Diterbitkan pada 14 Oktober 2025, 18:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Gerakan Sumud Nusantara telah memberi satu bentuk kesedaran kepada dunia mengenai perjuangan membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel meskipun beberapa percubaan menghantar bekalan bantuan ke negara itu berakhir dengan kegagalan.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, YBrs. Encik Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, hari ini hampir 80 peratus negara yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa  Bersatu telah mengambil pendirian dan sikap untuk menyatakan sokongan mereka terhadap kewujudan negara Palestin.

“Apakah ini dapat dilakukan dengan desakan biasa? Sudah tentu tidak dapat dilakukan sama sekali. Harus ada pimpinan yang lantang dan berani. Dan hari ini tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Malaysia adalah negara yang paling kuat bercakap dan berjuang tentang soal kebebasan umat Palestin,” katanya semasa berucap pada acara Malam Baca Puisi PENA (MBPP) baru-baru ini di Rumah PENA.

Acara bulanan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) itu dianjurkan dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka, Perbadanan Kota Buku dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.

Muhammad Kamil turut menyentuh mengenai pudarnya minat membaca pada masa ini walaupun minat berkarya dalam kalangan penulis semakin kuat.

“Budaya membaca dalam kalangan kita merosot dengan agak membimbangkan.  Mungkin kerana kepesatan teknologi, orang sudah mula malas membaca. Sekarang ini, kalau kita nak dodoikan anak, kita letak telefon bimbit di sebelah bantal anak dan pasang YouTube.

“Tidak ada lagi tradisi ataupun amalan sepertimana yang dilakukan oleh leluhur kita, nenek moyang kita yang memegang kita sambil mendodoikan kita dengan zikir dari mulut mereka sendiri.  Hari ini peranan zikir dan dodoi sudah diambil alih oleh YouTube,” ujarnya.

Terdahulu, dalam ucapan alu-aluannya, Presiden PENA, YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad menzahirkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri yang telah meluluskan peruntukan berjumlah RM1 juta kepada PENA bagi melaksanakan pengedaran buku-buku terbitan PENA ke sekolah-sekolah di seluruh negara.

Beliau turut berharap Perdana Menteri akan memperuntukkan dana tambahan penerbitan buku bagi memastikan para penulis dapat terus berkarya.

“Tamadun sesebuah negara bergantung kepada karya penulisan. Kalau negara tidak ada penulis, tamadun akan terbantut,” ujarnya.

Acara MBPP tersebut diserikan dengan persembahan deklamasi puisi dan lagu puisi oleh ahli PENA serta penyair undangan termasuk Ketua Satu Persatuan Penulis Johor, YBrs.  Encik Amiruddin Md. Ali Hanafiah; Raja Syair Nusantara, Encik Roslan Madun; Bendahari GAPENA, Encik Usman Gumanti Ibrahim; penyanyi lagu puisi, Encik Adiwangsa Sukma dan veteran teater, Encik Kamarul A. R.

Kredit Foto: PENA
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi