Diterbitkan pada 16 Jun 2026, 15:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah mengingati pengalamannya di Malang, Jawa Timur, Indonesia serta jejak-jejak sastera yang ditemuinya di sana.

Kali pertama saya ke sana, saya diajak ke Gunung Bromo.

Kadang-kadang saya sendiri ketawa kecil apabila memikirkannya. Entah bagaimana, saya boleh terasa lebih “Indonesia” daripada orang Indonesia. Rasa akrab yang datang tanpa dipaksa. Segalanya bermula bukan dengan niat yang besar pun. Jemputan demi jemputan datang, sebagai dosen (baca: pensyarah) tamu yang membawa saya dari Pulau Sumatera ke Pulau Jawa, kemudian ke Kepulauan Sulawesi dan Kalimantan. Banda Aceh, Medan, Pekanbaru, Padang; nama-nama itu sewaktu ketika dahulu sekadar saya baca dalam buku teks geografi. Sekarang, ada wajah dan ada cerita setiap kunjungannya. Jakarta, Jogjakarta, Bandung, Semarang, Surabaya; semuanya pernah saya singgahi, bukan sebagai pelancong sepintas lalu, melainkan sebagai seseorang yang sempat duduk, berbual dan mendengar. Ada juga perjalanan yang lebih santai. Ke Pulau Lombok dan Bandung. Menariknya, saya ke Lombok tidak lama selepas gempa besar pada tahun 2018.

Dan, daripada semua tempat itu, ada satu yang selalu buat saya kembali—Malang. Saya sendiri tidak pandai menjelaskan alasannya. Nama Malang itu sendiri seolah-olah membawa maksud yang berat, tetapi kotanya tidak seberat itu. Ia lembut. Sejuk. Dan entah kenapa, terasa dekat.

Kali pertama saya ke sana, saya diajak ke Gunung Bromo. Saya ingat lagi, saya fikir, “Oh, tempat pelancongan biasa sahaja.” Rupanya saya silap besar. Perjalanan ke sana, ya Allah! Memang menguji. Jalan berliku seakan-akan tidak berpenghujung. Dalam kereta, saya cuba tahan, namun tatkala tiba di tempat tukar ke jip, saya terus memuntahkan segala isi perut. Tidak sempat untuk berlagak tenang. Malu? Memang. Tapi pada masa itu, saya sudah tidak peduli.

Naik jip menambah satu cerita lagi. Jalan makin sempit, dan di kiri dan kanan gaung. Dalam hati, saya cuma berharap pemandu itu tahu apa yang dia buat. Dan anehnya, saya percaya. Cara dia memegang stereng, tenang sahaja, seperti jalan itu memang miliknya. Kami sampai awal pagi. Sejuknya bukan main. Orang ramai sudah berkumpul, masing-masing menunggu sesuatu yang sama, iaitu matahari terbit. Saya berdiri diam, cuba mengatur nafas, cuba melupakan pening dan mual yang masih bersisa.

Dan dalam diam itu, saya menelusuri puisi tentang kehebatan Bromo ini yang membawa kepada bait puisi Slamet Sukirnanto, seorang sasterawan tersohor di Indonesia. Apakah benar Bromo sungguh tersohor sehingga disebut-sebut dalam puisi tokoh sastera negara itu?

…….Malam dan lautan pasir dihapus kegelapan
…….Angin mati meskipun tubuh berdekatan
…….Sepanjang jalan mendatar dan meraba sepi
…….Puncakmu anggun! Engkau minta tetap sendiri!

Dalam keadaan kesejukan dan keletihan, saya cuba menghayati waktu itu. Namun, memang benar, suasananya memang seperti itu. Lautan pasir yang luas, sunyi yang terasa hidup, angin yang seakan-akan berhenti seketika. Kemudian, perlahan-lahan, cahaya muncul di balik Gunung Bromo. Perasaan yang tidak terluah dengan kata-kata. Terasa seperti segala cabaran yang ditempuh tadi, semua yang tidak selesa tadi, tiba-tiba ada maknanya. Momen kecil yang tak dibuat-buat. Yang bila dikenang, terasa dekat. Saya juga menghayati karya Gus Haris yang merupakan tokoh politik yang berlatar belakang agama, perubatan dan kepimpinan politik. Antara bait yang tersentuh tatkala melihat keindahan Gunung Bromo yang muncul di balik awan apabila mentari muncul, bait-bait tersebut sangat dekat dengan hari saya.

…….Langit pertama yang kami pandang
…….Adalah langit ke Esa-an
…….Gunung pertama yang kami daki
…….Adalah gunung amanah
…….Dan bumi pertama yang kami pijak
…….Ini adalah menjadi saksi
…….Janji para leluhur
…….Kami tidak mendaki untuk menaklukkan
…….Kami mendaki sebagai sujud yang tinggi
…….Semakin dekat dengan puncak
…….Semakin tunduk wajah kami ke bumi
…….Syukur mengalir

Gunung Bromo menjadi latar belakang yang diingati.

Rumah Budaya Ratna merupakan ruang inklusif yang menghidupkan kembali semangat kesusasteraan Ratna Indraswari Ibrahim.

Malang dikenali sebagai Kota Pendidikan di Indonesia. Gelaran ini diberikan kerana peranannya sebagai salah satu pusat kecemerlangan akademik yang utama di negara tersebut. Malang menempatkan lebih daripada 60 buah institusi pendidikan tinggi daripada sejumlah tertentu yang terdapat di Indonesia. Usai seharian di Bromo, saya kembali ke Kota Malang dalam keadaan yang lelah, namun sarat dengan momen indah dan ditambah, dengan bait-bait puisi tokoh ternama Indonesia. Saya pulang berehat sejenak sementara menunggu kegiatan seterusnya pada keesokan harinya, yang lebih bersifat akademik. Saya bakal berkongsi ilmu dengan mahasiswa pascasiswazah yang sering dipanggil sebagai S2 untuk peringkat Sarjana dan S3 untuk peringkat Ijazah Doktor Falsafah. Ketika itu juga, saya baru memahami bahawa singkatan “S” itu mewakili secara ringkasnya “strata”, yang merujuk tingkatan atau tahap pengajian di universiti.

Keesokan paginya, suasana pagi yang berkabus dengan latar gunung yang mengelilingi kota menghadirkan rasa damai dan tenteram kepada sesiapa yang berada di dalamnya. Namun, di sebalik keindahan tersebut, kehidupan sebenar di kota ini tetap bergerak dengan segala cabarannya dalam pelbagai aspek kehidupan.

Di lorong-lorongnya, mahasiswa berjalan dengan buku di tangan. Pertembungan antara ketenangan visual dengan tekanan realiti inilah yang menjadikan Malang lebih daripada sekadar sebuah kota biasa. Seperti yang digambarkan oleh Italo Calvino, seorang novelis dan penulis cerpen dari Itali, “Cities, like dreams, are made of desires and fears” bahawa, sesebuah kota bukan hanya terdiri daripada bangunan dan jalan raya, tetapi turut terbina daripada lapisan emosi, pengalaman, harapan, dan kegelisahan yang hidup bersama dalam ruang yang sama.

Usai menyelesaikan aktiviti rasmi bersama-sama mahasiswa S2 dan S3, serta dosen di Universitas Negeri Malang, saya dibawa mengelilingi Kota Malang. Dalam perjalanan, seorang dosen bertanya, “Pak Halim, ada rencana khusus untuk ke mana?” Saya lalu menjawab, “Bisakah saya mampir sebentar ke Rumah Budaya Ratna?” Saya ingin menelusuri jejak karya Ibu Ratna Indraswari Ibrahim, seorang sasterawati besar yang begitu akrab dengan denyut nadi Kota Malang. Rumah Budaya Ratna merupakan ruang inklusif yang menghidupkan kembali semangat kesusasteraan Ratna Indraswari Ibrahim.

Beroperasi di bekas kediaman peribadinya yang dibina sejak tahun 1914, ruang ini berfungsi sebagai kafe yang menempatkan pelbagai buku, ruang diskusi, pameran seni, serta pusat pertemuan bagi seniman, aktivis dan generasi muda. Rumah budaya ini turut menyimpan manuskrip asli, koleksi buku peribadi dan pelbagai peninggalan beliau yang memaparkan proses kreatif serta perjuangannya dalam dunia sastera.

Di Rumah Budaya Ratna.

Ratna Indraswari Ibrahim (1949 – 2011) merupakan seorang sasterawan dan penulis dari Indonesia yang berasal dari Malang. Beliau dikenali sebagai tokoh penulis yang produktif menghasilkan ratusan karya sastera di sebalik keterbatasan fizikalnya. Beliau lumpuh ketika berusia 10 tahun. Beliau sememangnya sangat mencintai Kota Malang namun kecintaan tersebut lebih banyak beliau terjemahkan ke dalam karya prosa (novel dan cerpen) daripada puisi. Bagi beliau, Malang bukan sekadar latar belakang, melainkan jiwa cerita-ceritanya. Melalui karya-karyanya, Ratna Indraswari menjadikan Kota Malang bukan sekadar latar cerita, tetapi ruang sosial yang sarat dengan perjuangan, memori dan kemanusiaan.

Novel Lemah Tanjung (2003), misalnya, mengangkat kisah sebenar perjuangan warga Malang menentang penggusuran hutan kota akibat pembangunan hartanah mewah yang mengancam ekosistem kota tersebut. Dalam Pecinan Kota Malang (2007) pula, beliau meneroka dinamik sosial dan persahabatan dalam komuniti Tionghoa di kawasan Pecinan Malang, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian budaya yang membentuk identiti kota itu.

Sementara itu, novel 1998 menggambarkan Malang sebagai pusat gerakan reformasi mahasiswa dengan watak-watak yang diinspirasikan daripada aktivis sebenar yang sering berkunjung ke rumah beliau.

Setelah tiga hari berkelana di Kota Malang, saya tidak meninggalkan Malang dengan teori baharu. Tiada model atau kerangka besar yang saya bawa pulang untuk dijelaskan dalam bentuk rajah atau rumusan akademik. Namun, saya pulang dengan satu kesedaran yang lebih mendalam, iaitu Malang, sebuah kota yang tidak seberat namanya.

Dalam realiti, kota ini membawa makna yang jauh lebih indah di sebalik namanya, sebuah kota yang tenang, damai dan mempesonakan. Namun, di sebalik ketenangan itu, seperti kota-kota lain di dunia, Malang dihuni oleh manusia yang bergelut dengan kehidupan, menyimpan harapan, keresahan, perjuangan, dan impian mereka sendiri.

_________________________

Abdul Halim Abdullah (Prof. Madya Dr.) merupakan ahli akademik sepenuh masa di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang sangat cinta pada bahasa ibundanya. Beliau pernah dinobatkan sebagai Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu pada tahun 2022 oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Tokoh Penerbitan (Kategori Sains Sosial) Majlis Citra Karisma UTM 2025.

Kredit Foto: Raras Cahya/Unsplash dan Abdul Halim Abdullah
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi