Diterbitkan pada 25 Januari 2026, 15:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap agar pasaran buku dan karya kreatif Malaysia diberi ruang yang lebih meluas di Indonesia bagi memastikan wujudnya keseimbangan dalam pertukaran ilmu serta budaya antara kedua-dua negara.

Beliau menegaskan bahawa “kubu” yang selama ini menghalang kemasukan produk literasi tempatan ke republik itu perlu dipecahkan memandangkan produk dari Indonesia sangat mudah memasuki pasaran Malaysia.

“Permohonan saya, kita lihat dengan mudah buku-buku dari Indonesia dibawa masuk ke Malaysia. Mengapakah buku-buku dari Malaysia tidak boleh dibawa masuk ke Indonesia? Ruang ini mesti dibuka dengan seluas-luasnya dalam pertukaran ilmu ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Perdana bersempena dengan Ulang Tahun Ke-50 Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), kelmarin.

Selain industri perbukuan, beliau turut menarik perhatian tentang cabaran yang dihadapi oleh penggiat seni muzik dan perfileman tempatan untuk menembusi pasaran negara jiran tersebut.

Beliau mahu artis Malaysia diberi ruang merakam karya di Indonesia dan diedarkan secara meluas di seluruh republik itu. Beliau turut menyatakan bahawa filem Indonesia sangat mudah ditayangkan di Malaysia, namun filem tempatan jarang-jarang mendapat peluang yang sama di sana.

Mengulas mengenai Sambutan Jubli Emas PAPTI, beliau menyifatkan persatuan tersebut sebagai jambatan penting yang memperkukuh hubungan diplomatik dengan pendidikan selama lima dekad.

Beliau berharap agar jaringan alumni ini dapat digunakan sebagai platform untuk memperkasakan kerjasama yang lebih adil yang dibina atas asas persaudaraan serumpun yang berkongsi budaya dan bahasa yang hampir sama.

Kredit Foto: Media Rasmi YAB TPM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi