Oleh Rosli K. Matari
7 November 2023, 11:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rosli K. Matari membicarakan Abdulhadi Muhamad sebagai antara penyair yang kuat dalam pengucapan puisi Islam di Malaysia.

Pada sisi ini, penyair ini dapat ditemukan dengan puisi yang menarik, mengungkapkan dunia keilmuan dan keintelektualan yang mengetengahkan beza fahaman keagamaan dan pemikiran falsafah antara Dunia Barat yang haru-biru menghala kecelaruan, absurdisme dalam simpang-siur hidup dengan agama Islam yang membawa kepada keesaan Tuhan pada jalan ketakwaan hidup.

Kasih Sayang Keluarga

Selanjutnya, pada konteks moral, kasih sayang keluarga juga merupakan sebahagian daripada nilai murni dalam kehidupan manusia. Pemikiran terhadap nilai murni ini turut menjadi aspek yang tidak diabaikan oleh penyair ini. Perhatikan pada suaranya mengucapkan puisi “Selamat Malam Zaujati” (Abrar:6):

 Zaujati, kita ungkap kelunakan. Kita cerap bahagia Tanah air api
angin ketara milik bersama ke tahap ini. Namun Tuhan Maha
Pengasih mengurnia nikmat abadi

‘Zaujah’ ialah perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud isteri. ‘Zaujati’ pula bermaksud ‘isteriku’. Pada puisi ini, penyair lebih cenderung menggunakan kata ‘zaujati’. Jika dihayati, dapat dikesan kepekaan penyair. Penyair memilih untuk mengucapkan ‘zaujati’ kerana bunyi lafaz ‘jati’ itu tentulah dapat dibayangkan, disinonimkan pada hasrat nurani, misalnya – isteri sejati, wanita sejati. Demikian, beliau sangat mencintai, menyayangi dan menghargai isterinya dengan istilah tersebut dalam kerukunan dan kebahagiaan hidup rumah tangga.

Tawakal Gigih Mengharungi Cabaran Hidup

Dalam mengharungi cabaran hidup pula, di samping usaha dan kegigihan, juga memerlukan kesedaran nurani untuk bertawakal kepada Allah SWT. Sebuah puisi indah beliau, “Menyambut Datang Bulan” (Racun Abadi:23), jika direnung sepenuhnya, menyelitkan kesedaran ini:

Hingga detik ini kau gagal meletak koma dan noktah
Pangkalan singgah atau perhentian terakhir itu.

Lebih baik kita undur, mengenal pasti rukun bertolak
Berbekal keras hati dan berpusat matlamat.

Syaaban ini kita sukat serbuk waktu
Yang menempias denyut-denyut sumbang Kita
berisra’ ke hala sedar berikutnya.
Cuaca tetap menarik angin kita dan minda betul Menilai
warna pohon, lekuk tadahan, kelabu mentari Sebelum bilah-
bilahnya membelah siang.

Mensyukuri Kurniaan Nikmat daripada Allah

Segala yang diperoleh dan dinikmati daripada kurniaan Allah SWT pula haruslah disyukuri. Sesungguhnya, kurniaan dan nikmat yang dilimpahi oleh Allah SWT tidak terhitung. Dalam Surah al-Nahl ayat 18, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sungguh, Allah benar-benar Maha Pengampun, Maha Penyayang.” Pada Surah Ibrahim ayat 7 pula, terdapat firman bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu.”

Jika cerminan kesyukuran ini ditemukan daripada penyair ini, pengucapan pada puisi “Datang Muharram” (Abrar:24) jelas dapat dihayati.

Sejarah Islam

Penyair turut melengkapkan pengucapan puisi Islamnya dengan merenung dan merakamkan peristiwa dalam sejarah Islam. Antaranya termasuk “Cahaya Purnama Tiba di Quba’” (Abrar: 10) yang mengabadikan peristiwa Hijrah Rasul ke Yathrib (Madinah). Penyair menghadirkan rakaman sejarah, masjid pertama yang terbina pada zaman Rasulullah SAW di Quba’:

Masjid Quba’ terbina oleh tangan Rasul
Pacakan dan teduhan tamar bermula

Hal demikian kerana baginda Rasul SAW tidak terus memasuki Yathrib, meski kota itu hanya kira-kira dua batu sahaja lagi jaraknya dari Quba’, di pinggir Yathrib. Masjid ini dibina oleh baginda dengan beberapa orang sahabat. Badan baginda dipenuhi debu dan pasir ketika membawa bahan untuk membina masjid ini. Terdapat riwayat, baginda beribadat dan berehat di sini selama 20 malam, sebelum memasuki Yathrib. Mengikut sejarah, masjid tertua ini dibangunkan pada 8 Rabiulawal atau 23 September 622 Masihi.

Meski puisi ini dijudulkan “Cahaya Purnama Tiba di Quba’”, namun dilanjutkan juga pada rakaman sejarah Rasulullah SAW memasuki Yathrib, yang kemudian turut diguna pakai nama Madinah pula oleh penyair dalam puisi ini, sesuai dengan nama Kota Suci itu yang diubah oleh baginda. Madinah, pada dasarnya bermaksud “bandar”, kemudian terkenal sebagai Medinat Al-Nabi (Kota Nabi), dan Madinah Al-Munawwarah (Kota Bercahaya).

Dalam puisi ini, menariknya, penyair tidak melupakan peristiwa ketika Rasulullah SAW mula-mula memasuki Yathrib. Disambut dengan meriah dan gembira oleh penduduk, masing-masing menginginkan baginda berhenti dan singgah di kediaman mereka. Baginda bersabda, biarlah unta tunggangannya berhenti sendiri di mana-mana lokasi – kerana “ia (unta itu) telah diperintahkan (kehendak Allah SWT).” Dan ternyata, “Di perkarangan tempat tinggal Abu Ayyub” (Abu Ayyub al-Ansari).

Menurut aturan Tuhan, mematuhi sabda Unta
menapak dan melabuh lutut sejarah Di
perkarangan tempat tinggal Abu Ayyub

Abu Ayyub al-Ansari inilah kemudiannya disaksikan oleh sejarah, dimakamkan di bawah kubu Kota Constantinople, Turki, menepati sabda awal Rasulullah SAW. Tokoh sahabat baginda Rasulullah ini panjang usianya. Usahkan perang pada zaman hayat Rasulullah SAW, beliau bahkan sampai sempat terlibat dalam peperangan menentang Kerajaan Rom, Byzantine, pada zaman Khalifah Muawiyyah. Beliau jatuh sakit, harus ditinggalkan sementara, ketika ketumbukan garis depan Islam sudah pun jauh mara ke hadapan, dan ketika itulah beliau menghembuskan nafas akhir. Namun beliau sempat berpesan, mengingati sabda Rasulullah SAW, “Seorang lelaki yang salih akan syahid dan akan dikuburkan di bawah kubu kota Qustantiniyyah.” Beliaulah yang menepati sabda mulia itu. Makamnya di sana, sehingga kini.

 Nabi dan Rasul

Penyair turut memanfaatkan diri dengan mengangkat tokoh nabi dan rasul sebagai figura tertentu daripada sejarah Islam untuk turut dikaitkan juga pada beberapa juring taakulan lain. Melalui “Ziarah 4” (Abrar: 11), beliau merenung doa Nabi Yaakub a.s. untuk dimanfaatkan dalam dunia persahabatan.

Musibah peristiwa banjir besar yang melanda umat Islam di Urir Char, Bangladesh pula, cepat mengingatkannya pada bahtera Nabi Nuh a.s. dalam sejarah Islam, untuk dikenang dan direnung. Beberapa nama lain lagi, misalnya, Adam dan Hawa, Nabi Yunus a.s. turut tampilkan juga dalam pengucapannya.

Tokoh Islam

Beliau turut memfokuskan tokoh dan individu tertentu dalam sejarah Islam. Hal ini, berlaku sama ada secara khusus atau hanya pencelahan dalam puisinya. Sesetengah daripada tokoh ini diabadikan dengan sentuhan emosi yang mengharukan. Salah sebuah puisinya, “Memo Seorang Murid” (Ruang Dalam:39), didedikasikan kepada tokoh mahagurunya, Prof. Mukhtar Lintang. Sebahagian daripada puisi ini, di samping kenangan, juga mengabadikan hormat dan penghargaan.

Keintelektualan Islam

Ilmu memang merupakan suatu kepentingan dalam hidup. Filsuf Barat, Francis Bacon pernah menggagaskan kata-kata masyhur di dunia: “Knowledge is power”. Pada sisi Islam, terdapat beberapa sabda Rasulullah SAW tentang kepentingan ilmu yang menyarankan agar umat Islam sentiasa berusaha menimba ilmu. Salah satu hadis masyhur ialah: “Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap kaum Muslimin” (Riwayat Ibnu Majah).

