Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOsman Ayob melaporkan detik-detik manis sastera sepanjang tahun 2025.
Di samping pelbagai gerak laku peristiwa dalam negara yang luar biasa dari tahun-tahun sebelumnya, dunia sastera dan budaya kita juga ikut ‘bergelombang’ dengan pelbagai peristiwa dan kegiatan yang pasti mempengaruhi perkembangan masa depannya.
Tahun 2025 akan melabuhkan tirainya. Sepanjang tahun 2025, dunia digegarkan dengan pelbagai peristiwa yang akan menjadi sejarah yang meninggalkan kesan yang mendalam kepada manusia di jagat raya ini. Persoalan tarif yang dicetuskan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah membawa impak dan mengharu-birukan diplomasi dagangan seisi global. Perang Israel-Iran walaupun singkat, melakar fenomena baharu tentang taktik dan strategi perang zaman digital. Ketika Perang Ukraine-Rusia semakin sengit dengan penggunaan senjata baharu, gencatan senjata Israel-Hamas masih dibayangi tanda tanya sama ada wujud “kejujuran” sebenar antara kedua-dua belah pihak. Di samping itu, dunia yang selama ini tidak mampu berbuat apa-apa, turut ternanti-nanti, mampukah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak atas kuasa tipisnya dalam menyelia dan menguatkuasakan gencatan senjata yang terus dicabuli oleh rejim Zionis? Adakah Malaysia akan diminta oleh PBB untuk menghantar pasukan pengaman bersama-sama negara lain bagi mewujudkan keamanan di Gaza?
Di samping pelbagai gerak laku peristiwa dalam negara yang luar biasa dari tahun-tahun sebelumnya, dunia sastera dan budaya kita juga ikut “bergelombang” dengan pelbagai peristiwa dan kegiatan yang pasti mempengaruhi perkembangan masa depannya.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ternyata begitu aktif dan komited dalam menggerakkan pelbagai kegiatan yang berkaitan dengan bahasa, sastera dan budaya. Selaku peneraju utama yang dipertanggungjawabkan dalam memartabatkan bahasa, sastera dan budaya ke tahap yang lebih tinggi, kita dapati daripada sambutan yang diterima, ada banyak unjuran yang boleh membawa manfaat yang diharapkan.
DBP bersama-sama pejabat cawangannya di utara, tengah, timur, Sabah dan Sarawak sama-sama bertindak menyelaraskan kegiatan masing-masing dengan prolifik sekali. Pengarah bagi setiap cawangan berganding bahu bersama-sama setiap bahagian di ibu pejabat dalam menyelaraskan kegiatan yang bermanfaat, strategik dan tersusun rapi. Nyata, hal ini dirancang dengan rapi selain mendapat kerjasama badan-badan penulis di setiap negeri yang membabitkan kegiatan kecil dan besar. tetapi menghasilkan manfaat yang begitu besar maknanya kepada penulis yang mahu mengembangkan bakat dan kreativiti mereka.
Tidak dapat dinafikan bahawa badan-badan penulis di setiap negeri mendapat insentif yang wajar dalam menggerakkan aktiviti masing-masing. Selain imbuhan dan tenaga bimbingan, menjadikan pengurusan program berjalan dengan lancar. Badan-badan penulis yang bergabung di bawah badan induk Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) mendapat jaringan kerjasama yang positif. Melalui kepimpinan GAPENA yang proaktif, kita dapati badan-badan gabungan sentiasa mendapat dukungan, malah dana dalam menggerakkan kegiatan.
Di samping itu, secara tradisinya, GAPENA meneruskan rutin kegiatan tahunannya dengan meriah. Hari Puisi Nasional di Morib dihadiri lebih 150 peserta dengan pengisian pembentangan kertas kerja, apresiasi dan deklamasi puisi yang merangkumi semua peserta. Selain meneruskan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan, Hari Sastera Nasional 20 pula berlangsung di Seremban pada 25 – 27 Oktober. Pelancaran antologi cerpen berjudul Bernafas Bersama Angin yang mengandungi 12 buah cerpen ahli badan gabungan dengan mengangkat tema kearifan tempatan, nyata memancing dimensi baru dalam spektrum pembacaan yang bervariasi.
Sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan yang besar maknanya, untuk pertama kali GAPENA mengangkat Mohd Mansor Abdullah (M. Ashikin) dan Mahaya Mohd Yassin sebagai penerima Anugerah Sastera Nasional GAPENA 2025.
GAPENA yang tidak pernah melupakan sumbang-bakti ahli-ahli badan gabungan, tahun ini meneruskan Anugerah Penyair GAPENA, apabila Abdul Ghafar Ibrahim (AGI), Siti Zainon Ismail dan Wan Ahmad@Wan Adnan Daud (Wadi Leta S.A) diiktiraf bakat dan pengorbanan mereka untuk tahun 2025. Penganugerahan yang gilang gemilang ini berlangsung pada Hari Puisi Nasional ke-23 di Morib pada 11-13 Julai 2025.

Kepimpinan GAPENA juga mudah “turun padang” menyokong kegiatan persatuan di bawah gabungannya. Kehadiran Presiden, Datuk Zainal Abidin Borhan pada program Seminar Kesusasteraan Kedah II 2025: Pemikiran Sasterawan Utara di Sungai Petani pada 26 – 27 September, begitu besar maknanya. Beliau menegaskan bahawa Kedah merupakan “jelapang kelahiran sasterawan”. Kedah juga berkesinambungan dengan “tradisi kesusasteraan negeri Kedah berakar sejak zaman Kedah Tua.” Hal ini dikaitkan dengan kewujudan tamadun Kedah yang bermula sekitar tahun 768 Sebelum Masihi di Sungai Batu, Merbok apabila sudah wujud perusahaan melebur bijih besi, lengkap dengan relaunya, sebagai penanda aras kemahiran komuniti setempat ketika itu.
Sebelum itu, pada 2 – 3 Ogos, GAPENA dengan kerjasama DBP telah mengadakan Perhimpunan Sastera Wanita Nusantara di Melaka. Pertemuan yang disertai oleh delegasi dari Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam mencapai persetujuan untuk memajukan dan mengembangkan sastera serantau sebudaya dengan lebih mantap demi kebaikan bersama.
Kehadiran Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari melancarkan 15 buah buku penulis Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) menyuntik semangat baharu kepada ahlinya, terutamanya penulis baharu yang sedang menempa nama. Saranan Dr. Hazami supaya program seperti ini diadakan setiap tahun telah diambil perhatian berat oleh kepimpinan ASASI. Sebelum itu, pada 30 April, Dr. Hazami dalam Program Tautan Tinta di Perpustakaan Digital Alor Setar yang dihadiri oleh penulis Kedah dan Perlis tidak ragu-ragu menegaskan, “Tak ada siapa menyuruh kita menjadi penulis. Kita sendiri yang mahu menulis. Oleh itu, jadilah penulis dengan menghasilkanlah karya yang bermutu dan bermanfaat kepada masyarakat.”
Dengan respons yang menggalakkan daripada semua yang terbabit, sama ada dalam bentuk bengkel, persembahan dan sebagainya, pasti membawa impak yang besar dalam melestarikan dan memantapkan penggunaan bahasa Melayu dengan lebih berkesan.
Sepanjang tahun 2025, DBP terus menerbitkan pelbagai jenis buku, mengatasi tahun-tahun sebelumnya. DBP menjadi tumpuan para penulis mengadu nasib untuk menerbitkan karya masing-masingnya. Walaupun terpaksa melalui banyak kerenah dan memakan masa yang panjang, DBP tetap menjadi pilihan. Benar, buku-buku DBP memiliki kualiti yang tinggi, tetapi terpaksa melalui laluan pemasaran yang getir. Walau bagaimanapun, usaha untuk mengatasi masalah ini diteruskan dengan pelbagai langkah yang proaktf.
Antara inisiatif yang dilakukan oleh DBP termasuklah mengadakan beberapa program bagi meninjau reaksi pengguna terhadap produk DBP. Wacana Kajian Persepsi Belia Terhadap Novel Terbitan DBP yang diadakan pada 17 Oktober, menyerlahkan pembentangan kajian oleh Dr. Jeffrey Lawrence D’ Silva tentang penerimaan pembaca terhadap buku-buku terbitan DBP. Golongan belia yang berpendidikan tinggi masih dahagakan buku-buku yang menjana ilmu dan pemikiran. Namun begitu, soal teknikal seperti reka bentuk kulit, blurb dan isi kandungan tetap menjadi cabaran kepada DBP.
Sebelum itu, pada 8 Februari, berlangsung Sesi Libat Urus Masa Depan Penerbitan DBP. Sesi ini melibatkan beberapa penerbit luar, merumuskan gariskan panduan dan cadangan ke arah menjadikan semua penerbitan DBP sama ada majalah atau buku menjadi lebih relevan dengan keperluan semasa.
Dalam usaha melahirkan penulis muda yang konsisten, Minggu Penulis Muda (MPR) diteruskan pada tahun 2025 dengan cadangan perubahan yang relevan dengan tuntutan masa. Sempena Perhimpunan Alumni MPR pada 21 September, Salina Ibrahim diangkat menjadi pengerusi baharu MPR.
Salina yang sudah 38 tahun bergiat dalam penulisan kreatif, menjadi Munsyi Dewan Sastera dan mendapat anugerah Pejuang Sastera Negeri Perak, dianggap mempunyai hubungan rapat dengan DBP. Hal ini akan memudahkan perancangannya dengan DBP sebagai penggerak MPR. Cadangan supaya MPR melebarkan sayap kegiatannya ke setiap wilayah DBP, utara, timur, tengah, selatan, juga Sabah dan Sarawak, sesuatu yang boleh diterima dalam usaha untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu untuk melibatkan diri dalam bidang penulisan.
Bakat-bakat baharu yang dilahirkan melalui MPR, boleh diketengahkan dalam apa-apa sahaja kegiatan yang dianjurkan oleh Majlis Sastera Asia Tenggara atau MASTERA. Pendedahan mereka dalam MASTERA, membuka laluan yang lebih komprehensif dalam komuniti penulis ASEAN yang berwibawa. Pelantikan penulis kritis dengan pembaharuan, Muhammad Lutfi Ishak sebagai peneraju alumni program MASTERA atau OPERA, menjadi pembakar yang boleh menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk semua, terutamanya buat penulis generasi baharu.
Pembabitan DBP dalam memantapkan penggunaan bahasa Melayu di jabatan-jabatan kerajaan dan agensinya dilihat semakin aktif sepanjang tahun 2025. Dengan respons yang menggalakkan daripada semua yang terbabit, sama ada dalam bentuk bengkel, persembahan dan sebagainya, pasti membawa impak yang besar dalam melestarikan dan memantapkan penggunaan bahasa Melayu dengan lebih berkesan.
Kegiatan ini turut mengalir ke dalam Badan Berkaitan Kerajaan (GLC) yang menjadi “enjin” dalam menggerakkan ekonomi negara. Hal ini termasuk juga badan-badan korporat yang tidak pernah mengabaikan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan harian pentadbirannya.
Maybank misalnya, mengadakan Minggu Semarak Bahasa pada 15-17 Oktober di balai seninya. Antara pengisiannya termasuk kongsi cerita, bicara lirik lagu Melayu, persembahan lagu puisi dan lain-lain, memperlihatkan mereka yang terbabit dalam bidang kewangan tidak berkurang dengan masyarakat lain. Dengan kerjasama Bahagian Perkembangan Bahasa dan Sastera juga Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, program ini tentu mempunyai kesinambungan pada masa depan.
Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) walaupun tiada fakulti sastera, namun pembabitannya dalam kegiatan sastera dan budaya tidak kurang hebatnya berbanding universiti lain. Sepanjang tahun 2025, UNIMAP secara sendirian atau dengan kerjasama DBP telah mengadakan aktivitinya dalam memartabatkan bahasa dan sastera. Kerapnya kehadiran Sasterawan Negara (SN) Datuk Rahman Shaari dan SN Dato’ Dr Zurinah Hassan ke acara sastera di UNIMAP menandakan semarak kegiatan sastera secara berterusan. Malah, sebagai tanda pengiktirafan, di UNIMAP terdapat sudut khas menyimpan koleksi karya Dato’ Zurinah Hassan.
Kelebihan yang ada di UNIMAP ialah terdapat pensyarah bukan sastera yang meminati bidang sastera. Hal ini banyak membantu menghidupkan iklim kesusasteraan dalam kampus. Dengan kerjasama dua badan sastera di Perlis, Persatuan Penulis Perlis (3P) dan Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA), juga dengan dukungan DBP dan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, program apresiasi penulis veteran Perlis seperti Nazel Hashim Mohamad, Nahmar Jamil dan Mokhtar A.K. berlangsung dengan mendapat sambutan yang menggalakkan.
Universiti Utara Malaysia (UUM), selain menjadi universiti yang mengutamakan bidang pengajian korporat, tidak ketinggalan dalam menggerakkan kegiatan sastera dalam kampusnya. Melalui Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah UUM, banyak menjalankan kegiatan sastera, bukan sahaja menyasarkan pelajarnya, tetapi juga audiens dari luar. Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), pada 12 – 13 Jun, telah mengadakan sambutan Hari Puisi Malaysia Kelima dengan kerjasama UUM, Kerajaan Negeri Kedah dan DBP. Pengisiannya termasuk Wacana Pemikiran Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh dan Zurinah Hassan, juga bicara karya tiga buku karya kedua-dua tokoh tersebut.

Pusat pengajian tinggi lain juga tidak menyisihkan diri daripada kegiatan sastera. Sastera sebagai penggerak hati nurani, ketulusan dan daya intelek insan mendapat tempat dalam menjana pemikiran positif pelajar. Pada 12 Oktober, UiTM Merbok, Kedah bersama-sama DBP telah melaksanakan Karnival Semarak Bahasa: Menjulang Wawasan Bangsa sempena Dekad Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 peringkat negeri Kedah. Berobjektif untuk menyemai bahasa Melayu menjadi wadah perkongsian ilmu semasa bersama-sama generasi muda menarik minat para pelajar institusi tersebut.
Pelancaran Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Nasional yang berlangsung pada 12 Oktober, di Melawati, Selangor apabila perasmiannya disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor cukup meriah dengan kehadiran semua jabatan dan agensi kerajaan. Penyampaian watikah Citra Sahabat oleh Ketua Pengarah DBP kepada semua jabatan dan agensi menandakan kerjasama erat ke arah memantapkan lagi penggunaan bahasa kebangsaan di semua peringkat.
Pulau Pinang juga melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan pada 13 Oktober. Hal ini diikuti oleh negeri-negeri lain, termasuk mendapat kerjasama pusat pengajian tinggi. Pada 16 November, berlangsung Wacana Bahasa Kebangsaan dan Sastera. Tumpuan utama ialah saranan supaya mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dimartabatkan semula di sekolah-sekolah menengah.
Di negeri Kelantan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan DBP turut memperkukuh kerjasama melestarikan bahasa Melayu. UMK melalui Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, menganjurkan beberapa program yang bermanfaat sepanjang tahun 2025.
Kelantan yang digerakkan oleh Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA) dan Persatuan Penulis Kelantan (PPK) saling pula bekerjasama dengan Pertubuhan Peradaban Melayu Kelantan (PERADABAN) pimpinan Dato’ A. Aziz Deraman dalam menggerakkan kegiatan sastera dan budaya setempat, malah melewati sempadan Thailand. Gandingan Prince of Songkhla University (Cawangan Songkhla) dan Fatoni Islamic University untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu di Selatan Thailand jelas membuahkan hasil yang membanggakan untuk berkembang pada tahun-tahun mendatang.
PERADABAN juga dengan kerjasama DBP Wilayah Timur menganjurkan Bengkel Penulisan Biografi pada bulan Ogos dengan pesertanya bukan sahaja terdiri daripada penulis Kelantan tetapi juga penulis dari Selatan Thailand.
Bagi menyemarakkan kegiatan sastera, tidak sahaja pada kreativiti penulisan, UiTM Kelantan di Machang telah mengadakan Syarahan Perdana A. Kadir Adabi pada 2 November 2025. Syarahan yang disampaikan oleh Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob menyelongkar jauh unsur seni tradisi dengan wacana akademik, mengajak para audiens melebarkan pemikiran yang lebih jauh tentang seni budaya bangsa seperti makyung yang dapat disesuaikan dengan konsep digital lalu dikembangkan dengan penerimaan masyarakat sekarang.
Satu hal yang dialu-alukan, UiTM Kelantan akan mewujudkan Kerusi A. Kadir Adabi di institusi tersebut. Selain memberikan penghargaan kepada tokoh berkenaan, pengiktirafan ini juga bakal memberikan ruang kepada tokoh masa kini untuk melaksanakan tugasan yang akan menyemarakkan lagi dunia keintelektualan yang mencakupi kajian penyelidikan dan penerbitan.
Baca Bahagian Kedua Refleksi |

_________________________
Osman Ayob, Sasterawan Kedah 2022 dan penerima SEA Write Award (Malaysia) 2022 telah menghasilkan 200 buah cerpen yang termuat dalam kumpulan cerpen Bayangan Rindu (1981), Musim Itu telah Berlalu (1984), Detik yang Tergugat (1988/1989), Di Pinggir Kesedaran (1993), Melamar Rindu (2001), Bayangan Silam (2009), Perginya Seorang Srikandi (2011), Tembok Masih Tinggi (2014), Gila Tak Gila (2017), Sebuah Surau Sebuah Rumah di Tepi Kondominium (2022), Wanita Penggesek Biola (2025) dan Hari Jadi ke-100 (bakal terbit tahun 2026). Novel dewasa pula termasuk Warna Sebuah Lembah (1990), Embun di Hujung Daun (1999), Ombak Bukan Penghalang (2007), Empangan Tugal (2010), Anak Primadona (2012), CEO Baru (2013), Dukhan: Langit Akhir Zaman (2013), Kugenggam Tanganmu (2018), dan Beralih Sebuah Piama (2024). Novel beliau yang bakal terbit pada tahun 2026 ialah Ombak di Puncak Gunung dan Perca-perca Cinta.