Oleh Rasoul Manan
13 Oktober 2023, 23:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – “Penyair berbicara dari jiwanya, akalnya dan taakulnya,  bukannya luahan hati dan perasaan semata-mata”, ujar YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri dalam ucapan Majlis Perasmian Pertemuan Penyair Nusantara Ke-12 (PPNXII) dan Baca Puisi Nusantara 1 yang diadakan di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada malam tadi. PPNXII pada kali ini berlangsung selama tiga hari, bermula pada 13 hingga 15 Oktober.

Beliau juga turut menyatakan tentang falsafah pembangunan yang harus dilengkapi dengan pembangunan minda dan jiwa manusia, bukannya hanya menumpukan terhadap pembangunan fizikal semata-mata. Jelasnya lagi,

YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapan Majlis Perasmian Pertemuan Penyair Nusantara Ke-12 (PPNXII) di Dewan Sivik MBPJ, sebentar tadi.

Program seperti ini merupakan suatu bentuk diplomasi bukan rasmi, tetapi lebih efektif kerana melibatkan hal-hal yang berkaitan dengan kebudayaan, kesenian dan kesusasteraan.

Dalam majlis yang sama juga, beliau turut melancarkan buku Antologi Puisi PPN XII; Luka, Cinta, Damai terbitan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan kerjasama Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir merasmikan PPNXII sambil disaksikan oleh Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP (Baju Merah) dan turut kelihatan En. Khair Ngadiron, Pengerusi TV AlHijrah.

Karya ini mengandungi 210 buah puisi melibatkan penyair dari lima buah negara, iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand dan Singapura yang menghadiri PPNXII.

Sebelum itu, Datuk Bandar Petaling Jaya, Tuan Azhan Md Amir mengalu-alukan kehadiran delegasi dengan menjelaskan bahawa Petaling Jaya merupakan kota seni.

Bandaraya Petaling Jaya telah diangkat sebagai wilayah pelaksana bagi membangunkan kota seni.

Jelasnya lagi, apabila aktiviti sebegini diadakan, maka amatlah bertepatan dan sesuai dalam usaha meningkatkan penglibatan sektor ekonomi kreatif tempatan ke peringkat lebih tinggi.

YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir bersama-sama tetamu kehormat meraikan ketua delegasi setiap negara yang menghadiri PPNXII, kali ini.

PPNXII kali ini melibatkan enam sesi sidang, bermulanya dengan Sidang 1, iaitu Forum – Mahu ke Mana Puisi Nusantara?, Sidang 2: Ucaptama – Peranan Puisi dalam Pergolakan oleh Sasterawan Negara (SN) ke-10, Datuk Dr. Anwar Ridhwan, dan wakil Indonesia, Maman S. Mahayana.

Kemudian, perbincangan mengenai isu ini diteruskan dalam Sidang 3: Pergelutan Puisi dalam Arus Teknologi, dan disusuli dengan isu kepesatan teknologi, bagaimanakah kewujudan atau keberadaan puisi Nusantara pada masa kini? Perkara ini akan disentuh dalam Sidang 4: Forum – Denyut Puisi di Alam Melayu.

Pada hari terakhir PPNXII, iaitu pada 15 Oktober, giliran Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan memberi syarahan utama mengenai: Ruang Hidup Puisi Nusantara.

Akhir sekali, perbincangan berkenaan isu ini ditutup oleh Sidang 6: Pleno – Hala Tuju Pertemuan Penyair Nusantara.

Majlis turut diserikan dengan deklamasi puisi oleh Sasterawan Negara (SN) Zurinah Hassan, Dr. Hazami Jahari serta nyanyian lagu puisi oleh Sani Sudin dan Adiwangsa Sukma.

Dr. Hazami Jahari sedang mendeklamasikan sebuah puisi daripada karya Antologi Puisi PPNXII; Luka, Cinta, Damai yang dilancarkan sebentar tadi.
Persembahan oleh Sani Sudin dan Adiwangsa Sukma memeriahkan majlis pelancaran PPNXII, sebentar tadi.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.