Oleh Ezura As'ad Azam
25 September 2023, 18:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Bagi menyokong pemartabatan sastera kebangsaan melalui bicara tentang perkembangan persuratan Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Tugas-tugas Khas), Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menganjurkan program “Nadwah Serantau Sastera Islam Sabah”.

Seminar tahunan yang diadakan pada 20 hingga 21 September lepas di Dewan Amil Jaya DBP Cawangan Sabah pada kali ini menghimpunkan dua kertas ucaptama sebagai dasar perbincangan dan tujuh buah kertas kerja yang dihasilkan oleh pemakalah dari Malaysia, Brunei, Indonesia dan Thailand. Bertepatan dengan usaha mengeratkan persefahaman dan kerjasama serantau, program ini mengangkat tema, “Persuratan Islam Teras Perpaduan Masyarakat MADANI” sebagai inti perbincangan.

Para pembentang kertas kerja.

Profesor Emeritus Muhammad Bukhari Lubis membentangkan kertas kerja Ucap Utama 1 bertajuk, “Kesusasteraan Islami dalam Perjalanan Hidupku”. Melalui pembentangannya, beliau menelusuri sejarah pelibatannya dalam kesusasteraan sambil menjelaskan beberapa teori berkaitan dengan Sastera Islam dan Sastera Bandingan. Kata beliau:

Kehidupan ini sesungguhnya dibina dan didukung oleh empat tiang sebagai paksi; kegiatan penciptaan, ciptaan, kegiatan penghayatan dan kegiatan penelaahan.

Profesor Emeritus Muhammad Bukhari Lubis sebagai pengucap utama satu.

Sesi pembentangan pertama yang dipengerusikan oleh Puan Azrin Eddy (DBP Cawangan Sabah) melibatkan empat orang pembicara. Dr. Sabariah Bahrun dari Institut Pendidikan Guru Kampus Kent, Tuaran mengupas tema Nadwah Serantau Sastera Islam melalui makalah beliau bertajuk “Persuratan Islam Teras Perpaduan Masyarakat MADANI. Melalui karya persuratan Islam, beliau meneliti impak yang dihasilkan terhadap pemikiran dan kehidupan masyarakat, dengan penekanan terhadap nilai kemakmuran.

Puan Dayang Sharyanty Haji Md Sharif (DBP Brunei Darussalam) sebagai pemakalah berikutnya membentangkan kertas kerja bertajuk “Menyantuni Makna Hijrah dalam Novel Empat Pasang Anting-Anting karya Nur Hamizah Samihon”. Beliau merumuskan bahawa penulis novel ini berjaya menghasilkan gaya penulisan tersendiri yang menekankan nilai agama dan berkait rapat dengan konsep hijrah.

Seterusnya, pemakalah ketiga ialah Dr. Phaosan Jehwae dari Thailand membentangkan kertas kerja bertajuk “Puisi-puisi Edukasi Wahana Penyelesaian Permasalahan Sosial di Patani, Selatan Thai”. Kertas kerja tersebut berkaitan dengan hasil penyelidikan melibatkan generasi muda yang digalakkan menggunakan puisi untuk menyelesaikan masalah sosial, khususnya di Selatan Thailand. Ternyata puisi bukan sahaja mampu menghibur jiwa bahkan mampu menyebarkan kebaikan dalam kalangan masyarakat, seiring dengan syariat Islam.

Dr. Abdul Aziz Mahmood dari Kelantan, Malaysia seterusnya membentangkan makalah bertajuk “Tema dan Fungsi Puisi Islam Menggapai Peradaban”. Beliau menghuraikan tentang tema dan fungsi puisi-puisi berunsur Islam yang cukup luas, sesuai dengan syariat yang menyeru manusia beriman dan beramal soleh serta melarang daripada berbuat kejahatan dan maksiat. Penyair Islam ditegaskan untuk menulis kerana Allah SWT dengan niat memandu manusia ke arah kebenaran dan keredaan.

Secara keseluruhan, skop pembentangan bagi sesi ini jelas memperlihatkan kepelbagaian latar masyarakat dalam melahirkan karya sastera namun semuanya membentuk persefahaman yang kukuh bertunjangkan Islam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.