Oleh Rasoul Manan
1 Februari 2024, 07:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengamal dan petugas kesihatan bersama-sama barisan penyair tempatan telah mendeklamasikan puisi bagi meluahkan perasaan dalam Malam Puisi Kemanusiaan 2024, semalam.

Majlis anjuran Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) telah diadakan di Auditorium HKL.

YBhg Dato’ Seri. Ir. Dr. Zaini Ujang, iaitu Ketua Setiausaha kementerian Kesihatan Malaysia telah merasmikan majlis. Dalam ucapan perasmian, beliau menyatakan program sebegini amatlah menarik kerana setelah seharian mengendalikan bermacam-macam kes, aktiviti seperti ini dapat melepaskan beban dan tekanan yang ditanggung.

YBhg Dato’ Seri. Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha kementerian Kesihatan Malaysia sewaktu berucap merasmikan majlis, semalam.

Dengan mengangkat tema “Degup Naluri dan Nadi Emosi”, hal ini merupakan satu manifestasi semua petugas untuk sentiasa bersemangat memberi khidmat dan bakti kepada masyarakat. Beliau seterusnya mendeklamasikan sebuah sajak, “Bangsa Merdeka” ciptaannya sendiri.

Sebelum itu, YBhg. Datuk Dr. Alzamani Mohammad Idrose, selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, menjelaskan;

YBhg. Datuk Dr. Alzamani Mohammad Idrose, selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Malam Puisi Kemanusiaan 2024.

“Warga perubatan berhadapan seribu macam cabaran dalam melayani kerenah manusia.  Oleh hal demikian, pihak penganjur  memilih puisi sebagai alat melepaskan tekanan kerana selain muzik dan jenaka, puisi juga mampu memberikan impak terhadap hormon dalam diri”.

SN Anwar Ridhwan sebelum membaca puisi, beliau menceritakan sebuah kisah yang dijadikan ilham untuk menulis puisi berkaitan kemanusiaan dan hospital.

Sasterawan Negara (SN) Anwar Ridhwan memulakan majlis dengan mendeklamasikan dua buah puisi. Menariknya dalam sebuah puisi tersebut terdapat pengalaman peribadi ketika mengalami kesakitan di luar negara. Seterusnya SN Rahman Shaari membacakan puisi, “Masa” dan “Sengsara”.

SN Rahman Shaari membaca puisi dengan gaya tersendiri dalam Malam Puisi Kemanusiaan.

Pengarah HKL, YBhg. Datin Paduka Dr. Rohana Johan turut mendeklamasikan sebuah sajak beliau sendiri, iaitu “Udara yang Kusedut Pada Pelayaran Ini”. Manakala Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menutup majlis dengan mendeklamasikan sebuah sajak, “Terima kasih Afrika” .

YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika mendeklamasikan sebuah puisi kepada hadirin yang hadir dalam Malam Puisi Kemanusiaan, semalam.

Selain mendeklamasikan puisi, majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh YBrs. Dr. Shafa’atussara Silahudin dan Sani Sudin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.