Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangRosli K. Matari membicarakan Abdulhadi Muhamad sebagai antara penyair yang kuat dalam pengucapan puisi Islam di Malaysia.
Sememangnya, penyair ini ialah penyair besar di tanah air pada jajar baris penyair Islam. Malahan, kekuatan, keindahan dan keberkesanan pengucapannya jauh mengatasi sesetengah penyair lain dalam lingkungan ini.
Jika bersama penyair, “Menyusuri Denai Pagi” (Gobar Wilayah Kami:64) dapat direnung pelukisan kenangan beliau berkunjung ke tanah desa tempat kelahirannya dahulu. Namun begitu, simpati dan rawan hatinya tetap tidak terlepas daripada renungan terhadap hidup masyarakat minoriti Melayu-Islam yang tidak memiliki kebebasan hidup sepenuhnya, malah tertindas:
Menyeberang masuk kawasan bimbang
Aku menjadi tamu di tempat sendiri
Haru sayu menikam hati
Kampung halaman tumpah darah
Lama benar aku tidak ke mariAda orang-orang tetap kukenal ingat
Ada sanak saudara yang ingat dan lupa
Akulah bangau yang lupa belakang kerbau
Kemajuan jatuh juga kawasan ini
Ada wakil rakyat ada nebeng orang kita
Tapi kuasa tersekat melainkan adat dan agama.
Beliau mempunyai sebuah puisi lain lagi sebenarnya, mirip pada judul puisi di atas, iaitu “Menelusuri Denai Pagi” (Atar Seribu Bunga:101). Bezanya, puisi ini merentas pekan Golok ke kota Narathiwat.
Penyair ini mempunyai sentimen mendalam pada selatan Thailand. Hal ini tentulah sebab utamanya atas nostalgik, justeru dilahirkan di sana. Di samping itu, kepekaannya sebagai penyair sentiasa halus dan terperinci mengamati kemanusiaan dan kemasyarakatan, serta pautan kecintaannya untuk merenung alam pada beza indah, landskap dan lokasi.
Kritikan Sosial sebagai Dakwah terhadap Masyarakat Islam
Sebagai penyair dengan kaca mata pengamatan yang luas dan pemikiran mendalam, beliau menaakul ragam, kerenah dan perangai masyarakat. Kritikan sosial turut menjadi suara penting dan utama dalam pengucapannya dengan pelbagai kebijaksanaan pengolahan nada – degar lantang, tempelak, kesal sesal, sindir halus, kias, dan sinis.
Kritik sosial penting sebagai tujuan menegur dan mendidik masyarakat ke arah jalan lurus dan kebenaran. Tungkus-lumus kreativiti puisi pada jurus ini dapat menepati usaha dakwah pada sisi Islam. Jika menurut jiwa nurani sastera, ujaran oleh Sasterawan Negara (SN) Prof. Muhammad Haji Salleh adalah tepat: sastera itu gunanya untuk menyedarkan kita kepada keadaan, dan kalau boleh menunjukkan di mana salah dan bagaimana cara dibetulkan (Azian:2022).
Dalam sebuah puisi menarik, penyair ini mengkritik sosial “Konflik” (Ruang Dalam:45). Perhatikan pada judul tersebut – ketara mengetengahkan gambaran masalah. Puisi ini mengungkapkan keparahan dan bobrok sosial. Kontradiksi dalam dunia kehidupan – berceranggah antara jalan bengkok dengan jalan lurus. Diungkapkan, sebegitu tajam dan sinis:
khamar ini telah kuminum, Rab
bersama manisnya dosa
…
judi ini telah kumain, Rab
di bangku kepasrahan dan nasib.
Manusia, atau pada konteks umat Islam, sesetengahnya merupakan gelintir yang berani membelakangkan ajaran agama. Pada keperluan dan matlamat dakwah, penyair ini jelas tampil mengisikan peranannya melalui tanggungjawab puisi dan kesusasteraan. Hal ini menepati salah satu firman Allah SWT, Surah Ali Imran ayat 104, yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Merekalah orang-orang beruntung.”
Hakikat tanggungjawab dakwah ini tentu disedari oleh penyair. Sementelahan pula, beliau mencipta banyak puisi pada fungsi dan signifikan ini.
Hal ini bersesuaian dengan kenyataan yang dijelaskan oleh penyair Islam terkenal, SN Kemala (1980) bahawa sastera Islam hendaklah berusaha mengubah masyarakat ke arah penghayatan nilai-nilai Islam dan penghayatan hidup. Malah, ditegaskan juga, puisi yang lahir daripada penyair Islam dapat menyalurkan perasaan jihad dan secara tidak langsung dapat menyalurkan nilai-nilai Islam serta mengembangkan syiar Islam (1989:14).
Mempertingkatkan Ibadah
Pada puisi “Khalwat Malam” (Duga Nun:55), karya penyair ini dapat ditemukan suatu pemikiran yang mendekati dan menepati kesedaran untuk mempertingkatkan amal ibadah.
Firman Allah SWT dalam Surah Adz-Dzariyaat ayat 56, bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”. Manakala, pada ayat-ayat suci lain lagi, terdapat sebegitu banyak ayat yang memberikan peringatan dan perintah kepada umat Muslim agar tidak alpa mendirikan solat malam. Misalnya, Surah al-Isra’ ayat 79, bermaksud: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah solat tahajud padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada Hari Akhirat di tempat yang terpuji.”
Puisi “Khalwat Malam” menyuarakan keinsafan nurani pada kesedaran peri pentingnya Qiamullail sebagai salah satu antara ibadah (walaupun sunat) yang harus diutamakan dalam amalan hidup harian sebagai Muslim. Maka, diajak oleh penyair:
selaku ‘abdi
mari patuhi perintah-Nya
yakin akui bersaksi nyata
lidah menutur kebaikan
waspada gerak amalan
Dengan demikian, usaha mempertingkatkan ibadah akan dapat mendalamkan keinsafan, di samping peluang menambahkan dan memperbanyak doa, justeru:
serba diriku taat pada-Mu Rabbi mafhum
firman: insan tetap rugi, maka kupohon laba
duniawi dan ukhrawi
(“Serba Jadi” dlm. Duga Nun:28)
Titik hujung ibadah akan menuju pada hakikat:
Iman amalan menjadi saksi
detik temui asal kembali
rahmat-Nya kasih Ilahi
(Duga Nun:38)
Kepimpinan Islam
Antara yang turut menarik dapat diketemukan dalam pengucapan penyair ini ialah perspektif kepimpinan. Tidak ramai penyair di tanah air yang berminat mengungkapkan pemikiran tentang pemimpin dan kepimpinan. Apatah lagi mempersoalkan, menyoal secara lantang, bahkan mengherdik dan menempelak seseorang tokoh politik atau tokoh pemimpin pada kaitan akhlak yang buruk, sunglap dan penyelewengan, dan beberapa hal lain lagi yang bobrok.
Penyair ini ketara mencipta puisi dengan jumlah yang agak besar dari segi ini. Kebanyakannya berbentuk “puisi sosiopolitik”. Bahkan, salah sebuah puisi beliau agak langsung sahaja, totok menggunakan judul “Mahathir” (Racun Abadi:21) walaupun tidaklah bertujuan untuk mengkritik tokoh tersebut.
Dalam hal ini, kebanyakan puisi beliau pada sisi pemikiran tentang pemimpin, kepimpinan dan sosiopolitik tidak menghala khusus sebagai pengucapan puisi yang Islamik, tetapi sendeng pada kritikan sosial, namun dalam celah-celahnya dapat ditemui juga kaitannya pada jurus keislaman. Hal ini dapat dipuji, justeru sebagai kesedaran, mengetengahkan peranan dan signifikan melalui “nasihat puisi” – bahawa pemimpin dalam konteks keislaman haruslah mengutamakan landas kepimpinan Islam.
Puisi berikut, misalnya, “Paragraf Untuk PM” (Racun Abadi:20), mencerminkan nasihat bahawa pemimpin yang bijaksana, adil akan dirahmati oleh Tuhan, negara dan rakyat akan memperoleh kebaikan:
Tanah air yang kita usaha dengan peluh dan
minda yang punya ideologi wangsa berbagai.
laksana rumah pangsa berpenghuni ramaiMemerlukan aturan petak sama
Lulus rencana benar pembahagian, adil
Negara bagus, tuan diampun Tuhan.
Larik ungkap “Negara bagus, tuan diampun Tuhan” ialah pujian menarik dalam konteks kemuliaan. Hal ini pada kaitan Islamik, dapat mengingatkan pada firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 96.
Saranan pada Keutuhan Umat Islam
Dalam Surah Ali Imran ayat 103 pula, Allah SWT berfirman, bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurnia-Nya, kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.”
Dengan berpegang teguh pada firman di atas, umat Islam akan dapat berdiri teguh sebagai ummah yang utuh.
Puisi “Pahala Berganda” (Duga Nun:88) menepati natijah dan kebaikan yang dapat diperoleh dan dinikmati oleh umat Islam, sekiranya teguh sebagai ummah yang utuh sebagaimana yang difirmankan Allah pada ayat suci di atas.
Mengharap pada Keampunan Ilahi
Allah SWT memiliki sifat Al-Ghaffar (Maha Pengampun). Terdapat banyak ayat suci al-Quran yang menunjukkan sifat Allah SWT sebagai Tuhan Maha Pengasih, Maha Pengampun, termasuk doa memohon ampun. Melalui aspek mengharapkan keampunan daripada Ilahi, turut termasuk dalam cakupan puisi kesedaran dan keinsafan penyair ini. Contohnya dalam “Alangkah”, “Duga Nun” dan “Di Terminal Dua” dalam Duga Nun.
Mengingati Kematian
Penyair ini mencipta beberapa buah puisi yang mengungkapkan kesedaran pada ajal untuk renungan dan keinsafan. Sesetengahnya pula sebagai persoalan yang turut disisipkan, mencelah dalam pemikiran utama.
Salah sebuah puisi yang cukup halus dan indah dalam kreativiti beliau tentang ajal dan kematian, yang tiada siapa pun dapat menduga detiknya ialah puisi “Sekarat” (Racun Abadi:46). Malah, penulis berpandangan, inilah antara puisinya yang cukup halus dan indah tentang maut yang terdapat dalam dunia puisi di tanah air. Bahkan, mungkin antara yang terindah di Nusantara.
Bagai sampan kecil dioleng ombak besar
Samudera yang saujana. Sesekali terlambung
tinggi, sesekali ngeri
Serangga senja kesasar mencari sarangnya
Sebelum kelam menyingkir terang siang;Sang maut tidak digaduhi lain urusan dengan tali
pancingnya perlahan atau kejam akan menyentap harapan,
Sebelum ditelan atau kehabisan umpan.
Puisi ini cukup halus, indah dan sarat dengan perlambangan, alegori, ketepatan citra, kesesuaian citra bandingan, keberkesanan citra, dan memancing persepsi mendalam untuk menghayatinya.
Dengan sejumlah 306 buah puisinya, malah lebih – beliau masih mempunyai banyak puisi eceran lain lagi tentang keislaman. Sememangnya, penyair ini ialah penyair besar di tanah air pada jajar baris penyair Islam. Malahan, kekuatan, keindahan dan keberkesanan pengucapannya jauh mengatasi sesetengah penyair lain dalam lingkungan ini. Sesetengah penyair hanya mampu memperagakan dan memiliki jumlah besar puisi Islam, lebih bergantung pada manifestasi tema keislaman, serta istilah-istilah besar yang berbahasa Arab. Namun begitu, agak kurang berdaya dari segi nilai kesenian pengucapan dalam kraf puisi untuk sastera Islam yang bermutu tinggi. Penyair Abdulhadi Muhamad tidak gagal dalam juring ini.
Cuma, beliau agak terpencil atau tersangka bukan figura yang sebegitu penting kerana tiada mata luas para sarjana, pengkaji atau pengkritik yang merenunginya. Bagai terlepas pandang. Kecuali pernah (itu pun kira-kira 30 tahun dulu) disorot oleh Kemala.
Demikianlah, mandiri kepenyairan Abdulhadi Muhamad sebagai susuk penyair Islam. Beliau penyair yang cukup prolifik, malah luas sekali jangkau cakup kepekaan dan pemikirannya dalam kreativiti pengucapan puisi Islam. Kebanyakan seni kreativiti dan kraf puisinya dapat dikagumi. Mudah-mudahan Allah SWT memberkati peribadi dan suara puisinya dalam peradaban Islam. Tulisan ini diakhiri dengan mengambil pandangan Al-Faruqi (1984) bahawa kebudayaan Islam termasuk sasteranya, ditujukan buat semua manusia dan untuk segala zaman.
Rujukan
Abdulhadi Muhamad, 1986. Ruang Dalam. Kuala Lumpur: Perkumpulan Penyajak Mutakhir Malaysia (PENYAIR).
Abdulhadi Muhamad, 2001. Racun Abadi. Dewan Beta: Pustaka Dewan Puisi.
Abdulhadi Muhamad, 2008. Negeri di Bawah Bulan. Dewan Beta: Pustaka Dewan Puisi.
Abdulhadi Muhamad, Rosli K. Matari, Azmi Yusoff dan Rahimidin Zahari, 2011. Abrar. Kota Bharu: Persatuan Penulis Kelantan.
Abdulhadi Muhamad, 2012. Atar Seribu Bunga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdulhadi Muhamad, 2013. Gobar Wilayah Kami. Dewan Beta: Pustaka Dewan Puisi.
Abdulhadi Muhamad, 2016. Dari Pandangan Sisi. Kota Bharu: Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia.
Abdulhadi Muhamad, 2019. Duga Nun. Kota Bharu: Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia.
Ahmad Kamal Abdullah, 1980. “Sastera Islam” dlm. Sekitar Pemikiran Kesusasteraan Islam. Kuala Lumpur: Gagasan Persatuan Pendidikan Islam Malaysia.
Ahmad Kamal Abdullah, 1989. Unsur-unsur Islam dalam Puisi Melayu Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azian Mohamed Isa. “Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh: Pelajar Sastera Inggeris yang Menjadi Wira Sastera Melayu” dlm. JendelaDBP: Dewan Sastera, 29 Jun 2022.
Ismail R. al-Faruqi, 1984. Islam dan Kebudayaan. Bandung: Penerbit Mizan.
Rosli K. Matari, 2016. “Kritik Sosio-Politik dari Pandangan Abdulhadi Muhamad” dlm. Dari Pandangan Sisi. Kota Bharu: Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan.
Rosli K. Matari, 2020. “Duga Nun dari Perspektif Ulul Albab”. Kertas kerja Wacana Sastera Kreatif Kelantan. Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Kota Bharu, Kelanta, 28 Jun 2020.
Rosli K. Matari, 2020. “Sirih Pulang ke Gagang: Memperkenalkan Penyair Abdulhadi Muhamad kepada Sastera Melayu Selatan Thailand”. Kertas kerja Kolokium Antarabangsa Wilayah Peradaban Timur Laut. Institut Pendidikan Guru Kota Bharu, Kelantan, 27–29 Februari 2020.
Sapardi Djoko Damono, 2014. Bilang Begini, Maksudnya Begitu. Jakarta: PT Gramedia Pustaka Utama.
Syed Muhammad Naquib al-Attas, 2001. Risalah untuk Kaum Muslimin. Kuala Lumpur: Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam.
Baca Bahagian Pertama, Kedua dan Ketiga Reaksi |
Kredit Gambar: Firus Fansuri
_________________________
Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian (Bandar D’Raja Muhammadi), Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) memenangi Hadiah Utama Puisi T. Alias Taib 2023.