Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangRosli K. Matari membicarakan Abdulhadi Muhamad sebagai antara penyair yang kuat dalam pengucapan puisi Islam di Malaysia.
Hal demikian sudah cukup jelas membuktikan kemandirian penyair ini dalam jurus kreativiti puisi keislaman di tanah air, walau turut mengucapkan puisi pada pelbagai rencam pemikiran lain.
Berdasarkan keseluruhan total kumpulan puisi Abdulhadi Muhamad yang disenaraikan, termasuk mengambil kira sebuah antologi puisi, Abrar (PPK, 2011), penulis menemukan pengucapan Islamik penyair ini yang kental. Dalam penelitian puisi, tiga aspek ditumpukan:
Dapatan penelitian adalah seperti yang berikut:
Kumpulan Puisi | Jumlah Puisi Keseluruhan | Jumlah Puisi Islamik | Peratus (%) Puisi Islamik | ||
1. Ruang Dalam (1986) | 46 | 11 | 23.9 | ||
2. Racun Abadi (2001) | 51 | 15 | 29.4 | ||
3. Negeri di Bawah Bulan (2008) | 75 | 35 | 46.6 | ||
4. Abrar (2011) | 25 | 17 | 68 | ||
5. Atar Seribu Bunga (2012) | 110 | 90 | 81.8 | ||
6. Gobar Wilayah Kami (2016) | 63 | 32 | 50.7 | ||
7. Dari Pandangan Sisi (2016) | 51 | 15 | 29.4 | ||
8. Duga Nun (2019) | 100 | 91 | 91 | ||
Jumlah | 521 | 306 | – |
Dapatan di atas merupakan penelitian daripada 521 buah puisi penyair ini, yang sejumlah 306 buah puisi beliau menjurus pada pengucapan Islamik, seperti yang diterangkan terdahulu di atas, pada cakupan yang meliputi sebagai “pemikiran utama”, serta sebagai salah satu pencelahan persoalan yang turut diselitkan pada sisipan pemikiran utama, dan pemakaian diksi berunsurkan Islamik.
Jika dianalisis pada kadar peratus keseluruhan, kreativiti sejumlah 306 buah puisi daripada jumlah keseluruhan 521 buah puisi berdasarkan jujuk lengkap kumpulan penyair ini, dapatan menunjukkan kadar 58.7 peratus puisi beliau jelas berunsurkan Islamik. Penelitian ini tidak mengambil kira puisi beliau yang turut termuat dalam banyak antologi lain.
Perolehan sebanyak 58.7 peratus ini sememangnya dapat dibanggakan dan terpuji. Justeru, jumlah peratus ini jelas dapat menunjukkan bahawa Abdulhadi Muhamad merupakan penyair yang memiliki mandiri dari segi minat, kesedaran dan kesungguhan secara prolifik dan khas pada juring pengucapan puisi Islam. Hal ini juga membuktikan dengan jelas bahawa kadar kreativiti pengucapan puisi keislamannya adalah lebih diutamakan, mengatasi mana-mana pemikiran utama pada pelbagai rencam tema lain.
Sehubungan itu, jika diteliti pada jujuk kumpulan karya penyair ini, dapat diamati dua buah kumpulan awal beliau: Ruang Dalam (1986) dan Racun Abadi (2001), hanyalah mengandungi sekadar 23 peratus dan 29 peratus sahaja puisi keislaman. Namun begitu, peratus kecil ini sebenarnya bukanlah hakikat bahawa kesedaran penyair ini terhadap tematik keislaman masih nipis. Tidak sama sekali, justeru kreativiti beliau pada jarak tahun 1986–2001, sepanjang tempoh 15 tahun atau lebih satu dekad itu, puisinya sudah jelas meningkat dalam pengucapan keislaman.
Manakala, kumpulan Dari Pandangan Sisi (2016) pada kadar 29 peratus, meski juga masih kecil, namun dapat diteliti dan difahami bahawa kumpulan ini lebih mementingkan pengungkapan suara beliau dalam hal menempelak dan mengkritik kebobrokan politik negara sebagai puisi sosiopolitik.
Sungguhpun demikian, melalui kumpulan Negeri di Bawah Bulan (2008) dan Gobar Wilayah Kami (2013), sudah dapat diamati bahawa penyair ini mengambil sikap ke arah usaha mengimbangi pemikiran dan pengucapannya, pada kadar 46 peratus dan 50 peratus unsur keislaman bagi kedua-dua kumpulan ini.
Seterusnya, kemunculan Abrar (2011), meski sebagai antologi (karya bersama para penyair lain), namun antologi ini penting untuk turut diambil kira. Justeru, bukan sahaja mengumpulkan puisi karya penyair ini pada jumlah yang agak besar, malahan melalui antologi ini jelas terlihat sudah terdapat kecenderungan penyair ini ke arah mengutamakan puisi Islam sebagai kreativiti dan pemikiran yang lebih disedari dan diminatinya. Kadar 68 peratus puisi sebagai seleksi beliau pada tematik ini, menunjukkan peningkatan, berbanding sebelum ini.
Hal ini terus terbukti lagi melalui Atar Seribu Bunga (2012) sehingga menjangkau 81 peratus dan Duga Nun (2019) pula melangkau kepada 91 peratus berunsurkan keislaman. Malahan, kedua-dua buah kumpulan inilah ketara sekali mengukuhkan Abdulhadi Muhamad dalam dinamika puisi Islam mutakhir.
Hal demikian sudah cukup jelas membuktikan kemandirian penyair ini dalam jurus kreativiti puisi keislaman di tanah air, walau turut mengucapkan puisi pada pelbagai rencam pemikiran lain.
Semua penyair Islam di tanah air – sama ada disedari atau tidak oleh para pengkritik dan pengkaji – adalah rencam pengucapannya. Hal ini tidak pula mengehadkan kreativiti dan pemikiran puisi mereka pada jurus puisi Islam semata-mata. Pelbagai pengucapan berkaitan, misal tema dan persoalan – kenangan diri, kemanusiaan, kemasyarakatan, alam, semangat dan perjuangan, sesuatu peristiwa besar, sejarah, kesan kunjungan, dan sebagainya, yang tidak bertujuan ditakrifkan sebagai puisi Islam secara total – adalah turut tidak terlepas daripada pengamatan, taakulan dan rakaman oleh para penyair Islam ini.
Namun begitu, buat sementara waktu, pernyataan di atas mengecualikan takrif terhadap penyair Najmi. Justeru, sehingga setakat ini, penulis masih belum memiliki pengetahuan lebih luas berkenaan penyair ini. Penulis belum berpeluang memperoleh dan meneliti karyanya pada kadar total besar, bagi perbincangan secara saksama. Jika mungkin, pemikiran penyair penting ini menjurus sebagai puisi Islamik sepenuhnya. Hal ini demikian kerana, ada sahabat penulis menyatakan puisi Najmi terarah pada Islamik secara 100 peratus. Penulis belum dapat mengesahkan hal ini secara konkrit.
Jika ditiruskan untuk ditemukan pemikiran khusus penyair Abdulhadi Muhamad yang berkaitan dengan pengungkapan puisi Islam, taakulan beliau jelas sarat dan menarik dari pelbagai aspek keislaman. Antaranya, pada cakupan berikut:
Jelas sekali, ruang lingkup pemikiran beliau besar dan luas dalam suara puisi Islam. Huraian ringkas yang seterusnya, mencerakinkan mandiri kepenyairan Abdulhadi Muhamad dalam kreativiti puisi Islamik, berdasarkan cakupan pemikiran dan pengucapan yang dikemukakan pada jujuk senarai di atas.
Ketuhanan
Dua petikan puisi berikut menampilkan suara Abdulhadi Muhamad mengungkapkan ketakwaan kepada Allah SWT:
Rabbi, kusahut seru Nabi menurut
perintah, menterjemah menggenap
rukun kelima
(“Bertamu ke Hadrat-Nya” dlm. Duga Nun:21)
di sini bergeletak angkuh
selari dahi dan bumi
di sini tersirap tawadhu’
hamba terhadap Ilahi
Yang Maha Tinggi
menghulur puji
(“Sejadah 2” dlm. Duga Nun:94)
Renungi kekuatan pengucapan “di sini bergeletak angkuh/selari dahi dan bumi” serta keberkesanan diksi ‘bumi’ yang diungkapkan dalam baris di atas, walau tanpa campur tangan penulis untuk menghurai. Penulis yakin, pembaca atau khalayak puisi dapat memahami, menghayati dan turut berasa keinsafan diri pada ketakwaan ini.
Cuma, jika penulis mengajak khalayak puisi merenung secara lebih kritis dan dinamik, maka diksi ‘bumi’ itu bukan sekadar pada rasa insaf, rendah diri terhadap Allah SWT – Maha Pencipta, malah menyedarkan juga pada keinsafan bahawa manusia ialah makhluk yang diciptakan daripada tanah. Bukan batu – yang mungkin lebih tahan lama, keras dan kukuh. Inilah kehebatan puisi, sepatah kata ‘bumi’ itu, berupaya mengandungi capahan lapis makna besar dan tafsir luas lagi. Sebagaimana, Sapardi Djoko Damono (2014), misalnya, mengatakan puisi ada yang wujudnya seperti prisma, ada juga yang transparensi.
Kesedaran dan Keinsafan Diri
Pada puisi “Abrar” pula dalam buku yang menggunakan judul yang sama sebagai tajuk antologi, dapat direnung sebagai salah sebuah puisinya yang cukup indah, mengungkapkan kesedaran dan keinsafan diri pada hakikat bahawa hidup di dunia ini sementara sahaja. Keinsafan ini, dapat dikongsikan dengan pembaca pada kesedaran agar mempertingkatkan ketakwaan:
Senja pasti berlabuh dan sauhnya bakal jatuh dataran
berujian, serpih-serpih lelah tinggal baki pohon doaku
lagi mendamba: Maghrifah-Mu.
(“Abrar” dlm. Abrar:15)
Renungan dan Iktibar daripada Alam
Melalui renungan terhadap alam pula, beliau mengungkapkan kesedaran bahawa Allah SWT Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui menguasai alam ini, sekalipun pada sesuatu malapetaka sebagai ujian kepada manusia, makhluk-Nya:
Selalunya di hujung musim begini, Tuhan
Mengirimi kita hujan-Nya yang lebat-lebat. Laut-Nya Bergelora
sungguh maka kita dikepung bagai perahu Terungkai sauh.
(“Bukit Pohon” dlm. Atar Seribu Bunga:66)
Penyair ini, sebenarnya, banyak sekali merenung, mengagumi dan takjub pada keindahan dan kesempurnaan alam yang diciptakan oleh Allah SWT. Melalui puisi “Seekor Lalat Tanah Jawi” (dlm. Gobar Wilayah Kami:48) yang ditulis semasa berada di Tanah Arab, Jeddah, misalnya, dapat diteliti kepekaannya, sehingga merenung pada serangga lebah:
Kuperhati beberapa lebah menghurung manis
tamar gugur ke tanah
dekat lantai jubin masjid di Bi’r Ali dan kemudian,
dengan menariknya, dapat mengambil iktibar
keinsafan bagi bandingan dirinya:Aku seekor lalat Tanah Jawi
cuma mencium
sehidu berkat
sebelum berangkat
Falsafah Islam
Dari segi falsafah Islam pula, sebahagian antaranya berhubung dengan kesedaran, keinsafan dan ketakwaan. Konteks ini, antaranya berkait dengan keredaan dan penyerahan diri kepada Allah SWT sebagai Tuhan Maha Pencipta kepada makhluk. Oleh itu, ketakwaan ini akan mengukuhkan lagi keimanan. Petikan rangkap berikut merupakan antara contoh pengungkapan penyair ini pada konteks falsafah Islam:
Biar kita lupus ingatan itu
Hijau dan balam kesangsiannya Kita
ganti dengan tawakkal Penyerahan
sungguh kepada-Nya Pengatur alam
ini.
(“Perjalanan Kedua 2” dlm. Racun Abadi:37)
Pancaran mahmudah itu Menyinari
seluruh sanubari.
(“Setelah Lama Diam” dlm. Racun Abadi:42)
‘Mahmudah’ yang diungkapkan dalam larik petikan di atas ialah istilah berkaitan pekerti terpuji dan akhlak mulia. Konteks ini bermaksud akhlakul mahmudah atau akhlakul karimah yang harus dimiliki setiap individu Muslim.
Moral Islam
Moral murni sebagai amalan dan pegangan akhlak keislaman adalah penting bagi individu dan ummah Islam secara menyeluruh.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan, melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” (Riwayat Ahmad). Baginda Rasul SAW memiliki sifat-sifat akhlak terpuji sebagai uswatun hasanah (contoh teladan terbaik) bagi seluruh umat Islam. Malah, terdapat sabda Baginda Rasul SAW yang bermaksud: “Berbuatlah sesuka hatimu, jikalau engkau tidak berasa malu” yang dianggap sebagai kata-kata pertama kenabian. Itulah sebabnya, malu – merupakan sebahagian daripada iman. Justeru, akhlak buruk dan keji adalah tercela di sisi Islam.
Pada taakulan puisinya, penyair ini turut tidak melupakan peri penting aspek moral Islam. Dengan hanya, misalnya sekadar memilih serangkap puisi beliau daripada “Ada Baiknya Kita Susuli” (Duga Nun:19) di bawah dapat direnungi. Penyair mengungkapkan sifat mementingkan perasaan simpati, mengetepikan sifat amarah dan merendah diri merupakan kesantunan akhlak yang wajar, indah dan bermanfaat pada kesejahteraan hidup:
ada baiknya kita susuli manusia
berbelas kasihan
kita tundukkan ammarah kita
tekuni dambaan
kita usap aneka sejahtera
Baca Bahagian Pertama, Ketiga dan Keempat Reaksi |
Kredit Gambar: Firus Fansuri
_________________________
Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian (Bandar D’Raja Muhammadi), Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) memenangi Hadiah Utama Puisi T. Alias Taib 2023.