Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangRosli K. Matari membicarakan Abdulhadi Muhamad sebagai antara penyair yang kuat dalam pengucapan puisi Islam di Malaysia.
baca Kalam-Nya dan sabda
faham uruti maknanya catat
di hati jadi ingatan ulang-
ulangi huruf sebutan
bagai sesekali mengira
bintang
~ Abdulhadi Muhamad, Duga Nun
Sejak hujung dekad 80-an lalu lagi, negeri Kelantan sepanjang dekad 80-an itu merupakan Lubuk Puisi. Malah, sehingga kini, masih terbukti tetap konsisten sebagai Lubuk Puisi di tanah air.
Abdulhadi Muhamad merupakan antara tokoh di barisan hadapan dalam kumpulan penyair terkemuka Kelantan. Malah, jika mahu dihitung untuk dinamakan sebagai 10 penyair berwibawa terbaik Kelantan, sosok penyair ini tidak dapat ditinggalkan. Bahkan, jika misal diperlukan pada lima bilangan sahaja sekalipun, beliau tetap harus dihitung.
Sebelum melangkau lebih ke hadapan, lima senario pada faktual ini harus lebih awal dikemukakan di sini.
Untuk makluman, antara barisan penyair Islam yang dominan dan konsisten di tanah air, sekurang-kurangnya pada dekad tertentu dan kontemporari ialah (secara abjad): Ashaari Muhammad; A. Aziz Deraman (Dato’); Abdulhadi Muhamad; Abham T.R.; Arif Mohamad (dari Kelantan); Darma Mohamad; Lutfi Ishak; Marhan; Moechtar Awang; Mujahid Adil (Allahyarham); Nahmar Jamil (Allahyarham); Najmi; Norhisham Mustaffa (Allahyarham); Rahimidin Zahari (Allahyarham); Rizi S.S.; Rudi Mahmood; Sasterawan Negara Kemala (Dato’, Dr., Allahyarham); Shafie Abu Bakar; Shamsuddin Othman; Suhaimi Haji Muhammad (Allahyarham); Suhur Antarsaudara; Wan A. Rafar; dan Wan Muhammad.
Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said (Dato’), meski sehingga selama empat dekad masih belum dianggap dominan dalam kreativiti puisi Islam, namun menjelang hujung 90-an, mendadak berubah. Kemunculan kumpulan puisi besar beliau, Al-Amin (DBP, 1999) yang berkitar tentang riwayat hidup Rasulullah SAW, di luar duga mengejutkan, seterusnya tidak dapat diabaikan nama beliau untuk sejajar dalam baris penyair pada jurus keislaman.
Terkini, Sasterawan Negara Anwar Ridhwan (Dato’ Dr.) juga, rupa-rupanya sudah boleh dijajarkan pada baris penyair Islam. Walaupun beliau tampak agak lewat sedikit mendampakkan dirinya pada pengisian jajar ini. Namun begitu, ketara benar bahawa dengan kemunculan Tercipta dari Tanya (ITBM, 2018) sebagai karya besar terbaharu beliau, kumpulan puisi ini sarat pada kecenderungan pemikiran kesufian. Bahkan, sebagai antara kumpulan yang unggul di tanah air.
Demikian juga halnya pada Sutung Umar RS (Allahyarham) melalui kumpulan puisinya, Nyanyian Mazmur (ITBM, 2019).
Penulis sudah pernah mempertegas, sejak hujung dekad 80-an lalu lagi, negeri Kelantan sepanjang dekad 80-an itu merupakan Lubuk Puisi. Malah, sehingga kini, masih terbukti tetap konsisten sebagai Lubuk Puisi di tanah air. Ertinya, hal ini sudah sepanjang kira-kira tiga dekad. Tiada sesiapa dapat menafikan, baris penyair Kelantan adalah paling ramai mengisi dan mendinamikkan perkembangan puisi sehingga kini di tanah air. Dharmawijaya (Allahyarham), SN Kemala, SN Muhammad Haji Salleh, dan SN Rahman Shaari (Dato’) adalah antara tokoh yang turut memperakui hakikat Kelantan merupakan Lubuk Puisi di negara ini. Meski, SN Kemala lebih cenderung merelatifkan gelaran ini dengan “Negeri Penyair”, SN Muhammad Haji Salleh (Negeri Penyair), Norhisham Mustaffa (Lahan Puisi), dan SN Rahman Shaari (Kebun Puisi).
Kelantan sebagai Lubuk Puisi, justeru atas beberapa faktor yang berikut:
Dua pemikiran besar yang selalu tidak diabaikan, malah menjadi jati diri yang begitu utuh dalam aliran pemikiran puisi di negeri Kelantan ialah tema keislaman dan kebudayaan. Dua tema ini menjadi pemikiran khas, utama, unggul, dan penting yang cukup konsisten dalam pengucapan puisi Kelantan, sama ada disedari atau tidak oleh kalangan pengkaji dan pengkritik.
Jika berbalik pada senario dan faktual yang digariskan dalam perbincangan di atas, pada konteks pengucapan puisi keislaman, jelas sekali bahawa para penyair Kelantan jugalah merupakan jajar penting dan lebih ramai mendominasi pemikiran ini dalam baris penyair Islam di tanah air ini. Perhatikan pada nama berikut ini, sebagai penyair Kelantan yang konsisten pada pemikiran puisi Islam: Ashaari Muhammad; A. Aziz Deraman; Abdulhadi Muhamad; Abham T.R.; Arif Mohamad (Kelantan); Darma Mohamad; Hadzrami A.R.; Marhan; Moechtar Awang; Mujahid Adil; Norhisham Mustaffa; Rahimidin Zahari; Rudi Mahmood; Wan A. Rafar; dan Wan Muhammad. Dan, jajar baris ini harus turut mengambil kira Sutung Umar RS (Allahyarham) juga. Langkau bicara tentang beliau, hal ini, akan dijelaskan dan dipertahankan di perenggan hadapan nanti.
Di samping sumbangan pemikiran, walau rencam, para penyair Kelantan yang berikut turut juga mengucapkan jiwa puisi Islam: Abdul Hadi Yusoff; Abdullah Tahir (Allahyarham); Ahmad Rahimie Putera; Alimi Wan Mahmood (Allahyarham); Anbakri Musa; Anuar Musa; Aziz H.M. (Allahyarham); Aziz Mohd Nor (Aziz Saudagar); Azizul S.; Azmi Mohd Salleh; Azmi Taib; Azmi Yusoff (Allahyarham); CT Puspa; Edi Ramlee; Fatihah Yusoff; Ilmin Abdullah; Imlan Adabi; Izani Daud; Khairi Che Teh; Khalid Ibrahim; Ladin Nuawi; Leo A.W.S.; M. Arif; M. Nizam Rahman; M. Yarisman; Marah Mahadi Hassan; Maroof Seman; Maswan Salleh; Mat Daud Molly (Allahyarham); Mazli Husma; Merah Azmi; M. Rozi; Mohd Zizie Setapa; Melipriapapa M.H.; Mohd Adib Abdul Rahman; Mohd Amran Daud; Muhamad Ikhram Fadhly Husin; Mujahid Adil (Allahyarham); Mukhtar Mustaffa; Mustapha Jusoh (Allahyarham); M. Sayuti Omar (MSO); Nimoiz T.Y.; Nik Azman NM; Norhayati Abd. Rahman; Ramzan A. Firdausi; R. Hamkama; Razak Rezeki Othman; Rogayah Abbas; Rositah Ibrahim; Rosnani Ripin; Rozi Ismail; Rusman Salim; Sabri Hadi; Sabri Yunus (kini artis terkenal); Salman Sulaiman; Salmiah Ismail; Salmie Said (Allahyarham); Sharrul Rizal Hashim; S.M. Zakir; Sanusi Yaacob; Talib Y.K. (Allahyarham); Taufiq Roslee; Teratai Abadi (Allahyarhamah); Tuan Siti Mastazameatun; Usman Ibrahim (Usman Gumanti Ibrahim); Wadi Leta S.A.; Wanrazuhar; Wan Asyeah Wan Nawang; Wan Jaafar Ahmad; Wan Zulkifli Yaacob; dan Zuharman Mohamad Nor.
Barisan panjang ini sekadar beberapa nama, belum genap tepat. Sebahagian besar mereka masih berkreativiti.
Puisi Islam yang turut hadir dalam rencam pengucapan barisan para penyair di atas bukanlah sekadar kreativiti tempelan. Disedari atau tidak oleh pengkaji dan pengkritik, sebenarnya, hampir sukar untuk menemukan sosok dalam baris penyair Kelantan yang mengabaikan puisi Islam, sekurang-kurangnya yang diwakili oleh beberapa buah puisi. Cuma dalam konteks ini, pada baris penyair di atas, pengucapan mereka tidak sebegitu banyak untuk tampak dominan sebagai penyair Islam, dalam erti kata secara serius, justeru lebih terarah memberat pada pelbagai rencam pemikiran umum yang lain.
Malahan, Lim Swee Tin, Chu E. Liang dan Wee Soo Lian sekalipun, turut juga menyuarakan puisi ketuhanan. Meski agak umum, namun puisi mereka – jika dari sisi renungan, persepsi budaya Melayu, Islam – lebih tampak mendekati dan bersinonim dengan nurani puisi Islam.
Abdulhadi Muhamad merupakan tokoh yang cukup dikenali mandirinya sebagai penyair Islam dengan dominasi karya puisinya yang terbukti ketara dan banyak menyuarakan nurani puisi keislaman.
Wan Muhammad dan Allahyarham Mujahid Adil yang disisipkan dalam barisan di atas, mereka berdua sebenarnya penyair asal Patani, selatan Thailand. Namun, kedua-duanya berkreativiti prolifik di Kelantan. Malah, Mujahid Adil, pada sejauh yang diketahui, tidak pernah berkreativiti puisi di sana, malah menerima dorongan dan kematangan daripada puisi Kelantan.
Wan Muhammad pernah aktif bersama-sama grup Teater Malini, pimpinan A. Aziz H.M. Kini, beliau sudah agak lama pulang ke daerah asal kelahirannya di sana. Namun begitu, Mujahid Adil bagai separuh daripada hayatnya bertempat di Kelantan. Malah, beliau berpulang ke rahmatullah, di sini. Mujahid Adil yang merupakan pendidik – ulama – penyair pernah dilabelkan oleh Wan Muhammad sebagai Bapa Penyair Moden Patani. Allahyarham merupakan antara nama besar yang mewakili penyair Patani, berkreativiti dan ikut mendinamikkan puisi Islam di Kelantan. Beliau prolifik sekali menghasilkan beberapa buah kumpulan puisi, meski secara naskhah eksemplar yang terhad diterbitkan di Kelantan.
Allahyarham Sutung Umar RS, yang sudah diimbas awal di atas, harus ikut tersenarai dalam jajar baris penyair Islam. Benar bahawa kebanyakan puisinya menghala pada pelbagai rencam pemikiran luas dan umum. Akan tetapi, harus disedari, beliau menyumbangkan Nyanyian Mazmur (ITBM, 2019) sebagai kumpulan yang penting untuk mengukuhkan kewajaran ini pada sisi dunia puisi Islam di tanah air.
Manakala dua nama yang dikemukakan di atas, Ramzan A. Firdausi dan Zuharman Mohamad Nor – yang kini masih sebagai penyair pelapis Kelantan – wajar untuk diperhatikan mulai sekarang. Dengan pretensi awal, penulis meramalkan, kemungkinan kedua-dua penyair pelapis ini kelak akan berjaya kukuh dan ikut mengisi baris penyair Islam di tanah air secara konsisten.
Penulis berpendapat bahawa penyair dan pengarang Islam ialah penyair atau pengarang beragama Islam, walau asal apa-apa bangsa pun, yang menghasilkan karya dalam konteks pemikiran Islam sebagai kreativiti kesusasteraan Islam dalam tujuan menyampaikan: (a) ketauhidan untuk mengagungkan keesaan Allah SWT; (b) memuliakan kerasulan dan kenabian; (c) menghayati alam ciptaan Ilahi; (d) merenung iktibar sejarah dan tamadun Islam; (e) menampilkan kesedaran dan keinsafan diri; serta (f) teladan nilai murni dan moral keislaman yang semuanya dapat mendidik masyarakat pada: (a) kebenaran, (b) kemuliaan, (c) kemurnian, dan (d) keindahan hidup dari segi: (a) akhlak, (b) taakulan diri, kecerdasan pemikiran, selain (d) menghayati dan menjiwai nurani keislaman bagi manfaat serta kepentingan: (a) individu Muslim, (b) masyarakat dan ummah, serta (c) memenuhi signifikan keagungan peradaban Islam, yang dapat bersejajar dengan keperluan, motif dan signifikan dakwah Islamiah.
Berbalik pada penyair Abdulhadi Muhamad yang dibicarakan ini, merupakan tokoh yang cukup dikenali mandirinya sebagai penyair Islam dengan dominasi karya puisinya yang terbukti ketara, banyak menyuarakan nurani puisi keislaman, meski sebahagian kepekaan beliau menjurus pada rencam pengamatan dan pemikiran rencam yang lain juga.
Beliau menerima pendidikan di Maahad Muhamadi, Kota Bharu (1965–1970), kemudian ke Kolej Islam, Kelang (1971–1974) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Fakulti Pengajian Islam, Jabatan Usuluddin dan Falsafah (1975–1979), lalu lulus Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, lalu kemudian melanjutkan pada Diploma Pendidikan. Di UKM, beliau bersama-sama sahabat puisi, antaranya termasuk Azmi Yusoff (Allahyarham), Maswan Salleh, Nawawee Mohamad, Norlaila Ghaffar, dan lain-lain. Mereka mengasaskan dan menggerakkan Grup Pemuisi UKM yang suatu dekad lalu merupakan sebuah persatuan daripada kalangan mahasiswa yang cukup memasyhurkan UKM, sebagai antara persatuan sastera yang aktif di tanah air.
Pada kerjaya, beliau bertugas sebagai pendidik (ustaz) di sekolah menengah, Pahang dan pada beberapa buah sekolah di Kelantan, sehingga menjawat Penolong Kanan, sebelum memilih bersara awal pada tahun 2011.
Kemala pernah melakukan penelitian komparatif yang menarik, membuat perbandingan antara Abdulhadi Muhamad dengan Soni Farid Maulana yang ketika itu juga merupakan penyair muda di Indonesia, yang terkenal dengan puisi Islam (Rosli, 2016:xvi).
Abdulhadi Muhamad pernah dua kali memenangi Hadiah Sastera Malaysia melalui puisinya “Urir Char” (1984/1985) dan “Di Meja Makan 1986” (1986/1987), di samping beberapa hadiah sastera berprestij yang lain di tanah air. Beliau terpilih menerima Anugerah Penyair PERADABAN pada tahun 2018 oleh Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN).
Sehingga kini, penyair ini sudah menghasilkan tujuh buah kumpulan puisi, iaitu Ruang Dalam (Penyair, 1986); Racun Abadi (PDP, 2001); Negeri di Bawah Bulan (PDP, 2008); Atar Seribu Bunga (DBP, 2012); Gobar Wilayah Kami (PDP, 2013); Dari Pandangan Sisi (PERADABAN, 2016); dan Duga Nun (PERADABAN, 2019).
Dalam pembentangan kertas kerja “Duga Nun dari Perspektif Ulul Albab” (2020) tiga tahun lalu, penulis mengemukakan pandangan, sekurang-kurangnya terdapat tiga aspek atau faktor utama yang menyedarkan, mendorongkan dan mengukuhkan kecenderungan Abdulhadi Muhamad terhadap pengucapan puisi Islam, iaitu:
Atas kesan asuhan, pendidikan serta tugas inilah yang menjuruskan dan meniruskan penyair ini kepada kesedaran, minat, iltizam, serta komitmen beliau untuk lebih mengutamakan dan mengedepankan pengucapan kepenyairannya terhadap puisi berunsur keislaman.
Baca Bahagian Kedua, Ketiga dan Keempat Reaksi |
Kredit Gambar: Firus Fansuri
_________________________
Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian (Bandar D’Raja Muhammadi), Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) memenangi Hadiah Utama Puisi T. Alias Taib 2023.