Pada sisi ini, penyair ini dapat ditemukan dengan puisi yang menarik, mengungkapkan dunia keilmuan dan keintelektualan yang mengetengahkan beza fahaman keagamaan dan pemikiran falsafah antara Dunia Barat yang haru-biru menghala kecelaruan, absurdisme dalam simpang-siur hidup dengan agama Islam yang membawa kepada keesaan Tuhan pada jalan ketakwaan hidup. Penyair menempelak akal Barat. Puisi “intelektual” (Ruang Dalam:40) ini padat, memerlukan keintelektualan khalayak pembaca bagi memahami pemikiran “cerdo quia absurdum” dan persoalan lain yang diketengahkan. Menariknya, keunggulannya filsuf Al-Ghazali sebagai Hujjatul Islam turut dikemukakan untuk dipersetentang banding “dengan jokinya akal barat”.

Telitikan:

kuliah sarjanakah di kandang kudaliar dengan
jokinya akal barat
‘cerdo quia absurdum’
lebih harganya
dari keanehan hati al-Ghazali
warasatiul-anbia

Abdulhadi Muhamad

Ungkapan “cerdo quia absurdum” itu bermaksud “aku percaya kerana mustahil” yang disandarkan pada tokoh pemimpin gereja, Tertullianus dalam karyanya De carne Christi. Beliau terkenal sebagai Bapa Teologi Latin atau Bapa Gereja Latin. Malah, beliaulah yang memperkenalkan istilah Triniti dalam Kristian – sekait dengan ungkapan absurdum di atas.

Di samping pada puisi lain, Socrates turut tidak ditinggalkan oleh penyair pada cerminan soal kebenaran pemikiran. Namun, sejarah selalu menyaksikan, kebenaran tidak mudah untuk terus-menerus menyala terang. Yang tinggal ialah kegelapan:

padamlah kandilenteranya menghabis
seribu gelas hemlock malam lena di
kamar mati sebuah mayat bernama
kelmarin

(“Esok dan lusa adalah masa depan yang tidak pernah setia” dlm. Ruang Dalam:32).

Peristiwa Antarabangsa yang Terkait pada Dunia Islam

Peristiwa antarabangsa yang terkait pada dunia Islam tidak diabaikannya. Dari salah satu sudut ini, beliau tidak melepas pandang terhadap beberapa peristiwa musibah besar yang berlaku pada mayapada antarabangsa, yang menimpa negara-negara Islam, sebagai ujian daripada Tuhan.

“Urir Char” (sebahagian pengucapannya sudah dipetik) ialah puisi yang menzahirkan simpati mendalam terhadap penduduk Islam di Urir Char, Bangladesh, yang ditenggelami oleh bencana banjir besar.

Perpaduan Umat Islam

Umat Islam akan menjadi umat yang kukuh teguh, sekiranya mengutamakan perpaduan. Hadis daripada Abu Musa r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, bermaksud: “Seorang mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti satu bangunan, bahagian yang satu menguatkan bahagian yang lain.”

Petikan berikut merupakan kesedaran penyair mengambil berat, menyarankan, memaparkan cerminan kepentingan perpaduan masyarakat, ummah Islam, sebagaimana beberapa jujuk contoh ini:

ini bumi, ini suara
ini milik kami bersama

sudah difirman
kita berpuak, berbangsa

pendatang para tamu
bersama ‘Idulfitri

saling bertaut
mata berbicara silaturrahim mulia

Kesan Kunjungan di Beberapa Buah Negara Islam

Penyair pernah berkunjung ke beberapa buah negara Islam. Selain Arab Saudi – sebagai menunaikan Haji dan umrah – juga antaranya termasuk Turki, Mesir dan Lebanon. Dalam “Cuaca Sejuk di Kamar Menunggu Panas Asing di Luar Terminal” (Abrar:5), beliau merenung cuaca dan suasana yang dikaitkannya pula dengan taakulan dari sudut keislaman:

Degup yang mengapung suasana
Sesekali memulas sesalur luka
Saujana itu merangsang rasa Menerpa
bagai semawar marah Cuba kupadami
semuanya
Air solat bersalut doa

Sewaktu berada di Beirut, Lebanon pula, beliau sempat mencipta puisi “Landskap Disember 96” (Racun Abadi:40). Selain menatap dan menikmati landskap indah, nuraninya tetap tergores merenung negara Asia Barat, berpenduduk Islam, tidak lepas-lepas daripada bahana perang.

Kabut tipis mematai sosok kota
Kesan serangan, tampak retak dan rangka
Ghairah meratah hayat melemas nafas.

Sebagai ungkapan puisi yang berseni dan indah, beliau bijaksana pada kreativitinya, tidak mementingkan sebutan konkrit – rumah, bangunan – sebagai sepatah kata yang keras, kaku pada konteks keindahan puisi ini – sebaliknya terus kepada “retak dan rangka” sebagai mementingkan persepsi dan kesan renungannya. Namun, hal ini dapat difahami secara tepat dan jelas, yang tetap menunjukkan maksud rumah dan bangunan sebagai salah satu implikasi perang terhadap kediaman penduduk untuk meneruskan kehidupan.

Ungkapan “ghairah meratah” ialah hiperbola yang cukup kuat, berkesan pada fungsi menggambarkan perilaku kekejaman dan dahsyat peperangan. Malah, sepatah diksi pada citra “kabut tipis” juga tepat, menarik dan berkesan untuk dihubungkan pada pemikiran, tentang tipisnya harapan – segi kehidupan dan masa depan, akibat perang.

Ibadat Haji

Puisi kesan kunjungan penyair ini mencakupi juga yang khusus pada Tanah Suci Mekah dan Madinah, selain Jeddah dan pelbagai tempat sekitar lingkungannya. Beliau menunaikan ibadah Haji dan beberapa kali umrah. Tentu sahaja tidak akan mengabaikan peluang untuk mengabadikan kesyukuran, kenangan dan persepsi daripada rasa rendah diri kepada Allah SWT.

Oleh itu, puisinya menyentuh juga pada sekitar pemikiran ibadah Haji. Beberapa buah puisi tercipta tentang hal ini, termuat dalam beberapa kumpulannya. Salah satu yang menarik ialah:

Menuruni bukit kerikil kepenatan kuseret luluh Perlahan.
Mata mencari titik kisah peninggalan Lebuh jauh tidak
tergapai ingatan
Berada di lembah Aqabah seakan hadiri musim kedua
belas. Para lelaki pengunjung berikat setia Mina sepi
lama
Jangan kausekutukan Tuhan

(“Menyaksi Persetiaan” dlm. Racun Abadi:35)

Kepekaan Khusus terhadap Selatan Thailand dan Masyarakat Islam

Selatan Thailand pula memang dapat dijangka awal tidak mungkin terlepas daripada kunjungan, nostalgia dan taakulan penyair ini. Justeru, tangis dan tumpah darah pertamanya adalah di sana – sebagai tempat beliau dilahirkan, sebelum dibawa pulang menetap di Kelantan. Puisinya dengan judul “Sajak Orang Humalanas” (Racun Abadi:4), misalnya, satu contoh bagaimana beliau sangat mengenang dan mengunjungi desa kelahirannya itu.

Beliau beberapa kali mengunjungi selatan Thailand, serta desa tempat lahirnya, lalu diabadikan lewat puisinya. Malah, beliau mencipta agak banyak juga puisi yang mengamati selatan Thailand daripada pelbagai perspektif pemikiran.

Suara puisi “Sengsara Lama” (Dari Pandangan Sisi:24), sebagai antara contoh, dapat diamati bersifat berani dan berterus terang. Puisi ini merenung dalam dan tajam menanggap. Malahan, keras mengkritik. Puisi ini memerikan kedaifan dan penderitaan masyarakat minoriti Melayu-Islam di selatan Thailand yang hidup tertindas dan dizalimi.

Di samping deskripsi paparan penderitaan dan penindasan yang dialami sekian lama oleh masyarakat minoriti itu, dalam puisi ini, penyair mengetengahkan juga nama, watak Haji Sulung yang mencelah pada akhir puisi ini. Bukan untuk menampalkan alusi atau menghias puisi, tetapi dalam konteks siratan maksud pengucapan penyair, secara lebih bermakna, Haji Sulung ialah figura besar dalam sejarah pergulatan dan perjuangan masyarakat tersebut terhadap pemerintah.

Namun sejarah perjuangan itu ialah sejarah kekalahan. Penyair begitu bersimpati pada masyarakat Islam ini, mencetuskan nurani dan taakulannya untuk merenung sedih pedih dan parah luka sejarah itu:

Berterusan gugup berlanjutan
mereka diugut,
cekik penjajahan erat dari
segenting semenanjung leluhur
kita Haji Sulung tercungap
di bawah mendung.

Baca Bahagian Pertama, Kedua dan Keempat Reaksi |

Kredit Gambar: Firus Fansuri

_________________________

Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian (Bandar D’Raja Muhammadi), Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) memenangi Hadiah Utama Puisi T. Alias Taib 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.