Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penganjuran Malam Puisi PENA bertemakan Ramadan yang berlangsung pada 13 Mac lalu bukan sahaja berjaya menyemarakkan dunia kesusasteraan tanah air, malah turut diserikan dengan inisiatif menyantuni golongan yang memerlukan.
Acara yang berlangsung di Rumah PENA itu menyaksikan barisan sasterawan dan deklamator menghidupkan suasana 10 malam terakhir Ramadan menerusi bait-bait puisi kerohanian yang menyentuh jiwa.
Mengangkat mesej dan tema dalam majlis tersebut, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merangkap Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, dalam ucapannya menyeru masyarakat Islam agar sentiasa peka dan sensitif terhadap krisis kemanusiaan yang sedang melanda wilayah Timur Tengah.
Beliau kemudiannya memukau hadirin menerusi dua buah puisi bertajuk “Bolehkah?” dan “Di Makam Imam al-Bukhari”.

Selari dengan keberkatan bulan mulia ini, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan sebanyak RM769 setiap seorang kepada 13 orang anak yatim yang juga merupakan penulis dan ahli PENA bagi membantu meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri 2026.
Sementara itu, Presiden PENA, YBrs. Dr. Mohamad Saleeh menyifatkan penganjuran edisi pada kali ini amat bermakna kerana menjadi platform untuk karyawan dan pecinta sastera bersama-sama menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan dengan pengisian yang bermanfaat.
Majlis tersebut turut menyerlahkan kepelbagaian bakat yang merentasi generasi. Antara yang mencuri tumpuan termasuklah, penampilan penyair veteran yang juga mantan Bendahari PENA, Puan Rasanubari Asmaramah dengan deklamasi puisinya bertajuk “Istana Ramadan”.
Bakat pelapis muda dari Sekolah Seri Puteri Cyberjaya dan deklamator, Laili Norafian turut mewarnai pentas dengan karya kreatifnya, berjudul “Bulan Ikut Aku” serta dendangan lagu puisi oleh Syed Amran dan Adiwangsa yang bertajuk “Tasbih Nubari” dan “Aku Ingin Meminangmu, Ramadan”.

Malam Puisi PENA itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah Angkatan Masa Hadapan, Mejar Jeneral Dato’ Dr.Radzi Abdul Hamid; Timbalan Presiden GAPENA, Encik Zainal Jais; Presiden PEMUISI, YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim; dan Timbalan Presiden PENA, YBrs. Dr. Hanafi Ibrahim.