Diterbitkan pada 11 Jun 2026, 14:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tanjung Pinang – Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Kuantan memperkukuh jaringan persuratan serumpun apabila memeterai Surat Hasrat (LOI) dengan Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP), Universitas Maritim Raja Ali Haji (UMRAH), Kepulauan Riau, Indonesia dalam rangka lawatan rasmi yang berlangsung pada 2 hingga 3 Jun 2026.

Melalui LOI yang dimeterai, kedua-dua pihak menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama strategik dalam pelbagai program persuratan termasuk penganjuran sayembara penulisan, bengkel penulisan kreatif, penerbitan karya bersama, program pengucapan puisi serta aktiviti kebudayaan yang melibatkan komuniti sastera dan budaya di Pahang dan Kepulauan Riau.

Rombongan DPMP Kuantan diketuai oleh Ahli Seumur Hidup DPMP yang juga mantan Timbalan Presiden DPMP, YH Dato’ Dr. Ahmad Munawar Abdul Jalil. Dalam ucapannya beliau berkata, pemeteraian LOI tersebut membuka lembaran baharu dalam hubungan persuratan antara Pahang dan Kepulauan Riau yang mempunyai akar sejarah, bahasa dan budaya Melayu yang sama.

“Kerjasama ini merupakan usaha menghidupkan kembali semangat persaudaraan serumpun Melayu melalui medan ilmu, persuratan dan kebudayaan. Kita berharap pelbagai program dapat direalisasikan bagi memberi manfaat kepada generasi muda dan masyarakat di negeri Pahang dan Kepulauan Riau,” ujarnya.

Sebelum itu, rombongan DPMP Kuantan turut mengadakan kunjungan silaturahim dan ramah mesra ke Dewan Kebudayaan Kepulauan Riau yang berlangsung di Balai Adat Seri Indera Sakti, Lembaga Adat Melayu, Kepulauan Riau.

Pertemuan tersebut menjadi wadah penting untuk memperkukuh hubungan kelembagaan antara Dewan Kebudayaan Kepulauan Riau dan DPMP Kuantan, selain membincangkan pelbagai peluang kerjasama dalam usaha memartabatkan bahasa, sastera, seni dan budaya Melayu di peringkat serantau.

Antara cadangan yang dipersetujui ialah pelaksanaan program budaya serumpun Pahang-Kepulauan Riau secara berperingkat, dengan aktiviti awal dirancang dilaksanakan secara dalam talian bermula Oktober tahun ini sebelum dikembangkan kepada program bersemuka pada masa hadapan.

Lawatan selama dua hari itu disifatkan sebagai langkah strategik dalam memperkukuh jaringan persuratan dan kebudayaan Melayu serantau sekali gus mengangkat peranan institusi sastera dan budaya sebagai jambatan penyatuan masyarakat serumpun di Malaysia dan Indonesia.

Kredit Foto: Dewan Persuratan Melayu Pahang
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi