Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) menggesa para penyair tanah air tidak hanya menghasilkan karya yang hanya memuji sejarah silam, sebaliknya perlu mula berani mengetengahkan isu-isu semasa yang sedang menggugat maruah dan kedaulatan negara.
Penyelaras bengkel dan juri tetap GAPENA, Profesor Dr. Hashim Ismail berkata, tema baharu Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) 2026, iaitu “Maruah dan Kedaulatan Bangsa” dipilih khusus untuk mendepani realiti sosial dan politik yang kian mencabar, jauh melampaui retorik “merdeka” yang abstrak.
Dalam satu kenyataan, beliau menarik perhatian dalam isu “penjajahan baharu” dari dalam, khususnya melibatkan amalan rasuah dan “kartel projek” yang menghakis kedaulatan ekonomi negara.
“Adakah kita benar-benar merdeka kalau sistem pintu masuk sempadan kita bocor? Saya mahu penyajak kita berani menyentuh tentang hal ini. Jangan hanya tulis pasal merdeka yang indah-indah, tapi tulislah tentang maruah yang sedang robek di hadapan mata kita sekarang,” ujar beliau semasa sesi Bengkel Penyediaan Manuskrip Puisi di Rumah GAPENA.
Beliau turut memetik isu tuntutan kedaulatan di Pulau Sebatik, lambakan warga asing serta penjualan kad pengenalan palsu sebagai antara “luka semasa” yang perlu diterjemahkan ke dalam bentuk sastera.
Selain isu keselamatan dan ekonomi, beliau turut menekankan peri pentingnya penyair merakam krisis jati diri yang melanda masyarakat hari ini. Beliau memberikan contoh kes-kes kontroversi yang mencabar norma agama dan budaya, sebagai bukti kerapuhan identiti bangsa.
Bagi memberikan impak kepada sindiran politik moden, penulis digalakkan menggunakan teknik interteks dengan meminjam watak-watak klasik Melayu daripada naskhah seperti Sulalatus Salatin untuk disesuaikan dengan konteks hari ini.
Sejajar dengan anjakan tema ini, GAPENA turut menetapkan syarat teknikal bagi memastikan karya yang dihasilkan berkualiti untuk dipersembahkan.
“Setiap sajak mestilah mempunyai panjang antara 25 hingga 30 baris dengan had lima hingga tujuh patah perkataan bagi setiap baris. Format ini ditetapkan khusus bagi menjamin kualiti penghayatan suara (vokal) semasa dideklamasikan kelak,” ujarnya.
Karya yang dihantar mestilah asli, belum pernah diterbitkan dan bebas daripada unsur sensitif yang menyentuh isu perkauman, agama serta institusi diraja. Tarikh tutup penyertaan manuskrip puisi ini adalah pada 28 Februari 2026.
Penulis yang berjaya menembusi antologi puisi SDPK 2026 akan menerima honorarium sebanyak RM200 serta 10 naskhah buku sebagai penghargaan.