Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDr. Khairul Nizam Zainal Badri memperkatakan keistimewaan karya naratif berbentuk falsafah tulisan Ibn Tufail, yang dikatakan memberikan inspirasi terhadap penciptaan novel Robinson Crusoe tulisan Daniel Defoe.
Atas sebab itu, novel Hayy ibn Yaqzan dianggap bukan sekadar kisah rekaan yang mencernakan dan mempopularkan tradisi intelektual Al-Andalus semata-mata. Sebaliknya karya ini menyatukan pelbagai jenis intelek, khususnya falsafah dan mistik untuk menghasilkan sintesis yang unik dan asli.
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) edisi ke-40 sudah pun melabuhkan tirainya, namun tumpuan peminat buku kepada karya novel bercorak sastera falsafah, Risalah Hayy Ibn Yaqzan nampaknya seperti api nan tak kunjung padam. Penghasilan terjemahan dalam bahasa Melayu terhadap karya yang telah pun berusia hampir seribu tahun ini barangkali dianggap tepat pada masanya di kala minat pencinta ilmu terhadap bidang falsafah semakin berkembang. Di reruai penerbitnya, Akademi Jawi Malaysia, buku ini sentiasa berada dalam kelompok lima buku terlaris sepanjang berlangsungnya acara PBAKL.
Minat masyarakat dunia terhadap karya Ibn Tufail atau nama sebenarnya, Abu Bakr Muḥammad bin ʿAbd Al-Malik bin Muḥammad bin Ṭufail Al-Qaysi Al-Andalusi (1105–1180) ini mula bercambah setelah tulisan asalnya dalam bahasa Arab diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Edward Pocock The Younger dalam abad ke-17, sebagaimana yang diulas oleh Michael E. Marmura dalam sebuah ulasan buku, “Ibn Ṭufayl’s Ḥayy Ibn Yaqẓān: A Philosophical Tale by Lenn Evan Goodman”, yang diterbitkan oleh Journal of Near Eastern Studies Jilid 33, No. 4, keluaran Oktober 1974 pada halaman 426–428. Sejak itu, karya ini giat diterjemahkan pula ke dalam pelbagai bahasa lain sepanjang abad ke-17 dan 18, termasuk dalam bahasa Inggeris, Belanda dan Jerman.
Dalam abad ke-19 pula, terjemahan ke dalam bahasa Sepanyol dan Perancis dilakukan. Walau bagaimanapun, terjemahan ke dalam bahasa Inggeris yang lengkap telah dirintis oleh Simon Ockley dan siap sepenuhnya pada tahun 1708, yang diberi judul The Improvement of Human Reason: Exhibited in the Life of Hai Ebn Yokdhan.
Karya ini dianggap unik sehingga mampu menarik perhatian pembaca kerana tidak banyak karya dalam bentuk novel yang mampu berdiri di atas platform sastera falsafah seutuhnya. Sebagaimana ulasan Marmura, penulisnya sudah tentu bukan calang-calang orang kerana walaupun struktur ceritanya tampak ringkas, namun naratifnya penuh seni yang memerlukan kemahiran analitikal yang sangat tinggi. Hal ini kerana, dalam naratif karya ini terkandungnya esensi falsafah yang meluncur bersama, yang seolah-olah berada dalam sebuah kenderaan. Namun begitu, Marmura memberikan amaran bahawa kesederhanaan naratifnya adakalanya boleh mengelirukan. Jika tidak dihayati sepenuhnya, maka hasilnya akan menjadi suatu enigma yang membingungkan, ibarat perumpamaan yang tiada berpenghujung kerana pelbagai tafsiran yang terbina terhadapnya.
Sebab utama Ibn Tufail mengarang novel sebegini adalah kerana ketidakpuasan hatinya terhadap kemajuan intelektual yang berlaku pada zamannya. Menurut Ibn Tufail, walaupun banyak perkara telah dicapai dalam falsafah Islam pada zaman sebelumnya, namun hal ini bukanlah suatu perkara yang boleh dibanggakan. Hal ini telah dijelaskan dalam pengenalan Hayy ibn Yaqzan:
Jangan kita sangka bahawa falsafah yang telah sampai kepada kita sebagaimana yang terkandung dalam buku Aristotle atau dalam seni penyembuhan Ibn Sina akan memuaskan hati kita … atau mana-mana orang Andalusia telah menulis apa-apa yang mencukupi mengenai perkara ini … kerana hakikatnya orang-orang yang sezaman kita masih di peringkat perkembangan.
Atas sebab itu, novel Hayy ibn Yaqzan dianggap bukan sekadar kisah rekaan yang mencernakan dan mempopularkan tradisi intelektual Al-Andalus semata-mata. Sebaliknya karya ini menyatukan pelbagai jenis intelek, khususnya falsafah dan mistik untuk menghasilkan sintesis yang unik dan asli. Kisah yang diketengahkan mengambil bahagian dalam proses perkembangan yang penulisnya anggap sebagai falsafah pada zamannya.
Walaupun Ibn Tufail diiktiraf oleh cendekiawan sama ada di sebelah Timur mahupun Barat sebagai seorang ahli falsafah, namun kecenderungannya terhadap tasawuf sebagaimana yang terakam dalam Hayy ibn Yaqzan ialah sesuatu yang tidak dapat dinafikan.
Pengenalan Hayy ibn Yaqzan mengandungi permohonan maaf atas kata-kata yang melangkaui adat dalam kalangan ahli sufi sehingga mereka dihujat dan difitnah, sedangkan segala kenyataan mereka menurut Ibn Tufail, telah disalahertikan kerana adalah mustahil untuk menjelaskan pengalaman mistik melalui bahasa. Protagonisnya, Hayy, mengamalkan tabiat yang mengingatkan amalan-amalan yang dijalani oleh ahli sufi, seperti bertapa, meninggalkan guanya hanya sekali seminggu untuk mendapatkan makanan, dan bergerak dalam gerakan membulat seperti darwis yang berpusing seumpama Tarekat Sufi Mawlawi yang terkenal itu. Secara umum, ahli sufi berusaha untuk mencapai keadaan keintiman rohani dengan Ilahi melalui amalan-amalan seperti puasa, solat, memakai pakaian sederhana daripada bulu, melakukan pergerakan yang berulang-ulang, dan melaungkan nama Tuhan yang disebut sebagai zikir. Pencari rohani ini boleh mencapai keadaan keintiman dengan Ilahi setelah sempadan antara pencari dan yang dicari iaitu Tuhan dilenyapkan.
Ibn Tufail menggambarkan pengalaman mistik yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata ini dengan kenyataan terkenal Al-Ghazali:
Ia adalah apa yang lebih sukar untuk dikatakan,
Fikirkan yang terbaik, tetapi jangan buatkan daku menerangkannya.
Sebarang percubaan untuk menyampaikan pengalaman mistik yang luhur hanya akan membawa kepada kesalahfahaman. Oleh itu, daripada menghuraikan tentang pengalaman ekstasinya sendiri, Ibn Tufail membentangkan kisah fiksyen, iaitu kisah bagaimana seorang individu mencapai ekstasi dengan menggunakan kebolehan yang ada padanya berdasarkan akal dan renungan. Lelaki itulah Hayy ibn Yaqzan, yang namanya secara harfiah bermaksud “Hidup, Anak yang Bangun”.
Hayy telah diasuh, disusukan dan dibesarkan oleh seekor kijang di sebuah pulau khatulistiwa yang terletak di luar pantai India yang dinamakan sebagai Waqwaq, yang secara tersirat bermaksud sebuah lokasi yang sangat jauh dan terpencil. Penulisnya menyedarkan pembaca tentang sifat fiksyen naratifnya dengan mempersembahkan dua versi pengisahan tentang bagaimana Hayy tiba di pulau itu. Dalam satu versi, Hayy hidup secara spontan daripada tanah liat, berkat suhu superlatif iklim khatulistiwa. Dalam versi kedua, saudara perempuan kepada seorang raja berkahwin dengan seorang kerabat bernama Yaqzan secara rahsia, jauh daripada pengetahuan saudara lelakinya, yang berkeras untuk memilih pasangan yang setaraf dengannya. Tidak lama kemudian, dia mengandung lalu melahirkan seorang anak. Oleh sebab dia takut akan kemurkaan saudara lelakinya, dia membuang bayi itu ke dalam laut di dalam peti, dan berdoa agar bayi itu dilindungi Tuhan. Arus membawa peti itu ke pulau terpencil lalu menghantarkannya ke dalam belukar, sekali gus melindunginya daripada cuaca buruk. Apabila bayi itu lapar, tangisannya mengejutkan seekor kijang yang menyusukannya daripada ambingnya.
Pada usia dua tahun, Hayy belajar berjalan dan pergi mencari makan bersama ibu kijangnya. Dia dibesarkan dalam kalangan kijang lain, malah makan dan tidur bersama mereka sambil meniru pelbagai bunyi mereka. Ketika menginjak usia tujuh tahun, dia mula belajar dengan pengamatan inderanya, melihat binatang lain seusianya memiliki kelebihan yang muncul pada tubuh mereka. Haiwan-haiwan yang ada di sekitarnya dengan sendirinya memiliki alat-alat pertahanan, seperti rusa dengan tanduknya, tembadau dengan tanduknya, harimau dengan taring dan kukunya, dan helang dengan paruhnya. Perkara tersebut mendatangkan pertanyaan dalam dirinya kenapa dia tidak memiliki alat-alat pertahanan seperti itu.
Namun disebabkan Hayy ialah manusia yang dikurniakan kekuatan akal maka dia pun belajar dengan melihat hal-hal itu, kemudian dibuatlah baju untuk menutupi tubuhnya, yang awalnya berasal daripada dedaunan. Disebabkan pakaian itu tidak dapat bertahan lama akhirnya Hayy mencari bahan yang lebih tahan lama seperti kulit haiwan yang ternyata selain mampu melindunginya daripada sinaran matahari, ia juga mampu menahan kedinginan bayu. Untuk pertahanan diri, digunakannya tongkat untuk menghalau binatang buas yang hendak mengganggunya. Lama-kelamaan, Hayy menyedari bahawa dia sebenarnya boleh mereka cipta dan menggunakan alat untuk berpakaian dan melindungi dirinya. Atau dengan kata lain, kekuatan akalnya mula berkembang dan keadaan tersebut mewajarkan dirinya beralasan untuk tujuan praktikal.
Tidak lama selepas itu, ibu kijangnya jatuh sakit dan meninggal dunia. Peristiwa itu menjadi titik tolak kepada perubahan hidupnya. Dia berharap dapat menyembuhkan ibu kijang itu dengan menggunakan alat yang direkanya sendiri lalu membelah dadanya dan meneroka organnya. Selanjutnya, Hayy mencapai kesimpulan yang sama persis Aristotle, yang beralasan bahawa, yang menjadikan badan itu mempunyai sensasi atau bergerak mestilah terletak pada jantungnya. Ibunya telah tiada; hanya tubuhnya yang tidak bernyawa yang tinggal, kaku dan tidak berharga. Hayy bagaimanapun masih lagi mengasihi kijang tersebut dan sentiasa berada dekat dengannya, namun apabila bangkai kijang itu membusuk, maka dia mula memikirkan cara bagaimana untuk menguruskannya. Setelah melihat dua ekor gagak saling bertengkaran yang menyebabkan salah seekor daripadanya mati, dan yang hidup daripada gagak tersebut menimbus yang mati itu dengan tanah, maka Hayy pun mendapat ilham untuk menguruskan bangkai kijang tersebut.
Dia kemudiannya berjalan-jalan di pulau itu untuk mencari hidupan yang serupa dengannya, tetapi tidak berhasil. Padanya, kehidupan dunia ini hanyalah apa-apa yang ada di pulau tersebut. Pengetahuan Hayy bertambah lagi setelah secara tidak sengaja dia menemukan api ketika berjalan mengelilingi pulau. Daripada api itu dia dapat menghangatkan diri dan memperoleh cahaya yang terang ketika gelap melanda. Selain itu, dia juga tahu bahawa api dapat menjadikan daging dan ikan berasa lebih lazat setelah dibakar. Maka selalulah dia menggunakannya untuk memasak makanannya. Dengan pengalaman dan kemahiran yang ada, Hayy membina rumah dan belajar mengawal api untuk memanaskan badan. Dengan tekun, dia meneruskan persoalan yang dibangkitkan oleh fikirannya tentang hakikat kehidupan. Dia bereksperimen dengan hidupan dan dari situ, kualiti fikirannya meningkat dari masa ke masa.
Ketika usianya sampai pada 21 tahun, Hayy bergerak melampaui pendekatan langsung kepada sains semula jadi dan mula mempertimbangkan dalam fikirannya tentang semua entiti yang menjana dan mereput di dunia, seperti tumbuhan, haiwan, mineral, air, wap, ais, salji, api, dan asap. Hayy mula berfikir secara abstrak ketika mengamati kejadian yang silih berganti dan mula menyedari bahawa alam ini tidak abadi, semuanya satu per satu akan berakhir pada ketiadaan. Dia menyaksikan bahawa segala kewujudan di alam ini walaupun berbeza dari segi fizikalnya dan berbilang-bilang, tetap mempunyai titik-titik kesamaan, baik dari segi asal mahupun pembentukan, iaitu sesuatu yang hidup adalah terbina daripada jisim, yang berupa jawhar dan ‘aradh. Maka kefahamannya ini mengarahkannya pada pemikiran bahawa segala yang wujud ini pasti bersumberkan daripada subjek yang satu. Dalam fikirannya, telah tertanam satu zat tunggal yang diimaninya sebagai sang pencipta segalanya. Hayy menemukan Tuhan melalui jejak-jejak suci yang ditinggalkan-Nya.
Pengamatannya berlanjutan pada benda-benda yang berada di langit, seperti matahari yang terbit dan terbenam, demikian juga dengan bulan dan bintang, yang kemudiannya memunculkan satu tesis bahawa alam ini begitu teratur. Maka, sudah tentu ada Zat yang Maha Sempurna mengaturnya dan tentulah Zat ini Maha Kekal yang tidak sama dengan alam semesta ini yang tiada abadi, hilang dan silih berganti mengisi waktu. Kematangan sebegini semakin terserlah dalam diri Hayy ibn Yaqzan ketika berusia 35 tahun apabila dia mula mencari kebenaran melalui penelusuran ulang tayang tentang cipta rasanya yang lepas-lepas.
Dia mula meneliti epistemologi yang dapat membawanya kepada kebenaran. dia kemudiannya berkesimpulan bahawa sesuatu perkara itu akan dapat diketahui melalui tiga hal berikut; pertama, akal dengan bantuan pencerapan indera kedua, roh; dan ketiga, jiwa. Ketiga-tiga hal ini apabila disepadukan boleh menyebabkan seseorang itu mencapai pengetahuan yang tinggi sehingga fana’lah dia daripada alam fizikal lalu tidak lagi melihat alam wujud ini melainkan Tuhan Yang Maha Sempurna dan Tuhan Yang Maha Berkuasa. Pengetahuan ini bagaimanapun amat sulit untuk diungkap dengan kata-kata, atau dihuraikan dengan batas-batas zahir dan fizikal, disebabkan ketidakmampuan untuk menerangkan hakikatnya yang tidak tercapai oleh sesiapa yang tidak mengalaminya, kecuali setelah dia mengalaminya sendiri. Hayy walaupun mencapai tahap itu, kembali kepada alam inderawi dan kekal dalam keadaan manusiawi.
Untuk memahami kisah Hayy ibn Yaqzan yang sarat dengan pengetahuan sufistik dan falsafah ini, maka ketelitian dan renungan yang mendalam diperlukan agar setiap simbol-simbol yang digunakan dapat dipecahkan dan diberi penerangan.
Kisah ini menjadi semakin menarik ketika datangnya Absal dari pulau yang berdekatan ke pulau Waqwaq. Absal juga seorang salik, sepertimana Hayy sendiri yang sedang sibuk dengan meditasi dan menikmati ekstasi spiritual yang dijalaninya, dengan mencari ketenangan dan memilih jalan hidup bersendirian. Di pulau tersebut, Absal dan sahabatnya bernama Salman mempelajari agama yang telah sampai ke pulau itu dengan tekun dari sudut akidah dan ibadah. Mereka didedahkan dengan sifat-sifat Allah, sifat-sifat para malaikat, tentang Hari Kebangkitan, serta ganjaran dan azab seksaan.
Walau bagaimanapun, kedua-duanya mempunyai perwatakan yang berbeza. Absal lebih menumpukan hal-hal kerohanian dan yang berkaitan dengan hati, dan cenderung untuk melakukan takwil, manakala Salman lebih mementingkan hal-hal yang berkaitan zahir, menjauhi hal-hal kerohanian, bersikap literal iaitu menjauhi takwil, dan tidak melakukan perenungan. Maka, Absal lebih cenderung untuk memilih bersendiri, manakala Salman pula selesa berada dalam kelompok masyarakat. Disebabkan itu, mereka berbeza pandangan, maka kedua-duanya pun berpisah.
Di pulau yang dianggap Absal tidak berpenghuni ini, Hayy dan Absal bertemu pandang. Kerana tidak mahu terganggu, Absal pun berlari dan bersembunyi. Hayy yang baru sekali seumur hidup melihat manusia lain dengan pakaian aneh yang dipakainya, mengejar dan mencari Absal yang bersembunyi. Absal akhirnya tertangkap dan berasa takut setelah melihat tingkah laku Hayy yang aneh dengan kekuatan yang luar biasa. Setelah merasakan bahawa Hayy Yaqzan tidak berniat jahat dan tidak mampu berkomunikasi sepertinya, maka Absal perlahan-lahan memberi petunjuk; menandai sesuatu dengan bahasa. Dari sinilah Hayy mula belajar berkomunikasi, dan kemudian mereka saling bertukar fikiran tentang pengalaman mereka.
Absal bercerita tentang kaumnya yang ada di pulau seberang, yang hidup dengan cara hidup agama yang berlandaskan wahyu. Sedang Hayy menceritakan pengalaman hidupnya yang bersendirian di pulau Waqwaq, dia juga bercerita tentang pencapaiannya meraih cahaya cinta Tuhan berdasarkan kegiatan perenungannya terhadap alam. Lalu, masing-masing belajar daripada satu sama lain akan perkara yang tidak diketahui mereka. Apabila diberitahukan oleh Absal tentang sifat-sifat Tuhan dan hal-hal berkaitan sam’iyyat, Hayy mendapati bahawa apa-apa yang diberitahu itu tidak berbeza dengan apa-apa yang difikirkannya. Hayy pun bertanya tentang perkara kefarduan dalam agama, maka Absal mengajar tentang tatacara peribadatan seperti solat, puasa, zakat ,dan lain-lain.
Setelah berjaya menghimpunkan antara akal yang sejahtera dengan agama yang benar, maka dua perkara yang menjadi asas dalam pemikiran Hayy masih lagi membingungkannya, iaitu pertama, bagaimana manusia boleh lagi mengkhayalkan gambaran jisim dan meyakini sifat-sifat yang tidak layak bagi Tuhan sedangkan mereka telah diutuskan Rasul yang menyampaikan pengetahuan tentang Tuhan; dan kedua, bagaimana manusia boleh mengerjakan kefarduan agama yang diamalkan secara zahir dan difahami secara literal semata-mata, sedangkan jika manusia tahu akan hakikat kebenaran, maka pasti mereka akan berpaling daripada mengerjakan maksiat secara berterusan atau cenderung pada keduniaan.
Absal menanyakan pendapat kepada Hayy, bagaimana sekiranya dia menyampaikan apa yang dicapainya ini kepada kaumnya agar mereka dapat mengetahui kebenaran, tetapi Hayy tidak bersetuju dengan cadangannya kerana menurut pandangannya, kelompok manusia yang berada di pulau yang didiami Absal itu belum mencapai kesempurnaan pemikiran di samping berpalingnya mereka daripada perintah-perintah Tuhan. Namun begitu, Absal tetap bertegas hendak menyampaikannya. Maka, kedua-keduanya pun berangkat ke pulau asal Absal. Ketika manusia berhimpun di sekeliling mereka, Absal memberitahu bahawa mereka yang berkumpul itu adalah antara mereka yang cerdas akalnya. Sekiranya Hayy tidak mampu memberi kefahaman maka, sudah tentulah orang awam yang lain tidak mampu memahaminya. Hayy mendapati bahawa pemikiran mereka itu tidak mampu untuk diajarkan dengan hikmah yang tinggi-tinggi, kecuali sebahagian kecil daripada mereka sahaja. Dia kemudiannya pergi kepada Salman dan meminta keuzuran daripadanya setelah melihat ketidakmampuan masyarakat di situ memahami apa yang cuba disampaikan dan memberinya beberapa wasiat yang sangat penting untuk direnungi. Akhirnya, Hayy dan Absal memilih kembali ke pulau Waqwaq, dan tetap meyakini bahawa ajaran yang mereka miliki dan bawa itu adalah lebih berharga berbanding ajaran agama yang hanya berasaskan zahir dan literal semata-mata.
Untuk memahami kisah Hayy ibn Yaqzan yang sarat dengan pengetahuan sufistik dan falsafah ini, maka ketelitian dan renungan yang mendalam diperlukan agar setiap simbol-simbol yang digunakan dapat dipecahkan dan diberi penerangan. Dengan makna yang tersirat, fokus pada kisah ini bukanlah dengan meletakkan satu bidang itu lebih tinggi daripada bidang yang lain, sebaliknya, penulisnya ingin menyatakan bahawa pencapaian hakikat melalui bersendirian dan pengalaman kerohanian itu dapat melengkapkan keupayaan akal yang merenungi alam untuk mencapai kesedaran terhadap kewujudan Pencipta Yang Hakiki.
Terdapat juga beberapa pengajaran yang lain yang boleh ditemui dalam kisah yang dibawa oleh Ibn Tufail ini. Pertama, kritik sosial terhadap manusia yang beragama tanpa akal, iaitu tanpa memikirkan kebenaran yang dipegang dan dianutinya, serta tiada rasa keterhubungan dengan alam rohani apabila ibadah yang dilakukan sehari-hari ialah tradisi ikutan yang kosong tanpa penjiwaan dan perenungan. Kedua, manusia diciptakan dengan fitrah yang cenderung pada kebenaran, kemuliaan, kesusilaan, kemanusiaan, dan seumpamanya, walaupun hidup dalam keadaan yang terasing dan terpencil.
Sebagai kesimpulan, kisah unik yang dikarang oleh Ibn Tufail ini berusaha untuk menjelaskan bahawa pengetahuan hakikat sesuatu di sebalik tabiat yang disebut sebagai metafizik ini boleh dicapai dengan dua jalan, iaitu secara perenungan yang dilalui oleh ahli falsafah dan secara penyingkapan dan penangkapan melalui amal ibadah yang dijalani oleh ahli sufi. Kedua-duanya bukanlah saling mendahului antara satu sama lain, sebaliknya saling melengkapi dan saling memerlukan antara kedua-duanya.
Kredit Foto: James Lee/Unsplash
_________________________
Khairul Nizam Zainal Badri (Dr.) ialah tenaga pengajar di Pusat Pengajian Al Mansoorah, Puchong, Selangor.