Diterbitkan pada 29 Mei 2026, 07:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ridzuan Kamis memberikan reaksi pandangan terhadap rencana Ahmad Farhan Abdul Manan, “Sastera dalam Zaman Dopamin Segera”.

Membaca kisah manusia lain sebenarnya melatih imaginasi etika kemanusiaan.

Rencana tulisan Ahmad Farihan Abdul Manan mengangkat suatu persoalan yang realiti, yakni kemerosotan daya tumpu manusia akibat dominasi rangsangan digital yang berterusan. Hujah bahawa manusia kini hidup dalam limpahan maklumat, namun semakin miskin keupayaan memberikan perhatian, merupakan sebuah pemerhatian yang tajam serta signifikan. Di sinilah tulisan ini memperlihatkan kekuatan intelektualnya kerana perbincangannya tidak terhenti pada kritikan budaya digital, sebaliknya menelusuri akar persoalan hingga ke wilayah neurokimia, khususnya peranan dopamin dalam membentuk tingkah laku dan tabiat kognitif manusia.

Pandangan bahawa teknologi digital mengubah pola perhatian melalui sistem ganjaran otak mempunyai asas yang kukuh dalam neurosains kognitif. Rangsangan segera seperti notifikasi, video pendek dan sistem suka (likes) sememangnya berupaya membentuk tabiat tindak balas pantas yang bersifat berulangan (repetitive). Dalam konteks ini, kupasan dalam rencana tersebut tepat apabila menegaskan bahawa yang terhakis bukan sahaja disiplin membaca, malah keupayaan menangguhkan kepuasan. Hal ini mengingatkan gagasan “deep attention” bahawa manusia moden semakin bergerak daripada perhatian mendalam kepada “hyper attention”, iaitu bentuk perhatian yang sentiasa meloncat antara rangsangan tertentu.

Dalam kerangka itu, hujah bahawa sastera berfungsi sebagai latihan neurologi merupakan gagasan yang amat bernilai. Aktiviti membaca karya sastera, khususnya puisi, cerpen atau novel yang kompleks, menuntut penangguhan, pentafsiran dan kesabaran hermeneutik. Proses ini melatih daya tahan kognitif serta mengukuhkan ketekunan intelektual. Dalam erti kata lain, sastera tidak hanya berfungsi sebagai wahana estetika, tetapi sebagai ruang pendidikan perhatian. Pandangan ini penting kerana mengembalikan sastera kepada fungsi epistemologinya, yakni mendidik cara manusia berfikir secara mendalam dan reflektif.

Contoh yang relevan dapat dilihat ketika seseorang membaca karya besar seperti novel Salina. Pembacaan karya sedemikian tidak memungkinkan pendekatan tergesa-gesa seperti melayari media sosial. Pembaca dipaksa berhenti, merenung, mentafsir simbol, serta menyusun makna secara bertahap. Proses inilah yang membina semula keupayaan memberi perhatian secara berpanjangan. Dalam kerangka ini, membaca dapat difahami sebagai latihan kesedaran intelektualiti.

Lebih menarik, rencana tersebut tidak meletakkan sastera sebagai pesaing teknologi, sebaliknya sebagai daya imbangan terhadap kesan dominasi teknologi. Hujah ini bersifat matang. Persoalannya bukan pada kewujudan teknologi itu sendiri, tetapi apabila teknologi menguasai rentak neurokognitif manusia tanpa sebarang imbangan budaya. Sastera hadir sebagai daya kontra terhadap budaya kepantasan. Dalam bahasa falsafah budaya, sastera menjadi bentuk resistensi terhadap hegemoni percepatan.

Namun demikian, satu peluasan wacana yang boleh dipertimbangkan ialah hubungan antara perhatian dengan etika. Krisis perhatian pada hakikatnya juga merupakan krisis kemanusiaan. Individu yang gagal memberi perhatian mendalam cenderung gagal mendengar, kurang memahami penderitaan orang lain, malah berpotensi melemah dari sudut simpati dan empati. Dalam konteks ini, pembacaan sastera memiliki dimensi moral. Membaca kisah manusia lain sebenarnya melatih imaginasi etika kemanusiaan.

Fenomena ini turut terlihat dalam konteks pendidikan. Murid yang terbiasa dengan jawapan segera melalui carian digital kadangkala kurang sabar meneliti hujah yang kompleks. Mereka cenderung mengutamakan kesimpulan segera tanpa melalui proses analisis yang teliti. Keadaan ini menguatkan hujah bahawa sistem ganjaran pantas boleh melemahkan daya fikir perlahan. Dalam hal ini, sastera boleh berfungsi sebagai pedagogi untuk melatih pemikiran reflektif dan kreatif.

Seterusnya, apabila mempertahankan bahawa tuduhan sastera tidak praktikal sebenarnya lahir daripada kerangka utilitarian yang sempit. Yang praktikal tidak semestinya yang segera menguntungkan secara ekonomi. Keupayaan menumpu, berfikir mendalam dan menangguhkan kepuasan ialah modal insan yang amat praktikal untuk kehidupan, pendidikan dan kepimpinan. Maka, mempertahankan sastera bererti mempertahankan asas tamadun atau madani wangsa.

Dari sudut wacana budaya, pemikiran bahawa krisis membaca bukan semata-mata masalah tabiat individu, tetapi masalah struktur zaman. Hujah ini penting kerana mengalihkan wacana daripada kecenderungan menyalahkan pembaca kepada memahami ekologi perhatian yang sedang berubah. Pendekatan sedemikian lebih ilmiah dan lebih adil.

Secara keseluruhannya, rencana Ahmad Farihan Abdul Manan berjaya menghubungkan neurokimia, budaya digital dan fungsi sastera dalam satu binaan hujah yang padu. Nilai utamanya terletak pada keberanian menempatkan sastera bukan sebagai tinggalan nostalgia semata-mata, tetapi sebagai medan mempertahankan keutuhan manusia. Dalam zaman yang memuja kepantasan, sastera mengajarkan “kelambatan” yang bermakna, dalam zaman yang meraikan kesegeraan, sastera melatih “penangguhan”, dan dalam zaman yang memecahkan perhatian, sastera menawarkan pemulihan tumpuan.

Akhirnya, jika dopamin mendorong manusia mengejar ganjaran, sastera mendidik manusia menunggu makna. Barangkali pada titik itulah masa depan pembacaan masih dapat dipertahankan.

_________________________

Ridzuan Kamis ialah penulis dari Perlis Indera Kayangan. Beliau telah menghasilkan beberapa kumpulan puisi umum, remaja dan kanak-kanak. Beliau juga aktif menulis rencana sastera, rencana umum dan kritikan sastera. Beberapa buku beliau pernah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Penerbit Universiti Utara Malaysia, dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Beliau pernah menjadi Karyawan Bulan Ini dalam Dewan Sastera Bil. 11/2021.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi