Diterbitkan pada 31 Mei 2025, 17:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Suara pemuisi bergema pada Malam Baca Puisi PENA di Ambang Kepengerusian ASEAN yang berlangsung malam tadi di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Program ini dilihat sebagai inisiatif meraikan kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mengukuhkan hubungan persaudaraan pemuisi dan pencinta sastera dari negara serantau.

Dengan mengangkat tema “Persaudaraan Serantau melalui Puisi”, sebanyak 15 pemuisi dari lima buah negara, iaitu YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari, YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin, Fazleena Hishamuddin, Sani Sudin, Adam Buck Lee, Maroof Seman, Airul Affendi, Jack Malik dan Jasad Bersiong (Malaysia); Tarmizi Rumahitam dan Siti Salmah (Indonesia); Shamsudin Said dan Ihsan Ali (Singapura); Mahroso Doloh (Thailand) dan Zefri Arif (Brunei) tampil dengan persembahan deklamasi puisi dan dendangan lagu puisi yang menggemakan ruang WTCKL.

Melalui puisi yang dideklamasikan seperti “Negeri Peluru”, “Fatamorgana Mimpi Palestin”,  “Ke Ruang Katarsis”, “Titian Zaman”, “Melayuku Hilang, Melayu” dan “Cinta untuk Dia”, dan lagu puisi seperti Kota Perempuan, Aman dan Ke Pintu Kasihmu, pengunjung dapat menyelami dan menghayati variasi tema termasuklah kemanusiaan, perjuangan, cinta, dan sejarah.

Majlis anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan rakan sinerginya ini dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KSU KPN), YBhg. Datuk Haji Ruji Haji Ubi selepas mendeklamasikan sajak berjudul “Membina Negara Bangsa”. Beliau turut mengatakan bahawa (malam) ini merupakan pengalaman kedua beliau mendeklamasikan sajak di depan umum dalam tempoh dua bulan lebih sebagai KSU KPN.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBhg. Datuk Haji Ruji Haji Ubi ketika menyampaikan sajak “Membina Negara Bangsa” sebelum merasmikan Malam Baca Puisi PENA di Ambang Kepengerusian ASEAN.

Sementara itu, Pengerusi Pengelola PBAKL 2025, YBrs. Encik Khair Ngadiron dalam ucapan alu-aluannya berkata, pesta buku ini bertujuan meraikan kepelbagaian yang ada dan menjadi tempat bagi individu pelbagai lapisan masyarakat mendekati sastera dan buku.

Beliau turut berkongsi dengan tetamu kehormat dan para pengunjung tentang kejayaan penganjuran PBAKL 2025 dengan mencatat jumlah kehadiran tertinggi, iaitu sebanyak 240,000 orang pada hari ketujuh.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Haji Zainal Abidin Borhan; Presiden PENA, YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad;  Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, YBrs. Encik Edy Irwan Zulkafli; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, YBrs. Puan Adibah Omar; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai (mewakili Ketua Pengarah DBP) dan YBhg. SN Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi