Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Kinabalu –“Karya kita membawa makna tersendiri. Kita masih mempunyai karya-karya yang terbaik sebaris dengan karya luar. Baca dan fikirkan, jangan tolak puisi dan prosa kerana itulah inti pemikiran, inti tamadun kita.”
Demikianlah kata-kata Sasterawan Negara (SN) Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam program Sujana Kata Sasterawan Negara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) dengan kerjasama Insitut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya yang diadakan di Dewan Auditorium IPG Kampus Gaya, baru-baru ini.
Program yang melibatkan 200 orang pelajar ambilan Bahasa Melayu dari IPG Kampus Gaya ini bermatlamat untuk memberi panduan kepada penghasilan karya yang bermutu.
Beliau menyatakan bahawa penghasilan sesebuah karya yang bermutu perlu ada mesej supaya boleh direnung dan dapat difikirkan oleh masyarakat. Mesej-mesej yang dibawa ini dapat diperluas dan dimanfaatkan oleh masyarakat supaya dapat membentuk sesuatu yang positif. Jelas beliau;
Adalah menjadi suatu keseronokan apabila dapat mengajak pelajar turut sama menjelajah pemikiran dan imaginasi pengarang dunia melalui karya yang dihasilkan.
Oleh itu, pengarang memberi suatu gambaran dan sudut pandang yang berbeza tentang kehidupan, manakala intepretasi pembaca pula bergantung kepada pemahaman dan pengalamannya pula.
Sebelum itu, Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBPCS berharap setiap peserta yang hadir dalam program ini dapat meraih sebanyak mungkin ilmu yang dikongsikan oleh SN kerana ini merupakan peluang keemasan yang sukar diperoleh.
Beliau juga berharap program ini akan diteruskan lagi dan mendapat sambutan yang lebih menggalakkan.