islam, identiti, kebebasan berfikir, dan kesederhanaan dalam beragama. Masa baca buku ini, saya teringat kisah dalam Surah Luqman.

Esei tentang penulis yang perlu dibaca oleh penulis | Esei “Why I Write” oleh George Orwell. Kerana saya percaya setiap penulis harus tahu mengapa dia menulis, dan kepada siapa dia menujukan tulisannya. Buku ini menyentuh soal teknikal penulisan sekali gus menyelam ke dalam akar motivasi dan makna di sebalik kerja kepengarangan.

Orwell menzahirkan bahawa penulisan ialah tindakan politik, walaupun dalam bentuk paling halus. Beliau juga mendedahkan bahawa penulisan yang jujur lahir daripada keinginan untuk menyampaikan kebenaran walaupun pahit.

Orwell menulis tentang empat dorongan utama menulis: dorongan egoistik (keinginan dikenali), kecintaan terhadap bahasa, dorongan sejarah, dan dorongan politik atau moral. Jadi, esei ini umpama cermin untuk penulis menilai, “Adakah saya menulis untuk menenangkan hati sendiri, mencabar sistem, atau menyentuh hati khalayak?” Atau lebih puitis, “Adakah pena/papan kekunci ini sedang menulis demi kebenaran, atau sekadar memenuhi keperluan pasaran?”

Buku yang biasa saja tapi tidak bagi orang lain | Nota di dalam telefon pintar, buku nota fizikal dan kapsyen pada muka buku (media sosial). Mungkin kepada orang lain hal ini hanya contengan rawak, namun kepada saya, di situlah saya gantungkan kata kunci dalam bentuk frasa, madah, dan kias sebagai pemula segala larikan pena pertama untuk berkarya.

Rancangan bacaan seterusnya | The Art of Thinking Clearly oleh Rolf Dobelli (Seni Berfikir dengan Jelas terjemahan Faisal S. Othman, 2015). Saya mahu menyelami teknik menyusun pemikiran yang sistematik dengan memberi tumpuan pada pelbagai bias kognitif yang mempengaruhi pemikiran dan keputusan kita, di samping memperkukuh pemahaman tentang dilema moral dan kognisi manusia.

Selesa membaca dalam suasana | Di sudut peribadi, ruang bacaan yang dikelilingi buku, komputer riba dan coklat atau kopi panas. Dilatari rintik hujan penambah asyik menggulati buku teman jiwa.

_________________________

Kenali Zanazanzaly dengan lebih mendalam melalui Dewan Sastera Bil. 4 2025.

Kredit Foto: Yatt Hasan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi