Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Tiga Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan sastera dan budaya dari Malaysia, iaitu Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Pertubuhan Kraft Malaysia dan Pusat Budaya Pusaka (PUSAKA) menerima pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai NGO bertauliah bagi domain Warisan Kebudayaan Tidak Ketara.
Senarai 57 NGO termasuk PENA, PUSAKA dan Pertubuhan Kraft Malaysia itu dimuat naik dalam laman web rasmi UNESCO, yang turut menyenaraikan wakil NGO dari negara lain, termasuk Sepanyol, Perancis, Chile, Amerika Syarikat, Brazil, Indonesia, dan Turkiye.
Untuk rekod, Konvensyen UNESCO 2003 bagi Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara mencadangkan lima domain warisan budaya tidak ketara yang merangkumi tradisi dan ungkapan lisan, termasuk bahasa; seni persembahan; amalan sosial, ritual dan acara perayaan; pengetahuan dan amalan mengenai alam dan alam semesta; dan pertukangan tradisional.
UNESCO dalam laman web rasminya menyebut, kepentingan warisan budaya tidak ketara bukanlah manifestasi budaya itu sendiri tetapi kekayaan pengetahuan dan kemahiran yang diturunkan melaluinya, daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
“Nilai sosial dan ekonomi bagi penyampaian pengetahuan ini adalah relevan untuk kumpulan minoriti dan untuk kumpulan sosial arus perdana dalam sesebuah negara, dan sama pentingnya bagi negara membangun seperti bagi negara maju,” katanya.
Sementara itu, Presiden PENA Dr. Mohamad Saleeh Rahamad seperti dilaporkan oleh BH berkata, pentauliahan itu bakal berlangsung semasa sesi ke-10 Perhimpunan Agung UNESCO pada bulan Jun di Ibu Pejabat UNESCO, Paris.
Katanya, proses penilaian telah dijalankan sejak bulan Mei hingga November lalu dengan UNESCO menerima 73 permohonan. Walau bagaimanapun katanya, setelah sesi ke-18 mesyuarat pada 9 Disember 2023 lalu, hanya 57 NGO yang terpilih untuk ditauliahkan.
Dalam hal ini, Mohamad Saleeh berkata, PENA perlu memastikan bahawa tauliah yang diberikan tidak ditarik balik kerana difahamkan sebelum ini ada NGO yang ditarik balik tauliahnya kerana tidak melaksanakan program.
Justeru, buat masa ini katanya, PENA perlu menubuhkan sekretariat untuk memikirkan dan melaksanakan program serta projek yang berkaitan.
“Dalam masa yang sama, PENA akan membuka ruang kepada kerjasama daripada pelbagai pihak, sama ada persatuan penulis lain mahupun NGO yang berkaitan dengan kebudayaan. Begitu juga dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” katanya.
Kredit Foto: CK Yeo/Unsplash