Oleh Ilham Budiman
19 April 2023, 08:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Hanya dalam masa dua hari selepas berita penganjuran Kolokium Antarabangsa Peradaban Wilayah Timur Laut tersiar melalui JendelaDBP Dewan Sastera pada 22 Mac lalu, seramai 138 peserta dari pelbagai negeri, termasuk Indonesia, sudah mendaftar bagi menyertai kolokium ini.

Sambutan ini mengejutkan, dalam masa dua hari sahaja, cukup membuktikan bahawa kolokium ini benar-benar mendapat minat besar penyertaan.

Selain peserta, seramai 38 pemakalah termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, Uzbekistan, Azerbaijan, Rusia, dan Australia sudah mendaftar bagi membentangkan kertas kerja.

Kolokium ini akan berlangsung di Universiti Fatoni (FTU), Patani, Selatan Thailand, selama tiga hari pada 4 hingga 6 Ogos nanti.

Kolokium ini merupakan anjuran bersama Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dan Pusat Kajian Tamadun Melayu Islam Patani (PUSTANI), Universiti Fatoni dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Ahli Jawatankuasa PERADABAN, Abdul Razak Ismail, selaku Ketua Pengurusan Peserta memberitahu, “Jumlah pendaftaran peserta pada masa kini sedang bertambah, namun dijangka dihadkan seramai 200 peserta sahaja, kerana faktor kemudahan penginapan dan harus mengambil kira keselesaan peserta.

“Keseluruhan dijangka mencecah 300 peserta, jika termasuk 100 peserta dari Selatan Thailand.

“Namun kebanyakan mereka tidak memerlukan penginapan kerana berada di tempat sendiri,” tambah beliau.

Peluang masih dibuka kepada sarjana, calon kedoktoran, pengkaji, penulis, sejarawan, budayawan, dan individu berpengalaman yang berminat untuk ikut serta sebagai pembentang kertas kerja bagi kolokium ini.

Yuran ditetapkan bagi pemakalah ialah RM400 (฿3100, USD90), manakala peserta ialah RM350 (฿2500, USD85), merangkumi kos perjalanan pergi balik bermula dari Kota Bharu ke Patani, penginapan (3 hari 2 malam), makan minum sepanjang kolokium, dan lawatan.

Pembentangan berkumpulan tetap dikenakan yuran penuh bagi setiap individu kerana tanggungan oleh penganjur melibatkan kos individual.

Sementara itu, Setiausaha PERADABAN, Sharrul Rizal Hashim memberitahu, selain pembentangan kertas kerja berkaitan Peradaban Wilayah Timur Laut sebagai fokus utama, kolokium ini dapat membebaskan juga sebarang kertas kerja umum lain sebagai pembentangan tambahan.

Menurutnya, terdapat pemakalah dari luar negara yang ingin menyertai bagi menambahkan ilmu dan pengetahuan mengenai Peradaban Wilayah Timur Laut, justeru mahu hadir tanpa mahir mengenai hal peradaban, namun berminat menyumbangkan kertas kerja di luar fokus.

“Oleh yang demikian, PERADABAN dapat menerima cadangan bahawa kertas kerja tambahan tetap bermanfaat, malah mampu menjadikan kolokium ini bersignifikan besar kerana peserta turut memperoleh peluang memperkaya ilmu dan pengetahuan lain lagi,” ujarnya.

Sungguhpun demikian, menurut beliau, kuota kertas kerja tambahan akan dihadkan kerana keutamaan lebih berfokuskan pada Peradaban Wilayah Timur Laut.

Wilayah Timur Laut yang dimaksudkan dalam konteks kolokium ini ialah wilayah timur laut Semenanjung Malaysia yang melingkari zon Kelantan, Terengganu, Selatan Thailand, serta negara Kemboja, Vietnam dan Laos.

Semua negeri dan negara dalam konteks wilayah ini mewarisi pengalaman sejarah, bahasa asas, kehidupan budaya, dan seni yang hampir sama, serta ada juga pertalian keturunan yang sama.

Tema kolokium pada kali ini ialah “Dinamika Sosiobudaya, Ekonomi dan Pelancongan Wilayah Timur Laut” dengan cakupan subtema Sejarah, Bahasa, Budaya, Ekonomi, Pelancongan, dan Persuratan.

Kolokium ini masih dibuka kepada peserta, sementara pemakalah yang berhalangan untuk hadir secara fizikal dibenarkan untuk membentang kertas kerja yang lengkap melalui video.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada bulan Mei 2023. Keterangan lanjut, jika perlu, boleh terus menghubungi Penolong Setiausaha PERADABAN, Muhammad Ikhram Fadly Husin melalui nombor telefon 012-290 8429 (waktu pejabat sahaja).

Kredit Foto: Joyce12/Pixabay

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.