Oleh Rasoul Manan
14 Oktober 2023, 20:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sidang 3 dalam Pertemuan Penyair Nusantara ke-12 (PPNXII) mengenai: Pergelutan Puisi dalam Arus Teknologi telah menampilkan Syed Mohd Zakir atau nama penanya SM Zakir (Malaysia), A. Razak Panamalae (Thailand), Dr. Morsidi Haji Muhammad (Brunei) dan Saifullizan Yahaya mewakili Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

SM Zakir membuka tirai sesi dengan menjelaskan senario yang dihadapi oleh masyarakat ketika ini berhadapan dengan teknologi. Sebagai contoh, kerja-kerja seperti reka bentuk dan atur huruf yang dahulunya dilakukan oleh manusia telah diambil alih dan dimudahkan dengan kehadiran aplikasi.

SM Zakir memulakan Sidang 3 dalam PPNXII di Hotel Grand Campbell, Kuala Lumpur, hari ini.

Apabila teknologi atau ChatGPT mula menguasai perkara ini sehinggalah mampu menulis seperti manusia, hal ini akan mewujudkan pergelutan dalam diri penyair atau pengarang.

Puisi bukan sekadar bentuk tetapi suntikan ideologi

Dalam pergelutan ini, beliau menjelaskan bahawa perkara yang membezakan hasil tangan manusia dengan teknologi ialah suntikan ideologi. Namun, jika penyair terus merosot dalam meratifikasikan perkara ini, sudah tentu perkara ini akan mengundang kemunduran dalam berkarya.

Seterusnya, panel kedua A. Razak Panamalae turut senada dengan mengatakan bahawa teknologi hanya sebuah alat, berbeza dengan penyair yang memiliki pelbagai naluri. Perkara inilah yang membangkitkan  semangat seorang penyair dalam melawan atau bergelut agar karya yang dihasilkan berbeza dengan ciptaan teknologi.

A. Razak Panamalae wakil negara Thailand menekankan sifat kemanusiaan dalam pembentangan Sidang 3.

Beliau mengambil contoh yang ditulis oleh John Naisbitt dalam buku High Tech High Touch: Technology and Our Accelerated Search for Meaning (Broadway Books, 1999), bahawa kemajuan teknologi hanyalah ciptaan manusia namun tidak memiliki sifat seperti manusia.

Selepas itu, Saifullizan Yahaya pulak mengambil alih sesi. Beliau memulakan sesi dengan mengulas sebuah filem Hollywood; I, Robot yang dibintangi oleh Will Smith. Filem ini mengenai Chicago 2035, di sebuah daerah yang menampilkan robot hidup bersama-sama manusia.

Will Smith ialah detektif di Chicago yang tidak menyukai kemajuan pesat teknologi, termasuk robot kerana perkara ini boleh mendatangkan kebaikan serta keburukan.

Saifullizan Yahaya dari DBP membawa kelainan dalam pembentangan dengan menyelitkan filem ketika menjadi panel dalam Sidang 3 PPNXII.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa manusia sentiasa kekal bergelut dengan teknologi. Namun sifat kemanusiaan yang dimiliki oleh manusia akan membezakan kualiti dalam penghasilan karya.

Yang terakhir, Dr. Morsidi Haji Muhammad melengkapkan sidang 3 dengan membincangkan pergelutan puisi dalam arus teknologi. Beliau menjelaskan situasi kepuisian di Brunei dengan mengatakan bahawa teknologi ada perihal yang positif. Ujar beliau;

Teknologi membantu dalam mempromosikan sastera dan menyuburkan minat kepada generasi muda di Brunei.

Dr. Morsidi Haji Muhammad menjelaskan baik dan buruknya teknologi dalam Sidang 3 PPNXII.

PPNXII kali ini melibatkan beberapa sidang, dan pada hari terakhir, iaitu pada 15 Oktober (esok), giliran Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan memberikan syarahan utama mengenai Ruang Hidup Puisi Nusantara.

Akhir sekali, perbincangan berkenaan dengan isu ini ditutup oleh Sidang 6: Pleno – Hala Tuju Pertemuan Penyair Nusantara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.